Memimpin Dari Dalam Ke Luar

Apr 27, 2017 7 Minit
kekuatan, kepimpinan, api, tangan
Kepimpinan: Kenapa, Bagaimana, Apa?

Beberapa tahun yang lalu, saya agak bingung dengan satu isu — mengapa sesetengah orang dan organisasi jauh lebih inovatif, berpengaruh dan berjaya daripada yang lain meskipun mereka mempunyai dana yang lebih kecil, kurang dilengkapi, dan mungkin berkedudukan jauh lebih rendah? Mengapakah kesetiaan pelanggan dan pekerja mereka lebih menyerlah?

Di mana-mana sahaja bisnes kecil yang baru beroperasi kelihatan memintas gergasi bisnes manakala tokoh ‘kerdil’ seperti Nelson Mandela, Gandhi dan Sam Walton berjaya menundukkan lawan yang jauh lebih maju dan cemerlang. Mengapakah Apple dikatakan lebih inovatif daripada Samsung sedangkan Samsung memenangi lebih banyak anugerah inovasi?

Mozilla merupakan sebuah organisasi kecil dengan bilangan pekerja kurang daripada Microsoft. Namun produk Firefox mereka jauh lebih unggul daripada IE Microsoft yang mempunyai lebih banyak sumber, kebolehan dan dana.

Isu ini sering bermain dalam fikiran saya sehinggalah saya bertemu dengan Simon Sinek melalui satu TED Talk. Beliau juga bergelut dengan isu yang serupa dan membuat kajian ke atas kehidupan Martin Luther King, dan Wright bersaudara yang tidak mempunyai pembiayaan dan kepakaran yang banyak seperti Samuel Langley sewaktu persaingan penerbangan, namum mereka berjaya menempuhi semua rintangan.

Dari dalam ke luar 

Sinek mendapati bahawa mereka yang berjaya berfikir dan bertindak secara bertentangan daripada mereka yang berakhir dengan kekalahan. Beliau menggunakan tiga perkataan – MENGAPA, BAGAIMANA, APA — di dalam konsep yang dinamakannya sebagai ‘bulatan emas’.

Bulatan yang paling luar dilabelkan sebagai APA. Ia melambangkan, contohnya, produk sesebuah syarikat. Bulatan seterusnya dilabelkan sebagai BAGAIMANA, yang melambangkan teknologi di sebalik produk tersebut. Bulatan yang paling dalam melambangkan MENGAPA syarikat itu mencipta produk tersebut.

Bagi individu-individu yang berjaya, segalanya bermula dengan MENGAPA diikuti dengan BAGAIMANA dan akhir sekali APA. Sinek mendapati bahawa mereka yang ‘kalah’ berfungsi mengikut cara yang bertentangan.

Beliau menambah

Semua organisasi mampu menjelaskan APA yang mereka lakukan; ada yang mampu menjelaskan BAGAIMANA mereka melakukannya; namun tidak banyak yang dapat menjelaskan MENGAPA mereka melakukannya.”

 
Kejayaan boleh ditiru dengan mudah sekiranya kita mengamalkan kepimpinan ‘dari dalam ke luar’ dan bukan ‘dari luar ke dalam’.

Model MENGAPA-BAGAIMANA-APA ini sebenarnya berasaskan biologi. Otak kita terbahagi kepada Neokorteks dan otak Limbik. Neokorteks bertanggungjawab untuk semua pemikiran dan bahasa yang rasional dan analitis (BAGAIMANA dan APA). Otak Limbik pula bertanggungjawab untuk perasaan, kepercayaan dan semua tingkah laku manusia serta pengambilan keputusan tanpa kapasiti untuk bahasa (MENGAPA).

Sewaktu kita berkomunikasi ‘dari dalam ke luar’, kita berhubung langsung dengan bahagian otak manusia yang mengawal tingkah laku. Ini akan disusuli oleh Neokorteks yang akan merasionalkan tingkah laku tersebut. Sekiranya kita berkomunikasi secara ‘dari luar ke dalam’, pendengar mampu menangkap sejumlah besar informasi namun mereka mungkin tidak akan bertindak. Inilah sebabnya MENGAPA boleh menghuraikan semua kebaikan yang ada pada produk namun pelanggan tetap tidak membelinya, sedangkan dalam kes-kes tertentu (seperti Apple IP4 yang mempunyai masalah penerimaan rangkaian), orang ramai tetap berpusu-pusu untuk mendapatkan produk tersebut.

Mengapa

Steve Jobs pernah berkata

Inovasi tidak ada kaitan dengan jumlah dana yang anda ada untuk penyelidikan dan pembangunan. Ia adalah tentang bagaimana anda dipimpin.


 Jobs mengerti bagaimana untuk memimpin, dan ia bermula dengan soal MENGAPA.

Inti idea Sinek terletak dalam pusat bulatan ini, MENGAPA. Ia melambangkan pegangan dan kesungguhan pengusaha. Mengapa organisasi kita wujud? Ini adalah soalan strategik yang paling penting yang perlu dijawab. Tetapi jawapan kebanyakan orang ialah ‘untuk mengaut keuntungan’.

Mengaut keuntungan adalah penting bagi bisnes bertahan tetapi ia tidak boleh menjadi tujuan utama bisnes berkenaan. Kita memerlukan kesihatan yang baik untuk hidup tetapi ini tidak bermaksud kesihatan yang baik adalah tujuan utama kita hidup. MENGAPA anda harus dapat bertahan, layak dan melibatkan sumbangan sosial supaya dapat mendatangkan rasa tujuan.

Berikut adalah beberapa contoh MENGAPA. Google: mari kita atur maklumat-maklumat dunia; Mozilla: mari kita hancurkan Microsoft; Apple: mari kita cipta semula status quo; Wikipedia: mari kita sumbang pengetahuan dan wujudkan penyimpanan sebenar maklumat global; AirAsia: mari kita bolehkan semua orang untuk terbang; Leaderonomics: mari kita capai transformasi bangsa

Pakar neurologi Buchman berkata orang yang memahami MENGAPA dalam hidup mereka, mempunyai umur yang lebih panjang dan berisiko rendah mengidap penyakit Alzheimer.

Beliau menambah

Mereka yang mempunyai tujuan hidup yang tinggi mempunyai kadar risiko kematian dan pembentukan kecacatan yang lebih rendah. Pada peringkat awal penyelidikan, kami mendapati mereka yang mempunyai tujuan hidup yang tinggi memiliki kadar risiko pembentukan demensia dua setengah kali lebih rendah.


Mengetahui MENGAPA memberi kita hala tuju. Kita cenderung memiliki lebih banyak peluang daripada yang dapat kita kejar. Mengetahui MENGAPA membantu kita memilih tindakan yang akan kita lakukan dan yang sengaja tidak kita lakukan.

Bagaimana

Setelah terbinanya MENGAPA, kita boleh mempertimbangkan BAGAIMANA untuk melaksanakannya. Contohnya Walmart, peruncit terbesar di dunia. Ia bermula dengan MENGAPA yang mudah – Harga Rendah Setiap Hari. Sam Walton mahu mewujudkan sebuah kedai di mana pelanggan tidak perlu mengutip kupon, membandingkan harga atau terlibat dalam pelbagai aktiviti tanpa nilai tambah semata-mata untuk mendapatkan harga terendah.

Kemudian beliau mempertimbangkan BAGAIMANA. Beliau membina infrastruktur menyeluruh untuk mendukung MENGAPA termasuk rantaian pembekal yang terbaik di dunia, sistem pertukaran data elektronik (EDI) yang memastikan kecekapan kos, menggaji pesara sebagai pekerja ‘kos rendah’, membuka kedai di kawasan pedalaman kerana sewa yang murah, memansuhkan pengiklanan serta memastikan kumpulan korporat dianggotai bilangan staf yang sekecil mungkin.

Walmart dijadikan sebagai piawai oleh kebanyakan organisasi. Malah mereka cuba meniru bagaimana Walmart melakukannya. Tetapi BAGAIMANA milik Walmart adalah berasaskan kepada MENGAPA milik Walmart. Disebabkan ini, peniruan tidak membuahkan hasil.

MENGAPA milik AirAsia adalah memastikan ‘semua orang boleh terbang’. BAGAIMANA milik AirAsia adalah membina infrastruktur untuk menyokong MENGAPA berkenaan. Untuk membolehkan setiap orang boleh terbang, mereka harus menguruskan kos dan harga tiket bermula dari kosong (bagi mereka yang tidak mempuyai wang) sehingga harga penuh (bagi mereka yang mampu membayar). Sekiranya MENGAPA mereka adalah untuk menjadi ‘syarikat penerbangan tambang murah terbaik’, maka semua harga tiket mereka haruslah berharga rendah.

Pada intinya, BAGAIMANA adalah cara untuk merealisasikan MENGAPA. Ini merangkumi semua sistem nilai, proses dan struktur, bakat-bakat di dalam organisasi, infrastruktur dan eko-sistem yang dibina untuk menyokong MENGAPA.

Apa

Amazon.com ialah sebuah bisnes yang mencabar logik — peruncit dalam talian yang kini menjadi kedai buku terbesar di dunia. Ketua pegawai eksekutif dan pengasasnya, Jeff Bezos, tahu APA iaitu ‘membuka kedai buku terbesar dalam talian’. Namun, tidak seperti yang lain, beliau tidak bermula dengan APA’. Beliau menghabiskan masa di kedai buku tradisional untuk mengenal pasti MENGAPA.

Semasa Bezos mengunjungi kedai-kedai buku, beliau menyedari terdapat sebuah ‘pengalaman’ yang dialami oleh pembeli buku. Mereka membaca sebahagian dari buku-buku, membandingkan buku-buku, melihat sepintas lalu senarai buku-buku terlaris, kemudian berasa kecewa sekiranya buku yang dicari sudah kehabisan stok. Bezos ‘terjumpa’ MENGAPAnya – membuka ‘kedai buku terbesar di bumi’. Tidak lama kemudian beliau menajamkan MENGAPAnya menjadi ‘Kami berusaha untuk menawarkan Pilihan Buku Yang Terbesar Di Bumi dan menjadi syarikat yang Paling Berfokus Pada Pelanggan Di Bumi.’

BAGAIMANAnya adalah untuk memastikan ‘pengalaman’ di dalam kedai buku tradisional dipenduakan dan pada masa sama menangani rasa frus pelanggan (berhubung kekurangan judul). Biarpun infrastruktur yang dibinanya bernilai berjuta-juta namun ia menjamin Amazon berupaya memberi pengalaman yang sungguh unik kepada pelanggannya (MENGAPA).

Akhir sekali, setelah seluruh infrastruktur ini dibina, beliau menumpukan kepada APA – produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Amazon iaitu buku, muzik dan video. APA mungkin bermula sebagai sebuah kedai buku, namun ia berkembang luas selepas beliau memahami MENGAPA.

Demikian juga dengan Apple yang bermula sebagai sebuah syarikat komputer tetapi MENGAPAnya adalah untuk meninggalkan kesan di alam semesta. Apple percaya bahawa ‘segala yang kami lakukan, kami lakukan dengan berbeza’. Mereka percaya kepada usaha mencabar status quo. Itulah MENGAPAnya. BAGAIMANA ia mencabar status quo adalah dengan menggaji mereka yang berbakat untuk mencipta produk-produk dengan reka bentuk canggih. Akhirnya, APA yang dilakukan oleh Apple ialah membuat komputer, pemain MP3, telefon bimbit dan apa saja yang menunjang kepada MENGAPAnya.

Kita sering berkomunikasi bermula dengan APA. Syarikat-syarikat mewartakan APA yang mereka jual. Tetapi kebenarannya ialah orang tak peduli apa yang kita buat, mereka peduli mengapa anda membuatnya.

Akhir kata 

Ada perbezaan di antara memberi haluan dengan memberi haluan-haluan. Haluan adalah destinasi terakhir (MENGAPA) yang kita tujui manakala haluan-haluan (BAGAIMANA dan APA) adalah rancangan kita untuk ke sana. Para pemimpin sering memberi haluan-haluan sedangkan mereka sepatutnya memberi haluan. 

Martin Luther King memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menentang perkauman. Yang menarik adalah beliau memulakan ucapannya dengan ‘saya mempunyai impian’ dan bukan ‘saya mempunyai rancangan’. Kita beranggapan bahawa bisnes yang hebat bermula dengan rancangan bisnes yang utuh. Namun kebanyakan perusahaan yang didirikan di atas rancangan bisnes yang utuh juga tidak tahan lama. Sebaliknya, bermulalah dengan MENGAPA dan kita mungkin akan menginspirasikan jutaan orang.
 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik “Why How What” Inside-Out Leadership: The Difference Between Winners And Losers


Sila Kongsi

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Alt

Cadangan Buat Kamu

Layang-layang

Bagaimana Pemimpin Menggunakan Tabiat Kecil untuk Keputusan yang Besar

Oleh David Dye. Bolehkah langkah mikro membuat perbezaan makro? Ketahui cara tabiat kecil menulis semula kisah kejayaan.

Aug 27, 2023 4 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Berbaloi Mengotori Tangan Anda

Kepimpinan hanya boleh dipelajari dan dibentuk dalam proses mengotori tangan melalui pengalaman hidup. Konteks membentuk kebolehan kepimpinan. Tontonilah video ini.   Untuk membaca artikel berkaitan, klik Mengotori Tangan Anda.

Jul 17, 2017 4 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest