AmBank Bantu Bangunkan PKS

Sep 15, 2017 9 Minit
Bangunan AmBank
Perkembangan Sesebuah Syarikat Bergantung Kepada Kepimpinan Yang Pintar Dan Yang Berfokus

Perkembangan Sesebuah Syarikat Bergantung Kepada Kepimpinan Yang Pintar Dan Yang Berfokus

“Sebagai sebuah bank, kami perlu kembali kepada perkara asas dan berfokus pada pekerja dalam syarikat dan bukan hanya memberi mereka pinjaman kewangan,” kata Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan AmBank, Chris Yap.

Apabila Yap menyebut sedemikian, bunyinya semacam mudah sekali — seolah-olah begitu natural. Namun inilah pemimpin yang mempunyai visi berani untuk memajukan perniagaan di Malaysia.

Kami tengah berada di pejabatnya di tingkat 49 bangunan yang dahulunya menguasai latar langit Kuala Lumpur yang kurang menyerlah. Dalam persekitaran korporat yang sedang berkembang kini, pemandangan menara ini amat mengagumkan dan dapat menyaingi mana-mana hiasan latar belakang skrin komputer.

Dibina pada tahun 1997, pada tahun yang sama dengan Menara Berkembar Petronas, Menara AmBank kini bangunan kesembilan tertinggi di Kuala Lumpura (KL) dan struktur besar ini merupakan simbol peringatan dominasi mereka dalam industri.

Di sinilah AmBank merangka pelan untuk pertumbuhan syarikat-syarikat di Malaysia, dengan harapan dapat melihat lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi pemain antarabangsa yang lebih menonjol.  

Dalam perbualan saya bersama Yap, tema utama yang berkali-kali ditekankannya adalah potensi; potensi pejabat-pejabat syarikat tempatan mendominasi latar langit terkemuka KL. Bagi AmBank, cara memanfaatkan potensi bermula dan berakhir dengan pekerja.

Pertumbuhan PKS

Menjadi PKS adalah fasa perkembangan yang mesti dilalui setiap syarikat – bukan lagi syarikat baharu yang berani tetapi belum bersedia untuk menembusi peringkat antarabangsa. Walaupun berjaya mencapai peringkat itu, ia tidak menjamin pengembangan selanjutnya.  

Sejarah Malaysia tidak pernah lekang daripada menyaksikan syarikat-syarikat yang gagal melangkaui tahap ini walaupun mempunyai kesemua sistem dan alatan yang diperlukan untuk berjaya. Inilah trend yang ingin diubah Yap. 

Katanya,

“Kita sering melihat bank-bank dan sistem sokongan lain memberi fokus kepada syarikat permulaan dan membantu mereka melalui fasa idesi (pengilhaman) dengan memberi mereka alatan untuk berjaya pada peringkat awal perniagaan mereka.

Tetapi selepas itu, mereka dibiarkan terkongtang-kanting dan tidak diberikan sokongan yang diperlukan untuk meneruskan perjalanan.”

“Inilah sebab kami memberi fokus kepada sektor PKS; di mana terdapat banyak potensi yang belum dimanfaatkan.”

Kekurangan sokongan seperti ini adalah faktor penyumbang kepada pertambahan bilangan syarikat yang menghadapi pertumbuhan mendatar dan gagal berkembang di peringkat antarabangsa.

Yap dilantik untuk menubuhkan unit perbankan perniagaan baharu AmBank pada Februari 2017. Pengalamannya yang luas menjadikannya pakar dalam bidang ini. Kebolehannya menyampaikan pengetahuan dan kegemarannya menyaksikan pertumbuhan orang lain memungkinkannya dianggap sebagai profesor universiti pada garis masa kehidupannya yang lain.

Menyedari cabaran pasaran PKS dan pada masa sama mempunyai pengaruh untuk menyelesaikan masalah berkaitan, pendekatan Yap bertentangan dengan sifat seseorang yang berada dalam industri perbankan.

Pasukannya bekerja tanpa lelah bagi memastikan mereka mempunyai data terkini mengapa PKS di Malaysia menemu jalan buntu apabila tiba masa untuk berkembang.

Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, dan Pengerusi Tan Sri Azman Hashim, Yap berada di posisi paling baik untuk membantu pertumbuhan perniagaan.

Berkaitan: Mendukung Perniagaan PKS Dari Malaysia Ke Persada Dunia

 

Memerangi kadar kegagalan

Lebih daripada 97% syarikat di Malaysia tergolong sebagai PKS. Statistik yang menunjukkan bilangan yang masih bertahan sehingga ulang tahun ketiga amat memeranjatkan. Lebih daripada 70% perniagaan gagal bertahan ke tahun ketiga penubuhannya.

Bagi Yap, terdapat dua sebab mengapa angka itu begitu tinggi. “Selalunya, syarikat-syarikat ini gagal kerana mereka tidak mempunyai model perniagaan yang betul atau pengetahuan yang sewajarnya.”

\

Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan AmBank, Chris Yap

“Apa yang patut saya fokuskan, bagaimana memilih orang yang betul-betul layak untuk bekerja, apakah cara paling efisien untuk mengeluarkan produk, bagaimana memastikan produk atau perkhidmatan yang saya sediakan adalah yang terbaik?  Ini semua mungkin soalan-soalan biasa tetapi jika tidak dijawab dengan betul, ia boleh membawa kegagalan kepada pemilik PKS.

Dengan meletakkan pekerja sebagai pusat fokus, Yap menekankan bahawa pemimpin perniagaan adalah kunci utama kejayaan syarikat dan juga berpotensi menjadi liabiliti terbesar.

Pendekatan berhati-hati oleh seseorang ketua pegawai operasi yang pintar, pengerusi atau eksekutif lain dapat memberi syarikat kelebihan dalam mengetahui masa dan keadaan yang paling sesuai untuk maju ke hadapan.

Pepatah lama yang mengatakan ‘mati rusa kerana jejak, mati kuang kerana bunyi’ adalah benar dalam banyak kes. Kita harus mempunyai cita-cita untuk mengelakkan syarikat daripada mengalami kelembapan, tetapi bercita-cita terlalu tinggi melangit juga akan membawa kemudaratan.  

“Semakin mereka (PKS) berkembang, semakin banyak peluang untuk mereka berkecimpung di dalam bidang lain,” kata Yap.

“Apabila peluang baharu muncul, mudah bagi mereka mengabaikan perniagaan utama mereka. Kekurangan fokus ini adalah satu lagi sebab kegagalan mereka. Mereka terlalu melayan cita-cita yang terlampau tinggi.

“Jika anda membina hotel dan ia membawa kejayaan, anda tidak perlu terburu-buru membuka hotel yang baharu. Pastikan anda tahu faktor apa yang membawa kepada kejayaan hotel itu dan jangan sesekali beranggapan yang anda boleh mereplikakan kejayaan itu di lokasi lain.”

Sepanjang 42 tahun sejarah AmBank, mereka telah mengumpul jumlah data yang luar biasa mengenai kepayahan syarikat-syarikat kecil dalam perniagaan. Satu kajian yang dibuat tahun lepas membantu mereka lebih memahami cabaran mendatang dalam membawa pasaran PKS ke peringkat antarabangsa.

Tambah Yap: “Kami tidak berpura-pura yang kami mempunyai jawapan kepada semua persoalan, tetapi kami mempunyai pengalaman berharga dan nasihat yang dapat diberikan kepada syarikat-syarikat bagi memastikan mereka berjaya.”

Dunia yang serba pantas

Salah satu sebab mengapa syarikat-syarikat mempunyai cita-cita tinggi dalam suasana korporat hari ini adalah era kepuasan segera. Dalam dunia yang serba pantas di mana mesej dapat dihantar ke merata dunia dengan hanya klik pada butang dan kandungan atas permintaan menjadi kebiasaan, ramai ketua menginginkan kejayaan segera untuk perniagaan mereka juga.

Ia  adalah kesalahan yang berpotensi membawa padah kepada banyak syarikat, terutamanya yang terletak dalam kawasan yang mengalami pertumbuhan pantas di Asia Tenggara, kata Yap.

“Kadang-kadang PKS di Malaysia tidak membantu diri sendiri – mereka tidak membuat perancangan yang betul,” katanya.

“PKS di negara-negara maju mengambil masa untuk membuat kajian, menilai sejenak dan melihat dari semua sudut pandangan. Syarikat-syarikat Malaysia mempunyai tabiat suka tergesa-gesa dan memfokuskan kepada pengembangan tanpa memastikan struktur telah disediakan.”

Turut meremukkan suasana adalah syarikat permulaan yang bercita-cita tinggi yang telah berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa  dalam masa singkat. Syarikat-syarikat lain sepatutnya tidak mengambil contoh ini sebagai panduan tetapi berusaha mengukuhkan struktur dalaman sebelum mula mengalami delusi kebesaran.

“Buat masa ini, pengembangan antarabangsa sangat berbeza berbanding masa dahulu,” kata Yap.

“Bagi syarikat dalam talian, lonjakan boleh berlaku seawal lima hingga lapan tahun dalam perniagaan, di mana sebelum ini syarikat memerlukan 20 tahun bagi mendapatkan hasil yang sama.

“Nyata sekali terdapat contoh-contoh syarikat yang maju ke peringkat antarabangsa dalam masa singkat seperti Netflix, Uber dan Facebook.

“Tidak kira dalam apa jua keadaan, syarikat-syarikat perlu mengukuhkan asas mata pencarian mereka sebelum mereka berfikir untuk mengembangkan sayap perniagaan.”

Membina komuniti

Dalam usaha membantu syarikat-syarikat membangunkan pekerjanya terlebih dahulu, AmBank memberi fokus kepada pekerja di dalam organisasi dan bagaimana ketua yang luar biasa dapat mengatasi segala cabaran mendatang. Mereka memberi perkhidmatan yang lebih daripada memberi pinjaman wang kepada yang memerlukan, kerana selalunya punca masalah tidak dapat diselesaikan dengan hanya pinjaman kewangan.

“Kajian kami mendapati bahawa 80% daripada syarikat-syarikat gagal kerana masalah dalaman,” kata Yap.

“Banyak syarikat memberi alasan perubahan pasaran atau terdapat pesaing baharu – sebenarnya kesemua faktor luaran ini dapat diatasi dengan kepimpinan yang baik.  

“Kita perlu membantu PKS bukan hanya dengan kewangan, tetapi dengan memberi pengetahuan, kemahiran dan peluang yang diperlukan untuk naik ke tahap seterusnya.

“Ramai yang berfikiran bahawa pembiayaan adalah jawapan kepada semua permasalahan, tetapi penskalaan perniagaan adalah lebih daripada itu. Kita mesti melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan persekitaran yang memungkinkan mereka maju ke peringkat seterusnya.

“Kami ingin menolong pelanggan kami berjaya untuk jangka masa yang panjang dan bukan hanya memberi penyelesaian jangka pendek.”

Tetapi bagaimana sebuah bank – secara definisinya institusi kewangan – membantu membangunkan pekerja? Caranya ialah dengan membina komuniti pemimpin yang mempunyai matlamat dan perjuangan yang sama.

Tibalah masanya AmBank menyaksikan pelan induknya mula beroperasi – dengan penubuhan AmBank BizCLUB. Melengkapkan perniagaan dengan alatan asas untuk berjaya bermula dengan pengetahuan.

Dengan itu, AmBank BizCLUB akan menemukan bersama ketua pegawai eksekutif (KPE) PKS untuk berkongsi cerita pertumbuhan mereka, tentang cabaran yang dihadapi sepanjang perjalanan dan mendengar kisah-kisah pengingatan daripada pemimpin terbaik industri.

“Idea penubuhan AmBank BizCLUB adalah untuk menyampaikan pengetahuan kepada komuniti berkenaan, mendapatkan individu yang berjaya untuk berkongsi cerita kejayaan dan kegagalan mereka dengan pemimpin PKS,” kata Yap.

“Kami ingin membawa pakar-pakar dari pelbagai bidang untuk bersama-sama supaya kami dapat membantu PKS dalam setiap sudut yang berbeza.”

Satu siri acara perangkaian dan perkongsian maklumat telah dirancang untuk memastikan pemimpin PKS mendapat alatan yang diperlukan untuk berjaya. AmBank BizCONFERENCE akan menyaksikan ahli perniagaan terkenal Malaysia dan ketua pemikir berkongsi kepakaran di lima lokasi di seluruh negara.

Bermula di Pulau Pinang pada 19 September, dan seterusnya di Sabah, Sarawak dan Johor sebelum berakhir di Kuala Lumpur pada 1 November, kesemua sesi adalah percuma dan dibuka kepada semua KPE di Malaysia.

Fokus utama sesi-sesi ini adalah penyebaran pengetahuan dan usaha membantu pemimpin PKS memahami bahawa semua syarikat menghadapi cabaran yang serupa untuk berjaya.  

Bagi memastikan momentum berkekalan sehingga ke akhir tahun, AmBank BizCLUB akan melancarkan siri Sesi Berbual Bersama KPE di mana seorang penceramah jemputan akan berucap kepada audiens yang lebih kecil pada setiap minggu.

Bermula dari November hingga Februari tahun hadapan, acara percuma ini akan lebih santai di mana KPE PKS dapat bertanya soalan kepada penceramah yang telah berjaya membangunkan perniagaan mereka, serta membina rangkaian dengan ketua lain yang berada pada tahap pembangunan yang sama.

Sepanjang awal 2018, AmBank akan melancarkan cabaran unik yang dinamakan AmBank BizRACE di mana PKS yang paling berpotensi untuk berkembang akan dipilih untuk memenangi hadiah eksklusif bagi membantu mencapai matlamat mereka.

Dengan panel hakim yang dipilih secara teliti, perlumbaan ini adalah manifestasi visi berskala besar AmBank untuk masa hadapan syarikat-syarikat Malaysia.

“Matlamat perlumbaan ini adalah untuk mencari bakat terpendam dan memberi mereka alatan yang diperlukan untuk maju ke peringkat seterusnya,” kata Yap.

“Kami ingin mencari perniagaan yang mempunyai potensi besar; yang mempunyai model perniagaan yang betul.  Apabila kami telah mengenal pasti syarikat-syarikat itu, kami akan memberi mereka segala yang diperlukan untuk berjaya dengan bantuan panel hakim yang bijaksana.

“Kami akan memberi mereka bimbingan, pementoran, publisiti awam menerusi rakan media dan pengalaman seumur hidup yang akan membentuk masa hadapan perniagaan mereka.”

Tanpa memberitahu butiran terperinci perlumbaan itu, Yap mengakhiri perbualan dengan kenyitan mata dan berkata “tunggu.”

Ambil langkah pertama ke arah kejayaan korporat anda. Untuk menjadi ahli AmBank BizCLUB dan mengikuti sesi perangkaian AmBank BizCONFERENCE di serata Malaysia serta Sesi Berbual KPE AmBank di Kuala Lumpur, sila layari ambankbizclub.com

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik How Ambank Is Growing Companies In Malaysia.

 

Chris Yap: Lima Panduan Terbaik Untuk Pertumbuhan PKS

Fokus pada pembinaan asas

“Tidak kira apa jua industri anda, asas yang kukuh penting untuk memberi anda peluang untuk berjaya.”

Tahan diri daripada godaan untuk mengembangkan perniagaan dengan terlalu cepat

“Banyak perniagaan berkembang terlalu cepat, terlampau awal dan terlalu agresif. Mereka menganggap bahawa mereka dapat menyambar bahagian pasaran sebanyak mungkin tanpa memahami risiko-risiko berkaitan. Bercita-cita tinggi tanpa bimbingan adalah punca utama mengapa syarikat-syarikat gagal.”  

Kuatkan pengurusan dalaman

“Tidak kira ke mana arah yang ingin dituju, kunci kejayaan perniagaan bergantung kepada pekerja yang sesuai, layak dan yang berada di posisi tepat untuknya menyerlah.” 

Elakkan situasi pemerintahan perseorangan

“Ini adalah sebab kegagalan perniagaan yang kurang dilaporkan di mana pemilik membuat keputusan untuk segalanya.

Mereka berkata, “Saya adalah pemilik syarikat, saya membuat semua keputusan penting.” Mereka gagal berunding dengan ahli kumpulan untuk lebih memahami akibat daripada perbuatan mereka. Anda yang mengupah pekerja anda, jadi berikan kepercayaan kepada mereka!”

Pastikan kesinambungan perniagaan

“Pastikan anda mempunyai alatan sesuai bagi memastikan perniagaan dapat bertahan untuk jangka masa panjang dan dalam situasi luar biasa. Di dalam struktur PKS yang biasa, seorang ketua membuat semua keputusan, dan apabila orang itu tiada, perniagaan mula kucar-kacir.  

“Semua PKS perlu memastikan yang perniagaan tidak akan terjejas jika ketua tidak ada. Daripada eksekutif kanan sehingga ke bahagian pengeluaran, syarikat tidak sepatutnya menerima kesan daripada ketidakhadiran seseorang.”

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan

Kecerdasan Keberanian – Kepimpinan untuk Masa Depan

Oleh Sonia McDonald. Dengan contoh dunia sebenar dan strategi yang berkesan, temui kuasa kepimpinan yang berani dalam mengharungi cabaran, membentuk budaya organisasi dan mempengaruhi perubahan positif.

Jan 09, 2024 10 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Berbaloi Mengotori Tangan Anda

Kepimpinan hanya boleh dipelajari dan dibentuk dalam proses mengotori tangan melalui pengalaman hidup. Konteks membentuk kebolehan kepimpinan. Tontonilah video ini.   Untuk membaca artikel berkaitan, klik Mengotori Tangan Anda.

Jul 17, 2017 4 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest