Bertindak, Jangan Hanya Tahu Melatah

Dec 31, 2018 6 Minit
Alt

Adakah anda selalu kaitkan istilah ‘kimia’ dengan larutan yang terdapat di dalam makmal kimia sekolah seperti asid hidroklorik, natrium dan etanol?

Hakikatnya, hampir semua barang yang kita pakai setiap hari diperbuat daripada bahan kimia, daripada ubat gigi dan syampu, sehinggalah garam dan cuka yang kita guna dalam masakan.

Industri kimia dan produk kimia bersifat pelbagai dan kompleks; industri ini meliputi petrokimia, agrokimia, kosmetik dan peralatan mandian, cat, gas industri, oleokimia, farmaseutikal, sabun dan pencuci, serta baja dan racun perosak.

Berdasarkan Laporan Produktiviti ke-25 bagi penggal 2017/2018, industri ini menjadi salah satu daripada subsektor ekonomi utama di Malaysia, yang mencakupi 8.9 peratus daripada jumlah eksport barangan perkilangan dari Malaysia.

Majoriti perniagaan yang terlibat dalam industri ini merupakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Walaupun PKS ada bermacam jenis, terdapat dua aspek utama yang perlu ditangani supaya industri ini lebih berkembang maju.

1. Modal insan

Penting untuk kita asah bakat tempatan supaya Malaysia mampu kekal relevan dalam pasaran global. Pada pendapat Peneraju Nexus Produktiviti Kimia dan Produk Kimia, Datuk Dr Abd Hapiz Abdullah, kita perlu melatih, memperakui dan membayar pekerja kita dengan sewajarnya, supaya persepsi kurang gah bagi pekerjaan tertentu dapat diubah.

Hal ini bakal membantu masyarakat setempat sedar akan peluang masa hadapan dalam industri ini. Pembangunan bakat tempatan akan juga memberi peluang kepada Malaysia untuk menggantikan pekerja asing dengan anak tempatan dari segi tenaga kerja mahir.

2. Pengendalian perniagaan

PKS di Malaysia perlu kekal berdaya saing dalam pasaran komoditi, dan Dr Abd Hapiz percaya bahawa inovasi merupakan jalan yang terbaik. “Apabila anda terlibat dalam pasaran komoditi, perkara yang paling dibimbangkan ialah cara meminimumkan kos. Bagi saya, hal ini menjadi keutamaan.”

“Pemotongan kos tidak bermakna kita perlu mengurangkan tenaga kerja. Ada cara lain,  contohnya pengamalan Industri 4.0 dan inovasi,” kata Dr Abd Hapiz. “PKS perlu lebih inovatif daripada sekadar bergantung harap pada pemain besar seperti Petronas untuk memacu inovasi dalam industri.”
 

Inisiatif Nexus

1. Mewujudkan pusat kecemerlangan (COE) kimia
 

Bidang-bidang di bawah kelolaan COE yang bertanggungjawab termasuk pelaksanaan program dan inovasi Penjagaan Bertanggungjawab melalui penyelidikan dan pembangunan.

Penjagaan Bertanggungjawab merupakan inisiatif industri kimia sedunia bagi menambah baik prestasi alam sekitar, kesihatan, keselamatan dan sekuriti, apabila pihak penandatangan berjanji untuk menjalankan perniagaan secara amanah.

Nexus menghulurkan bantuan kepada PKS melalui jerayawara dengan memperkenalkan prinsip-prinsip Penjagaan Bertanggungjawab, namun Dr Abd Hapiz menyatakan walaupun kos penyertaan adalah percuma, cabaran utama buat masa ini adalah untuk mengajak PKS menghadiri jerayawara tersebut.

“Di sinilah agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan PKS Malaysia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) perlu memainkan peranan dengan menggalakkan PKS datang menimba ilmu dengan kami.”

Jerayawara tersebut bertujuan untuk memberi penerangan berkenaan hubungan antara keselamatan dan produktiviti, kerana ramai pemilik perniagaan tidak menyedari apabila pekerja terkena cedera ringan, hal ini boleh mempengaruhi perniagaan mereka.

“Sekiranya PKS membudayakan program Penjagaan Bertanggungjawab, kami jamin tahap keselamatan kakitangan akan bertambah baik dengan ketara. Ini sekaligus meningkatkan produktiviti kerja, lalu memberi pulangan yang lebih lumayan,” kata Dr Abd Hapiz.

Beliau menambah, “Cabarannya menggunung tinggi, namun saya rasa usaha ini berbaloi kerana hal ini melibatkan nyawa manusia. Nexus ini berserta dengan agensi kerajaan mesti terus mempergiat langkah seperti ini.”

2. Mengukuhkan kerjasama antara pemain industri dengan institusi pendidikan tempatan

Pengusaha perniagaan di Malaysia cenderung menggunakan pekerja asing, sama ada mahir mahupun tidak mahir, walaupun kita sudah ada bakat tempatan.

“Saya tidak faham dengan tanggapan bahawa pekerja asing lebih bagus. Saya kagum dengan portfolio hasil kerja universiti tempatan. Institusi pengajian seharusnya bekerjasama dengan industri dalam membantu mengukuhkan idea anak-anak tempatan dan menyediakan tenaga kerja tempatan,” ujar Dr Abd Hapiz.

Malangnya, kini ada jurang yang besar antara industri dan institusi pendidikan, maka Nexus ini berharap dapat merapatkan jurang ini dengan mewujudkan lebih banyak program kesedaran bagi kedua-dua pihak.

Dr Abd Hapiz berkongsi pengalamannya sendiri, “Ada PKS yang memerlukan tenaga kerja mahir tetapi tidak tahu cara mendapatkannya, padahal kilang tersebut terletak kira-kira setengah batu dari sebuah kolej teknikal. Namun kilang itu tidak berusaha menghubungi kolej tersebut untuk mendapatkan pelajar yang perlu mengikuti latihan amali bagi melengkapkan kursus pengajian.”

“Kita hairan apabila PKS tidak tahu cara mendapatkan tenaga kerja mahir, malah mereka lebih senang menghubungi agensi pekerja asing walaupun kita sendiri memiliki tenaga buruh pada kos yang rendah.”

Satu lagi aspek yang diteliti oleh Nexus Kimia ialah usaha mendapatkan kerjasama pemain industri yang memiliki teknologi yang diperlukan supaya sama-sama terlibat dengan universiti atau agensi tempatan bagi memanfaatkan minyak kelapa sawit dalam pengeluaran bioplastik. “Hal ini menjurus pada konteks setempat,” ujar beliau.

“Sekiranya berhasil, pemain industri mampu memasarkan produk tersebut. Usaha ini tidak memerlukan pelaburan ratusan juta ringgit, bahkan kita mungkin memerlukan kurang daripada sejuta. Namun kerjasama sebegini memerlukan penglibatan 10-20 pemain industri supaya usaha ini benar-benar berbaloi.”

3. Memperkasa keupayaan PKS

Dr Abd Hapiz menyatakan walaupun ada pelbagai jenis PKS, sama ada perniagaan warisan mak ayah sehinggalah perniagaan besar yang lebih teratur, prosedur operasi standard (SOP) bagi kebanyakan PKS lebih kurang sama. Ini  mendatangkan kebimbangan kerana ada yang masih ketinggalan zaman.

Namun demikian, Nexus Kimia menjadikan situasi ini sebagai peluang untuk membimbing PKS dengan menyediakan sokongan teknikal, digital dan pengurusan. Misalnya, Nexus mengadakan projek perintis dan membuat penilaian ketersediaan Industri 4.0. “SOP PKS tidak boleh kekal di takuk yang sama. PKS perlu berkembang maju supaya dapat bersaing seiring dengan peredaran masa,” tambah Dr Abd Hapiz.

4. Membantu PKS beralih ke arah komponen bernilai tinggi
 

Dr Abd Hapiz berkongsi pengalamannya — adalah amat sukar untuk meyakinkan pemilik perniagaan tradisional untuk melabur dalam produk yang ada nilai tambah kerana mereka perlu menyusun semula operasi perniagaan.

Beliau menjelaskan, perubahan ini perlu dilaksanakan secara berperingkat, dan agensi kerajaan perlu memahami bahawa perubahan tersebut tidak boleh berlaku sekelip mata. Hal ini memerlukan jangka masa yang panjang.

“Pemilik PKS perlu bersedia terlebih dahulu sebelum kami boleh membuka peluang untuk mereka menjadi lebih inovatif. Daripada memaklumkan benda yang perlu diubah, kami memberitahu mereka matlamat yang perlu dicapai, dan sama-sama berusaha untuk mengecapi matlamat tersebut.”

5. Memberi sokongan kepada PKS yang amat berpotensi untuk berkembang maju di peringkat antarabangsa

Menurut Dr Abd Hapiz, kebanyakan pemain dalam industri hanya mensasarkan pasaran tempatan (30 juta orang). Mereka seharusnya berfikir untuk menembusi pasaran Asean, yang penduduknya jauh lebih besar iaitu seramai 635 juta orang.

Inilah peranan Nexus Kimia. kami memberi sokongan kepada PKS yang ingin meningkatkan jumlah eksport. “Idea ini sememangnya menjadi fokus Nexus , dan terbuka untuk sesiapa sahaja.

“Mana-mana yang mahu mengambil bahagian boleh turut serta, dan kami akan sama-sama berusaha untuk mengembangkan pasaran produk anda,” kata Dr Abd Hapiz.

Tambah beliau, cabaran kami adalah untuk menggalakkan kerjasama antara pemilik PKS, daripada cuba mengatasi antara satu sama lain.

“Daripada bersaing sesama sendiri dalam pasaran tempatan, mereka harus bekerjasama untuk melangkah dalam pasaran asing. Dengan cara ini mereka berpeluang menembusi pasaran luar, kalau tak, nak mulakan langkah pun mereka mungkin tak reti.”

Utamakan keselamatan
 

Dalam industri ini, keselamatan menjadi keutamaan, akibatnya terlalu besar apabila berlaku kemalangan. “Orang ramai akan terus bercakap berkenaan kemalangan tersebut, sehingga menjejaskan reputasi syarikat dan mendatangkan kerugian, tanggungjawab ini terletak pada pemain industri kimia dalam memastikan tiada nyawa yang melayang,” kata Dr Abd Hapiz.

Beliau menambah hal ini begitu penting, kerana setiap kejadian yang berlaku, sekalipun insiden ringan seperti tumpahan kimia, hal ini akan memburukkan lagi persepsi negatif dalam kalangan orang ramai terhadap industri dan memberi gambaran yang buruk terhadap syarikat.

“Kadangkala proses keselamatan ini nampak ketat sangat, namun langkah ini perlu diteruskan supaya kelestarian industri kimia kekal terpelihara pada masa hadapan. Tidak cukup dengan sekadar melatah apabila berlakunya kesilapan, kita perlu peka dengan risiko yang bakal terjadi sepanjang masa.”

“Nexus ini melaung-laungkan kepentingan keselamatan. PKS dan tenaga kerja menjadi fokus utama Nexus ini, tetapi hal ini hanya dapat dilaksanakan apabila semua menitikberatkan keselamatan. Keadaan akan menjadi lebih bagus apabila kita lebih bersungguh mengutamakan keselamatan,” ujar Dr Abd Hapiz. “Kami berharap prinsip Penjagaan Bertanggungjawab ini dipatuhi sepanjang masa, tanpa mengira apa jua pun persekitaran perniagaan pada masa hadapan.

“Pokok pangkalnya, saya ingin semua pihak berasa tenteram memandangkan pemain industri kimia sudah melakukan yang terbaik dalam memelihara keselamatan kakitangannya, serta produk kimia selamat digunakan dan anda boleh yakin dengan makanan yang mengandungi bahan kimia,” kata beliau.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Act, Don’t Just React

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Jadilah Seorang Pemimpin

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com
Alt

Cadangan Buat Kamu

Kerohanian

Bolehkah Anda Membawa Kerohanian Anda untuk Bekerja?

Oleh Claire Harbour, Antoine Tirard, dan Nadav Klein. Terokai kuasa transformatif kerohanian dalam kepimpinan ketika tiga pemimpin dinamik berkongsi perjalanan, cabaran dan kejayaan mereka dalam menyepadukan nilai peribadi ke dalam alam profesional.

Feb 04, 2024 6 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Jadilah Pemimpin: Mengukir Sesuatu Kelainan Yang Ketara

Sesuatu kelainan yang ketara boleh diukir untuk meninggalkan impak yang besar. Tetapi, ia harus bermula dengan anda. Berikut adalah langkah-langkah yang anda boleh ikuti untuk mengukir sesuatu kelainan.

Feb 14, 2017 0 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest