Acapkali saya diajukan soalan berkaitan kualiti terpenting bagi seseorang pemimpin. Pada hemat saya, asas kepimpinan berkisar pada sifat keprihatinan.
Kita selalu dengar ungkapan, ‘pekerja bukannya meninggalkan pekerjaan, tetapi mereka cabut lari dari bos’. Pendapat sebegini mungkin kelihatan cetek, namun demikian, hakikatnya tidak boleh dinafikan langsung.
Pemimpin yang, misalnya suka meneliti hal remeh-temeh, menumpukan fokus pada benda negatif, sering mendesak kakitangan dan ghaib terlalu lama, tidak membantu dalam menangani kadar pusing ganti organisasi.
Sebaliknya, kakitangan yang mempunyai pemimpin yang sanggup meluangkan masa dengan mereka, yang memberi kebebasan dan ruang kepada mereka untuk bekerja secara anjal, serta komited dalam pembangunan diri mereka selalunya agak keberatan untuk meletak jawatan sekalipun mereka memperoleh tawaran kerja yang lebih baik.
Saya rasa lucu apabila pemimpin hari ini bercakap tentang ‘pekerja didahulukan’, seolah-olah idea ini baru disedari dan bersifat radikal, sedangkan inilah yang sepatutnya diamalkan. Seperti yang saya selalu sebut, pemimpin adalah konduktor sesebuah organisasi. Dia menetapkan hala tuju pasukan demi mencapai hasil yang hebat. Ahli pasukan pula memainkan peranan untuk menjayakan hala tuju yang ditetapkan supaya membuahkan hasil.
Oleh itu, kenapa sifat prihatin begitu penting dalam kepimpinan? Sepertimana Ketua Pegawai Facebook, Sheryl Sandberg, pernah berkata, “Kepimpinan melibatkan sejauh mana kewujudan anda menjadikan kehidupan insan lain lebih baik dan memastikan impak tersebut kekal berpanjangan sekalipun anda sudah tiada.”
Bayangkan insan yang paling anda suka luangkan masa bersama-sama. Ada kemungkinan, insan-insan inilah yang bakal menaikkan anda, memberi anda galakan, menolak anda (dengan cara yang betul), dan berhubung rapat dengan anda seikhlas hati. Inspirasi yang dicetuskan oleh mereka meninggalkan kesan berpanjangan dan anda ternanti-nanti saat untuk bertemu kembali dengan mereka.
Sekarang, cuba fikirkan seseorang yang anda mahu elak daripada bertemu. Apakah perbezaan antara mereka dengan golongan yang pertama? Sejauh mana mereka mengacau hidup anda? Adakah mereka membantu anda menjadi lebih baik, atau menghabiskan tenaga sahaja? Adakah mereka memberi anda galakan atau menyebabkan anda patah semangat?
Seperti yang dikongsikan oleh Michelle Obama, mereka yang betul-betul kuat menambah baik kehidupan insan lain dan menghubungkan sesama manusia. Inilah ukuran sebenar kepimpinan yang hebat.
Ada pemimpin yang memandang kemahiran insaniah ini — sifat prihatin terhadap orang lain — hanya penting untuk golongan yang tidak menitikberatkan untung rugi syarikat. Hakikatnya, pemimpin yang mengambil berat tentang pekerja dan menzahirkannya melalui perbuatan bakal menikmati keuntungan berlipat ganda kerana pekerja lebih komited untuk mencapai matlamat dan objektif organisasi apabila mereka merasa diri dihormati dan dihargai.
Jadi, apakah cara untuk memupuk sifat prihatin terhadap pekerja dalam kalangan pemimpin? Berikut merupakan beberapa cadangan daripada saya:
1. Cuba rapatkan diri dengan pekerja
Kenali pekerja anda. Bilakah hari lahir mereka? Adakah mereka berkeluarga? Adakah mereka mempunyai minat atau hobi yang menarik? Apakah yang membuatkan mereka rasa terdorong? Sekiranya bekas Presiden Amerika Syarikat boleh meluangkan masa untuk mengenali pekerjanya, mana-mana pemimpin boleh mengusahakan hal yang sama. Malah, mengetahui nama seseorang dan satu dua perkara tentang mereka boleh meninggalkan kesan positif sehingga pekerja merasakan anda mengambil berat tentang mereka.
2. Bagaimana mereka mahu menyumbang?
Apabila pemimpin bertanya tentang peranan yang ingin dimainkan oleh pekerja dalam organisasi dan cara mereka mahu menyumbang kepada syarikat, pekerja akan berasa bahawa mereka bertanggungjawab dalam menentukan prestasi organisasi. Ramai pekerja berasa diri bagaikan ‘melukut di tepi gantang’. Pemimpin yang hebat meranapkan perspektif sedemikian dan bersungguh-sungguh menggalakkan pekerja menghargai diri sendiri supaya pekerja menyedari nilai mereka terhadap syarikat.
3. Beri pekerja maklum balas yang sewajarnya
Sesetengah pemimpin memberi maklum balas acuh tak acuh, akibatnya pekerja menjadi keliru. Adakah kerja mereka bagus, ataupun sebaliknya? Adakah pencapaian mereka cukup-cukup makan? Adakah peranan mereka penting? Maklum balas yang bermakna dan khusus mengikut setiap individu akan memberikan pekerja pandangan praktikal untuk menambah baik hasil kerja dan yakin dengan kelebihan diri.
4. Tanya pekerja tentang cara anda boleh membantu mereka
Secara amnya, pekerja cuba memainkan peranan masing-masing tanpa ‘menyusahkan’ pemimpin-pemimpin mereka. Mereka sedar pemimpin dan pengurus sibuk, jadi kebanyakannya berusaha untuk menyiapkan tugasan tanpa banyak songeh. Pemimpin yang berkesan suka benar menawarkan bantuan kepada pekerja, “Apa yang boleh saya buat untuk anda? Ada apa-apa yang anda perlukan supaya dapat membuat kerja dengan lebih baik?”
Kesungguhan anda dalam membangunkan pekerja supaya mereka dapat berkembang lebih maju merupakan cara yang sangat berkesan untuk menzahirkan keprihatinan anda terhadap mereka. Apabila anda meluangkan masa dan tenaga dalam aspek ini, saya pasti anda bakal memperoleh pulangan besar hasil daripada pelaburan tersebut.