Merenung Yang Lepas, Membuat Pembaharuan, Melangkah Ke Hadapan

Dec 08, 2017 1 Minit
melangkah, masa hadapan, pembaharuan

Beberapa tahun lepas, saya telah belajar peri pentingnya refleksi dalam ‘memperbaharui’ kehidupan. Kita tidak mungkin dapat mengenali diri, tujuan hidup dan yang paling penting, aspek kehidupan yang memerlukan ‘pembaharuan’ sekiranya kita tidak mengambil masa untuk duduk secara bersendirian dan membuat refleksi.

Usaha meneliti diri secara jujur bukan tugas mudah. Ini melibatkan kesediaan kita untuk berhadapan dan mengakui kesilapan, kegagalan dan kelemahan diri.

Saya menyarankan supaya anda melakukan demikian sekurang-kurangnya sekali setahun. Undurkan diri dari ‘perlumbaan mengejar kejayaan’ dan luangkan masa untuk refleksi kendiri, duduk bersendirian dan menyoal diri.

Penerima anugerah Nobel, Albert Schweitzer, percaya bahawa refleksi dalam kehidupan penting untuk meningkatkan prestasi kepimpinan. Ini kerana ia memberi peluang untuk “anda mempertimbangkan perkara yang terlepas pandang tanpa disedari.”

Yang menarik, dalam program 12 langkah Alcoholics Anonymous (AA), salah satu aspek utama melibatkan peserta membuat inventori moral tanpa selindung dan pemeriksaan diri secara teliti. Tanpa refleksi, program AA mungkin tidak membuahkan hasil.

Malah ketua perniagaan yang berjaya sekalipun mula mengatur langkah dengan bersendirian dan membuat refleksi. Steve Jobs menjelajah ke India untuk membuat refleksi sebelum menubuhkan Apple.

Setiap kali saya mahu mempertimbangkan cabaran baharu, saya memaksa diri untuk menjalani proses refleksi dan ‘berfikir’. Ini membantu saya memulakan tugasan baharu dengan baik. Apabila saya terpaksa tergesa-gesa memulakan tugasan baharu tanpa ‘berfikir’ panjang, ternyata hasilnya haru-biru.

Selepas membuat refleksi, kita patut melangkah ke hadapan. Saya istilahkan fasa ini sebagai ‘pembaharuan’.

Proses pembaharuan

Beberapa hari yang lepas, rakan sekerja di Leaderonomics berkongsi cerita tentang cara burung helang memulihkan kekuatannya dan ‘lahir semula’ setelah menjalani proses pembaharuan. Burung helang menanggalkan bulunya yang sudah lama dan lusuh, kemudian digantikan dengan yang baharu.

Proses ini dipanggil sebagai ‘bersalin kulit’, apabila seseekor burung perlu betul-betul menanggalkan bulu yang lama, dan tunggu sehingga bulu yang baharu dan lebih elok tumbuh. Manakala ular dan cicak pula perlu menanggalkan kulit untuk ‘kembali pulih’.

Malah, semua haiwan menanggalkan kulit, termasuklah kita semua! Kebanyakan daripada kita tidak menyedari proses yang berlaku secara berterusan ini. Saintis mengistilahkan proses ini sebagai ‘ekdisis’. Kenapa ular menanggalkan kulit? Tujuannya untuk memberi ruang pada ular bertambah besar dan menyingkirkan parasit yang ada terlekat pada kulit lama.

Sebagai manusia, salah satu perkara paling menarik ialah kuasa kita untuk berubah, bukan sahaja dari segi luaran malah dalaman. Kita mampu mengubah kepercayaan, ketakutan, persepsi malah tabiat diri. Namun, pembaharuan hanya boleh berlaku apabila kita jelas dengan aspek yang ingin kita ubah.

Hal ini berlaku dalam fasa refleksi, sewaktu kita jelas akan siapa diri ini dan apa yang kita mahu jadi. Seperti ular, dalam menjalani kehidupan, kita juga terpalit dengan sikap, ajaran dan kepercayaan ‘parasit’ yang melemahkan diri. Kita tidak berkembang, sebaliknya mula merosot. Kita memerlukan pembaharuan untuk beralih daripada fasa merosot, lalu berkembang maju.

Apakah proses pembaharuan organisasi anda?

Salah satu cabaran utama yang dihadapi kebanyakan organisasi ialah ancaman daripada pesaing kecil yang lebih cerdas dan tangkas. Pesaing sebegini muncul lalu meranapkan model perniagaan yang sudah bertapak lama serta prinsip-prinsip perniagaan yang menjadi pegangan pemain industri. Uber telah mengubah perkhidmatan pengangkutan manakala Airbnb mengubah industri penginapan.

Mengapa organisasi yang ada pengalaman dan kepakaran mendalam dalam industri masing-masing tewas kepada syarikat kecil yang baru terbentuk?

Sebabnya nampak jelas apabila kita betul-betul meneliti syarikat-syarikat ini. Kebanyakannya bermula sebagai syarikat kecil tetapi lama-kelamaan syarikat-syarikat ini bertambah selesa. Mereka tidak mengendalikan proses refleksi dan pembaharuan mendalam (kebanyakan berpendapat mereka adalah ‘peneraju pasaran’ dan syarikat lain dalam industri cuma ‘meniru’ mereka). Kepercayaan sebegini menyebabkan mereka mudah berpuas hati.

Pembaharuan dan pembaikpulihan tidak diberi keutamaan. Hanya apabila krisis melanda, syarikat besar ini akan mula tertanya-tanya dan mendesak diri melaksanakan proses pembaharuan. Selalunya mereka sudah terlambat mengasah pedang, lalu diketepikan dan hanya tinggal sejarah.

Eastman Kodak merupakan contoh klasik sebuah syarikat gergasi yang tersungkur kerana kurang menjalankan proses refleksi dalaman dan pembaharuan. Jika organisasi anda tidak konsisten membuat refleksi, serta perubahan dari segi proses dan struktur, model perniagaan, budaya dan DNA teraju kepimpinannya dengan kerap, lambat laun syarikat-syarikat ini akan mengikut jejak langkah Kodak.

Apakah yang perlu anda lakukan? 

Amat penting untuk sesebuah organisasi, sekalipun yang berada di atas, untuk membuat refleksi dan memperbaharui diri. Namun, proses sebegini boleh juga diguna pakai untuk kita semua sebagai individu.

Berikut adalah 10 cara untuk membuat refleksi dan pembaharuan diri. 

1. Rehat seketika, buat refleksi harian

Tetapkan waktu ‘istirehat refleksi’ dalam jadual atau peruntukkan masa untuk berhenti seketika dari ‘perlumbaan mengejar kejayaan’, bagi mendengar kata hati diri dan suara Tuhan.

2. Aju soalan kepada diri 

Soalan-soalan mengubah dunia, bukan jawapan yang diperoleh. Berikut adalah beberapa soalan yang boleh anda ajukan pada diri semasa meluangkan masa untuk istirehat refleksi. 

  • Adakah saya kenali diri dan tujuan hidup saya?
  • Kenapa saya di sini pada saat ini? Adakah perlakuan saya selari dengan visi saya yang lebih besar? 
  • Apakah hala tuju saya? Apakah impian besar yang saya ada untuk diri?
  • Bagaimana boleh saya menuju ke destinasi impian? Adakah langkah-langkah yang diambil sekarang dapat membantu saya mencapai matlamat itu? 
  • Bagaimana saya tahu jika saya sudah sampai ke destinasi impian? 
  • Apakah yang menyekat saya daripada mara ke hadapan? Apakah rintangan yang perlu saya atasi?
  • Apakah usaha saya yang tidak mendatangkan hasil hari ini?
  • Apakah yang perlu saya ubah pada diri untuk membolehkan saya menjadi seperti yang diimpikan?

3. Sedia untuk berubah

Kita biasanya melakukan perkara yang sama hari demi hari. Yakinkan diri bahawa kita bukannya sempurna dan sedang dalam usaha memajukan diri. Saya kerap bertemu dengan individu yang menganggap diri sahaja yang betul; orang lain semuanya salah. Mereka percaya orang lain perlu berubah, bukan diri sendiri.

Jadilah yang sebaliknya. Apabila anda melakukan refleksi dan sedar diri anda bersifat negatif, berusahalah untuk meleraikan atau mengubah diri daripada perangai sedemikian.

4. Buang keserabutan

Semasa membuat refleksi diri, anda mungkin tersedar bahawa ada perkara dalam hidup yang perlu disingkirkan. Buang segala benda fizikal yang mengekang anda daripada bertukar ke ‘versi baharu’. Contohnya, jika anda sudah berniat tidak mahu merokok, buang segala benda yang mengingatkan anda kepada kisah lama semasa masih merokok.

Untuk seronok-seronok, anda boleh bermain ‘Cabaran Keserabutan Harian’. Setiap hari, pilih nombor antara 1 hingga 10 dan tulis nombor tersebut. Hari demi hari, buang beberapa benda yang menyemakkan hidup anda, mengikut nombor yang anda pilih. Jika anda pilih lima, pastikan anda membuang lima benda yang menyerabutkan hidup.

5. Jauhkan diri daripada mereka yang negatif

Anda mungkin sedar bahawa anda didampingi beberapa individu yang negatif, yang melemahkan semangat anda. Beranikan diri untuk menjauhi diri daripada mereka.  Jangan biarkan orang negatif menarik anda ke tahap sebelumnya atau menghabiskan masa dan tenaga anda yang terhad itu.

6. Maklumkan kepada orang lain 

Apabila anda memutuskan untuk ‘memperbaharui’ dan ‘membina semula’ diri, jangan takut untuk menyatakan hal ini kepada orang ramai. 

Bukan kerana anda suka cakap besar. Anda perlu membuat penyataan umum atas tujuan kebertanggungjawaban. Saat anda membuat pemakluman, anda akan dipertanggungjawabkan untuk mencapai matlamat, didorong oleh rakan-rakan yang mendengar janji anda itu. 

7. Ubah persekitaran

Membuat perubahan pada sekeliling akan mendatangkan hasil dalam pembaikpulihan. Apabila kami ingin mendorong pekerja supaya suka datang ke pejabat dan mencapai prestasi yang produktif, kami berusaha mengubah persekitaran pejabat. Hasilnya dapat dilihat serta-merta. Anda juga perlu mengubah persekitaran untuk memperkukuh dan mendorong perubahan yang anda perjuangkan dalam hidup.

8. Buat perubahan satu demi satu

Masalah besar jarang sekali dapat diselesaikan dengan cara yang kompleks. Sering kali masalah sebegini diselesaikan melalui beberapa penyelesaian kecil. Mulakan pembaharuan dengan menumpukan usaha pada satu aspek dalam satu masa.

Ini mungkin agak mengecewakan pada mulanya kerana banyak bahagian yang perlu dibetulkan dan rasanya masalah tetap ada. Namun, anda mungkin mampu bertahan lebih lama apabila anda cuba ‘bina semula’ satu bahagian demi satu bahagian dalam sesuatu jangka masa.

9. Kumpul pengalaman

Anda mungkin terkejut apabila sedar betapa terlindung dan tertutupnya pemikiran anda. Ramai daripada kita tidak pernah mengalami sepenuhnya kerumitan dan kepelbagaian dalam hidup. Apabila anda melangkah untuk menimba pengalaman, anda akan mula sedar betapa sempitnya pengetahuan diri tentang dunia dan diri sendiri.

Lebih kerap anda mencabar diri untuk melalui pelbagai pengalaman, lebih mudah anda akan berubah dan terus membangunkan diri secara konsisten. Anda juga dapat belajar dengan lebih cepat dan membentuk diri menjadi pemimpin yang serba boleh.

Daftarkan diri untuk menyertai kursus baharu atau kendalikan sesebuah projek yang anda tidak tahu-menahu langsung di pejabat. Ini merupakan cara mudah untuk bermula sekiranya anda ketandusan idea. Setiap pengalaman baharu akan membuka mata pada kemungkinan yang menakjubkan. Terus libatkan diri dalam perkara yang tidak anda ketahui.

10. Sedia untuk melenyapkan sesuatu

Bahagian yang paling payah dalam pembaharuan adalah memusnahkan perkara yang membantu anda mencapai tahap hari ini. Anda mungkin sangat bergantung pada sesuatu kemahiran atau cara mengurus manusia yang membolehkan anda memperoleh jawatan yang dipegang sekarang.

Namun demikian, anda perlu menyahkan kemahiran tersebut daripada diri dan belajar sesuatu yang betul-betul berlainan untuk mara dalam fasa hidup yang seterusnya. Kelahiran semula berlaku dengan menghapuskan sesuatu. Dan sukar untuk kita betul-betul memperbaharui diri jika kita masih diulit kenangan lama.

Akhir kata

Biarpun refleksi dan pembaharuan adalah proses yang rumit dan pedih, sebahagian besar kejayaan Leaderonomics hari ini adalah kerana kami melalui proses ini secara berterusan. 

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik  Looking Back, Moving Forward.

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Pemimpin

Kepimpinan, Tabiat dan Ego

Oleh Sonia McDonald. Ketahui cara membina tabiat positif, lepaskan ego anda dan pupuk kecerdasan emosi sebagai seorang pemimpin.

Oct 15, 2023 7 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Berani Gagal

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran berkata setiap orang mesti berani gagal dan belajar daripada kegagalan untuk terus maju dalam kembara kehidupan. Kejayaan pasti dalam tangan kelak.

Jul 28, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest