Rahsia Inovasi Disney

Feb 23, 2017 8 Minit
inovasi, disney, inspirasi

Semasa saya seorang kanak-kanak, saya tidak sabar-sabar menonton rancangan TV, ‘The Wonderful World of Disney’. Setiap episod sangat menginspirasikan, penuh dengan impian dan janji keajaiban dunia Disney. Saya bermimpi untuk melawat ke Disneyland suatu hari nanti untuk menikmati janji-janji dunia ajaib itu.

Bertahun-tahun kemudian, saya berpeluang melawat ke Disneyland dan mendapati bahawa janji dunia ajaib itu tetap benar. Saya pun berfikir, “Berapa banyakkah syarikat yang membuat janji-janji dan kemudian benar-benar menepatinya?” Disney berpegang kukuh kepada janji-janjinya dan ini menyentuh hati orang ramai. Cuba bayangkan dunia ini tanpa Disney, tanpa keajaiban, optimisme dan fantasi kekanak-kanakan.

Syarikat Walt Disney adalah hasil ciptaan seorang pelajar sekolah tinggi yang tercicir, yang muflis beberapa kali, dan mengalami krisis kewangan dan krisis bisnes yang berulangan. Biarpun itu, Walt Elias Disney tidak pernah berputus asa, tidak berpuas hati, sentiasa cuba memperbaiki sesuatu, mencuba perkara-perkara baharu, mengkaji sejauh mana keupayaan mencipta boleh diregangkan, dan kemudian mereka sesuatu yang lebih baik.

Walt Disney terkenal dengan karakter Mickey Mouse. Bersama-sama dengan saudaranya Roy, Disney mengubah dunia ini melalui animasi dan mencipta Disneyland, ‘tempat yang paling menggembirakan di dunia’. Di sebalik ini semua adalah seorang pemimpin yang menakjubkan dan seorang inovator.

Dalam “Steamboat Willie”, beliau mencipta filem animasi yang pertama disegerakkan dengan rakaman suara. Disney merupakan orang pertama menggunakan Technicolor tiga jalur. Beliau mendirikan sebuah multi-pelantar kamera setinggi dua tingkat, yang kemudiannya diterima pakai oleh semua orang. Beliau mencapai beberapa rekod pertama dalam hasil-hasil kerjanya; contohnya menggunakan Fantasound (inovasi sistem bunyi sekeliling yang awal), CinemaScope (teknologi layar lebar), robot audi-animatronik dan program TV berwarna.

Hairan sekali bagaimana beliau dapat mencapai begitu banyak? Apakah rahsia yang mencetuskan inovasi, kreativiti dan imaginasi Disney?

Rahsia tiga kerusi

Sebagai kanak-kanak, saya fikir Walt Disney adalah dunia kayangan yang indah. Apabila saya meningkat dewasa, barulah saya menyedari bahawa Walt Disney adalah SEORANG manusia. Baru-baru ini, saya mendapat tahu bahawa Walt Disney sememangnya adalah “tiga insan”.

Seorang animator yang pernah bekerja dengan Walt berkata,

Sebenarnya ada tiga Walt yang berbeza: seorang pengkhayal,
seorang realis, dan seorang pengkritik.

Disney mempunyai sebuah rahsia: di pejabatnya ada tiga buah kerusi yang tidak pernah tukar tempat. Setiap buah kerusi memainkan perspektif mental yang berbeza:

  • Berkhayal – kerusi berwawasan di mana Walt bermimpi tentang masa hadapan
  • Berfikiran realistik – kerusi pragmatik di mana Walt mentakrifkan rancangannya
  • Suka mengkritik – kerusi pengkritik di mana Walt mempersoalkan dan mengenal pasti masalah-masalah yang mungkin timbul

Disney melahirkan suatu pendekatan dengan latihan berkonsepkan tiga kerusi. Beliau menggelarnya “imagineering”, istilah yang menggabungkan perkataan “imagination” (imaginasi) dan “engineering (perekaan). Robert Dilts, yang mengkaji Walt secara terperinci dalam bukunya, Strategies of Genius: Volume 1 (Strategi-strategi Genius: Jilid 1) menyatakan, “Kreativiti melibatkan tiga sub-proses: bermimpi, berfikiran realistik dan mengkritik.

Seorang pengkhayal tanpa seorang yang berfikiran realistik tidak boleh menghidupkan sebuah idea. Seorang pengkritik dan seorang pengkhayal tanpa seorang yang berfikiran realistik akan hanya terperangkap dalam konflik yang berterusan. Seorang pengkhayal dan seorang yang berfikiran realistik mungkin dapat menciptakan sesuatu, tetapi mereka tidak mungkin mencapai tahap kualiti yang lebih tinggi tanpa seorang pengkritik.”

Berkhayal

Disney asyik bermimpi tentang kemungkinan baharu. Beliau mengerti bahawa kemungkinan hanya dihadkan oleh imaginasi kita. Dan kerusi ‘berkhayal’nya adalah untuk tujuan ini – duduk dan berfikir sekreatif mungkin, tanpa kekangan, tanpa batas sumber, cuma dilandai soalan-soalan seperti “apa yang saya suka ciptakan seterusnya”, “ia akan kelihatan seperti apa” dan “apa yang akan menyentuh hati orang”.

Disney tidak suka had dan batas. “Saya tidak boleh duduk diam-diam. Saya perlu meneroka dan membuat eksperimen. Saya tidak pernah berpuas hati dengan kerja saya.” Walt akan menggambarkan senario-senario yang luar biasa di kerusi pengkhayalnya.

Buat masa ini, “berfikir di luar kotak” adalah gembar-gembur inovasi. Namun Disney enggan menerima kewujudan sebuah kotak. Katanya,

“Jangan berfikir di luar kotak! Sebaik sahaja anda mengatakan itu, anda mengesahkan adanya sebuah kotak.”

Berfikiran realistik

Setelah Disney menghabiskan masa yang cukup di kerusi “berkhayal”, beliau akan beralih ke kerusi “berfikiran realistik”. Inilah tempat beliau akan menjadi pragmatik dan praktikal. Seorang yang berfikiran realistik akan bertanya, “Secara praktikal, bagaimanakah kita boleh membuat impian ini menjadi kenyataan?” Beliau akan memulakan proses itu dengan bertanya soalan-soalan yang susah tentang impian yang baru diperhalusinya:

  • Apakah sumber yang saya perlu untuk membuat impian ini menjadi kenyataan?
  • Apakah yang saya perlu lakukan untuk merealisasikannya?
  • Bagaimanakah saya akan membiayainya?
  • Berapa lamakah ia akan ambil?
  • Siapakah yang boleh membantu untuk merealisasikannya?
  • Apakah halangan-halangan yang akan saya hadapi dan bagaimana dapat mengatasinya?

Semasa berada di kerusi berfikiran realistik, Disney memberi tumpuan kepada tindakan atas andaian bahawa idea berkenaan boleh dilakukan. Beliau “merasai idea tersebut” dan bekerja untuk merealisasikan idea berkenaan, ceritanya, wataknya, dan penyelesaiannya.

Paul Dunn menjelaskan, “Jika [Disney dan pasukannya] sedang membina sebuah roller coaster baharu, seperti Space Mountain, mereka akan membayangkan bagaimana rasanya untuk duduk di atas roller coaster semasa ia melunsuri setiap pusingan, kemudian perlahan-lahan menaiki curam sebelum menjunam jatuh menuruni cerun dengan cepat. Mereka akan perhati bagaimana kerusi dan tali pinggang keledar dirasai pada badan mereka. Mereka akan mendengar bunyi roller coaster dan melihat lampu berkelipan sewaktu mereka melalui keseluruhan perjalanan tersebut dalam fikiran mereka. Yang berfikiran realistik akan mengisi kekosongan dalam idea asal yang dicipta oleh yang berkhayal.

Disney percaya,

“Karya kita haruslah mempunyai asas fakta. Kita mesti tahu segala-gala tentangnya. Kita tidak boleh melakukan perkara-perkara yang hebat melainkan kita tahu apa yang benar dan apa yang tidak”.

Suka mengkritik

Disney, dengan mengamalkan perspektif suka mengkritik, akan bertanya, “Saya tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan ini. Apakah yang salah?” Fokus di kerusi ini adalah ‘mengapa’ – mengapa ia harus begini, mengapa kita harus melakukan begini.

Disney mengenakan pengawasan rapi terhadap semua kerjanya. “Setiap butiran animasi kasar ditayangkan di skrin untuk dianalisis, dan setiap butiran dilakar dan dilakar semula sehingga kami puas hati bahawa ‘Ini adalah yang terbaik yang boleh kami lakukan’.”

Yang suka mengkritik memainkan peranan utama dalam mencari kelemahan – perkara-perkara yang boleh menjadi salah dan mendedahkan isu-isu yang si pengkhayal dan si realis gagal mengesan. Ia adalah penting untuk Disney mengesan jurang ini supaya ia boleh diperbaiki sebelum penontonnya terlihat kesilapan tersebut. Soalan lain yang Disney akan tanya sewaktu beliau duduk di kerusi “suka mengkritik” adalah:

  • Apakah kelemahan rancangan ini?
  • Adakah pelanggan akan benar-benar berasa gembira?
  • Bagaimanakah ini akan kelihatan di mata seorang pakar dalam bidang ini?
  • Adakah ini yang terbaik? Apakah yang dapat membuatnya lebih baik? Apakah yang kekurangan?
  • Adakah ia mencapai apa yang kita tetapkan dalam matlamat kita?

Si pengkritik akan menilai kerja-kerja si realis dan si pengkhayal dengan kritikal. Disney sedar akan kepentingan ini: “Dengan membuat kritikan diri dan eksperimen, kami semakin maju. Setiap tahun kami mampu mengendalikan pelbagai bahan, mencuba sesuatu yang kami tidak terimpikan pada tahun sebelumnya. Ini bukan genius, atau sesuatu yang luar biasa. Ia adalah cara bagaimana orang membina bisnes yang sihat dalam apa jua bentuk.”

Artikel berkaitan: Keusahawanan: Impian Yang Terdaya Dicapai

Bagi Disney, tiga perspektif kerusi ini adalah proses bisnes yang sihat.

Memanfaatkan tiga kerusi Disney

Dilts, yang membuat kajian ke atas Disney selama bertahun-tahun, mendapati strateginya sangat berguna bukan sahaja dalam perancangan, tetapi juga dalam melatih orang. “Ia membantu saya memahami bahawa bukan kerana orang ‘tidak realistik’, ‘sambil lewa’, atau ‘sinis’, tetapi ia adalah kerana mereka kekurangan perspektif yang cukup berbeza untuk melihat perkara-perkara dari perspektif-perspektif lain.”

Jika kita bercita-cita untuk menjadi inovator, kita perlu mempunyai perspektif. Saya mendapati bahawa bagi setiap projek yang saya kerjakan, pertimbangan yang dibuat melalui tiga perspektif kerusi ini akan membantu membawa projek tersebut ke tahap yang baharu. Impikan sesuatu yang mustahil, kemudian majukan impian itu menjadi sesuatu yang mungkin dan lihat sama ada si pengkritik dalam diri anda mampu mencari kelemahan dalam projek itu sehabis-habisnya.

Walt Disney meninggal dunia sebelum Disney World di Florida selesai dibina. Pada hari pelancarannya, seseorang berkata kepada Mike Vance, pengarah kreatif Disney, “Alangkah sedihnya Walt Disney meninggal sebelum ini menjadi realiti?” Vance dengan pantas menjawab, “Beliau memang sudah melihatnya. Sebab itulah ia menjadi realiti hari ini.”

Disney seorang pemimpin

Disney menyayangi orang, termasuk para pekerja dan keluarganya. Beliau adalah seorang guru yang hebat yang menolak pekerjanya keluar dari zon selesa mereka. Pekerja Disney yang bernama Blaine Gibson mengimbas kembali, “Disney mempunyai keyakinan yang mendalam terhadap diri kami lebih daripada kami mempunyai keyakinan dalam diri sendiri. Saya sekarang seorang skulptor, tetapi dahulu saya adalah seorang animator. Disney membayangkan saya sebagai seorang skulptor dan beliau mendorong saya untuk menceburi bidang tersebut. Beliau meyakinkan saya bahawa saya boleh melakukannya. Beliau memberi kami keyakinan untuk melakukan perkara-perkara yang tidak pernah kami bayangkan mungkin.”

Disney mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang hebat, termasuk ketabahan untuk tidak berputus asa dan terus mengejar impiannya, walaupun berada dalam keadaan yang paling dahsyat.

Tetapi yang paling penting adalah Walt Disney memahami proses inovasi. Beliau sedar beliau perlu bersedia untuk mengambil peluang dengan teknologi-teknologi inovatif pada peringkat awal, ketika orang lain waswas terhadap teknologi. Disney sentiasa optimis dalam kepercayaannya kerana beliau tahu amalan perekaan imaginasi dengan tiga kerusi memastikan bahawa beliau telah mengambil kira semua risiko dan tahu secara pasti apa yang diceburinya.

Akhir kata 

Banyak kali Disney dan Roy beroperasi pada saat-saat keadaan kewangan yang sangat kritikal. Banyak kali mereka mempertaruhkan segala yang mereka ada, apabila orang lain memilih untuk berkata “mari kita ambil jalan yang selamat.”

Sekiranya Disney hanya seorang ‘pengkhayal’, beliau mungkin meninggal dunia dalam keadaan muflis dan dilupakan. Beliau sangat berani, tetapi tidak melulu.

Begitu juga dengan kita apabila kita berbicara tentang inovasi. Apa yang kita perlukan adalah mengamalkan perspektif tiga kerusi, justeru itu kita akan menjadi “pereka imaginasi”.


Latar belakang Walt Disney

Walt Elias Disney dilahirkan kepada pasangan Elias Disney yang berhijrah ke California untuk mencari emas tetapi berakhir menjadi petani. Walt minat melukis dan tercicir dari sekolah. Beliau kemudian menjadi pemandu ambulans dengan Tentera Darat. Ketika berusia 19 tahun, beliau memulakan syarikat pertamanya, Iwerks-Disney Commercial Artists. Walau bagaimanapun, syarikat itu muflis. Disney kemudian memutuskan untuk mendapatkan ‘pekerjaan sebenar’ dengan bekerja di sebuah syarikat pengiklanan, tetapi tidak lama kemudian beliau dipecat kerana tidak “cukup kreatif.”

Akhirnya, beliau memulakan sebuah syarikat lain, Laugh-O-Grams, yang juga berakhir dalam kemuflisan. Disney kemudian pergi ke Hollywood, di mana beliau menghadapi lebih banyak kegagalan dan halangan dalam usaha mewujudkan satu siri kartun yang berjaya sebelum akhirnya mencipta karakter Mortimer Mouse. Isterinya berkeras menukarkan nama Mortimer itu kepada Mickey Mouse, yang kemasyhurannya menenggelami populariti Felix Si Kucing.

Disney terus mengharungi cabaran biarpun memenangi Anugerah Akademi pertamanya pada tahun 1932. Terobosan terbesarnya datang daripada Puteri Salji dengan Tujuh Orang Kerdil (Snow White and the Seven Dwarfs). Tetapi syarikatnya terus menghadapi isu-isu kewangan ekoran sikap Disney yang sentiasa mengejar impian-impian yang mustahil untuk mewujudkan “suatu tempat yang paling menggembirakan di dunia”.

Bahkan dalam waktu-waktu suram apabila Charles Minz, seorang pengedar filem yang besar “mencuri” hak cipta Oswald Si Arnab (watak yang pertama sekali meletakkan Disney Brothers di peta dunia hiburan) dan mengebas juruanimasi terbaiknya, Disney dan saudaranya Roy tidak berputus asa dan langsung meneruskan perjuangan mereka.

Disney juga tidak pernah segan membuat sebarang kerja. Beberapa tahun sebelumnya, wartawan Art Linkletter tiba awal di tempat sidang akhbar Fantasia Disney. Dia mendapati tempat itu kosong kecuali seorang lelaki yang sibuk menyusun kerusi. Dia bertanya, “Bilakah Walt Disney sepatutnya tiba?” Disney tersengih dan berkata, “Sayalah Walt Disney.”

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik The Wonderful World Of Disney.

 

 

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Pekerja gagal membalas pelanggan

Apabila Pekerja Gagal Membalas Pelanggan

Oleh Shawn Sher. Syarikat menghadapi cabaran yang semakin meningkat berkenaan dengan pekerja yang mengambil sedikit masa untuk membalas kepada rakan sekerja dan atasan mereka serta kepada pelanggan. Dalam keadaan sedemikian, apakah yang boleh dilakukan oleh organisasi anda untuk menangani isu ini.

Dec 11, 2022 5 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Fokus Pada Perubahan Kecil

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita menumpukan usaha untuk membawa perubahan kecil pada diri. Lama-kelamaan perubahan menyeluruh akan tercapai. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

Jul 19, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest