Belajar Dengan Bermain

Jul 18, 2018 1 Minit
budak belajar sambil bermain
Belajarlah Bagaimana Belajar dengan Bermain

Ahli psikologi pembangunan manusia, Jean Piaget mendapati bahawa

‘bermain adalah jawapan bagi kemunculan penemuan baharu.’ 


Semasa kecil, kita mungkin penuh dengan rasa ingin tahu dan imaginasi kreatif. Namun demikian, ketegaran pendidikan konvensional sering sahaja membantutkan kecenderungan semula jadi seseorang dalam meneroka dan bereksperimen apabila meningkat dewasa. Kita memilih untuk patuh pada aturan, struktur dan peraturan ketat, menggantikan sifat suka bermain, rasa ingin tahu dan inovasi.

Di sekolah, kita diberi arahan supaya tidak mewarna di luar garisan. Apabila melukis pokok, mestilah kelihatan seperti pokok. Malah, dua kord muzik tidak boleh dimainkan bersama-sama. Dari segi bahasa pula, tatabahasa dan sintaksis mengatasi rekaan dan penggunaan perkataan baharu secara kreatif, sebuah pandangan yang mungkin memeranjatkan P.G. Wodehouse dan Oscar Wilde.

Jean Piaget meratapi, “Masalah sebenar kita ialah kita perlu ketahui apakah matlamat pendidikan? Adakah kita membentuk anak-anak untuk mengerti belajar perkara yang sudah diketahui sahaja? Atau patutkah kita berusaha mengembangkan minda secara kreatif dan inovatif, supaya mampu meneroka benda baharu sejak dari zaman prasekolah dan untuk sepanjang hidup?”

Faedah bermain

Bagi golongan tradisional, pembelajaran merupakan urusan yang serius. Ini sememangnya betul. Walau bagaimanapun, penyediaan pembelajaran dalam persekitaran yang tegar dan tanpa perisa menggugat komponen pembelajaran yang paling penting bagi pelajar. Hari ini, dalam bidang pendidikan, pengajaran dipandang sebagai cara untuk membantu pelajar lulus peperiksaan, tetapi matlamat pendidikan yang sebenar pastinya untuk memupuk pemikiran kritis, memperdalam rasa ingin tahu, dan merangsang kreativiti.

Kemampuan bermain dalam persekitaran pendidikan penting bagi perkembangan kanak-kanak. Hal ini membantu memupuk imaginasi dan ketangkasan, serta membina kekuatan kognitif, fizikal dan emosi.

Memahami dunia sekeliling

Bermain membolehkan kanak-kanak memahami dunia di sekeliling, mewujudkan hubungan sosial dan penemuan menarik. Bermain, menurut Piaget, merupakan cara tercetusnya kemajuan. Bermain pada dasarnya merupakan pengalaman yang kita peroleh hasil interaksi antara satu sama lain dan dunia di sekeliling.

Tidak berapa lama yang lalu, saya telah meluangkan sehari suntuk dengan Ketua Pegawai Eksekutif dan ahli psikologi, Dr Goh Chee Leong. Kami berdua meratapi tentang betapa perlunya elemen ‘pengalaman’ disemai dalam bidang pendidikan.

Tanpa berlengah-lengah, Dr Goh menawarkan sekolahnya, Help International School (Sekolah Antarabangsa HELP) untuk digunakan dalam usaha menyemai pengalaman kepimpinan dalam kurikulum supaya kanak-kanak dapat betul-betul belajar daripada pengalaman. Dia juga menyatakan kepercayaannya bahawa bermain tidak membuang masa, namun penting sekali bagi perkembangan kanak-kanak. Sesungguhnya, tanggapan sesetengah pihak bahawa bermain itu membuang masa kini diakui oleh penyelidik sebagai pandangan sesat.

Menjalin hubungan

Bermain membantu kita berhubung, bukan hanya dalam kalangan kanak-kanak, tetapi juga untuk mereka yang sedang meningkat dewasa. Ini boleh dilihat di padang golf, padang bola sepak, dalam kem bina pasukan dan juga di pejabat, apabila kreativiti dan inovasi menjadi tonggak kejayaan. 

Dr Stuart Brown mengetuai sebuah organisasi bukan untung, National Institute for Play. Tujuan organisasi ini adalah untuk merungkai potensi manusia melalui ‘permainan dalam setiap peringkat kehidupan, dengan menggunakan sains untuk meneroka segenap perkara yang boleh dipelajari melalui permainan bagi mengubah dunia.’

Dalam temu bual dengan npr.org, ujarnya, “Apabila anda perhatikan orang dewasa yang berkemahiran mula kurang bermain dengan ketara, mereka menjadi kurang seronok, kurang tekun dan gembira, dan hidup lebih renyah.”

Mengekalkan maklumat

Secara purata, kajian mendapati bahawa otak manusia mampu mengekalkan tumpuan selama lebih kurang 20 minit sebelum fokus mula tersasar.
Belajar sesuatu yang baharu acapkali mencabar dan sekiranya bahan tersebut dibentangkan dalam cara yang konvensional dan linear, agak susah untuk memproses segala macam maklumat sehingga melekat. Kebarangkalian ini meningkat apabila kita perlu belajar kemahiran atau proses yang baharu, tanpa mengira sejauh mana kita berminat dengan subjek tersebut.

Suatu ketika yang lepas, saya telah dijemput untuk berucap di Dwi Emas International (Sekolah Antarabangsa Dwi Emas) kepada hadirin yang terdiri daripada pemimpin yayasan. Sekolah itu mempersembahkan sesuatu yang istimewa, iaitu cara pelajar mempelajari rumus kimia dan sains kompleks melalui tarian. Ya, tarian.

Setiap pelajar berkongsi rumus kompleks yang khusus dan kemudiannya menunjukkan suatu gerakan tarian yang membantu mereka mendalami dan mengingat rumus tersebut. Inilah contoh hebat yang membuktikan bermain (dalam hal ini, menari!) boleh membantu sains nampak hidup bagi para pelajar.

Gamifikasi

Mari kita terokai gamifikasi, apabila unsur-unsur permainan diterapkan dalam bidang pembelajaran. Dengan menerapkan konsep bermain dalam pembelajaran, kita lebih bersedia untuk belajar dengan mantap kerana pembelajaran menjadi menyeronokkan, sesuatu yang kita sendiri mahu ambil bahagian.

Pendekatan ini digunakan dengan baik dalam aplikasi bahasa, yang merangkumi permainan, tahap, mata dan papan pemain bagi membantu pengguna mencartakan kemajuan dalam mempelajari bahasa baharu. Dengan adanya dorongan semula jadi untuk mengatasi skor terbaik atau berjaya mara ke peringkat seterusnya, kita pun mahu menaikkan kedudukan di papan pemimpin secepat mungkin.

Tidak berapa lama yang lalu, kami memutuskan untuk menyediakan Learning Management System (Sistem Pengurusan Pembelajaran) bagi syarikat. Dengan menjalankan usaha ini bersama CourseNetworking, yang dimiliki oleh University of Indiana-Purdue, kami mula sedar bahawa setiap kandungan yang disediakan harus diterapkan dengan unsur gamifikasi. Malah, dalam setiap aspek perniagaan, sama ada berkaitan dengan penglibatan kakitangan atau komunikasi, elemen permainan perlu diterapkan.

Semua ini membawa kepada pembelajaran mendalam dalam kalangan peserta kerana pemahaman akan perkara yang dipelajari boleh dikira sebagai kejayaan, ‘kenaikan pangkat’, atau membuka pintu kepada pencapaian.

Bandingkan kaedah pembelajaran sebegini, misalnya dalam mempelajari bahasa Perancis melalui penggunaan audio dengan mengungkapkan perkataan Perancis yang terdapat pada halaman kertas. Bertutur dalam bahasa baharu akan mempercepat kemajuan ke peringkat tertentu, namun demikian, pembelajaran konvensional selalunya kekurangan unsur cabaran, saingan, dan ganjaran, tidak seperti yang ditawarkan melalui permainan.

Cara terbaik untuk belajar adalah bermain kerana dengan permainan, kita lebih fokus pada tugas yang sedang dilaksanakan, hakikatnya kita benar-benar mempunyai sesuatu untuk dibawa bermain. Dengan menerapkan gamifikasi dalam pembelajaran, banyak benda yang kita pelajari lebih senang melekat kerana maklumat yang diproses dipaparkan secara menarik dan merangsang minda, yang membuatkan kita terus terpegun, tidak seperti yang berlaku dalam pembelajaran tradisional.

Lembaga pengarah pun boleh bermain 

Hampir setiap bulan, saya akan dijemput untuk memudah cara perjalanan mesyuarat lembaga syarikat. Umumnya, ahli lembaga mempunyai pendekatan tradisional dalam membincangkan isu utama dan membuat keputusan.
Tahun lepas, saya memudah cara mesyuarat lembaga yang dihadiri oleh Gary Neville, bekas bintang bola sepak Manchester United. Dia mengajukan soalan kepada saya sewaktu makan tengah hari, sebelum sesi mesyuarat bermula, berkenaan aktiviti yang bakal dilakukan dalam mesyuarat lembaga.

Saya tersenyum girang seraya menjawab, “kita akan bermain Lego hari ini.” Dan itulah yang kami buat. Kami akhirnya mengendalikan sesi mesyuarat lembaga sambil bermain blok Lego — menggunakan permainan Lego dalam membuat keputusan yang kritikal dan menyelesaikan masalah yang dihadapi. Dan sedang mereka bermain dan ralit dalam permainan, setiap orang memberi input, lantas sesi lembaga menjadi sangat produktif.

Akhir kata

Sekiranya kita melihat para pencipta terunggul hari ini seperti Elon Musk, Mark Zuckerberg dan Lori Greiner, semua kisah kejayaan mereka bertitik tolak daripada usaha membuat perkara yang disukai dan mencari cara untuk mengatasi onak dan duri.

Sebagai orang dewasa, kita bukannya perlu kurang bermain, sebaliknya kita perlu lebih kerap bermain, dengan harapan dapat menerokai idea baharu supaya mampu mengubah dan menjadikan dunia ini lebih baik.
Jadi, berusahalah bermain dengan kakitangan dan ahli pasukan. Terapkan budaya bermain dalam organisasi, sekalipun dalam mesyuarat lembaga, dan lambat laun, semua dalam organisasi dapat belajar dan berkembang maju dengan lebih jitu. Jadi, bermainlah!

Untuk mengetahui tip untuk bekerja secara efektif sambil bermain, tengoklah video ini

Syarikat-syarikat di Malaysia dan Indonesia boleh memajukan kegiatan pekerja/employee mereka dengan menggunakan app Happily (atau Budaya). App ini membolehkan setiap pekerja untuk berinterasi dengan 'manager' serta pekerja yang lain secara 'gamifikasi' dan memastikan 'engagement' serta produktivi mereka meningkat. Untuk mengetahui secara lebih tentang app ini, sila clik sini atau emal info@leaderonomics.com

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Anda Seorang Pemimpin

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Pekerja gembira

Life@Leaderonomics: Selamat Hari Pekerja daripada Kami Semua!

Pejabat Leaderonomics pernah dipaparkan sebagai salah satu daripada 10 pejabat paling berinspirasi di Malaysia. Pengasas membina pejabat yang terasa seperti di rumah selepas menyedari bahawa perubahan persekitaran boleh mengubah tingkah laku orang ramai.

Apr 30, 2023 1 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Menjadi Pendengar Yang Aktif: 10 Cara Terbaik

Kemahiran mendengar perlu dikuasai. Kita mesti pendengar yang aktif, dengan niat untuk memahami. Dengan itu, komunikasi berkesan dapat dijalin.

Oct 20, 2017 7 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest