Kepimpinan Dan Alam Sekitar Yang Lestari

Mar 24, 2017 4 Minit
alam sekitar, tumbuhan
Kepentingan Kaitan Antara Kepimpinan Dan Alam Sekitar

“Ancaman terbesar terhadap planet kita adalah tanggapan bahawa orang lain akan menyelamatkannya.” – Robert Swan


Siapa di antara kita yang memakai baju penahan sejuk seperti kardigan, sweater ataupun shawl di pejabat? Setiap kali kita berbuat demikian, kita sememangnya menyumbang kepada gejala perubahan iklim. Ini kerana ia juga bermakna bahawa suhu pendingin hawa di pejabat adalah terlalu rendah, justeru itu menaikkan tahap bahaya terhadap alam sekitar.

Bukankah kita di Kuala Lumpur, sebuah bandaraya di Asia Tenggara? Jadi, kenapa pula kita perlu memakai baju penahan sejuk seperti semasa musim sejuk? Ini langsung tak masuk akal, ‘kan? 

Inilah yang saya pelajari daripada Tokoh Hijau Matthias Gelber yang melawat pejabat Leaderonomics untuk meningkatkan kesedaran kami mengenai isu-isu kelestarian alam sekitar. 

Gelber berkongsi pandangannya mengenai cara hidup hijau yang lestari. Malah, katanya, baju dalam anda pun boleh berunsur mesra alam!

Cara hidup hijau Tokoh Hijau

Gelber berasal dari Burbach-Lippe, sebuah kampung kecil di negara Jerman, yang dikelilingi alam semulajadi. Katanya, kampungnya tidak terkena kesan-kesan pengindustrian. 

Menyingkat ke hari ini, beliau berkata anak-anak saudaranya kini tidak lagi berpeluang menikmati musim sejuk dengan penurunan salji seperti yang dinikmatinya semasa zaman belianya.

Pada tahun 2008 semasa di Kanada, Gelber terpilih sebagai Orang Yang Terhijau Di Planet dalam pertandingan dalam talian oleh 3rdWhale. Sejak itu, Tokoh Hijau menjadi nama timangan dan cap dagangannya dalam mewujudkan kesedaran yang meluas mengenai kelestarian alam sekitar.

Dia telah menjelajah ke seluruh pelosok dunia sebelum memilih untuk menetap di Malaysia. Kerana dia mengamalkan cara hidup sehijau mungkin, bil utilitinya cuma sebanyak AS$10 sebulan sahaja! 

Buat masa ini, Gelber terliibat dalam projek Greenman Tiny Home yang bertujuan memberi peluang kepada penghuni-penghuini bandar menikmati rumah-rumah eko responsif yang selesa, bergerak dan pada harga berpatutan. 

Melalui projek ini, dia dan pasukannya menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia dan orang ramai di seluruh dunia boleh mengurangkan impak ke atas alam sekitar di tempat masing-masing dan pada masa yang sama, hidup dengan selesa dan bergaya.

Peranan organisasi

Di Leaderonomics, kami sering kali mengutarakan mesej-mesej mengenai kepimpinan melalui pelbagai pendekatan dan perspektif. Kami percaya bahawa dalam usaha mencapai transformasi bangsa, kami perlu mewujudkan organisasi dan komuniti yang hebat melalui kepimpinan yang luar biasa. 

Kami berhasrat membawa pembangunan kepimpinan ke bahagian-bahagian yang tersangat terpencil di negara-negara sedang membangun. Kami ingin memastikan bahawa setiap orang yang ingin menjadi pemimpin akan disediakan dengan peralatan dan proses untuk membolehkan mereka ‘membina masyarakat penyayang’.

Bagaimanapun apabila kita membincangkan kelestarian alam sekitar, idea-idea kita selalunya terbatas kepada bagaimana kita sebagai individu atau komuniti dapat menyelamatkan alam sekitar kita. 

Kerap kali kita mengetepikan peri pentingnya kaitan antara kepimpinan dan alam sekitar, misalnya kepimpinan yang memaparkan dan menekankan kepentingan kehidupan hijau sama ada dalam sektor korporat, di universiti mahupun sekolah.

Perkongsian pandangan Gelber membantu kami melihat bagaimana sebagai sebuah organisasi sosial yang bertekad untuk mencapai transformasi bangsa melalui pembangunan kepimpinan, kami boleh membuat perubahan positif ke arah kelestarian alam sekitar.

Berbekalkan pengalaman luas dalam perkhidmatan perundingan mesra alam dengan syarikat-syarikat antarabangsa, dia mengesyorkan supaya mesej dan aktiviti yang mesra alam diselitkan dalam modul pembelajaran. 

Adalah diharapkan bahawa dengan berbuat demikian ia akan menjadi norma di setiap organisasi untuk mengamalkan pendekatan mesra alam dalam operasi dan penghantaran mereka. Dan semua ini perlu bermula dari pucuk pimpinan. Pemimpin perlu mengamalkan nilai-nilai hidup eko supaya semua orang dalam organisasi dapat melihat bahawa mereka benar-benar membuat seperti yang dicakapkan — kepimpinan melalui teladan.

Daripada mengurangkan penggunaan pendingin hawa dan cahaya buatan kepada menggunakan bahan-bahan kitar semula, menyediakan kotak-kotak makanan yang mesra alam sekitar dan menyimpan pokok-pokok kecil di pejabat, usaha-usaha ini akan membantu meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.

Idea hijau

Gelber berkata memandangkan isu berhubung perubahan iklim kian meningkat, kita perlu mempergiatkan fokus kita dalam melindungi alam sekitar.
Kami bersependapat dengan Gelber. Kami percaya setiap orang berhak hidup dalam suasana yang selamat, sihat dan indah. Untuk mencapai ini, ia bermula dengan individu yang memimpin sesebuah organisasi dan masyarakat yang perlu melaungkan mesej mengenai kelestarian alam sekitar. 

Buku pertama Gelber, The Greenman’s Guide to Green Living and Working, menghuraikan dengan terperinci bagaimana kita boleh menyelitkan amalan-amalan hidup eko yang simpel ke dalam aktiviti harian kita.

Sebagai menampilkan contoh hidup eko yang baik, buku ini diperbuat 100 peratus daripada bahan-bahan mesra alam — kertas yang digunakan adalah 100 peratus daripada bahan kitar semula; dakwat yang digunakan diperbuat daripada cendawan tanpa pelarut solven yang mengeluarkan sebatian organik meruap yang merbahaya. Buku ini dicetak oleh syarikat Malaysia, NetsEco, yang menerajui industri percetakan mesra alam di rantau ini.

Kesimpulan

Dari hujah-hujah di atas, saya kini yakin bahawa hubungan yang kukuh harus wujud antara kepimpinan dan kelestarian alam sekitar. Sudah sampai masanya kita menggunakan kedua-dua elemen ini untuk menjadikan komuniti dan alam sekitar sebagai tempat yang selamat dan selesa untuk hidup. Kalau tidak, apa gunanya membentuk pemimpin-pemimpin dan pengikut-pengikut yang hebat cuma untuk hidup dalam alam sekitar yang tercemar?
 

Apakah peranan anda dalam menjalankan kehidupan hijau yang lestari? Kongsi pandangan anda dengan kami di editor@leaderonomics.com. Anda juga boleh mengikuti Matthias di Facebook sebagai GreenMan Matthias Gelber. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik What’s Leadership Got To Do With Green Holistic Living? 

Sila Kongsi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com
Alt

Cadangan Buat Kamu

Kejayaan

Kejayaan Memerlukan Bantuan

Oleh Simon Sinek. Ada sesuatu yang boleh dikatakan sebagai yang paling bijak atau paling berbakat di dalam bilik; sayang sekali ia tidak banyak membantu dalam realiti. Kejayaan, mengikut sebarang definisi, adalah sukan berpasukan. Saya mempelajari butiran kecil ini dengan cara yang sukar.

Nov 20, 2022 3 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Kepimpinan Itu Ekstrem

Kepimpinan ekstrem adalah gelagat pemimpin yang hebat. Mereka bijak memilih tindakan yang bersesuaian dengan keadaan dan masa. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Kepimpinan Itu Sesuatu Yang Ekstrem!

Jul 16, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest