Pengajaran Kepimpinan Yang Berani Daripada Oprah Winfrey

Feb 12, 2019 4 Minit
oprah

“Saya rasa kita tidak menggunakan masa dengan sebaiknya jika kita asyik berfokus pada tempat yang belum kita singgahi, perkara yang perlu kita lakukan  Pesanan saya: lakukannya! Anda mahu lihat perubahan? Tunggu apa lagi — atur langkah dan lakukan perubahan itu sendiri.”

 

Sekiranya ada cerita yang mengisahkan insan papa kedana bertukar menjadi kaya-raya sebagai bukti sejauh mana kepimpinan berani membantu seseorang menempa kejayaan yang besar, marilah kita hayati kisah seorang gadis berkulit hitam yang lahir di Mississippi, sebuah negeri di selatan Amerika Syarikat.

Gadis ini bukan sahaja muncul sebagai salah seorang usahanita yang terkemuka di dunia, malah beliau juga mengolah semula banyak aspek mengenai TV dan diangkat dengan gelaran Ratu Seantero Media.

Melihat pada latar belakangnya yang penuh dengan rintangan dan cabaran, menjadikan harapannya untuk berjaya sememangnya tipis, insan bernama Oprah Winfrey yang dilahirkan pada tahun 1954 ini, berjaya membina empayar media yang sangat berpengaruh, menjadikannya jutawan berkulit hitam yang pertama di Amerika Utara. Beliau memanfaatkan profilnya untuk mewujudkan kesedaran bagi pelbagai badan amal, gerakan, dan inisiatif sosial.

Beliau juga ialah seorang pelakon yang tercalon bagi anugerah Oscar (untuk watak yang dipegangnya, iaitu Sophia dalam The Color Purple, 1985), dan membintangi filem yang menerima kritikan meluas iaitu Selma serta rancangan TV yang bertajuk The Immortal Life of Henrietta Lacks.

Berani mengambil risiko

Salah satu ciri utama Oprah ialah kesanggupannya menjadi pemberani dan sedia mengambil risiko.

Untuk menjadi pemberani, seseorang haruslah menangani ketakutan. Ketakutan melemahkan. Pandangan Oprah berkenaan ketakutan,

“Perkara yang paling anda takuti bukannya ada apa-apa kuasa. Kuasa sebenarnya terletak pada ketakutan anda. Dengan menghadapi kebenaran, barulah anda mampu melepaskan diri daripada belenggu.”

 

Ramai insan menjalani kehidupan dengan rasa gerun akan kegagalan, namun bagi Oprah, beliau menjalani kehidupannya bagaikan kegagalan gerun akannya.

Usahawan dari Amerika iaitu Paul C. Brunson pernah meluangkan masa bekerja dengan Enver Yucel dan Oprah semasa menyiapkan karya penulisannya berkenaan tabiat insan-insan yang bergelar jutawan. Dia  menyatakan salah satu resepi kejayaan mereka ialah mereka cenderung mengambil risiko yang terhitung.

Berkaitan: Adakah Anda Seorang Pemimpin Yang Berani

Dia  menulis, “Yang membuatkan saya lebih tertarik dengan Enver dan Oprah ialah sekalipun mereka memiliki status kewangan yang tinggi dan kejayaan yang besar, mereka masih sanggup merisikokan aset mereka yang paling berharga (nama dan legasi) untuk memulakan projek baharu dan yang cukup-cukup berani. Sekiranya anda tidak mengambil risiko, anda akan kekal di takuk yang sama!”

Oprah percaya bahawa risiko dapat memberi pulangan yang besar. Ujar beliau, “Saya percaya bahawa salah satu risiko terbesar dalam hidup adalah tidak pernah memberanikan diri mengambil risiko.” Beliau  juga percaya bahawa kegagalan harus diceritakan dan dikongsi.

“Fikir seperti seorang ratu. Ratu tidak gentar akan kegagalan. Kegagalan merupakan batu loncatan bagi kejayaan yang lebih besar.”

 

Kata Oprah, pemikiran sebegini membolehkannya bangkit semula daripada liku-liku kehidupan sewaktu zaman mudanya.

Nasihat Oprah kepada rakan-rakan usahawan ialah:

“Tiada sesiapapun yang perjalanan hidupnya lancar dan sepi daripada onak duri. Kita semua pernah tersadung langkah. Kita semua pernah tersekat seketika. Ini hanyalah lumrah hidup, bak kata hikmah, ‘Tiba masa untuk bertukar haluan, buatlah sesuatu yang anda rasa anda tak mampu lakukan, yang anda pernah gagal suatu ketika dahulu. Cuba lagi sekali. Lakukan dengan lebih baik buat kali kedua.’ Satu-satunya golongan yang tidak pernah jatuh ialah mereka yang tidak pernah memanjat pagar bergerigi.”

 

Gerakkan perubahan

Oprah benar-benar percaya bahawa sekiranya kita ingin membuat perubahan, sama ada untuk diri sendiri mahupun dunia, kita tidak perlu teragak-agak atau berborak kosong, sebaliknya, kita harus berusaha keras untuk melaksanakannya.

Salah satu ciri yang menyifatkan kepimpinan perintis Oprah Winfrey ialah kesanggupannya yang tidak berbelah bahagi untuk mengambil risiko, mengejar apa sahaja yang diidamkan, dan menterjemah visinya melalui tindakan, tanpa mengira seberapa lama masa yang diluangkan.

Berdaya tahan dan berpandangan jauh

Ketika malam Anugerah Golden Globe 2018, Oprah Winfrey berjaya merangkul Anugerah Cecil B. DeMille atas sumbangannya yang memberangsangkan dalam dunia hiburan.

Ucapan kemenangannya penuh dengan seruan menyentuh hati — beliau mengajak hadirin untuk sama-sama bertindak untuk menjadikan dunia lebih baik dengan mewujudkan kesaksamaan dari segi peluang, pemahaman, keadilan, belas kasihan, dan kemanusiaan.

Sebagai seorang jutawan atas titik peluh sendiri yang pernah membesar dalam kemiskinan, Oprah menunjukkan teladan bahawa kita bertanggungjawab untuk menentukan nasib diri, mengemudi kehidupan melalui keputusan sendiri dan memilih jalan untuk maju ke hadapan tatkala dilanda kepayahan.

Berkaitan: 5 Petua Untuk Lihat Melampaui Diri

Dalam ucapannya yang menggamit perhatian itu, beliau menerangkan kepentingan sikap berdaya tahan. Ujarnya, “Saya pernah menemu bual dan menonjolkan insan-insan yang kekal bertahan saat dibadai dengan azab kehidupan yang memeritkan. Mereka semua berkongsi ciri yang sama, iaitu tetap menaruh harapan untuk menikmati pagi yang lebih cerah, sekalipun dikerumuni malam yang gelap gelita.”

Salah satu sebab rancangan Oprah menjadi kegemaran saya adalah peluang untuk melihat keyakinannya. Pemimpin hebat bersifat optimis. Mereka percaya kita boleh melakukannya dengan lebih baik. Mereka percaya dengan takdir hidup yang lebih baik. Mereka percaya harapan tetap sedia ada. Dan hal ini menjadi inspirasi buat insan di sekeliling untuk bekerja dengan lebih baik, menjadi lebih baik dan terus berusaha keras untuk lebih maju. Oprah menjadi cerminan sifat berpandangan jauh dan hal ini membantu beliau kembali bangkit apabila jatuh.

Akhir kata

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita takut akan kegagalan? Adakah kita takut akan perubahan? Adakah kita lebih banyak beromong kosong daripada buat kerja? Adakah kita berdaya tahan saat ditimpa kesakitan dan mula putus harapan? Mampukah kita terus mengukir senyuman dan menyebar luas aura optimisme kepada insan di sekeliling?

Oprah percaya kita mampu lakukannya. Dan saya pun tahu kita mampu lakukannya.

Marilah kita berusaha untuk menjadi lebih baik daripada semalam hari demi hari dan terus menyebar luas sikap percaya pada diri kepada semua insan di sekeliling!

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Lessons We Can Learn From Oprah Winfrey.

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Anda Seorang Pemimpin

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Alt

Cadangan Buat Kamu

Bekerja

Bahagian yang Mana Anda Mainkan?

Oleh Michelle Gibbings. Kadangkala apabila menyertai organisasi, akan ada 'peraturan tidak bertulis' yang menyambut kedatangan anda, dan ini adalah sebahagian daripada budaya organisasi yang lebih besar. Temui lebih lanjut tentang sama ada budaya itu menghalang semua orang, dan cara mengubahnya.

Jul 03, 2023 5 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Berbaloi Mengotori Tangan Anda

Kepimpinan hanya boleh dipelajari dan dibentuk dalam proses mengotori tangan melalui pengalaman hidup. Konteks membentuk kebolehan kepimpinan. Tontonilah video ini.   Untuk membaca artikel berkaitan, klik Mengotori Tangan Anda.

Jul 17, 2017 4 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest