Pengajaran Daripada Menguruskan Keusahawanan Sosial

Jun 21, 2019 6 Minit
pengajaran

Tahun lepas, keusahawanan sosial yang saya asaskan menyambut ulang tahun ke-10. Sempena itu, saya telah menulis rencana mengenai cabaran dan pengajaran yang saya perolehi selepas menerajuinya selama sedekad.

Setiap tahun, saya menimba banyak pengajaran. Jadi, apabila saya mengimbas kembali tempoh 11 tahun saya mengepalai Leaderonomics — keusahawanan sosial yang bertekad membawa perubahan transformatif melalui pembangunan kepimpinan — saya sedar terdapat banyak lagi pengajaran kepimpinan yang telah saya pelajari yang belum saya kongsikan.

Rencana ini adalah Bahagian Kedua dalam siri perkongsian saya.

Di pasaran, ada ribuan buku kepimpinan. Saya juga bertuah kerana berpeluang menemu bual dan menghabiskan masa dengan pemimpin-pemimpin dari serata dunia yang bertungkus lumus membawa perubahan yang berkesan dalam komuniti mereka.

Saya belajar begitu banyak tentang kepimpinan daripada tokoh-tokoh seperti pengasas Kumpulan AmBank Tan Sri Dato’ Azman Hashim, Ratu Silvia dari Sweden, dan ahli fizik dan futuris yang terkemuka Michio Kaku. Mereka adalah antara beberapa pemimpin unggul yang sedang membina legasi yang kukuh.

Saya juga memetik pandangan menarik daripada pertemuan saya dengan individu-individu yang telah mengatasi pelbagai rintangan dan cabaran, seperti Chris Gardner, Jamie Andrew and ramai lagi.

Tatkala saya memikirkan perjalanan kepimpinan diri, terlintas dalam pemikiran bahawa banyak pengajaran boleh dipelajari dengan memerhatikan orang lain dan daripada pelbagai sumber lain. Sesetengah pengajaran ini akan membuahkan hasil selepas beberapa ketika dan setelah kita melalui pelbagai pengalaman. 

Memang ada kuasa dalam refleksi kendiri — ia melengkapkan kita dengan wawasan yang kita tidak mungkin peroleh dari tempat lain. Walaupun prosesnya mungkin agak sukar (apabila dilakukan dengan betul), ia adalah alat pembelajaran kritikal yang setiap kita miliki, dan yang kita boleh gunakan sekerap mungkin.

Cuma minggu lepas, saya sedang berbicara dengan pakar kewangan dan ekonomi Ravi Navaratnam dari Sage 3 Capital. Dia berkongsi beberapa data mengenai pendidikan yang dikumpulnya. Katanya, kebanyakan daripada pendidikan ‘sebenar’ tidak berasal dari sekolah atau universiti tetapi diperolehi daripada pengalaman yang kita lalui, terutamanya dalam alam kerja.

Jadi, apakah pengajaran yang saya pelajari daripada pengalaman saya selama 11 tahun ini menerajui keusahawanan sosial ini? Banyak sekali tetapi biar saya kongsikan lima pengajaran penting yang telah banyak membantu saya setakat ini:

1. Anda tidak tahu apa yang anda tidak tahu

Semakin usia saya meningkat, saya sedar saya semakin bertambah jahil. Biarpun saya masih kuat belajar dan berkembang maju dan menjadi lebih bijak, tetapi saya mula sedar bahawa terdapat seribu satu perkara lain yang perlu saya pelajari. Saya juga sedar  pemahaman saya berhubung hampir setiap perkara adalah terbatas.

Menyedari bahawa pemahaman saya amat terbatas membenarkan saya melakukan beberapa perkara dengan lebih baik. Pertama, saya tidak pernah percaya bahawa saya ada jawapan untuk semua soalan — saya sentiasa mengingaktkan diri bahawa saya adalah orang yang paling jahil di bilik.

 

Ini bermakna saya perlu bertanya banyak soalan (memandangkan orang yang bodoh perlu lebih belajar!). Ini juga bermakna saya perlu mendengar dengan lebih teliti supaya saya akan dapat belajar dengan lebih banyak.

Saya juga perlu belajar menjadi lebih cerdas. Semasa saya lebih muda, saya ingat saya ketahui semua jawapan dan tahu menguruskan situasi tertentu. Apabila saya sedar saya tidak tahu secukupnya dan terbatas dalam pemahaman saya, saya lebih bertolak ansur dalam pemikiran saya, dan lebih fleksibel — sentiasa mengubah sudut pandangan saya.

Kerana sedar saya tidak tahu banyak perkara, saya tidak boleh bersifat pasti dengan sebarang perkara. Jadi, saya tidak perlu mempertahankan sebarang sudut pandang spesifik. Ini amat membantu saya dalam membolehkan Leaderonomics tidak berada dalam takuk atau model bisnes yang spesifik, tetapi ada upaya untuk beralih dan tumbuh apabila kami perlu untuk bertukar haluan.

Jika anda ingat anda ketahui setiap perkara, besar kemungkinan anda akan menolak perubahan. Saya tahu saya jahil, jadi saya perlu terus belajar dan berubah.

2. Kebaikan hati luas manfaatnya

Dalam ekonomi berasaskan pengetahuan dan pada ketika kolaborasi diutamakan, nilai terbesar yang langsung tidak dipentingkan dalam kepimpinan ialah kebaikan hati. 

Ramai menganggap ini sebagai kualiti lembut, yang akan membuat kita terdedah, tetapi dalam pengalaman saya sendiri, apabila kita memberi kepada orang lain, kita  akan mendapat lebih banyak lagi.

Amalan suka menunjuk-nunjuk kehebatan adalah amalan yang tidak akan berhasil. Pemimpin yang memaparkan kebaikan hati — terhadap pesaing, pekerja, bakal rakan kongsi dan pelanggan — adalah mereka yang akan menang besar pada akhirnya.

Di Malaysia sendiri, kita melihat bagaimana pemimpin yang didorong oleh kuasa dan ketamakan, malah termasuk mereka yang seolah-olah tidak boleh ditundukkan, tumbang juga akhirnya. Masa kian berubah, dan orang ramai kini lebih tertarik dengan pemimpin yang selalu berusaha untuk memberi balik dan berkhidmat untuk orang lain.

Di Leaderonomics, visi kami merangkumi usaha ‘membina masyarakat penyayang’. Kasih sayang mengatasi segala-galanya. Kami tahu bahawa jika kami benar-benar mengambil berat dan mengasihi insan lain, kami akan bekerja keras bukan hanya untuk menjadikan impian kami suatu kenyataan, tetapi kami akan bekerja dengan satu sama lain untuk menjadikan setiap impian kami menjadi kenyataan.

3. Berilah pujian sekerap yang mungkin

Secara tradisinya, kepimpinan memberi tumpuan kepada pendekatan ganjaran-dan-hukuman untuk memotivasi pekerja, tetapi ini adalah pendekatan yang tidak berkesan  dan yang sudah ketinggalan zaman.

Sebagai pemimpin, kesedaran bahawa pencapaian saya setakat ini (dan apa yang saya tengah berusaha untuk mencapai) besar bergantung pada insan-insan luar biasa di sekeliling saya, berfungsi sebagai peringatan berharga tentang sumbangan mereka yang cukup menakjubkan. 

Walaupun mudah untuk memberi fokus pada perkara-perkara yang memerlukan penambahbaikan dan kerja yang perlu dilakukan, penting juga memberi pujian kepada mereka yang telah berjaya mengusahakan sesuatu kerja dengan baik, atau yang telah mencapai kemajuan dalam usaha mereka.

 

Di samping memberi manfaat motivasi dan produktiviti, ia adalah peluang yang cukup menakjubkan untuk berhubung dengan mereka yang bekerja untuk anda, hari demi hari.

Anda juga perlu bersedia memberi maklum balas yang sebenar kepada mereka yang kurang menunjukkan prestasi dan tidak mencapai standard anda. Perkara ini paling susah bagi saya, tetapi saya sedar bahawa organisasi tidak akan tumbuh jika kita tidak mengharapkan tahap yang tertinggi daripada anak-anak buah kita dan tidak memberi maklum balas yang perlu kepada mereka apabila mereka gagal mencapai standard yang dijangkakan.

4. Cakap terus-terang, usah putar-belit 

Dalam budaya Malaysia, mesyuarat  bisnes sering berlanjutan tanpa kesudahan. Walaupun saya kurang berminat dengan trend seperti bermesyuarat ketika membuat senaman ‘plank’ yang direka untuk memastikan bahawa perbincangan tidak berpanjangan, saya lebih memberi kepentingan kepada pelaksanaan daripada menghabiskan masa bertukar-tukar fikiran dan berbincang tentang pelbagai idea. 

Saya mengaku ini adalah perkara yang mudah dilupakan. Saya sentiasa mengingatkan diri bahawa sementara perbualan dan perbincangan adalah penting, kita hanya  akan mencapai kejayaan dengan mengambil tindakan. Bertindak secara ringkas, tetapkan tindakan yang perlu diambil, kemudian lakukannya! Pelaksanaan adalah segala-galanya. Jadi, kurangkan perbicaraan dan lebihkan tindakan!

5. Bersabar mencapai visi tetapi bertindak cepat dengan proses 

Keusahawanan sosial kami terus berkembang biarpun selepas 11 tahun beroperasi. Sebagai keusahawanan yang berfokus pada transformasi, pembelajaran, pembangunan dan pertumbuhan, visi menyeluruh kami pasti mengambil masa untuk menjadi kenyataan.

Kalangan pemimpin cuba mencapai garis penamat dengan terlalu cepat, tetapi sebaliknya lambat melaksanakan proses untuk sampai ke sana. 

Di Leaderonomics, saya berpegang kepada sifat sabar dalam melaksanakan visi keseluruhan — membenarkan ia berkembang mengikut aliran semulajadi — sementara melaksanakan dengan cepat setiap hari.

Jika ada idea, pendekatan, sistem atau platform baharu, saya akan cepat-cepat merangkulnya sebaik saya ternampak nilai yang ada padanya. Saya bukan kaki ‘tunggu dan lihat’.

Melaksanakan proses harian dengan cepat adalah apa yang mendorong kemajuan. Tetapi, kita mesti ada kesabaran untuk menunggu perkembangan visi yang lebih besar. 

 

Salah satu impian terbesar saya bagi kerja-kerja komuniti Leaderonomics ialah bahawa setiap sekolah di Malaysia akan berpeluang menikmati pembangunan kepimpinan secara percuma. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah mencapai kemajuan secara perlahan-lahan — dari menjalankan kelab kami secara percuma di sebuah sekolah hingga ke 55 buah sekolah di hampir semua negeri di negara ini setakat ini.

Bagaimanapun, terdapat lebih daripada 2,700 sekolah menengah di Malaysia. Saya masih kuat berusaha supaya setiap sekolah di negara ini akan mendapat akses yang sama kepada pembangunan kepimpinan, tetapi prosesnya agak lambat.

Saya seorang yang sabar tetapi tidak juga. Saya sedar kami perlu berusaha dengan kuat dan tidak putus harapan kerana satu hari nanti, keusahawanan sosial kami akan berjaya memulakan sebuah kelah di setiap sekolah di negara ini — dan besar harapan, di setiap negara di dunia! 

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Lessons I Learnt from Running a Social Enterprise.

 

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Alt

Cara Memupuk Budaya Kekitaan - Dan Mengapa Ia Merupakan Kelebihan Daya Saing Terbaik

Oleh William Arruda. Ketahui tentang kepentingan kekitaan dalam membina budaya pasukan yang produktif dan terlibat, terutamanya berikutan pengasingan dan kekurangan dalam hubungan.

Apr 03, 2023 4 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Berbaloi Mengotori Tangan Anda

Kepimpinan hanya boleh dipelajari dan dibentuk dalam proses mengotori tangan melalui pengalaman hidup. Konteks membentuk kebolehan kepimpinan. Tontonilah video ini.   Untuk membaca artikel berkaitan, klik Mengotori Tangan Anda.

Jul 17, 2017 4 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest