Keseimbangan Antara Tahap Organisasi Dan Tahap Pekerja

Mar 07, 2017 1 Minit
keseimbangan, tahap tinggi

Apabila seseorang pekerja menyertai sesebuah organisasi, adakah tahap pekerja ini yang penting ataupun tahap organisasi yang disertainya? Jika kita perhatikan dengan teliti, maka didapati bahawa organisasi yang baru ditubuhkan besar bergantung kepada tahap kualiti pekerjanya untuk membina reputasi. Sebaliknya, bagi organisasi yang sudah matang dan berkualiti, tahap pekerja adalah penting tetapi tahap kualiti organisasi itulah sebenarnya yang memberi kredibiliti kepada individu yang menyertainya.

Tahap organisasi bergantung kepada kepimpinannya

Kita juga tidak dapat menafikan bahawa tahap organisasi yang matang banyak bergantung kepada kepimpinannya. Seseorang ketua atau pemimpin organisasi yang berkualiti tinggi akan mampu mengekalkan kehebatan dan kualiti organisasinya tetapi pemimpin yang tidak begitu cemerlang pula mungkin akan menyebabkan tahap organisasinya menurun. Jika pemimpin yang tidak progresif ini dibiarkan memimpin bagi tempoh masa yang lama, ramai pekerja yang berkualiti akan menemui kekecewaan jika suara atau idea mereka tidak digunakan dan diketepikan oleh pemimpin itu. Kualiti organisasi mungkin tidak akan jatuh sama sekali jika pengoperasian organisasi berlandaskan sistem yang sudah mantap tetapi lama-kelamaan keadaan dalam organisasi ini akan terjejas juga jika terus dipimpin secara tidak berkualiti.

Kesan tahap kualiti pekerja terhadap organisasi

Jika sesebuah organisasi yang sudah meningkat namanya dari segi kecemerlangan mula mengambil pekerja yang sanggup berusaha dan meningkatkan kualiti diri mereka, maka kualiti pekerja ini akan turut meningkat ke tahap kualiti organisasi.

Kecelakaan pula akan melanda organisasi itu apabila pekerja yang menyertai organisasi tersebut mempunyai kualiti yang rendah dan tidak mempunyai keinginan mahupun inisiatif untuk meningkatkan diri. Lama-kelamaan, pekerja ini akan membawa risiko kepada organisasinya, menurunkan tahap kualiti di organisasi berkenaan. Dalam erti kata lain, pekerja ini tidak meningkatkan tahapnya untuk mencapai tahap tinggi organisasi tetapi menarik turun tahap organisasi ke tahapnya yang rendah.

Kepincangan akan bertambah apabila pekerja yang rendah tahapnya ini menjadi orang penting dalam organisasi dan memilih pula pekerja baharu yang lain yang mempunyai tahap yang lebih rendah pula daripada tahapnya sendiri. Ini menjadi lebih nyata apabila ramai pekerja sedemikian mempunyai kedudukan penting dalam organisasi tersebut. Bayangkan tahap organisasi yang tinggi ditarik ke bawah oleh pekerja-pekerja yang berkualiti rendah dan tahap organisasi terus merudum apabila kumpulan pekerja ini menjadi ketua dalam organisasi dan memilih pekerja baru yang mempunyai tahap yang lebih rendah pula daripada tahap mereka sendiri.

Kumpulan yang berpengaruh tetapi tidak berkualiti tinggi

Tetapi persoalannya, mengapa pula pekerja yang menjadi ketua dalam organisasi memilih orang yang lebih rendah kualiti daripada dirinya sendiri? Ini boleh terjadi kerana ketua ini mahu merasakan dirinya lebih hebat daripada pekerja bawahannya. Ini juga helah untuk membolehkan dirinya kelihatan hebat. Malangnya kecelakaan organisasi akan melanda kerana tahap kualiti organisasi akan semakin menurun.

Perkara ini lebih runcing apabila seseorang ketua dalam organisasi memberi muka dan menjadikan satu kumpulan pekerja yang tidak produktif sebagai kuncu-kuncunya. Sikap kronisme ketua yang sememangnya tidak berkualiti itu akan menimbulkan satu kumpulan yang berpengaruh dalam organisasi tetapi tidak mempunyai kualiti yang tinggi. Malang terus menimpa organisasi apabila kumpulan yang berpengaruh ini diberikan keistimewaan dalam organisasi dan diangkat menjadi kumpulan pengurusan yang berkuasa memilih pekerja baharu dalam organisasi.

Kelemahan kumpulan ini lama-kelamaan terserlah juga apabila ramai yang mula mempersoalkan kualiti pekerja baru yang dipilih oleh ahli kumpulan kroni ini. Persoalan mungkin ditimbulkan oleh kumpulan pekerja-pekerja yang berkualiti tinggi dalam organisasi yang sama atau pun apabila berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan dan ketua yang baharu mula memimpin organisasi. Apabila ditimbulkan persoalan tentang sebab organisasi boleh menerima pekerja yang dianggap tidak begitu layak, ada kemungkinan ahli kumpulan pengurusan yang lemah ini mula berpura-pura tidak mengetahui tentang kejadian ini dan mungkin tidak mahu mengaku bahawa mereka terlibat dalam proses pemilihan staf baharu itu. Masing-masing berpura-pura kehairanan dan menyembunyikan peranan mereka dalam merosakkan dan menjejaskan kualiti organisasi.

Perkara ini cuma contoh ilustrasi tentang kepincangan yang boleh melanda organisasi disebabkan sikap pemimpin yang tidak berketerampilan dan suka mendapatkan sokongan daripada pekerja-pekerja kroninya. Sokongan terpaksa diraih daripada kumpulan pekerja itu kerana pemimpin ini tahu bahawa dia tidak mempunyai kemampuan sebagai pemimpin yang baik dan itulah caranya untuk menutup ketidakupayaannya dalam kepimpinan. Pekerja-pekerja berkenaan pula sedar bahawa mereka tidak berkemampuan untuk meraih kedudukan yang dihormati dalam organisasi kecuali dengan cara merapatkan diri dan menjadi kuncu-kuncu pemimpin yang lemah ini.

Pemimpin mesti perlu peka tentang tahap organisasi

Sepatutnya, pihak pemimpin dalam organisasi perlu peka dan sedar tentang tahap organisasi mereka. Mereka perlu memastikan bahawa pekerja dalam organisasi menaikkan martabat organisasi ke tahap yang lebih baik. Ini akan berlaku apabila pekerja yang dipilih merupakan pekerja yang berkualiti tinggi atau berpotensi tinggi. Jika pun pekerja yang dipilih tidak sebegitu tinggi kualitinya, pemimpin organisasi perlu memastikan bahawa pekerja baharu akan dinaikkan tahap mereka menyamai tahap organisasi.

Pekerja lama dalam organisasi yang tidak memberi perkhidmatan yang berkualiti perlu dikenal pasti dan ditingkatkan kualiti perkhidmatan mereka. Pekerja lama ini tidak sepatutnya dibiarkan mempengaruhi pekerja baharu dalam organisasi dengan mengajak pekerja baru mengikuti rentak mereka. Pekerja baharu yang mempunyai kualiti yang baik mungkin bersemangat untuk bertugas dan membawa kebaikan kepada organisasi dan meningkatkan tahap diri sendiri. Namun apabila kumpulan dominan yang berkualiti rendah mempengaruhi pekerja baharu untuk turut serta dalam kumpulan majoriti mereka, maka organisasi bakal menjadi lebih lemah.

Pekerja yang baharu sememangnya terdorong untuk mencari afiliasi dengan kumpulan yang dominan dalam organisasi yang baru disertai supaya hidup mereka dalam organisasi akan menjadi lebih selesa dan terjamin. Sebaliknya, mungkin ada pekerja baharu yang berkualiti tinggi yang tidak mahu menyertai gabungan kumpulan yang dominan itu. Mereka sudah tentu akan merasai tekanan, kesukaran dan cabaran. Bukan cabaran tugas tetapi cabaran dalam bentuk ancaman secara langsung dan tidak langsung daripada kumpulan yang majoriti itu. Perkara ini menjadi lebih kronik apabila kumpulan yang tidak produktif ini menjadi kumpulan dominan dan mendapat sokongan daripada pengurusan atasan. Akhirnya tahap tinggi pekerja akan dipaksa turun ke tahap organisasi yang rendah.

Pemilihan pekerja adalah penentu masa hadapan organisasi 

Pemilihan pekerja dalam sesebuah organisasi merupakan tahap kritikal dalam menentukan kejayaan dan masa hadapan organisasi tersebut. Proses pemilihan yang teliti dan tidak melibatkan unsur-unsur yang berpengaruh seperti nepotisme dan kronisme akan memberikan kelebihan kepada organisasi tersebut. Penglibatan dan pengaruh yang malangkaui prestasi sebenar seseorang pekerja mungkin tidak menampakkan kesan serta-merta tetapi lama-kelamaan akan menjejaskan organisasi berkenaan. Organisasi itu mungkin bernasib baik jika ada pemimpin baharu yang sedar akan masalah tersebut dan membawanya ke perhatian semua ahli untuk diambil tindakan. Namun, ini juga bergantung kepada pemimpin baharu tersebut, sama ada berani membawa perubahan untuk meningkatkan organisasi atau turut berada dalam buaian rendah yang selesa tetapi bakal mencecah tanah.

Keseimbangan antara tahap organisasi dan tahap pekerja

Persoalan tentang tahap organisasi dan tahap pekerja ini penting kerana kesedaran tentang hal ini membantu organisasi dan kesemua pekerja dalam organisasi tersebut. Pihak pengurusan memainkan peranan yang amat penting dalam melihat secara eksplisit perkara ini dan senantiasa mengingatkan para pekerja supaya meningkatkan diri mereka dan juga tahap organisasi.

Perlu juga diambil perhatian bahawa kesedaran tentang perkara ini penting bagi pengurusan tetapi tidak secara sendirinya menjamin kejayaan organisasi. Ini adalah kerana pemimpin dan pihak pengurusan perlu sedar pula tentang keupayaan mereka dan berkomited untuk meningkatkan kualiti diri mereka sendiri. Peningkatan secara berterusan dalam kalangan pengurusan akan menjadi pemangkin dalam menentukan peningkatan tahap pekerja dan tahap organisasi.

Jika tahap organisasi berada di kedudukan yang tinggi maka tahap pekerja juga perlu dibawa ke tahap yang tinggi untuk memastikan kewujudan organisasi terus relevan dan dihormati. Usaha seterusnya ialah peningkatan tahap pekerja ke peringkat yang lebih tinggi supaya tahap organisasi juga terus diangkat dan senantiasa cemerlang.

Dr. Gurcharan Singh Bishen Singh ialah Pensyarah Kanan Open University Malaysia dalam bidang pengurusan dan kepimpinan pendidikan. Beliau berpengalaman berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia dalam bidang latihan untuk kepemimpinan sekolah dan bakal pemimpin. Beliau boleh dihubungi melalui editor@leaderonomics.com.
Artikel ini adalah pendapat penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan pihak Leaderonomics.

Sila Kongsi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Bunga

Membuka Potensi Anda: Memanfaatkan SkillsFuture Singapura untuk Pertumbuhan Peribadi

Oleh Germaine Ignacio. Apabila mempertimbangkan kos kursus SSG yang agak rendah berbanding dengan alternatif peningkatan kemahiran yang lain, mengambilnya adalah tidak perlu, terutamanya jika anda boleh mencari masa.

May 28, 2023 4 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Pemimpin yang Berani

Tahukah anda, bagaimana menjadi pemimpin yang berani? Dalam Tip Kepimpinan kali ini, Roshan Thiran berkongsi tip yang menarik untuk menjadi pemimpin yang efektif dan berani.

Jun 24, 2024 7 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest