6 Langkah Kepimpinan Hebat Daripada Steve Jobs

Feb 21, 2017 1 Minit
langkah, kepimpinan
[Artikel utama: Kepimpinan Yang Meninggalkan Impak Di Alam Semesta]

Berikut adalah enam langkah untuk mencapai kepimpinan yang hebat:

1. Mengenali diri dan nyala rasa anda

Steve Jobs tercicir dari kolej dan ini telah mengecewakan ibu bapanya. Namun beliau selalu berkata, “Sebaik saja saya tercicir dari kolej, tidak payah lagi saya mengambil kelas yang saya tidak minati, sebaliknya saya boleh mengikuti apa yang nampak menarik.” Beliau mengikuti kelas kaligrafi kerana beliau berminat dengan reka bentuk huruf walaupun pada ketika itu, kelas tersebut “tidak ada aplikasi praktikal dalam hidup saya”. Namun, 10 tahun kemudian, kelas kaligrafi inilah yang menyebabkan Macintosh mempunyai tipografi yang amat menarik.

Jobs percaya falsafah hidupnya yang mengikut gerak hatinya adalah sebahagian daripada kunci kepada kepimpinan. Beliau berkata, “Anda harus mempunyai keberanian untuk mengikut kata hati dan gerak hati anda. Mereka semacam tahu apa tujuan hidup anda.”

Selepas itu, Jobs pergi ke India untuk menghabiskan masa menikmati alam sekitar dan mendekati Penciptanya bagi mengenal pasti ‘panggilan’nya. Bahkan dalam satu temuramah dengan Smithsonian, Jobs berkata:

“Saya yakin bahawa sifat yang membezakan usahawan yang berjaya daripada mereka yang tidak adalah KECEKALAN. Ia amat sukar. Ramai orang terbabas kerana mengharungi kesukaran. Melainkan anda sangat bersungguh-sungguh dengan apa yang anda impikan, anda tidak akan berjaya. Anda akan putus asa. Jadi, anda harus mendapatkan satu idea, atau satu masalah, atau satu kesalahan yang anda benar-benar mahu perbetulkan dan minati. Jika tidak, anda tidak akan mempunyai ketabahan untuk melaluinya. Saya fikir itu adalah separuh daripada perjuangan anda.”

Beliau terbukti betul. Anda terlebih dahulu harus mencari apa yang anda minati dan apa yang anda bersungguh-sungguh inginkan.

2. Menentukan visi anda untuk hari esok yang lebih baik

Bagi Jobs, masa depan sentiasa penuh dengan kebarangkalian. Beliau memandang jauh ke depan dan melihat sesuatu yang lebih baik dalam segala-galanya. Beliau melihat komputer bukan sekadar alat untuk bekerja. Malahan baginya, MP3 mempunyai lebih fungsi daripada kaset audio Walkman.

Berkenaan dengan iPhone, beliau berkata, “Kita semua mempunyai telefon bimbit. Tapi kita cukup membencinya kerana sungguh sukar digunakan. Perisiannya sangat teruk. Perkakasannya tidak cukup bagus.” Jadi  beliau pun mencabar pasukannya, “Mari kita mencipta telefon bimbit yang hebat. Kita boleh melakukannya. Mari kita cuba.” Begitu juga dengan iPad. Jobs mempunyai cara untuk melihat masa depan yang lebih baik.

Carmine Gallo dalam bukunya menyentuh tentang masa Jobs menemuduga bakat cemerlang untuk Apple 30 tahun yang lalu. Bakat baru itu bertanya, “Apakah visi anda untuk komputer peribadi?” Jobs menjawab dengan melakarkan gambaran bagaimana komputer peribadi akan mengubah dunia bermula dari pekerjaan, pendidikan, hiburan dan segala-galanya. Setelah mendengar hujah Jobs, bakat cemerlang itu tidak teragak-agak menawarkan diri untuk bekerja dengan Apple, peniagaan kecil yang baru mula beroperasi ketika itu.

Pemimpin yang hebat mempunyai visi. Menurut mantan pemimpin Apple, Trip Hawkins, “Jobs mempunyai visi yang sangat berkuasa sehinggakan ia agak menakutkan. Apabila Jobs percaya akan sesuatu, kuasa visinya mampu menolak keluar semua halangan atau masalah.”

3. Menyampaikan visi dengan jelas

Salah satu kunci pelajaran kepimpinan yang Jobs tekankan ialah peranan ketua pegawai eksekutif sebagai penginjil dan jurucakap visi syarikat. Pemimpin boleh bermimpi besar tetapi bolehkah mereka menyampaikan visi tersebut dan memastikan ia menarik, bertenaga dan menggenggam?

Bagaimanakah Jobs berupaya menyampaikan visinya dengan sempurna? Pertama sekali, beliau sangat bersungguh-sungguh akan visinya. Beliau menghabiskan banyak masa berlatih dan bersedia untuk menyampaikan visinya agar difahami dan dibayangkan dengan jelas. Kebanyakan pemimpin mempunyai visi tetapi masalah mereka adalah ketidakupayaan menyampaikan visi itu dengan efektif.

4. Menggerakkan orang untuk melaksanakan visi

Sebahagian besar kepimpinan Jobs adalah kebolehannya menggerakkan orang yang “diilhamkannya untuk membuatkan sebuah mimpi menjadi realiti” (Gallo). Pada akhirnya, tenaga manusia adalah kunci kepada kejayaan. Jika orang lain tidak bersama-sama Jobs dalam usahanya, beliau pasti tidak akan berjaya.

Begitu juga dengan Martin Luther King dan Mahatma Gandhi. Mereka tidak mempunyai pengikut hanya dengan berhujah semata-mata. Sebaliknya, mereka meluangkan masa untuk mengeratkan persahabatan, membina pakatan dan menjalin hubungan dengan orang-perseorangan dalam komuniti. Agenda mereka yang kuat mara ke depan ketika mereka menggerakkan orang bersama-sama di peringkat peribadi. Pemimpin yang hebat mempunyai kebolehan untuk berdialog satu-sama-satu dan pada masa yang sama menggerakkan orang ramai untuk menyertai perjuangan mereka.

5. Memberi fokus kepada perjalanan

Memberi tumpuan kepada isu-isu yang paling penting bermaksud anda perlu berkata “TIDAK kepada 1,000 perkara yang lain.” Ini termasuklah kepada semua gangguan yang biasanya sukar dilakukan.

Jobs menambah, “Apple adalah sebuah syarikat $30 bilion dolar, namun produk kami tak sampai 30 jenis. Syarikat-syarikat elektronik pengguna besar yang lepas mempunyai ribuan produk. Kami lebih cenderung untuk memberi fokus kepada destinasi tujuan. Ini bermakna mengatakan TIDAK kepada ratusan idea baik yang lain. Anda harus memilih dengan teliti.”

Biarpun Jobs kelihatan seolah-olah tiada tumpu tujuan dengan idea dan produk inovatif barunya, namun beliau jelas sekali memberi tumpuan kepada beberapa perkara penting yang akan benar-benar “meninggalkan impak di alam semesta.” Beliau berkata, “Saya sebenarnya bangga dengan perkara-perkara yang tidak kami lakukan sama juga dengan perkara-perkara yang telah kami lakukan.”

Kita juga perlu belajar untuk mengutamakan hal-hal yang penting dan memberi tumpuan kepada aktiviti yang benar-benar bernilai tambah dan mampu menyumbang kepada visi.

6. Melaksanakan dengan sempurna

Memanglah lebih mudah untuk melaksanakan visi apabila semuanya berjalan lancar. Namun begitu, banyak perkara berlaku tidak mengikut rancangan. Jobs mengimbas kembali, “Pada suatu ketika, semasa saya bekerja dengan Pixar untuk pembuatan Toy Story, kami terpaksa mengakui bahawa ceritanya tidaklah sebagus mana. Kami pun menghentikan produksi selama lima bulan.”

Di Apple pula, menurut Jobs, krisis berlaku dalam hampir setiap projek atau produk utama.
Menurutnya, melaksanakan sesuatu dengan sempurna bermaksud menghadapi dan mengatasi masalah dan cabaran mengikut cara yang berdisiplin. Beliau berkata, “Disiplin yang ketat diperlukan untuk menghidupkan idea-idea yang menarik dan teknologi-teknologi yang belum matang dalam sebuah syarikat supaya ia boleh terus berinovasi selama bertahun-tahun.”

Pada setiap hari Isnin, Jobs mengadakan mesyuarat ‘proses’ yang berpanjangan dengan pasukannya. Beliau berkata, “Apa yang kami lakukan setiap hari Isnin adalah mengkaji keseluruhan bisnes kami. Dan kami berbuat sedemikian pada setiap minggu.”

Ram Charan, seorang pakar bisnes terkenal yang saya temuramah baru-baru ini untuk The Leaderonomics Show, menulis sebuah buku mengenai pelaksanaan. Pesanan utamanya lebih kurang sama dengan Jobs – pelaksanaan adalah perkara yang membosankan, memenatkan dan berulang-ulang. Tetapi semua aspek inilah yang membolehkan sesebuah organisasi untuk berjaya. Jobs memahami kuasa pelaksanaan yang dilakukan tanpa henti.

Tontonilah temuramah Roshan dengan Ram Charan:

Akhir kata

Setiap perjalanan merangkumi usaha mengatasi halangan. Ketika Jobs berumur 21 tahun, beliau adalah seorang yang berkarisma dan merupakan salah seorang pengasas Apple. Semasa berumur 25 tahun, nilai peribadinya adalah 200 juta dolar. Tetapi semasa berumur 30 tahun, beliau telah disingkirkan dari syarikat yang diasaskannya. Beliau kehilangan segala-galanya pada ketika itu dan memang mudah sekali untuk beliau berputus asa. Tetapi beliau bangkit dan bergiat semula dengan semangat berkobar-kobar di NeXT dan Pixar.

Kepimpinan bukanlah perjalanan yang mudah. Ia penuh dengan kerja keras dan jerih payah. Baru-baru ini Jobs terpaksa melawan dua pengalaman di ambang maut kerana penyakit barah. Tetapi dengan sikap yang positif, beliau berkata, “Menyedari bahawa saya akan mati tidak lama lagi adalah pengalaman yang sangat penting pernah saya temui kerana ia membantu saya untuk membuat pilihan besar dalam kehidupan.”

Tidak ada sesiapa pun yang mengatakan kepimpinan adalah mudah, namun ia sememangnya perjalanan yang berbaloi.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik 6 Key Leadership Lessons From Steve Jobs

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Imej Vektor

Pasaran Digital dan Kepimpinan dan Pembangunan – Keupayaan Masa Depan (Bahagian 3)

Oleh Arun Nagarajah. Temui arah aliran masa depan dalam kepimpinan digital dan pasaran pembangunan: peningkatan pendedahan jenama, saluran pemasaran yang dipertingkatkan dan kuasa bukti sosial.

Jun 06, 2023 5 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Akui Kesilapan Di Tempat Kerja: 10 Cara Terbaik

Kita tidak boleh lari dari kesilapan. Biarpun naluri kita akan lazimnya mempertahankan diri tetapi sekiranya kita bersalah, akuilah kesilapan itu. Tontoni video TOP 10 untuk belajar cara-cara mengakui kesilapan di tempat kerja.

Aug 09, 2017 8 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest