Pihak Pengurusan Patut Memberi Perhatian ke Kemerdekaan Dalam Organisasi
Kemerdekaan merupakan konsep yang penting dalam kehidupan manusia. Pada peringkat asasnya setiap individu mengehendaki kemerdekaan bagi diri sendiri. Tidak ada insan yang mahukan dirinya dijadikan hamba yang dimiliki orang lain.
Hamba abdi merupakan amalan yang agak biasa sejak berkurun lamanya. Tetapi perjuangan untuk kemerdekaan diri menyebabkan amalan ini dikecam oleh seluruh umat manusia yang menyedari betapa pentingnya kebebasan diri.
Kemerdekaan seterusnya pada peringkat yang lebih tinggi ialah kemerdekaan tempat tinggal atau negara. Negara kita Malaysia memperoleh kemerdekaan setelah dijajah selama beratus-ratus tahun oleh kuasa-kuasa besar. Kemerdekaan yang dicapai pada tahun 1957 amat dihargai dan kita menyambut ulang tahunnya setiap tahun.
Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 pula melihat kesatuan beberapa entiti yang merdeka iaitu Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura. Singapura meninggalkan persekutuan setelah dua tahun pembentukan Malaysia. Konsep negara yang merdeka bermakna sesebuah negara yang diperintah oleh rakyat sendiri dan mempunyai kedaulatan serta kebebasan untuk melakukan tadbir urus mengikut acuan sendiri.
Kemerdekaan dalam organisasi
Lanjutan daripada konsep kemerdekaan tersebut, maka ada baiknya juga dilihat tentang kemerdekaan dalam organisasi – satu perkara yang jarang diperkatakan.
Mungkin ada yang tidak pernah memikirkan tentang konsep kemerdekaan dalam organisasi, khususnya terhadap pekerja. Mungkin ramai yang tidak merasakan bahawa kemerdekaan dalam organisasi merupakan isu yang perlu dilihat atau dikaji secara lebih dekat.
Apabila seseorang pekerja diambil bekerja dalam sesebuah organisasi, sudah tentulah ada pelbagai macam peraturan dan syarat yang dikenakan terhadap pekerja oleh pihak majikan.
Majikan perlu memastikan bahawa pekerja mempraktikkan amalan-amalan yang baik berlandaskan prinsip organisasi tersebut. Pekerja yang memilih untuk bekerja dalam organisasi itu pula akan menyatakan persetujuan terhadap segala peraturan yang dikenakan sebelum diambil untuk menyertai organisasi tersebut.
Jika seseorang pekerja merasakan bahawa organisasi yang mahu disertainya mempunyai terlalu banyak peraturan yang mengekang kebebasannya, maka pekerja mungkin tidak akan menerima tawaran untuk bekerja di organisasi tersebut.
Kebebasan dalam minda pekerja merupakan satu perkara yang boleh dianggap agak subjektif. Ada pekerja yang sanggup mengikut peraturan dan tidak menganggap dirinya disekat tetapi ada juga individu lain yang mungkin beranggapan bahawa peraturan yang sama tadi menyekat kebebasannya.
Kebebasan dalam organisasi berkait rapat dengan konsep kemerdekaan dalam negara. Walau bagaimanapun perlu dilihat bahawa sekatan terhadap perkara tertentu dalam peraturan sesebuah organisasi mungkin dianggap perkara yang biasa oleh kebanyakan pekerja.
Contohnya, peraturan bahawa seseorang pekerja tidak boleh mendedahkan perkara-perkara sulit dalam organisasi kepada pihak luar. Ini mungkin satu peraturan yang lumrah dalam mana-mana organisasi dan tidak sepatutnya dianggap sebagai penyekatan terhadap kebebasan atau kemerdekaan pekerja.
Walau bagaimanapun, konsep kemerdekaan yang mahu diutarakan dalam artikel ini menyentuh perkara yang bukan peraturan rutin tetapi layanan terhadap pekerja dari segi intelektual dan kebebasan untuk meluahkan pendapat dan idea.
Hak intelektual pekerja
Kita mungkin pernah mendengar luahan daripada orang lain yang kita kenali atau pernah mengalami sendiri tentang konsep kebebasan intelektual dalam organisasi.
Dalam sesebuah organisasi ada amalan tertentu yang dilakukan oleh pihak pengurusan atau ketua organisasi yang boleh menjadi isu kemerdekaan terhadap pekerja. Ada ketua organisasi dan pihak pengurusan yang mahu pekerja menerima sahaja arahan yang dikeluarkan dan tidak mempersoalkan sebarang keputusan pihak atasan.
Dalam organisasi sedemikian tidak ada ruang untuk pekerja meluahkan pendapat dan maklum balas terhadap keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan. Kita sudah tentu beranggapan bahawa pihak pengurusan tahu perkara yang baik dan buruk untuk organisasi lalu membuat sesuatu keputusan tersebut.
Malangnya ada pihak pengurusan yang membuat keputusan yang memberi kesan terhadap pekerja bawahan tanpa merujuk kepada pekerja tersebut. Malahan mereka langsung tidak mengambil sebarang maklum balas sama ada pekerja bersetuju atau tidak tentang perubahan yang dicadangkan.
Pihak pengurusan yang tidak mempunyai maklumat yang cukup atau lengkap tentang sesuatu perkara yang sedia ada dalam organisasi tetapi cuba mengubah keadaan akan mengundang rasa tidak puas hati pekerja bawahan. Ini adalah kerana operasi sebenarnya dilakukan oleh pekerja bawahan dan mereka mungkin lebih arif tentang perkara-perkara tertentu dalam amalan kerja mereka.
Manipulasi kebebasan pekerja
Malah ada ketua yang membuat keputusannya terlebih dahulu sebelum perkara tersebut dibincang dalam sesuatu jawatankuasa atau mesyuarat.
Ada organisasi yang mempunyai struktur jawatankuasa atau ahli mesyuarat yang dipilih daripada kalangan pengurusan pertengahan dan bawahan untuk sama-sama memikirkan dan mengesahkan sesuatu keputusan yang seterusnya dibawa kepada pihak pengurusan tertinggi untuk kelulusan.
Jika ketua atau wakil pengurusan atasan yang diberikan amanah untuk mengendalikan mesyuarat jawatankuasa ini pula merupakan seorang ketua yang sudah membuat keputusan muktamadnya sendiri sebelum masuk ke mesyuarat, maka tidak ada peluang untuk ahli mesyuarat menyuarakan pendapat yang bertentangan atau menyoal keputusan itu tadi.
Dalam hal ini, ketua tersebut menyalahgunakan jawatankuasa tersebut sebagai cap mohor terhadap keputusannya sendiri. Ini merupakan amalan yang negatif dan dibenci malah dicemuh oleh pekerja bawahan.
Manipulasi oleh ketua ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli mesyuarat kerana mereka tahu bahawa pekerja bawahan yang diwakili mereka dalam mesyuarat tersebut akan merasa tidak puas hati dan menuduh bahawa mereka tidak pandai menegakkan hak dan keadilan.
Perkara sebenarnya ialah sikap negatif ketua yang mahu memaksa keputusannya terhadap pekerja dalam organisasi. Dia membawa usul tersebut kepada pihak atasan dan mempersembahkannya sebagai perkara yang dipersetujui di peringkat jawatan kuasa yang dipengerusikannya. Ini adalah satu contoh ketua atau organisasi yang mempunyai mentaliti penjajah dan tidak memberikan kemerdekaan intelektual kepada pekerja.
Belenggu penjajah organisasi
Pekerja yang tidak diberikan peluang meluahkan idea dan pendapat untuk memajukan organisasi bolehlah dianggap sebagai pekerja yang tidak merdeka. Pekerja ini masih dijajah mindanya oleh pihak atasan.
Segala keputusan pihak atasan yang secara terangnya dianggap akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan tetapi dipaksa terhadap pekerja dalam organisasi boleh dianggap meragut kemerdekaan pekerja.
Sudah tentulah ada kalanya pihak pengurusan sudah mempunyai cukup maklumat dan bukti bahawa sesuatu amalan sedia ada tidak lagi berfungsi untuk kebaikan organisasi dan perlu diubah.
Maka keputusan untuk mengubah amalan merupakan satu kebaikan kepada organisasi tetapi cara melakukannya pula perlu diberi perhatian. Segala perubahan atau perkara baharu perlu diberikan penjelasan secara terperinci dan mendalam kepada semua pekerja yang terkesan daripada pelaksanaannya.
Maklum balas dan idea daripada pekerja perlu diperoleh untuk memastikan bahawa ada rasa kesepunyaaan semua pihak dalam melaksanakan perubahan bagi kebaikan bersama. Persetujuan perlulah juga dibuat dengan pekerja terlibat tentang jangka waktu yang sesuai untuk pelaksanaan perubahan atau amalan baharu.
Pekerja yang diberikan peluang meluahkan idea dan pendapat oleh pihak atasan akan merasa keseronokan bekerja. Apatah lagi jika penghargaan diberikan kepada idea-idea bernas yang diangkat untuk dijadikan amalan yang membawa kemajuan kepada organisasi. Pekerja dalam organisasi ini boleh dianggap mengecapi kemerdekaan.
Kesimpulan
Kemerdekaan dalam organisasi ialah konsep penting yang perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak pengurusan. Keseronokan bekerja dan rasa kesepunyaan akan membuahkan hasil yang lumayan serta menjamin ketaatan pekerja terhadap organisasi.
Leaderonomics mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan Ke-60 kepada semua Anak Malaysia!
Dr. Gurcharan Singh Bishen Singh ialah Pensyarah Kanan Open University Malaysia dalam bidang pengurusan dan kepimpinan pendidikan. Beliau berpengalaman berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia dalam bidang latihan untuk kepemimpinan sekolah dan bakal pemimpin. Beliau boleh dihubungi melalui editor@leaderonomics.com.
Artikel ini adalah pendapat penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan pihak Leaderonomics.
Oleh Arun Nagarajah. Temui arah aliran masa depan dalam kepimpinan digital dan pasaran pembangunan: peningkatan pendedahan jenama, saluran pemasaran yang dipertingkatkan dan kuasa bukti sosial.
Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.