Perubahan Lanskap Subsektor Runcit, Serta Makanan Dan Minuman

Nov 28, 2018 1 Minit
menyiapkan makanan

Apakah yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik? Makanan yang menjadi warisan budaya berbilang kaum sudah tentunya mendahului senarai. Keindahan pantai,  kepelbagaian hidupan, serta budaya membeli-belah juga membezakan kita daripada negara lain.

Hakikatnya, rakyat Malaysia menghabiskan begitu banyak masa di pusat membeli-belah, hinggakan pusat-pusat membeli-belah yang baharu bagai cendawan tumbuh. Menjelang 2021, bilangan pusat membeli-belah di Kuala Lumpur dijangka mencecah 197.

Industri runcit di Malaysia telah melalui transformasi pesat dalam beberapa dekad kebelakangan ini disebabkan oleh peningkatan pendapatan boleh guna dan perubahan gaya hidup pengguna.

Industri ini dahulunya dikuasai oleh kedai kecil ‘mak pak’, yang selalu kita panggil sebagai kedai runcit, namun kemunculan peruncit dari luar membantu sektor runcit ini berkembang menjadi lebih moden dan canggih.

Industri makanan dan minuman (F&B) Malaysia juga mengalami pertumbuhan yang pesat dalam beberapa dekad ini, dengan kemasukan rantaian makanan segera antarabangsa seperti McDonald, Subway, Nandos dan Yum! Brands (pemilik KFC dan Pizza Hut, antaranya). Kualiti perkhidmatan dalam F&B turut meningkat dengan ketara.

Walau bagaimanapun, kemajuan teknologi dalam industri runcit dan F&B amatlah rendah. Kajian Jabatan Perangkaan mendapati hanya 10% daripada perniagaan dalam sektor ini memanfaatkan teknologi.

Datuk Bruce Lim

Datuk Bruce Lim Aun Choong, peneraju Nexus Produktiviti F&B bagi Perbadanan Produktiviti Malaysia, berkata hal ini berlaku kerana industri ini kebanyakannya melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan mentaliti pemilik perniagaan ini terhadap produktiviti tidak berada pada tahap yang sepatutnya.

Mentaliti terhadap produktiviti

Menurut Lim, produktiviti adalah hasil daripada nilai tambah dibahagi bilangan orang dalam sesebuah perusahaan. Bagaimanapun, katanya, kalangan PKS jarang mempunyai mentaliti ini.

“Pengusaha PKS kebanyakannya berfikir tentang cara memaksimumkan keuntungan dan memotong kos sebanyak mungkin untuk mencapai margin untung yang lebih besar. Ini bukannya pemikiran produktiviti, kerana anda tidak memikirkan kesan jangka panjang, cuma bagaimana meraih untung,” ujarnya.

Pemikiran produktiviti bermakna anda rela melabur sedikit dan menanti pulangan dalam jangka masa panjang, dan pulangan yang diperoleh tentunya berlipat ganda, kata Lim. 

Kita memahami amat sukar bagi pemilik PKS untuk berhenti daripada kebiasaan menjalankan operasi perniagaan seharian lalu mempertimbangkan untuk melabur dalam sesuatu yang tidak menjanjikan pulangan segera. Namun mereka tidak boleh terus berfikir sebegini jika mereka mahu perniagaan yang diusahakan berkembang.

Dengan gangguan yang berpunca daripada teknologi, perubahan tabiat pengguna, dan penyertaan generasi muda dalam tenaga kerja, pemilik perniagaan yang mengurus PKS tidak seharusnya mengendalikan perniagaan dengan proses yang kian lapuk. Jika tidak, mereka bakal ketinggalan jauh. 

“Ramai pemilik rantaian runcit  — walaupun perniagaan mereka berjaya — mula rasa tertekan dalam lima tahun ini. Pada suatu ketika dahulu, kita memandang tinggi akan mereka yang mengusahakan pasar raya, namun mereka kini dibebani tekanan disebabkan perubahan ekonomi,” kata Lim.

 

Menurutnya, kini terdapat dua jenis usahawan dalam industri ini:

  • golongan yang memiliki pengalaman selama bertahun-tahun namun perlu berubah seiring dengan zaman, dan;
  • kumpulan usahawan baharu yang masih mentah tetapi memiliki mentaliti yang sepatutnya.

Jadi, bukankah cara yang paling baik untuk menangani isu-isu industri adalah dengan menggalakkan kedua-dua golongan ini untuk belajar daripada satu sama lain?

Inilah yang diusahakan oleh Nexus Runcit dan F&B sejak tahun lepas melalui beberapa inisiatif seperti mewujudkan ekosistem yang terdiri daripada pemilik PKS yang berpengalaman, usahawan baharu serta pakar luar industri yang bersemangat untuk sama-sama memacu perubahan.

Berkaitan: Menghapuskan Halangan Dalam Subsektor Perkhidmatan Profesional

Inisiatif nexus

1. Memberi sokongan bagi pendigitalan operasi perniagaan dan membina keupayaan e-dagang

Inisiatif menyeluruh telah diperkenalkan dengan kerjasama Nexus ICT iaitu program tiga bulan yang melibatkan pemasar yang celik digital melatih pengusaha PKS dalam cara memodenkan perniagaan. Program ini bermula dengan cara menubuhkan kedai dalam laman web dan mencari arah yang betul dalam e-pasar, termasuklah cara menggunakan media sosial untuk menarik trafik ke laman web masing-masing.

Walau bagaimanapun, penggunaan teknologi adalah lebih daripada sekadar membangunkan laman web mahupun kedai web. Ini juga bermaksud pengusaha perlu memanfaatkan data yang diperoleh semasa menjalankan perniagaan.

“Kebanyakan peruncit tradisional ada data yang bercambah, fail pelanggan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun yang lalu pun ada, tetapi mereka tidak tahu menggunakannya,” kata Lim.

Dalam projek celik perniagaan nexus, PKS dapat belajar tentang data raya daripada pemilik PKS yang telah berjaya mendigitalkan perniagaan mereka.

“Mereka begitu telus, berkongsi angka jualan dan pelanggan dengan peserta. Mentaliti berkongsi sebegini amat mengagumkan bagi syarikat runcit tradisional semata-mata,” ujar Lim.

2. Menggalakkan peluang ke arah ekonomi perkongsian

Satu lagi inisiatif ialah sistem e-perolehan yang dibangunkan untuk membolehkan PKS menceburi ekonomi perkongsian, berbanding menjalankan perniagaan secara sendirian.

Contoh yang dikongsikan Lim adalah seperti berikut: Jika sesebuah peruncit F&B menghubungi pembekal untuk membeli minuman dengan kuantiti tertentu, susah baginya untuk memperoleh harga belian yang menarik.

“Kami bekerjasama dengan konsortium F&B (ada 100 jenama) dan ahli konsortium ini mengusahakan beberapa ribu cawangan, jadi apabila anda menghubungi pembekal-pembekal (sebagai satu unit), anda akan dapat memperoleh kadar yang lebih baik,” jelas Lim.

Pembekal yang berdaftar dengan sistem ini juga memperoleh manfaat kerana mereka mendapat pesanan secara pukal, berbanding kuantiti yang kecil. “Apapun, produktiviti macam inilah yang ingin kami pupuk — anda membayar pada harga yang lebih murah untuk kuantiti yang lebih banyak,” katanya.

3. Memperkukuh kecekapan runcit dan F&B

Kebanyakan pengendali runcit dan F&B tidak mempunyai kelayakan kertas, namun nilai pengalaman bergiat dalam industri jauh lebih berharga bagi majikan jika dibandingkan dengan graduan baharu yang memiliki diploma.

Tumpuan kini adalah untuk mendapatkan pengiktirafan bagi pengalaman kerja dan membolehkan kemahiran mereka menerima pengesahan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM). Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) memainkan peranan yang besar dalam merealisasikan usaha ini. Matlamat nexus ini adalah untuk memberi anugerah DKM Tahap 4 kepada 200 tenaga kerja sedia ada.

Namun demikian, tidak mencukupi untuk memberi fokus kepada tenaga kerja — mentaliti majikan perlu diubah juga.

“Inilah bahagian yang paling penting namun sangat renyah,” ujar Lim.

Beliau mendapati budaya organisasi sebagai salah satu sebab utama rakyat Malaysia tidak mahu bekerja dalam industri runcit dan F&B. “Tengok Starbucks, anak muda tiada masalah menyediakan kopi, namun kenapa ramai yang keberatan untuk bekerja di kedai mamak? “

Lim menekankan bahawa budaya organisasi digerakkan oleh ketua perusahaan, bukannya dibentuk oleh pekerja semata-mata. Inilah sebabnya perubahan mentaliti itu penting, kerana jika majikan tidak melayan pekerja dengan saksama atas dasar ingin mengurangkan kos, akibatnya pelanggan akan terpalit dengan layanan yang buruk.

“Tetapi jika anda mewujudkan budaya yang sihat dengan menyediakan laluan kerjaya yang betul, pekerja akan memandang pekerjaan tersebut dari sudut yang berbeza. Persoalannya adalah jenis pemilikan, pewujudan budaya kerja, dan laluan kerjaya yang anda mahu pupuk — semua ini perlu bermula dengan pemilik perusahaan,” ujar Lim.

4. Memberi bantuan kepada pengusaha runcit dan F&B untuk berkembang maju ke peringkat antarabangsa

Cabaran utama yang dihadapi oleh perusahaan dalam menembusi pasaran baharu ialah kekurangan pengetahuan, contohnya tiada rangkaian kenalan yang tepat, tidak mampu mengendalikan logistik yang menepati skala perniagaan, dan tidak mengetahui peraturan perniagaan di negara luar.

“Industri F&B berkembang pesat kerana kita dapat menghasilkan makanan sedap dengan keunikan negara Malaysia. Di sini ada semakin ramai pemilik F&B yang menambah cawangan baharu, tetapi kebanyakan daripada mereka masih muda dan mereka tidak tahu cara mengeksport.”

Tujuan nexus ini adalah untuk melicinkan proses ini dengan menghubungkan pemilik PKS tempatan dengan ejen yang memiliki rangkaian antarabangsa. Nexus ini turut bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk menyediakan pinjaman kepada PKS bagi mengembangkan perniagaan.

Projek ini belum lagi dilancarkan lagi kerana prosesnya lagi rumit, namun kita berharap intervensi yang sebenar-benarnya dapat disebarkan lalu mewujudkan ekosistem yang dapat memberi nilai tambah kepada perusahaan yang mengambil bahagian.

 

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah memulakan gerakan produktiviti di seluruh negara, merentasi semua segmen masyarakat untuk mewujudkan tahap kesedaran dan pemahaman yang lebih tinggi mengenai kepentingan dan manfaat produktiviti pada tahap perusahaan, berserta bimbingan mengukur dan menjejak produktiviti. Untuk maklumat mengenai Nexus Produktiviti, layari wayup.my. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai MPC, kunjungi mpc.gov.my.
Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik The Changing Landscape Of Retail And F&B.

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com
Alt

Cadangan Buat Kamu

Pekerja

Membuka Topeng Fleksibiliti: Betulkah Ia Nampak

Oleh Roxanne Calder. Fleksibiliti tempat kerja: Adakah semuanya kelihatan? Terokai kebenaran dan cabaran aliran pasca-pandemi ini. Temui perkara yang diperlukan untuk menjadikannya berfungsi.

Aug 13, 2023 4 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

'Tamparan Idea' ialah podcast Bahasa Melayu yang mengupas topik dan isu semasa berkaitan dengan kepimpinan. Program ini diceriakan oleh Waheeda Hasbullah, seorang pengacara yang sentiasa membawa aura gembira kepada anda semua. Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Fokus Pada Perubahan Kecil

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita menumpukan usaha untuk membawa perubahan kecil pada diri. Lama-kelamaan perubahan menyeluruh akan tercapai. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

Jul 19, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest