Nasib Manusia Siapa Yang Tahu

Oct 09, 2017 1 Minit
gua, gua gelap dengan segelintir cahaya
Cara-cara Menukar ‘Nasib Malang’ Kepada ‘Peluang’

Kebanyakan orang percaya nasib berlaku secara kebetulan. Ia sesuatu yang tidak dapat kita jangka atau kecapi secara perancangan. Ia ditakdirkan, tertulis pada suratan azali. Adakah ini betul?

Saya terkenang akan perbualan saya dengan Dato Seri Idris Jala beberapa tahun lepas, apabila beliau menerangkan rahsia kejayaannya sebagai pemimpin.

Beliau mempunyai enam resepi utama yang mendorong kejayaannya dan resepi terakhir mempunyai kaitan dengan nasib yang baik.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebutnya sebagai ‘nasib baik’, tetapi menggelarnya sebagai ‘aturan Tuhan’.

Dato Seri Idris percaya kita boleh mengawal 40% daripada apa-apa yang kita usahakan. Baki 60% lagi berada di luar jangkaan, yang tidak mampu kita pengaruhi.

Namun, beliau percaya jika kita menjadi insan yang baik, bekerja mengikut etika dan meluangkan masa melakukan refleksi kendiri, kita boleh ‘mempengaruhi’ syurga untuk berpihak pada kita dan memberikan ganjaran berupa ‘nasib baik’.

Apabila saya merenung perbualan saya dengan beliau, beberapa persoalan mula bermain di benak fikiran. Antaranya ialah: kenapa segolongan orang sentiasa bernasib baik sedangkan yang lain dibelenggu nasib malang?

Jika nasib berlaku secara rawak, ia semestinya menjadi sama rata, dan pada sesuatu ketika, nasib baik seseorang akan pudar. Namun, ia tidak berlaku dengan sama rata.

Adakah nasib bukan sahaja terjadi secara rawak tetapi boleh dipengaruhi sesuatu faktor?

Adakah saya bernasib baik?

Saya sentiasa rasa sangat bertuah kerana memperoleh pekerjaan di General Electric (GE).

Saya mendapat peluang yang baik untuk melakukan latihan amali dengan GE kerana resume saya ada di atas meja seorang ketua perekrut pada hari pertama dia memulakan kerja dalam jawatan itu.

Dia perlu mengisi kekosongan jawatan pekerja amali, dan saya pun dipanggil. Tetapi saya rasa lebih bertuah kerana terpilih untuk ditemu duga pada akhir latihan amali bagi program aras permulaan untuk syarikat yang sangat berprestij ini.

Hanya sebilangan kecil daripada 45 orang pekerja amali yang terpilih dan penemu duga amatlah tegas. Saya melihat ramai calon yang keluar dari bilik temu duga dengan air mata berjuraian dan sebahagiannya menangis tersedu-sedu, terutamanya calon yang keluar daripada bilik ketua penemu duga. Saya berjalan masuk ke bilik ini dengan menduga sesuatu paling teruk.

Namun apa yang mengejutkan saya, soalan pertama yang saya terima ialah “jadi, kamu pernah mewakili universiti dalam bola sepak?” dan saya melihat dia tersenyum sewaktu mengajukan soalan.

Saya mengangguk dan terus menyambung cerita tentang bola sepak. Saya memberitahunya bahawa saya meluangkan sebahagian cuti musim panas menyaksikan Piala Dunia. (Piala Dunia dianjurkan di Amerika Syarikat pada tahun 1994.)

Dia turut sama berkongsikan pengalamannya menyaksikan perlawanan bola sepak itu. Satu jam berlalu pantas dan saya keluar dari bilik tersebut dengan senyuman disebabkan oleh perbualan yang menyeronokkan tentang bola sepak di AS.

Saya merupakan salah seorang daripada pelatih amali yang berjaya mendapat tawaran kerja. Saya selalu merasakan nasib saya tersangatlah baik kerana berjaya membuatkan penemu duga berasa teruja dengan minatnya yang baharu itu.

Namun dalam beberapa perbualan dengan beberapa pakar ‘nasib’, mereka mendakwa saya bukan sahaja bernasib baik. 

Jenis-jenis nasib

Semasa saya kecil, saya sering membaca biografi insan-insan yang terkenal. Saya merupakan peminat tegar Benjamin Franklin dan presiden Thomas Jefferson.

Jefferson menyatakan:

“Saya sangat percaya akan nasib; saya mendapati apabila saya bekerja lebih keras, saya lebih bernasib baik.”

Franklin turut berkongsi kepercayaan yang sama dengan Jefferson tentang nasib, iaitu semuanya bertitik tolak daripada usaha.

Namun, ramai orang bekerja keras tetapi masih tidak bernasib baik sepanjang hidup. Mesti ada sesuatu yang menentukan nasib kita selain daripada usaha sahaja?

Menurut penyelidik Anthony K. Tjan, Richard Harrington and Tsun-yan Hsieh, ada dua jenis nasib dalam hidup, iaitu nasib yang tidak boleh anda pengaruhi (seperti siapa ibu bapa anda, jenis darah dan lain-lain) serta nasib yang boleh anda pengaruhi (seperti kejayaan perniagaan atau kemajuan karier).

Hakikatnya, mereka percaya bahawa ‘nasib dalam perniagaan’ boleh dipengaruhi dan hal ini lebih kepada kefahaman kita akan cara-cara untuk berjaya. Mereka merumuskan nasib lebih berkait rapat dengan sikap berbanding kebarangkalian.

Mereka mendapati orang yang meletakkan diri sebagai bernasib baik lebih cenderung mempunyai nasib yang baik disebabkan oleh sikap yang bagus. Mereka merumuskan sikap yang bagus mencakupi tiga ciri — rendah diri, sikap ingin tahu dari aspek intelektual dan selalu berpandangan jauh.

Dale Carnegie berkata:

“Kegembiraan tidak bergantung pada keadaan luaran, ini ditentukan oleh sikap mental yang baik.”

Betul kata Carnegie. Seperti yang dinyatakan Dato Seri Idris, hakikatnya, jika kita belajar mengawal beberapa perkara yang mampu kita ubah, termasuklah reaksi kita terhadap persekitaran, kita boleh mengubah nasib hidup ramai orang. Respons kita apabila dirundung malapetaka lebih penting daripada insiden yang berlaku.

Penulis buku Krumboltz dan Levin mendakwa nasib baik tidak wujud. Mereka menjelaskan bahawa nasib baik berlaku secara ‘kebetulan’. Mereka percaya ‘kebetulan’ bukanlah sesuatu yang tidak semena-mena mempengaruhi hidup kita, tetapi ia sebaliknya merupakan sesuatu yang kita hasilkan daripada pertemuan dan peristiwa yang berlaku secara kebetulan dalam hidup.

Kejadian yang tidak diduga, mesyuarat yang tidak dirancang atau janji temu yang terlepas, semua ini kadang-kadang menghalatujukan hidup kita ke arah yang tidak dapat dijangka, lalu mengubah karier dan kehidupan kita.

‘Kebetulan’ sebegini mungkin kerapkali berlaku kepada semua orang. Namun yang betul-betul membezakan antara golongan yang bernasib baik dan ‘malang’ ialah kebolehan seseorang untuk menegenal pasti peluang yang ada serta memanfaatkannya.

Bette Nesmith Graham merupakan seorang wanita miskin yang tinggal di Dallas. Untuk menampung kehidupan dengan anak kecilnya, ibu tunggal ini bekerja sebagai setiausaha dan belajar trengkas dan menaip untuk memastikan kerjanya selamat. Namun, dia sering melakukan kesilapan semasa menaip berkali-kali.

Dia pernah menjadi pelukis dan teringat apa yang dilakukan pelukis untuk memadamkan kesilapan pada kanvas lukisan. Dia mengambil keputusan untuk mengisi cat air tempera dalam botol dan membawa berus cat airnya ke pejabat, serta menggunakannya untuk membetulkan kesilapan menaip.

Tidak lama kemudian, ciptaan yang dinamakannya sebagai ‘Liquid Paper’ menjadi kesukaan ramai di seluruh dunia dan dia berjaya membangunkan sebuah syarikat bernilai jutaan dollar.

Adakah Bette bernasib baik? Atau adakah ini merupakan kebolehannya untuk mengenal pasti peluang yang baik walaupun semasa berlakunya kesilapan.

Ada beribu-ribu setiausaha yang mungkin membuat kesilapan yang menyeksa jiwa semasa menaip, seperti yang dialami Bette, tetapi tidak seorang pun yang terfikir kesilapan sebegini boleh dijadikan sebagai peluang dalam mencari penyelesaian untuk menghadapi mimpi ngeri semasa menaip.

Tiada sesiapa boleh mengawal semua perkara tetapi seperti Bette, kita boleh memanfaatkan peluang yang baik dan mengambil tindakan bagi meningkatkan kebarangkalian untuk berjaya.

Pulangan nasib

Jim Collins dan Morten Hansen menyiapkan kajian penyelidikan mereka selama 9 tahun, berkenaan kejayaan perniagaan yang paling ekstrim pada zaman moden ini. Mereka meneliti peranan ‘nasib’ dalam kisah kejayaan perniagaan ini.

Mereka merumuskan bahawa semua perniagaan yang berjaya dan tidak efektif mempunyai nasib serupa, sama ada baik dan buruk. Maka, nasib tidak memainkan peranan yang besar dalam menentukan kejayaan.

Mereka menemukan sesuatu yang lebih menarik dalam kajian. Syarikat-syarikat yang berjaya tidak begitu bernasib baik. Namun, syarikat ini mempunyai pulangan nasib yang besar.

Nasib tidak ada kena-mengena dengan kejayaan. Kunci utama ialah apa yang dilakukan oleh orang yang berjaya apabila mereka mengalami keadaan atau situasi yang mendatangkan tuah. Mereka memanfaatkan nasib baik itu dan menghasilkan pulangan yang besar daripada nasib mereka pada awalnya. Inilah perbezaan yang utama.

Nasib baik dan buruk dialami oleh semua orang. Mereka  yang sering ‘bernasib baik’ mengenal pasti kesempatan yang ada, merebut peluang itu, dan melakukan yang terbaik. Apakah pulangan nasib anda?

10 cara utama untuk menambah baik nasib anda

Jadi, bagaimana cara untuk menukar ‘nasib malang’ kepada ‘peluang’ dan bagaimana boleh kita kenal pasti dan rebut ‘nasib baik’ ini apabila memperoleh kesempatan.

Berikut merupakan 10 cara untuk menambah baik nasib anda:

Percaya pada diri – Kita perlu meluaskan pemikiran, dengan selalu percaya bahawa terdapat banyak peluang yang menakjubkan untuk dimanfaatkan. Seseorang yang berfikiran negatif selalunya berfikiran sempit; mereka percaya semua peluang terbaik di dunia sudah diambil orang. Teori ini dipanggil sebagai kesan Pygmalion, yang menyatakan bahawa anda dapat apa yang anda jangkakan.

Kebanyakan oang yang ‘bernasib baik’ mengharapkan yang terbaik, mereka yakin masa hadapan  mereka cerah. Kadang-kadang, harapan ini menjadi ramalan sempurna kendiri. Cuba lihat di sekeliling anda dan anda akan terperanjat apabila mendapati manusia yang bernasib ‘baik’ dan ‘buruk’ mempunyai jangkaan yang sangat berbeza.

Tumpukan pada tindakan – Tidak membuat merupakan haluan yang pastinya membawa kepada kegagalan. Jika anda terus mencuba, lambat-laun anda bakal berjaya dan nasib akan berpihak pada anda. Jangan bertangguh. Jangan takut untuk gagal.

Lakukan perkara yang tidak pernah dirancang – Benda yang tidak terjangka selalu mengasak-asak pemikiran. Belajar untuk menyukai sesuatu yang spontan dan menikmatinya. Peluang baharu akan muncul apabila kita tidak menjangkakannya.

Peka terhadap persekitaran – Selalu ajukan soalan dan meneroka persekitaran anda. Orang yang bernasib baik sedar apa yang belaku di sekeliling mereka dan terus mencari-cari peluang.

Jangan takut untuk berkata ‘Ya’ – Dalam filem Yes Man, Jim Carrey ditakdirkan untuk berkata “ya” pada semua benda. Akhirnya, dia ‘bernasib baik’ apabila dapat mencapai peluang baharu dan berjaya memikat wanita idamannya. Maka, lebihkan berkata “ya” daripada “tidak”.

Jangan makan berseorangan – Untuk berjaya, penting untuk kita bina dan kekalkan rangkaian sosial yang kukuh, termasuklah hubungan kita dengan orang lain. Jika anda suka berhadapan dengan manusia, dan suka berada di sekeliling mereka, anda akan selalu meraih peluang baharu. Manusia memberi sokongan apabila kita diselubungi masalah, menjadi sumber apabila kita memerlukan maklumat dan paling penting, mereka membawa ‘nasib baik’ melalui hubungan rangkaian sosial. Maka, pastikan anda mengehadkan diri untuk makan berseorangan sekali dalam sehari. Lagipun di negara Asia, tempat makan merupakan tempat yang banyak terjalinnya hubungan.

Atasi sabotaj diri – Musuh yang paling besar ialah diri kita sendiri. Janganlah menghentam diri dengan sikap negatif dan bermonolog pada diri sehingga lemah semangat. Berhenti menggunakan perkataan seperti “Saya tidak boleh.” sebelum mencuba.

Pupuk rasa ingin tahu dan jangan takut bertanya – Ambil risiko dan selalu bertanya. Anda tidak akan mati apabila diselubungi rasa ingin tahu. Perasaan ini membuka laluan untuk peluang baharu. Banyakkan berjalan, mencuba benda baharu dan jangan terperap dalam zon selesa. Pulangan nasib anda akan berganda apabila anda mengenal pasti peluang-peluang yang baik dan memanfaatkannya.

Bantu orang lain dan pohon bantuan – Lebih banyak saya beri, lebih banyak rezeki yang saya terima. Selain itu, jangan takut untuk meminta bantuan. Orang yang bernasib baik meminta bantuan dan menghulurkan bantuan apabila orang lain memerlukan.

Selalu berdoa dan berbuat baik – Ramai orang memohon pada yang Maha Kuasa untuk membantu mereka membaiki nasib. Ada yang berkata, dengan berdoa sebelum memulakan aktiviti seharian, ini membekalkan kekuatan dan membantu mereka menjadi positif supaya tidak mudah berputus asa. Dan selalulah berbuat baik. Seperti yang ditekankan oleh Idris Jala, apabila anda sering berbuat baik, nasib baik akan menimpa anda. Karma ada caranya yang tersendiri bagi memastikan seseorang yang berbuat baik menerima ganjaran.

Akhir kata

Ada pepatah yang berbunyi, ‘nasib terletak dalam tangan anda sendiri’.

Apabila kita menganggap nasib baik sangat sukar untuk diperoleh atau tidak akan berlaku pada kita, kita menganggap diri kita sebagai mangsa lalu merungut tentang orang lain dan apa yang ada dalam dunia.

Dengan meletakkan nasib sebagai sesuatu yang boleh kita pengaruhi (tanpa mengira sebetapa kecil pengaruh yang kita ada), ini merupakan cara yang sangat bagus untuk melepaskan diri daripada terpenjara dan mengorak langkah untuk menjadi seorang pemimpin.

Kyle Chandler merumuskan bahawa ‘yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang’.

Menurut Kamus Webster, nasib bermaksud ‘daya yang mendatangkan tuah atau kemalangan, daya yang bertindak mengikut atau melawan keinginan seseorang’.

Maka, jika nasib merupakan sesuatu daya, anda sepatutnya mampu untuk menggapaikannya… pada bila-bila masa! Semoga rahmat sentiasa di sisi anda!

 

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik  Luck Is Not Luck: You Can Influence Your Return On Luck

Sila Kongsi

Perkembangan Peribadi

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan

Kepimpinan dan Kemarahan

Oleh Syamsul Arifin. Kemarahan boleh menunjukkan sisi yang berbeza dari seorang pemimpin. Berikut adalah penjelasannya.

May 21, 2024 3 Minit

Wanita

Kehidupan Seharian Pekerja Gudang Wanita di NinjaVan Malaysia

Pernah terfikir bagaimana rasanya menjadi seorang wanita yang bekerja dalam industri yang kebanyakannya didominasi oleh lelaki? Dalam video ini, kami berbual dengan Nurazlin, seorang pekerja gudang wanita di #NinjaVanMalaysia, untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman dan kejayaannya sebagai seorang wanita dalam dunia lelaki.

Mar 15, 2023 10 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest