Jadi Pemimpin Yang Hebat, Ubah Diri Untuk Ubah Dunia

Jul 19, 2019 4 Minit
perubahan diri, fikiran luar

Baru-baru ini saya teruja sungguh dapat bertemu dan mendengar perkongsian kisah oleh Jana Stanfield, penyanyi album platinum dan pengubah lagu serta pengasas bersama Together, We Can Change the World (TWCCTW

Beliau begitu bersemangat sekali menceritakan kerja-kerja yang dilakukan bersama organisasi beliau dalam menaik taraf kehidupan remaja perempuan dan kaum wanita yang kurang bernasib baik, khususnya di rantau Asia. 

Anggota-anggota TWCCTW menawarkan dana dan khidmat profesional mereka kepada organisasi yang terlebih dahulu disemak dengan teliti, yang memberi pendidikan dan latihan kemahiran sambil bekerja kepada golongan yang kurang bernasib baik ini, untuk membolehkan mereka hidup berdikari.

Jana Stanfield: Anda pemikir fikiran; anda boleh ubah suasana di sekeliling anda.

Saya seorang jutawan!

Apabila ditanya sebab-musabab yang membuatkannya memberi fokus pada kerja tanggungjawab sosial ini, beliau berkata:

“Kita selalu kata apabila kita menjadi jutawan, kita akan buat itu, ini. Ketika itu, saya sedang bercuti di Bali dan mendapati bahawa wang AS$100 saya adalah bersamaan berjuta-juta rupiah.

“Pada ketika itu, saya tersedar bahawa saya sememangnya sudah mencapai status ‘jutawan’! Jadi, apa lagi saya mahu tunggu? Di sana sini, saya ternampak insan-insan yang kurang bernasib baik, tidur di pinggiran jalan. Nasib mereka sungguh memeritkan hati saya.”

Titik peralihan itu dialaminya ketika berumur 40-an. Dan sejak itu, beliau, yang kini mencecah usia 60 tahun, akan melapangkan diri sekurang-kurangnya dua kali setahun, masing-masing selama dua minggu, untuk melawat projek-projek yang diusahakan TWCCTW bersama rakan-rakan kongsi yang lain, baik di Indonesia, Kampuchea, Myanmar Thailand atau mana-mana jua di rantau ini.

Seperti lirik dalam lagu gubahannya:

“Saya tak boleh buat semua kebaikan yang dunia perlukan

Tapi dunia perlukan semua kebaikan yang saya boleh buat.”

Nasihatnya, kita perlu ubah diri untuk ubah suasana di sekeliling kita. Buatlah sedaya upaya yang kita boleh. 

Stanfield adalah antara 10 orang penceramah kepimpinan global pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Malaysia 2019, anjuran bersama Leaderonomics Malaysia dan TWCCTW baru-baru ini. Persidangan sehari itu dihadiri oleh kira-kira 500 orang pemimpin dari pelbagai industri dan organisasi.

Beberapa cebis mutiara kata yang beliau kongsikan adalah seperti berikut:

1. Anda adalah pemimpin fikiran

Di mana jua anda berada, orang lain akan mendengar percakapan anda. Adakah anda akan bercakap yang bukan-bukan, yang negatif? Atau adakah anda akan menjadi seorang yang berpengaruh dan yang memainkan peranan sebagai penyuntik inspirasi dan semangat? Keputusan adalah dalam tangan anda.

2. Minta bantuan

Apabila anda merasa hampa dan remuk, dapatkan bantuan dan sokongan daripada seseorang yang boleh anda percayai. Jangan lalui pengalaman yang memedihkan seorang diri. Dan bersifat minda terbuka untuk menilai dan menerima pandangan dan bantuan yang dihulurkan. Tindakan meminta bantuan adalah tanda kekuatan.

3. Beranikan diri

Adakah kerja yang anda buat sekarang kerja impian anda atau ia sekadar sumber pendapatan bagi anda? Anda perlu tanya sama ada dengan berbuat demikian, adakah anda merampas peluang daripada seseorang yang lain kerana anda tidak berani untuk mengejar kerja impian anda? Lepaskan kerja tersebut dan kejar kerja impian anda. 

Seorang lagi penceramah pada persidangan berkenaan ialah Paul Larsen, jurulatih transformasi peribadi dan penceramah yang berwibawa. Berikut adalah beberapa tip yang beliau kongsikan:

1. #GetHuman

Katanya, biarpun masa kini warga dunia memiliki teknologi yang canggih, tetapi hubungan antara kita semakin renggang. 

“Kita duduk bersebelahan satu sama lain tetapi tidak menjalin hubungan. Kita asyik berfokus pada telefon pintar dalam tangan. Kita semakin jarang bercakap sesama diri.

“Gejala ini langsung tidak sihat. #GetHuman (#JadiManusia)! Kalau tidak nanti, pupuslah pengalaman sesama insan,” tegasnya.

2. Cungkil suara sendiri

Beliau juga mengajak hadirin supaya berhati-hati mengikut rentak kebanyakan. Yang dibaca dalam media sosial bukan semuanya tepat dan benar.

Nasihatnya, janganlah kita tersalah fikir, tersalah ikut. Sesat nanti. Rentak kebanyakan kadang-kadang bukan rentak yang betul. Biarlah hidup kita dipengaruhi mereka yang arif.

Kalau hendak muncul sebagai pemimpin yang berwibawa, kita mesti mempunyai suara sendiri. Banyak membaca, luas pengetahuan itu baik, tetapi kita mesti tahu menapis maklumat yang ada. Kita mesti mencari dan mempunyai suara sendiri. Jangan terlalu mengikut cara hidup orang lain. Tetapkan pendirian sendiri.

“Jangan biarkan kebisingan pendapat orang lain menenggelamkan suara dalaman milik anda. Yang paling penting, anda mesti berani mengikut kata hati anda.” — Steve Jobs

“Ini akan menetapkan diri anda sebagai pemimpin yang dinamik dan berpengaruh, bukan calang-calang pemimpin atau birokrat. Mula bina legasi anda sebagai pemimpin dengan menyuarakan keyakinan, keberanian dan komitmen anda. Hidup terlalu singkat untuk tidak menggunakan suara anda. Kalau ini  berlaku, kita akan terlepas peluang untuk ubah dunia,” katanya.

3. Memberi respons, bukan tindak balas

Menurutnya, kita usah takut membuat kesilapan. Yang penting adalah apakah respons, bukan tindakbalas, kita terhadap kesilapan itu. Apabila kita sedar kita sudah tersilap langkah, kita perlu berfikir masak-masak, dan mengambil langkah selanjutnya dengan tenang dan tidak agresif. Itu namanya sikap pemimpin yang hebat.

4. Kita bukan salinan orang

Satu lagi kata nasihat Larsen adalah kita mesti ingat kita dibentuk secara asli, bukan salinan seseorang yang lain. Jadi, kita perlu mencungkil keunikan kita. Tetapi bukan sekadar menjadi unik, kita mesti juga berguna. Berguna untuk melahirkan penambahbaikan dalam hidup kita, komuniti sekeliling kita dan dunia kita. Tepuk dada dan tanya diri ‘apakah sumbangan saya kepada dunia ini?

 

Sidang Kemuncak Kepimpinan Malaysia tahun ini, yang berupa tahun ketiga diadakan, dijayakan bersama oleh tiga penaja tempatan – Maybank, kumpulan perkhidmatan kewangan yang terbesar di Malaysia dan kumpulan perbankan yang terkemuka di Asia Tenggara adalah penaja tajuk; SP Setia, syarikat hartanah infrastruktur dan perniagaan yang utama di Malaysia adalah penaja tempat; dan Tenaga Nasional, syarikat elektrik terbesar di Malaysia adalah penaja emas.

 

 

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Sudut Pakar

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Alt

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan

Kecerdasan Keberanian – Kepimpinan untuk Masa Depan

Oleh Sonia McDonald. Dengan contoh dunia sebenar dan strategi yang berkesan, temui kuasa kepimpinan yang berani dalam mengharungi cabaran, membentuk budaya organisasi dan mempengaruhi perubahan positif.

Jan 09, 2024 10 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Jadilah Pemimpin: Mengukir Sesuatu Kelainan Yang Ketara

Sesuatu kelainan yang ketara boleh diukir untuk meninggalkan impak yang besar. Tetapi, ia harus bermula dengan anda. Berikut adalah langkah-langkah yang anda boleh ikuti untuk mengukir sesuatu kelainan.

Feb 14, 2017 0 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest