Usahawan Muda Perlu Turun Padang

Aug 26, 2019 4 Minit
usahawan muda

Usahawan muda ini, yang bertanyakan soalan itu, prihatin dengan kelangsungan perusahaan kecil di pasaran. Dia sedang membuat rujukan kepada syarikat gergasi yang dengan mudahnya menyahkan persaingan kerana mempunyai akses kepada lagi banyak sumber.

Menjawab soalan peserta ini, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, menasihati usahawan tersebut agar tidak mudah terikut-ikut dengan trend semasa, tetapi mencari pengkhususan tersendiri.

“Inilah kemanisan menjadi usahawan, susah untuk kita agak produk atau perkhidmatan yang bakal jadi popular. Anda perlu meneroka dan meneliti pilihan yang ada,” ujar beliau.

Wan Suraya menambah, dulu orang ramai akan melihat kepada bantuan kewangan yang disediakan sebelum memutuskan jenis perniagaan untuk diceburi.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan ini bukanlah cara yang terbaik — bakal usahawan seharusnya sudah sedia maklum dengan bidang yang ingin diceburi, yang sepatutnya menepati minat dan kebolehan masing-masing.

“Jangan terus ubah fikiran ikut bantuan yang ditawarkan kerajaan,” katanya. “Inilah resepi kejayaan seseorang usahawan, misalnya Jack Ma. Mereka semua memulakan langkah berpandukan wawasan peribadi.”

Anak muda tersebut merupakan salah seorang daripada 35 peserta dalam Program Pecutan Perniagaan  (Business Acceleration Programme – BAP) anjuran Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ). BAP dilancarkan baru-baru ini dengan kerjasama Institut Keusahawanan Kebangsaan (INSKEN), dalam usaha membantu usahawan baharu mengembangkan perniagaan dan meningkatkan kecekapan operasi perniagaan. Hal ini dilaksanakan melalui kaedah bimbingan dan pementoran selama empat bulan bermula dari 3 Ogos 2019.

Memperoleh panduan dan platform

Khairul Amirin Khairudin, pemilik Kaorin Resources yang berusia 21 tahun, memiliki visi untuk mengubah pandangan terhadap kaedah pertanian di kawasan bandar. Perniagaannya berfokus pada pertanian bandar. Dia mahu mendayaupayakan warga bandar untuk menghasilkan makanan sendiri, “supaya mereka boleh bercucuk tanam dan memetik hasil dengan mudah”.

“Dengan menyertai program ini, saya berharap saya bakal memperoleh panduan dan platform yang boleh membantu mengembangkan idea ini serta (memberi saya peluang) meluaskan rangkaian.”

 

“Apabila saya mula berkecimpung dalam bidang ini, saya tidak tahu-menahu satu apa pun atau mengenali sesiapa yang boleh membantu saya. Tetapi dengan wujudnya program sebegini, kini saya jelas (dengan langkah yang perlu diambil) dan yakin program ini dapat membantu mengembangkan perniagaan dengan pantas.”

Menuntut komitmen 

Setiap peserta dipadankan dengan seorang pembimbing perniagaan (atau lebih dikenali sebagai Biz Kaunselor). Para pembimbing yang juga merupakan usahawan akan melatih peserta dan mengikuti perkembangan anak didik mereka setiap bulan.

Fokus bimbingan ini adalah selaras dengan pendirian MED dalam menawarkan bantuan kewangan kepada usahawan, ujar Wan Suraya.

Kementerian kini tidak terus membantu dari segi geran perniagaan, sebaliknya memainkan peranan sebagai pemudah cara untuk mewujudkan persekitaran yang dapat membantu para usahawan, katanya.

Beliau menambah, walaupun geran dan insentif kewangan yang disediakan kepada usahawan tidak banyak seperti sebelum ini, kementerian kini menawarkan insentif yang menuntut komitmen daripada usahawan.

“Ini kerana kami sedar, perniagaan hanya boleh berkembang maju apabila usahawan komited dengan usaha tersebut, dan komitmen dan disiplin mestilah datang daripada usahawan itu sendiri.”

 

Belajar secara percuma

Nurul Hanisah Md Badrul Hisham, iaitu peniaga telur pindang menjalankan perusahaan Telur Pindang Raja Hawa dengan kakaknya. Dia merupakan contoh usahawan muda berdedikasi untuk melakukan yang terbaik dalam mengembangkan perniagaan.

Dalam usaha memantapkan dirinya dengan bajet yang terhad, dia bersungguh-sungguh melayari Internet untuk mencari program yang dapat melengkapkan diri dengan kemahiran keusahawanan yang diperlukan tanpa sebarang kos, dan inilah yang menemukan Hanisah dengan BAP melalui PROTÉGÉ.

“Program ini mengajar kami cara mengurus perniagaan, cara menentukan kewujudan pasaran bagi sesuatu produk dan kerelevanan produk tersebut, serta cara membungkus produk,” kata pengusaha yang berusia 28 tahun ini.

“Produk utama kami ialah telur tetapi telur mudah pecah, jadi kami perlu tahu cara menjaga telur dengan elok sehingga selamat sampai kepada pelanggan.”

“PROTÉGÉ merupakan salah satu program terbaik anjuran kerajaan, yang ditawarkan kepada semua usahawan muda secara percuma. Selalunya apabila kita ingin menimba ilmu, kita perlu mengeluarkan belanja, maka inisiatif ini sangatlah bagus,” tambahnya.

Maybank.Berkaitan: Mengepalai Keusahawanan Sosial: Tiga Pengajaran Penting

Menambah pengetahuan dan mendapat bimbingan

Ahmad Hakimi Ahmad Sa’ahiry berkongsi, tujuannya menyertai program ini adalah untuk mempelajari strategi kewangan dengan lebih mendalam supaya dapat mengembangkan Mecha Trading, sebuah perniagaan yang menyediakan perkhidmatan membaiki telefon.

Anak muda berusia 24 tahun itu berkata: “Buat masa kini saya bekerja secara bebas dan berhasrat untuk belajar mengenai pemasaran dengan lebih mendalam. Apabila kewangan sudah stabil, saya ingin membuka kedai. Buat masa ini saya ingin tambah pengetahuan dan dapatkan bimbingan daripada orang yang berpengalaman.”

Nor Hidayah Azmi, 32, iaitu pengusaha perniagaan F&B yang dikenali sebagai D’Gelanggi Kitchen di Bangi, Selangor berkongsi, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk memiliki perniagaan sendiri. “Pada awalnya, saya tak rasa nak jadi usahawan pun, tetapi apabila kita tidak menyukai sesuatu, kadangkala kita terjebak juga dalam hal tersebut,” katanya.

“Jadi, saya hanya hadap saja, teruskan usaha, dan belajar daripada pengalaman. Insyaallah, sekarang saya sudah ada perniagaan sendiri. Tu yang saya cakap tadi, kadang-kadang benda yang asalnya kita tak suka, kita terjerumus ke dalamnya dan lama-lama jadi suka, inilah hakikat kehidupan,” kata Nor Hidayah.

Akhir kata

Pada penghujung sesi, inilah nasihat Wan Suraya buat anak-anak muda ini:

“Anda boleh sertai semua latihan di dunia, tetapi anda sendiri perlu berusaha mengerjakan sesuatu, kerana tiada sesiapapun yang boleh menggantikan pengetahuan dan pengalaman anda. Turun padang dan usahakan dengan tulang empat kerat, tetapi pastikan anda memenuhi keperluan pasaran.”

 

“Resepi kejayaan seseorang usahawan berubah mengikut trend, dan hal ini bergantung kepada penerimaan masyarakat, apa pun jua yang berlaku, anda seharusnya menjalankan perniagaan dengan berintegriti,” ujar beliau.

 

Sekiranya anda berminat untuk turut serta dalam PROTÉGÉ, hantarkan e-mel ke balqis.rasid@med.gov.my. Layari laman web rasmi PROTÉGÉ di www.PROTEGE.my atau laman Facebook Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs – Protege bagi mengikuti maklumat dan pengumuman terkini.

 

 

Sila Kongsi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan

Kaleidoskop Kepimpinan

Oleh Rabi'ah Mutalip. Menggabungkan rangka kerja otak yang berwarna ke dalam program pembangunan kepimpinan dan budaya organisasi boleh memupuk budaya kepimpinan yang lebih inklusif dan berkesan di mana individu dihargai kerana kekuatan dan sumbangan unik mereka, tanpa mengira warna otak mereka.

Feb 27, 2024 4 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

'Tamparan Idea' ialah podcast Bahasa Melayu yang mengupas topik dan isu semasa berkaitan dengan kepimpinan. Program ini diceriakan oleh Waheeda Hasbullah, seorang pengacara yang sentiasa membawa aura gembira kepada anda semua. Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Kepimpinan Itu Ekstrem

Kepimpinan ekstrem adalah gelagat pemimpin yang hebat. Mereka bijak memilih tindakan yang bersesuaian dengan keadaan dan masa. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Kepimpinan Itu Sesuatu Yang Ekstrem!

Jul 16, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest