Mahu Komunikasi Anda Mendorong Hasil Yang Terbaik?

Apr 16, 2018 4 Minit
komunikasi

Segala-galanya bermula daripada komunikasi, asas bagi semua aspek pembangunan kepimpinan. Kebolehan berkomunikasi dengan baik dapat membantu kita membangkitkan, menggerakkan, mendayaupayakan dan mentenagakan semangat seseorang.

Komunikasi yang berkesan sering kali disulami dengan komunikasi yang kompleks — lebih berbunga sesuatu mesej, lebih nampak gah si pengucapnya. Hakikatnya, komunikasi yang paling efektif selalunya berlaku dengan cara yang paling ringkas.

Bagi memberi gambaran yang lebih jelas berkenaan kekuatan komunikasi yang jelas, mari kita perhatikan dua contoh yang dipetik daripada ucapan penuh bersejarah ini:

“Jadi, warga Amerika sekalian, jangan tanya apa yang negara ini dapat buat untuk anda, sebaliknya tanyalah apa yang anda boleh lakukan untuk negara ini. Saudara warga dunia sekalian, jangan tanya apa yang Amerika akan dapat lakukan untuk anda, tetapi tanyalah apa yang kita semua boleh buat demi kebebasan sejagat.” – John F. Kennedy (Ucapan Perdana, 1961)

“… walau apa jua yang terjadi, kita akan berjuang di tepian pantai, kita akan berjuang di tanah rata, kita akan berjuang di lapangan dan jalanan, kita akan berjuang di bukit-bukau, kita tidak akan mengalah sama sekali – Winston Churchill (1940)

Petikan-petikan ini menonjolkan dua pemidato terkemuka dalam sejarah, yang menyampaikan mesej kepada orang ramai dengan ringkas dan tepat. Dalam kedua-dua kes, ucapan sebegini mendatangkan hasil yang diinginkan iaitu membangkitkan semangat dan menanamkan kepercayaan dalam kalangan rakyat.

Mereka juga memberi gambaran akan tanggungjawab dan tugas kita semua terhadap masyarakat dan negara. Amat mengagumkan, betapa mesej yang begitu tersirat dan cukup bermakna boleh wujud dengan hanya beberapa kalimah yang ringkas.

Kuncinya adalah konteks

Sekiranya kita ingin menghakimi kepentingan dan keberkesanan milikan kualiti seseorang, kita perlu melihat pada konteksnya. Pada tahun 2016, pemain bola sepak Malaysia, Mohd Faiz berjaya merangkul Anugerah Puskas FIFA yang berprestij, dengan membenamkan gol yang maha hebat daripada semua gol terhebat.

Sesudah habis memberikan ucapan penganugerahan, yang sedihnya, pemain bola sepak ini dihujani kritikan disebabkan penguasaan bahasa Inggerisnya yang kurang memuaskan. Walaupun Faiz dijulang tinggi kerana kehebatannya di padang lalu meraih anugerah yang menjadi rebutan pemain bola sepak lain, sesetengah daripada kita membuta terhadap pencapaiannya yang luar biasa lalu bertumpu pada kemahiran komunikasinya.

Walaupun standard penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pemain bola sepak Malaysia boleh diperdebatkan pada masa lain, namun dalam konteks ini, kemahiran  komunikasi yang berkesan tidak berapa perlu dititikberatkan berbanding dalam situasi lain. Tatkala membaca kritikan yang tidak seberapa adil ini, saya tertanya-tanya tentang kehebatan pengkritik-pengkritiknya jika mereka turun ke padang bola — berupayakah  mereka bermain sehebatnya? Kita semua mempunyai kelebihan masing-masing.

Dengan melihat lebih jauh dari benda yang remeh-temeh, ada masa dan ketikanya, komunikasi yang berkesan penting dalam menyampaikan mesej. Malah, ini kadang-kadang melibatkan soal hidup dan mati.

Berkaitan: Pilihan Kata Penting Dalam Membina Perwatakan Pemimpin

Komunikasi yang terang lagi bersuluh

Bagi menunjukkan kesan pengunaan bahasa yang kurang baik, ahli psikologi Harvard,  Steve Pinker menunjukkan kepentingan komunikasi yang jelas. Misalnya, dalam memerihalkan amaran yang disertakan pada generator mudah alih dan alat pemanas bakar, Pinker menunjukkan contoh amaran yang bertulis seperti:

“Pendedahan ringan terhadap CO boleh menyebabkan kerosakan terkumpul dari masa demi masa. Pendedahan yang terlampau kepada CO boleh membawa maut dengan pantas, tanpa menampakkan amaran yang ketara.”

Setiap tahun, rakyat Amerika gemar menjadikan rumah mereka ‘seperti bilik gas’. Mereka  tidak sedar akan mesej penting yang disampaikan melalui amaran tersebut. Namun, syukurlah angka korban daripada masalah ini merudum setelah amaran yang ditulis itu diubah kepada:

“Penggunaan generator dalam rumah BOLEH MEMBUNUH ANDA DALAM HANYA BEBERAPA MINIT”

Ingat, K.I.S.S. 

Penutur becok yang cenderung menzahirkan perasaan secara melebih-lebih, didorong oleh keinginan untuk menunjukkan piroteknik serebral, mungkin nampak cerdik. Namun, penyampaian mesej mereka terganggu dalam usaha mereka menonjolkan kehebatan berkomunikasi mereka.

Sebagai pemimpin, kita perlu berfokus untuk menyampaikan mesej yang mengagumkan, daripada cuba menunjuk-nunjuk dengan harapan untuk menaikkan diri sendiri. 

Kita biasa dengar akronim ini dalam bahasa Inggeris, Keep It Short and Simple, atau dalam bahasa Malaysia, pastikan ia padat dan ringkas.

Orang ramai lebih mudah tertarik dengan mesej yang senang difahami dan berhubung kait dengan diri mereka. Tidak kira pandangan anda tentang amalan politiknya, bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memperlihatkan kesan hebat slogannya ‘Yes We Can!’ (Ya, Kita Boleh) semasa berkempen untuk menjadi presiden buat kali pertama.

Penggantinya, Donald Trump juga boleh dikatakan meraih kejayaan kerana menggunakan strategi yang serupa iaitu berkomunikasi dengan jelas. Slogannya ‘Make America Great Again’ (Buat Amerika Hebat Semula) tampak ringkas namun amat besar impaknya.

Tanpa mengira latar belakang mana-mana pemimpin, kita dapat melihat keberkesanan komunikasi yang disampaikan dengan jelas dan ringkas. Pendekatan sebegini perlu menjadi pegangan setiap pemimpin sekiranya mereka berhasrat untuk betul-betul menyemarakkan semangat, mendayaupayakan dan melibatkan pengikut mereka.

Secara umum, komunikasi yang berkesan menandakan adanya keterbukaan dan ketelusan. Hal ini juga memberi gambaran bahawa seseorang yang menyampaikan mesej itu betul-betul mengetahui apa yang dilakukannya, memahami apa yang ingin dicapai, dan berupaya memimpin kita ke arah yang dapat membantu kita bersama-sama mencapai gol dan aspirasi yang diidamkan.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Want Your Message To Inspire Great Results? Keep It Short, Simple (KISS!)

 

 


 

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan

Kaleidoskop Kepimpinan

Oleh Rabi'ah Mutalip. Menggabungkan rangka kerja otak yang berwarna ke dalam program pembangunan kepimpinan dan budaya organisasi boleh memupuk budaya kepimpinan yang lebih inklusif dan berkesan di mana individu dihargai kerana kekuatan dan sumbangan unik mereka, tanpa mengira warna otak mereka.

Feb 27, 2024 4 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Barang yang Lepas Jangan Dikenang

Tip Kepimpinan adalah satu rancangan hebat yang mendorong anda untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa. Tontonilah sekarang dan jadilah seorang pemimpin yang hikmat.

Mar 02, 2018 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest