Adakah Anda Proaktif?

Jan 05, 2018 4 Minit
proaktif, tanggungjawab

Kehidupan kita tidak terjadi begitu sahaja. Betul bukan? Bagi kebanyakan orang, kehidupan mereka sekadar berlalu pergi. Mereka suka sangat mengeluh diri mereka sebagai ‘mangsa’ peristiwa dan keadaan. Rakan saya, George Kohlrieser, yang pernah bertugas sebagai perunding tebusan FBI, menyifatkan keadaan ‘tidak berdaya’ ini seakan-akan menjadi ‘tebusan’.

Sebenarnya, kitalah yang merancang dengan teliti kehidupan kita. Kita yang menentukan setiap keputusan dan pilihan yang dibuat. Kita yang memilih perasaan kita baik gembira ataupun sedih. Kita memilih untuk berjaya atau gagal, menjadi proaktif atau diselimuti ketakutan. Setiap masa, setiap keadaan memberi pilihan baharu. Dan pilihan yang diambil menentukan kehidupan kita. 

Beberapa tahun lalu, seseorang menyuarakan kekesalan tentang kehidupannya dan merungut yang dirinya ‘tidak bernasib baik’. Segala-galanya tidak menjadi belaka. 

Ketika saya mendengar kisahnya (dan ini cerita yang agak biasa kedengaran), saya bertanya kepadanya mengapa dia berfikir yang dia belum mencapai kemajuan. Dia menjawab, “Saya memang tidak bernasib baik. Saya tidak pernah mendapat peluang seperti orang lain.”

Saya hanya tersenyum dan mengeluh. 

Menjadi proaktif

Menjadi proaktif bermakna mengambil tanggungjawab ke atas kehidupan sendiri. Kita tidak boleh menuding jari pada bos atau orang lain atas kesemua yang berlaku.

Orang yang proaktif sedar yang mereka ‘mempunyai keupayaan memilih respons sendiri’.  Mereka tidak menyalahkan peristiwa, keadaan atau orang lain untuk tingkah laku mereka. Mereka mengerti bahawa mereka yang memilih tingkah laku mereka. Sebaliknya, orang yang reaktif selalunya terkesan dengan rangsangan luaran. Mereka lupa yang mereka mempunyai kuasa untuk memilih respons mereka.

Artikel berkaitan: Reaksi Atau Respons – Yang Mana Pilihan Anda?

Orang yang proaktif juga mempunyai bahasa yang positif. Mereka menggunakan perkataan seperti “saya boleh”, “saya akan” dan “saya harus” sementara yang reaktif suka menggunakan bahasa seperti “saya terpaksa”, “kalaulah” dan “saya berharap”.

Orang yang proaktif tidak risau tentang keadaan di mana mereka mempunyai kawalan yang sedikit atau tiada langsung. Mereka berfokus pada bidang di mana mereka boleh ubah atau pengaruh.

Adakah anda seorang yang proaktif atau reaktif?

Jawab soalan-soalan berikut untuk menentukannya:

  • Adakah anda melakukan banyak perkara dalam hidup atau adakah anda rasa yang anda perlu menunggu perkara baik untuk berlaku?
  • Adakah anda memberi reaksi kepada perkara yang berlaku di sekeliling anda atau adakah anda mengambil inisiatif untuk membuat persiapan, mengambil bahagian dan/atau mengawal keadaan?
  • Adakah anda menyalahkan orang lain apabila masalah menimpa atau adakah anda bertanya diri sama ada anda turut menyumbang kepada isu itu serta apa pengajaran yang dipelajari daripada episod itu?
  • Adakah anda membuat keputusan apabila anda terpaksa atau adakah anda secara proaktif membuat keputusan setiap hari yang membantu anda mencapai kejayaan jangka panjang?
  • Adakah anda menanti untuk sesuatu berlaku atau adakah anda secara proaktif membuat perubahan walaupun semuanya baik-baik belaka?
  • Adakah anda sentiasa mempunyai alasan seperti tiada masa untuk bersenam atau menyiapkan kerja atau adakah anda mencari jalan bagaimana anda boleh membahagi masa untuk perkara-perkara ini secara proaktif?

Jadilah proaktif

‘Jadilah proaktif’ adalah tabiat #1 dalam buku Stephen Covey yang bertajuk 7 Tabiat Orang Yang Amat Berkesan. Covey percaya menjadi proaktif bermakna mengawal kehidupan kita, menetapkan matlamat dan berusaha untuk mencapainya. Keluar dan cipta peluang untuk diri sendiri. Jangan hanya menunggu peluang datang bergolek.

Menurut Covey, terdapat ruang di antara rangsangan dan respons. Dalam ruang ini, letaknya kebebasan memilih. Empat kebolehan manusia yang istimewa adalah seperti berikut:

  1. Kesedaran diri – Fahami yang kita memang mempunyai pilihan. Jika kita dimaki-maki, kita boleh memilih untuk menghina balik orang itu. Jika kita diberi makanan junk, kita boleh memilih untuk mengambilnya ataupun tidak.
  2. Suara hati – Prihatin deria dalaman untuk membuat keputusan yang betul bagi diri sendiri berpandukan pada prinsip dan kepercayaan asas diri sendiri.  
  3. Imaginasi kreatif – Kebolehan membayangkan respons lain. Dengan menggunakan mata minda kita, kita akan dapat mencari pilihan lain.
  4. Kehendak bebas – Kita tidak perlu akur kepada jangkaan orang lain tetapi mempunyai kebebasan memilih reaksi kita yang unik.

Covey percaya bahawa kurangnya keupayaan proaktif boleh disebabkan oleh kelemahan dalam salah satu daripada empat kebolehan manusia ini. Pelaziman sosial, tahap kesedaran rendah, ketidakmampuan membayangkan alternatif dan sentiasa mematuhi jangkaan orang lain mungkin telah mengucar-ngacirkan kebolehan membuat keputusan proaktif kita. Tetapi berita baiknya adalah hari semalam telah berlalu dan kita boleh belajar menjadi proaktif bermula dari hari ini.

Langkah-langkah menjadi proaktif

Chrissy Scivicque, seorang pakar dan jurulatih karier, berkata terdapat 5P untuk mencapai kejayaan proaktif. Menurutnya, langkah 5P ini dapat menolong kita menjadi lebih efektif di tempat kerja:

  1. Ramal (Predict) – Bina pandangan jauh. Belajar untuk memikirkan terlebih dahulu masalah yang mungkin timbul. Fahami bagaimana perkara-perkara berlaku – corak, rutin dan kitaran semula jadi yang hadir di dalam perniagaan anda.
  2. Rancang (Plan) – Orang yang proaktif merancang masa hadapan mereka. Tuliskan rancangan kita. Inilah kunci yang memastikan rancangan kita dilaksanakan dan disempurnakan.
  3. Halang (Prevent) – Kenal pasti halangan yang berpotensi bertukar menjadi isu besar yang membantutkan kemajuan kita (seperti berasa letih, kawan-kawan ajak keluar minum dan sebagainya) dan cari jalan untuk mengatasinya. Tuliskan rancangan untuk mengatasi halangan ini. (Sebagai contoh, jika ada kawan yang mengajak saya keluar minum, saya akan katakan yang saya akan pergi setelah selesai kerja saya.)
  4. Sertai (Participate) – Jangan jadi pemerhati. Ambil inisiatif untuk mengambil bahagian. Sentiasa menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bukan masalah itu.
  5. Laksana (Perform) – Mengambil tindakan yang efektif dan kena pada masanya. Bertanggungjawab atas prestasi anda.

Akhir kata

Menjadi proaktif bermakna bertanggungjawab ke atas kehidupan masing-masing. Ingat, tingkah laku kita adalah hasil daripada keputusan kita, bukan keadaan kita. Adakah anda seorang yang proaktif? Atau adakah anda masih menjadi ‘tebusan’ yang terpaksa menjadi reaktif kepada keadaan dan manusia? Buat keputusan hari ini untuk memilih menjadi proaktif. Ia tak lain dan tak bukan satu pilihan!

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Are You In Control?

 

 

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan Digital

Kepimpinan Digital ialah Kepimpinan Manusia

Oleh Ian Chew. Apakah tiga perkara hebat yang penting untuk kepimpinan jarak jauh? Baca pandangan oleh penulis di sini.

Feb 12, 2023 5 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Pemimpin yang Berani

Tahukah anda, bagaimana menjadi pemimpin yang berani? Dalam Tip Kepimpinan kali ini, Roshan Thiran berkongsi tip yang menarik untuk menjadi pemimpin yang efektif dan berani.

Jun 24, 2024 7 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest