Langkah Awal Bina Jenama Peribadi

Oct 16, 2017 1 Minit
penjenamaan peribadi, personal branding, perniagaan talian
Penjenamaan Peribadi Ialah Keupayaan Seseorang Membentuk Persona Tersendiri

Sepanjang enam tahun saya menjalankan perniagaan dalam talian, saya melihat ramai rakan sealiran memasarkan pelbagai produk.

Produk yang dipasarkan datang dan pergi, silih berganti. Ada kalanya mereka  memasarkan empat atau lima produk dalam satu masa.

Dan oleh kerana saluran pemasaran seperti Facebook dilihat sebagai cara paling mudah untuk berniaga, jadi semakin hari semakin ramai mencuba nasib memulakan perniagaan mereka.

Walau berapa banyak pun produk yang datang dan pergi, apa yang saya perhatikan ialah rakan-rakan saya ini tetap masih tidak jemu berada dalam dunia perniagaan dalam talian ini, bulan demi bulan, tahun demi tahun.

Ini membuatkan saya terfikir, walaupun produk mereka tidak kekal, individu-individu ini tetap masih mahu meneruskan perniagaan dalam talian mereka.

Penjenamaan peribadi

Jadi saya berpendapat, sesuatu mesti dilakukan agar kehadiran mereka disedari, diingati dan menjadi bualan, lantas akhirnya boleh menjadi laluan bagi mereka menjana pendapatan.

Tidak mengira sama ada mereka hanya menjual krim muka secara sambilan pun, mesti ada jalan untuk memastikan nama mereka menjadi sebutan.

Saya terfikir, adakah mereka tahu tentang penjenamaan peribadi (personal branding) yang boleh digunakan untuk tujuan berniaga dalam talian?

Ini kerana saya percaya, apabila mereka sudah ada jenama peribadi, kerja-kerja memasarkan apa juga produk pun boleh menjadi lebih mudah.

Dunia dalam talian hari ini membolehkan jenama dibina dan dimiliki individu-individu biasa dan tidak lagi terhad kepada syarikat-syarikat besar sahaja.

Secara ringkas, penjenamaan peribadi merujuk kepada keupayaan seseorang membentuk persona tersendiri sehingga mudah diingati orang lain, dan mengaitkannya dengan perniagaan, produk atau syarikat yang dimiliki atau diwakilinya.

Contoh yang berjaya

Jika mahu mengambil contoh penjenamaan peribadi yang berjaya, kita boleh melihat contoh Dato’ Sri Vida (pengasas Pamoga dan Qu Puteh) atau Dato’ Aliff Syukri (pengasas D’ Herbs Healthy yang terkenal dengan slogan ‘Terlajak Laris’).

Walaupun pelbagai pendapat boleh dilontarkan terhadap dua individu ini, semua orang pasti setuju bahawa jenama mereka sudah pun melekat kukuh di mata dan hati rakyat Malaysia.

Mungkin bagi kita yang hanya menjalankan bisnes kecilan secara sampingan, untuk jadi jenama gah seperti dua tokoh ini dilihat seperti jauh panggang dari api.

Tidak mengapa. Saya mahu mengajak anda perhatikan personaliti-personaliti popular di Facebook yang bukan selebriti. Mereka ini biasanya akan berkongsi ilmu dan pendapat di Facebook setiap hari. Tulisan mereka kerap menular luas dan dikongsi oleh beribu-ribu pengguna Facebook yang lain.

Setiap pengguna tegar Facebook pasti ada mengikuti setiap posting personaliti-personaliti kegemaran mereka. Peluang ini sudah pasti digunakan sebaiknya untuk pelbagai urus niaga seperti penjualan produk, ulasan produk berbayar, dan juga seminar yang menguntungkan.

Jadi, bagaimana peluang ini patut direbut oleh peniaga kecil dari rumah, dropshipper sambilan, pengedar produk jualan langsung, ejen insurans, dan sebagainya?

Tiga langkah membina jenama peribadi

Saya kongsikan tiga langkah mudah yang boleh memberi idea kepada kita untuk memulakan penjenamaan peribadi, hari ini juga.

Fikirkan diri sebagai jenama

Langkah pertama penjenamaan peribadi mesti dimulakan dengan cara berfikir yang tepat.  Ini adalah seperti yang dikongsi oleh Shama Hyder, penulis dan usahawan yang diangkat oleh LinkedIn sebagai Top Voices dalam bidang pemasaran dan sosial.  

Fikirkan diri kita sebagai satu jenama, dan bagaimana kita mahu orang lain melihat kita sebagai jenama yang disukai mereka. Kita mahu mereka mengaitkan kita dengan sesuatu yang positif dan diidami mereka.

Untuk menjadikan diri kita sebagai satu jenama, Hyder menekankan bahawa kita tidak perlu pula menjadi yang bukan-bukan. Kita harus bersifat jujur. Tonjolkan kualiti terbaik yang kita ada. Pada masa yang sama, usah berubah sehingga dilihat seperti tidak asli pula.

Selain itu, perlu juga diingat, walaupun kita mahu diri kita dilihat sebagai jenama, ia tidak bermakna kita mesti menjual diri kepada orang lain. Apa yang kita mahu buat ialah supaya kita sentiasa menjadi tempat rujukan dan sentiasa ada apabila diperlukan untuk memberi pandangan dan pendapat kita.

Audit semula akaun media sosial 

Selesai mengubah cara berfikir tentang jenama diri, kita mulakan langkah kedua. Langkah ini mungkin paling mudah untuk dilakukan, malah mungkin boleh terus dibuat segera.

Audit semula semua akaun media sosial yang kita miliki, dan seragamkan gambar profil kita.

Pilih gambar terbaik (terbaik bermaksud gambar yang jika ia muncul di surat khabar, kita bangga melihatnya!), seelok- eloknya dari jarak dekat, diberi fokus pada bahagian pinggang ke atas.

Setelah memilih gambar, gunakan gambar yang sama untuk semua profil, baik di Facebook, Instagram, Twitter, Google, e-mel dan lain- lain lagi.

Dengan cara ini, apabila orang melihat gambar profil kita di mana-mana sahaja, mereka sudah boleh tahu siapakah kita dan apa yang kita sering bual bicarakan. Mudah ‘kan?

Bangunkan laman web sendiri

Seterusnya, langkah ketiga yang penting bagi mengukuhkan jenama peribadi atas talian ialah melalui laman web milik kita sendiri.

Akaun Facebook, Instagram dan Twitter sahaja tidak mencukupi jika kita benar-benar serius mahu menaiktarafkan diri kita sebagai satu jenama.

Laman web merupakan platform terbaik untuk kita memberi posisi yang paling tepat tentang kepakaran dan kelebihan diri kita kepada orang lain.

Usah rasa rendah diri sekiranya kita hanya seorang ejen insurans yang baru bermula, atau pengedar produk jamu kampung beroperasi di rumah, atau peniaga jualan langsung sambilan. Kita tetap ada sesuatu yang unik untuk dikongsi dengan orang yang melayari laman web kita.

Laman web milik peribadi lebih dekat dengan pembaca berbanding laman web syarikat besar dan terkemuka. Ini memberi kita kelebihan di mata dan hati pelanggan. 

Akhir kata

Pembinaan jenama peribadi boleh dimulakan dengan mudah tetapi memerlukan usaha yang bukan sedikit. Kita mesti memastikan ia konsisten dilakukan setiap hari sehingga kita menjadi jenama yang dipercayai. Namun hasilnya sangat berbaloi.

Dalam dunia atas talian yang luas dan tanpa sempadan, pembinaan jenama diri yang tepat akan membuka pelbagai peluang yang tidak kita sangka pada masa hadapan.

Usah bertangguh, mulakan hari ini!

 

Puteri Yusof menggelarkan diri sebagai “blogpreneur” apabila percubaan membina perniagaan dari rumah melalui medium blog sejak tahun 2011 telah membuahkan hasil. Puteri sering membayangkan dirinya ada 25 jam sehari dan sentiasa mencari peluang mencuba perkara yang baharu setiap hari. Untuk menghubunginya, sila hantar e-mel ke editor@leaderonomics.com 
Artikel ini adalah pendapat penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan pihak Leaderonomics.

Sila Kongsi

Perkembangan Peribadi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com
Alt

Cadangan Buat Kamu

Ekonomi

Kerja Secara Berkongsi dan Ekonomi Gig: Bagaimana Ruang Berkongsi Mengubah Cara Kita Bekerja

Oleh Julia Kesprov. Ruang kerja bersama telah muncul sebagai penyelesaian yang berharga untuk ekonomi gig, mentakrifkan semula pejabat tradisional dan membentuk semula cara kita bekerja.

Oct 22, 2023 6 Minit

Wanita

Kehidupan Seharian Pekerja Gudang Wanita di NinjaVanMalaysia

Pernah terfikir bagaimana rasanya menjadi seorang wanita yang bekerja dalam industri yang kebanyakannya didominasi oleh lelaki? Dalam video ini, kami berbual dengan Nurazlin, seorang pekerja gudang wanita di #NinjaVanMalaysia, untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman dan kejayaannya sebagai seorang wanita dalam dunia lelaki.

Mar 15, 2023 10 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest