Pementoran Berbalik Terbukti Berhasil

Jun 30, 2017 1 Minit
pementoran

Saya berpeluang melancarkan program pementoran tidak berapa lama dahulu.  Semasa saya merancang untuk sesi tersebut, saya mula teringat detik-detik saya sendiri mengikuti program pementoran. Saya teringat hubungan cetek yang terjalin dengan pegawai-pegawai kanan syarikat yang ditugaskan untuk membimbing saya melalui program-program pementoran rasmi yang tidak membawa sebarang hasil. Meskipun demikian, segelintir hubungan mentor yang berhasil ternyata memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Mentor saya yang pertama adalah ketua pegawai eksekutif bahagian di tempat kerja pertama saya. Dia mempunyai kepakaran kewangan dan bisnis yang sangat tinggi. Sebagai balasan kepada bantuannya membimbing saya dalam menguruskan bisnis dan kewangan, saya pula bersetuju untuk melatih anak-anaknya dalam permainan bola sepak.  Sementara dia mendapat kepakaran bola sepak untuk anak-anaknya, saya pula mendapat banyak tip daripada pengalaman-pengalamannya yang mempercepatkan kecerdasan kemahiran keusahawanan saya.

Apabila saya menyertai syarikat media NBC, organisasi itu tidak mempunyai sebarang program pementoran yang rasmi. Saya mengambil keputusan untuk menguruskannya sendiri dan mewujudkan program pementoran sendiri dengan menghantar e-mel kepada semua pemimpin senior untuk  membantu saya mengembangkan program itu.

Kebanyakan pemimpin memberi respons yang positif dan saya bukan sahaja mendapat makan tengah hari percuma di restoran mewah di New York pada setiap minggu, tetapi saya juga dapat menimba pemikiran mereka. Namun, hampir kesemuanya menjadi ‘mentor’ jangka pendek sahaja kerana kebanyakan mereka melihat hubungan tersebut sebagai satu hala – mereka memberi, saya menerima – kecuali pemimpin yang bertanggungjawab untuk rantau Asia, yang terus bertukar fikiran dengan saya tentang pengembangan urusniaga di Asia. Kami bertemu hampir setiap minggu dan hubungan pementoran ini memberi manfaat kepadanya sama seperti ia membantu saya menyesuaikan diri di NBC dan mempercepatkan perkembangan kerjaya saya.

‘Apa manfaatnya bagi saya’

Di sinilah letaknya rahsia pementoran yang berjaya – ia memberi manfaat dua hala dan perlu ada elemen ‘apa manfaatnya bagi saya’ (AMBS) untuk kedua-dua pihak — yang membimbing (mentor) dan yang dibimbing (mentee). Jika tidak, hubungan itu akan kehilangan daya tarikan dan tidak lama kemudian sesi-sesi dan jadual seharian pementoran akan diambil alih oleh keutamaan dan perkara mendesak yang lain.

Hal ini menyebabkan saya mempersoalkan kesahihan program-program pementoran dan pulangannya kepada semua pelaburan di kebanyakan organisasi. Walau bagaimanapun, ada beberapa organisasi yang menyedari peri perlunya memastikan AMBS menjadi sebahagian daripada program pementoran. Jadi, ada yang memberi respons dengan menterbalikkan proses pementoran itu. Mereka meminta pekerja junior yang celik teknologi untuk mengajar pekerja-pekerja senior, dan mereka mengadakan program Pementoran Berbalik.

Saya sendiri mengalami pengalaman ini semasa bekerja di bahagian teknologi di General Electric, di mana mantan Ketua Pegawai Eksekutif Welch memilih seorang pakar IT junior sebagai mentor untuk mengajarnya segala-galanya tentang internet. Dia cepat belajar daripada mentornya itu dan kemudian mengarahkan semua pegawai kanan untuk mencari mentor yang pakar dalam internet untuk memanfaatkan kepakaran mereka. Dengan ini, proses Pementoran Berbalik mula terlaksana.

Wharton Business School memadankan eksekutif MBA mereka dengan mentor-mentor junior – kebanyakannya adalah pelajar yang telah terbukti cemerlang dalam kemampuan teknologi mereka. Setiap pasangan Pementoran Berbalik ini menghabiskan masa bertukar-tukar pengetahuan secara bersemuka, melalui e-mel dan Skype. “Para eksekutif mula sedar bahawa pengetahuan bukan jalan sehala sahaja. Ia adalah untuk kebaikan semua pihak dalam berkongsi kemahiran,” ujar Jerry Wind, pengarah program anjuran Wharton itu.

Steve David, mantan CIO Procter & Gamble dan penyokong kuat pementoran, memulakan hubungan Pementoran Berbalik dengan seorang kakitangan yang pakar dalam bidang sains untuk mempelajari bagaimana sains dan toksikologi mempengaruhi cara keputusan bisnes dibuat. Mereka bertemu setiap bulan untuk membincangkan topik-topik yang berkisar daripada struktur DNA kepada isu-isu bioteknologi yang canggih.

Faedah pementoran berbalik

Pementoran Berbalik membantu melawan kecenderungan semula jadi yang terlalu bergantung kepada pengalaman-pengalaman kita. Dengan perubahan dunia dan model-model bisnis baharu yang tumbuh seperti cendawan, pemimpin-pemimpin kanan kadang kala boleh dikaburi oleh perubahan yang berlaku di dunia. Majalah FastCompany menyatakan, “ini adalah satu situasi di mana orang-orang ‘kolot’ dalam sebuah organisasi menyedari bahawa bila anda berumur 40-an atau 50-an, anda tidak sepeka mereka yang berumur 20-an dalam hal-hal teknologi baru. Mereka datang dengan mata yang segar, minda terbuka dan cepat berhubung dengan teknologi masa hadapan.”

Pementoran Berbalik ada banyak faedahnya. Orang yang lebih muda mempunyai pengetahuan luas tentang media sosial dan fesyen mutakhir, tetapi tidak mempunyai pengalaman bisnis atau pemandangan jauh untuk sesebuah organisasi. Pemimpin-pemimpin kanan pula mempunyai pengalaman bisnis tetapi belum tentu memiliki pengetahuan media sosial atau wawasan tentang masa hadapan. Bukankah ini satu proses menang-sama-menang bagi kedua-dua pihak? AMBS kedua-dua pihak dipenuhi.

Pementoran Berbalik bukan terhad kepada teknologi sahaja. Kebanyakan pemimpin kanan mempunyai pandangan yang terhad terhadap apa yang berlaku di bahagian pembuatan atau di bahagian operasi perkhidmatan pelanggan. Hubungan ini akan membolehkan mereka mempunyai akses yang cepat terhadap apa yang benar-benar berlaku serta menimba kefahaman yang mendalam tentang operasi atau rangkaian bekalan.  

Bidang-bidang yang boleh dipelajari pegawai-pegawai kanan

Berikut adalah beberapa bidang pemimpin-pemimpin kanan boleh belajar daripada mentor-mentor muda mereka:

  • Kemajuan fungsi.  Kewangan, IT, Sumber Manusia dan kebanyakan fungsi yang lain sentiasa mengalami perubahan sehingga membuat kebanyakan golongan profesional  yang berjaya menghadapi kesukaran untuk mengikuti perkembangan terkini dalam bidang mereka. Pekerja-pekerja lepasan sekolah boleh berkongsi perkembangan terkini dalam bidang-bidang tertentu untuk membantu pemimpin yang lama supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini.
  • Kebolehsuaian untuk berubah. Pekerja-pekerja muda berinteraksi secara maya dengan pelbagai lapisan orang dari dalam dan luar negara. Kajian menunjukkan bahawa generasi muda lebih bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan. Perspektif mereka boleh membantu anda menjadi lebih arif dalam memacu perubahan dan menjalankan bisnis di dunia yang cepat berubah. 
  • Pengambilan risiko. Pekerja-pekerja muda membesar dengan gaya pembelajaran “percubaan dan kesilapan” dan selesa untuk terjun ke dalam sesuatu situasi bagi memahami sesuatu perkara. Sikap berani mengambil risiko seperti ini membantu dalam memacu inovasi.
  • Perspektif global. Internet telah meningkatkan perspektif global dan corak pemikiran tenaga kerja muda. Mereka mendalami  isu-isu global melalui rangkaian sosial kawan-kawan dari seluruh dunia. Pandangan ini membantu para veteran yang lebih berusia untuk sentiasa berhubung dengan dunia.

Mengenali bakat-bakat muda

Kaedah Pementoran Berbalik adalah salah satu cara terbaik bagi pemimpin kanan untuk bertemu dan mengenali bakat-bakat muda. Isu organisasi yang berleluasa pada hari ini adalah pemimpin-pemimpin kanan terpisah dari bakat-bakat muda mereka. Kaedah Pementoran Berbalik membolehkan pemimpin kanan melihat mereka “bertindak secara langsung”. 

Bakat-bakat muda juga memerlukan suri teladan yang baik dengan melihat kesanggupan pemimpin-pemimpin kanan mereka belajar daripada pekerja-pekerja yang lebih muda. Ini akan mengukuhkan ‘mentali pembelajaran berterusan’ yang biasanya terdapat di kalangan pemimpin-pemimpin yang hebat.

Akhir kata

Bagi menjayakan kaedah Pementoran Berbalik, para pemimpin kanan perlu mengekalkan sikap keterbukaan untuk belajar daripada bakat-bakat muda.

Dapatkah anda memperoleh manfaat daripada proses Pementoran Berbalik? Cubalah! Bahagian paling menarik dalam kaedah ini adalah semua pihak akan mendapat manfaat. Amalkan sikap baharu yang memberikan anda kebebasan belajar biarpun daripada mereka yang lebih muda dan kurang berpengalaman. Pementoran Berbalik ini pasti berhasil, percayalah pada saya

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Try It In Reverse – Mentoring Success Hinges On “What’s In It For Me?

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Anda Seorang Pemimpin

Alt
Roshan adalah pendiri dan CEO dari Leaderonomics Group, kepala redaksi untuk Leaderonomics.com dan seorang yang menamakan dirinya sendiri dengan sebutan 'kuli'. Ia percaya bahwa semua orang bisa menjadi pemimpin dan dapat membuat lekukan di alam semesta dengan cara mereka masing-masing.
Alt

Cadangan Buat Kamu

Media sosial, kerjaya

Media Sosial Membantu atau Merumitkan Kerjaya Anda?

Oleh Michelle Gibbings. Media sosial boleh mempercepat dan meningkatkan kerjaya anda apabila anda menggunakannya dengan bijak. Baca di sini bagaimana anda boleh membuatnya untuk anda.

Nov 11, 2022 5 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Berani Gagal

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran berkata setiap orang mesti berani gagal dan belajar daripada kegagalan untuk terus maju dalam kembara kehidupan. Kejayaan pasti dalam tangan kelak.

Jul 28, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest