Atasi Halangan, Tiada Yang Mustahil!

Jun 22, 2017 1 Minit
batu, langkah, halangan

“Adalah menjadi tugas kita sebagai manusia untuk meneruskan seolah-olah had keupayaan kita tidak wujud.” — Teilhard de Chardin

Tidak berapa lama dahulu, saya dan Jamie Andrew bertugas sebagai fasilitator di sebuah kelas IMD.  

Jamie Andrew

Pada Januari 1999, Jamie Andrew cuma seorang remaja yang gemar mendaki gunung bersama rakan karibnya. Sewaktu dia dan rakannya tiba di puncak Les Droites di kubah Mont Blanc, mereka dilanda ribut dan terperangkap di dalam satu rekahan dengan angin selaju 90 batu sejam dan suhu -30°C selama lima malam. Pada malam yang kelima, rakannya meninggal dunia disebabkan hipotermia.  Adalah satu keajaiban Jamie terselamat daripada kejadian negri itu. Tetapi Jamie kehilangan kedua-dua tangan dan kakinya.  

Pada mulanya Jamie amat patah semangat. Dia menghabiskan masa berbulan-bulan di dalam pemulihan, perlahan-lahan belajar untuk berjalan semula (dengan kaki palsu). Tetapi jauh di lubuk hatinya, dia percaya bahawa dia akan mendaki gunung-gunung lagi.

Tidak lama setelah dia belajar untuk berjalan semula, dia mencabar dirinya untuk mendaki bukit tertinggi di Scotland, Bukit Blackford. Kemudian Jamie mencabar dirinya lagi, dari bukit ke gunung sehinggalah dia menawan Gunung Kilimanjaro, puncak tertinggi di Afrika bersama-sama tiga pendaki kelainan upaya yang lain.

Jamie tidak berhenti-henti mencabar dirinya untuk mengharungi halangan demi halangan, mengambil bahagian dalam acara ski, papan salji, luncur angin, meneroka gua, malah dalam Triatlon Manusia Besi. Semuanya tanpa tangan dan kaki. Bagaimana dia melakukannya?

Jawapan Jamie mudah sekali: 

“…terus menetapkan matlamat-matlamat yang mustahil, pecahkan mereka kepada matlamat-matlamat kecil yang tak mustahil, terus berusaha untuk mencapai mereka satu persatu. Kemudian, tidak kira apa orang kata, teruskan untuk mengejar impian anda.”

Dalam kesnya sendiri, walaupun ramai orang berusaha untuk meyakinkan Jamie supaya melupakan saja impian-impiannya, secara peribadi dia percaya dia mampu melakukannya., bahawa tiada yang mustahil. Akhirnya dia berjaya menawan gunung-gunung yang diliputi ais.  Jamie percaya bahawa masalah bukanlah penentu sesuatu keadaan, tetapi sikap seseorang.

Halangan boleh diatasi; tiada yang mustahil 

Para pemimpin yang hebat memahami bahawa halangan-halangan adalah sebahagian daripada hidup yang harus diharungi. Kalau begitu, kes Jamie bukanlah sesuatu yang terpencil. 

Nelson Mandela pernah mengharungi cabaran-cabaran besar, termasuk dipenjarakan lebih 27 tahun kerana impiannya untuk menghapuskan dasar aparteid.

Jack Welch melalui tahun-tahun awal yang kucar-kacir sewaktu dia menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif General Electric kerana dia mempunyai impian untuk menjadikan GE sebagai “satu perusahaan yang paling produktif di dunia.”

Mother Teresa, Gandhi, Steve Jobs dan Richard Branson – mereka semua pernah melalui rintangan-rintangan di sepanjang kembara mereka untuk mencapai impian mereka.

Namun mereka mengatasi semuanya. Sewaktu mengkaji kehidupan mereka, kami menjumpai empat kunci bagaimana mereka mengatasi halangan-halangan:

  • Hapuskan corak fikiran ‘tawanan’ dan ‘mangsa’ anda
  • Tukar cara pandang ‘halangan’ kepada ‘peluang’
  • Pecahkan halangan menjadi cabaran kecil
  • Belajar daripada halangan tetapi kekalkan tumpuan kepada matlamat besar

Hapuskan corak fikiran ‘tawanan’ dan ‘mangsa’ anda

Apabila kita diberitahu bahawa rancangan kita adalah suatu tugas yang mustahil, reaksi umum kita adalah untuk bersetuju dengan mereka. Kadang-kadang kita sendiri menjadi halangan terbesar, dengan membenarkan rasa takut dan keraguan diri menghalangi diri kita.

Kita menjadi ‘tawanan’ kepada halangan yang kita hadapi. Corak fikiran ini melumpuhkan kita untuk mempercayai bahawa halangan-halangan yang dihadapi adalah lebih besar dan menakutkan daripada yang sebenarnya. Pemimpin yang hebat tahu bagaimana untuk melepaskan diri dengan cepat daripada menjadi ‘mangsa’ keadaan ini.

Kita tidak boleh mengawal apa yang berlaku kepada kita, tetapi kita boleh mengawal bagaimana kita bertindak balas terhadapnya. Halangan hanya akan menjadi halangan sekiranya kita mempercayainya sedemikian. Kadangkala kita  tidak sedar bahawa kita sedang berhadapan dengan sebuah halangan, kita mengatasi halangan-halangan ini tanpa berfikir dua kali. Walau bagaimanapun, apabila seseorang menonjolkan halangan itu kepada kita, kita tiba-tiba menjadi lumpuh.

George Dantzig adalah seorang pelajar matematik yang mempunyai tabiat selalu datang lewat ke kelas. Pada suatu hari, sewaktu dia lewat ke kelas, profesornya, Jerzy Neyman, menulis dua jenis contoh masalah statistik tanpa jawapan yang popular di atas papan tulis. Pada akhir kelas tersebut, George berfikir dua soalan tersebut hanyalah kerja rumah biasa. Menurut George, masalah tersebut “agak susah daripada yang biasa”. Meskipun pada mulanya dia bergelut, dia berjaya menyelesaikan masalah tersebut dan menyerahkan jawapan yang telah disiapkan.

Profesor Neyman terkejut sewaktu menerima ‘kerja rumah’ George kerana dia tidak memberikan sebarang kerja rumah. Dia menyemak jawapan tersebut dan tidak dapat percaya ‘pelajar’nya telah menyelesaikan dua masalah terkenal yang tidak dapat diselesaikan. George kemudiannya mengaku, “Kalaulah saya tahu masalah tersebut bukanlah kerja rumah tapi hanya contoh masalah terkenal yang tidak dapat diselesaikan dalam statistik, saya mungkin tidak akan berfikir secara positif, mungkin akan kecewa dan tidak akan menyelesaikannya.”

Keadaan fikiran kita perlu ditangani terlebih dahulu sekiranya kita ingin mengatasi masalah dan halangan. Jika kita percaya halangan tersebut terlalu besar untuk ditempuhi, ia akan terus membesar. Dalam fikiran kita, ia akan menjadi sesuatu yang mustahil untuk dikerjakan.

Tukar cara pandang ‘halangan’ kepada ‘peluang’

Jika anda memerhatikan sebuah sungai mengalir, anda akan mendapati batu-batu besar menghalang laluannya. Tetapi daripada menghapuskan halangan-halangan tersebut, ia mengalir di sekeliling batu tersebut dan mencari laluan yang baru. Demikian juga dengan segala halangan kita. Kita tidak perlu menghapuskannya.  

Michael Jordan, legenda pemain bola keranjang yang menghadapi banyak halangan peribadi berkata, “Jika anda berhadapan dengan sebuah dinding, jangan berpaling dan berputus asa. Cari jalan bagaimana untuk memanjat dan menyeberanginya.” Jadikan halangan sebagai peluang.

Pengerusi Kumpulan Tata, Ratan Tata, sedang memandu semasa dia ternampak sebuah keluarga miskin dengan lima orang berhimpit-himpit di atas sebuah skuter. Hatinya dipenuhi dengan rasa simpati sehingga dia mengumumkan bahawa Tata akan melancarkan kereta yang berharga satu lakh (AS$2000).

Dunia mentertawakannya. Tetapi itu tidak menghalang Ratan. Dia bermula dengan sepasukan jurutera yang terdiri daripada lima orang dan mencabar mereka untuk ‘mempersoalkan apa yang tidak boleh dipersoalkan’. Dia memberikan mereka hanya satu mandat – memastikan kos adalah di bawah AS$2000. Halangan demi halangan muncul namun Ratan tetap berusaha, bahkan turut bekerja secara peribadi dengan pasukan tersebut. Selepas empat tahun, Ratan Tata mengotakan janjinya dengan mempersembahkan Nano, kereta rakyat.

Ada pepatah yang mengatakan, ‘Jika anda hidup cukup lama dengan satu masalah, lama-kelamaan ia akan bertukar menjadi berkat.’ Di sebalik semua halangan hidup, sentiasa ada lapisan perak. Setiap ciptaan yang dinikmati hari ini datang daripada beberapa halangan. Halangan memberi inspirasi kepada keinginan untuk menyelesaikan dilemma. Halangan adalah peluang ajaib bagi inovasi dan perubahan.

Pecahkan halangan menjadi cabaran kecil

Jamie Andrew memulakan perjalanannya untuk mencapai sesuatu yang mustahil dengan memecahkan dimensi-dimensi sebenar halangannya, membahagikan mereka kepada cabaran-cabaran kecil yang boleh diatasi satu persatu. Dengan memisahkan objektif keseluruhan kepada fungsi-fungsi kecil, cabaran tersebut kelihatan lebih mudah. Ini mampu membanteras sikap berlengah-lengah dan keputusasaan.

Ketika masalah dapat ditangani satu persatu, adalah penting untuk memastikan kecekalan diri berterusan. Kita semua inginkan peluru perak serta merta yang akan menyelesaikan masalah kita. Ini membuatkan tindakan memecahkan isu-isu tersebut menjadi sangat mengecewakan dan perlahan. Oleh itu kecekalan adalah penting.

Walt Disney bermimpi untuk membina Disney World dan mula merancang impiannya selangkah demi selangkah. Namun isu terbesar yang dihadapinya adalah kewangan. Permohonannya untuk mendapatkan dana ditolak lebih daripada 300 kali, tetapi dia tetap cekal dan akhirnya dia berjaya.

Demikian juga dengan Colonel Sanders yang turut berhadapan dengan isu serupa sewaktu dia cuba mendirikan KFC. Dia ditolak lebih daripada 1000 kali tetapi ketabahan dan rancangan langkah demi langkahnya telah memastikan impiannya menjadi satu kenyataan.

Halangan adalah seperti gunung – ia tidak akan berganjak sendiri. Anda harus bertindak untuk mengatasinya, bukan sekadar duduk di kaki gunung dan berharap ia akan hilang begitu sahaja.

Memecahkan masalah adalah pendekatan yang berorientasikan tindakan untuk menangani masalah tersebut dan bukannya berlegar tanpa tentu di dalam ketakutan dan kebimbangan. Tindakan akan mengalahkan segala-galanya.

Belajar tetapi kekalkan tumpuan 

“Jika kita melakukan semua perkara yang terdaya kita lakukan, kita pasti terkejut dengan diri sendiri.” — Thomas Edison

Selepas bergelut untuk mencipta mentol lampu selama bertahun-tahun, Edison ditemu ramah seorang wartawan yang bertanya kepadanya adakah dia berasa sebagai seorang yang telah gagal dan adakah dia akan berputus asa sekarang. Edison menjawab, “Kenapa pula saya akan berasa seperti telah gagal? Kenapa saya harus berputus asa? Kini saya sudah mempelajari lebih 9000 sebab mengapa mentol lampu tidak akan berfungsi.  Kejayaan sudah hampir dalam genggaman saya.” Dan sejurus selepas cubaannya yang ke-10,000, Edison berjaya mencipta mentol lampu.

Pemimpin-pemimpin yang hebat benar-benar memahami bagaimana untuk belajar daripada halangan-halangan yang menimpa mereka. Sama seperti Edison, mereka turut mempunyai matlamat akhir yang jelas. Kita akan sentiasa belajar. Kita mempelajari keberanian untuk berhadapan dengan bahaya. Kita mempelajari kesabaran melalui kesengsaraan. Kita mempelajari untuk menghargai rakan-rakan yang benar apabila kita ditinggalkan. Tanpa masalah, kita akan menjadi orang yang terbantut dengan tidak ada pertumbuhan yang sebenar.

Pembelajaranlah yang membezakan para pemimpin. Halangan menyediakan situasi-situasi bagi kita untuk belajar. Nietzsche pernah berkata bahawa “Apa yang tidak membunuh kita, hanya akan membuat kita lebih kuat.”

Satu lagi kunci penting ialah untuk menetapkan mata minda kita kepada matlamat akhir. Bayangkan bagaimanakah rupa kejayaan itu nanti. Semakin kita membayangkannya, semakin besar kemungkinan kita akan mencapainya. Norman Peale berkata, “Cipta dan coret kekal di fikiran anda sebuah gambaran mental diri anda telah berjaya. Pegang gambar ini erat-erat. Jangan sekali-kali membiarkan ia pudar.”

Akhir kata

Ada pepatah yang mengatakan, ‘semakin susah sebuah cabaran, semakin gemilang kemenangannya’. 

Pemimpin-pemimpin yang hebat tidak menjadi hebat daripada pecapaian-pencapaian mereka sahaja, tetapi dengan cabaran-cabaran yang mereka tempuhi, disertai dengan keberanian yang ditunjukkan untuk mengatasi halangan-halangan tersebut. Ada ramai orang yang menentang dasar aparteid di Afrika Selatan, namun Nelson Mandela menonjol kerana kesengsaraan yang terpaksa dilaluinya.

Jangan berdoa untuk kehidupan yang mudah; sebaliknya berdoalah agar kita menjadi seorang insan yang kuat, insan yang mampu mengatasi halangan dan benar-benar mencapai potensi penuh keupayaan anda.

Seperti yang dikatakan oleh Muhammad Ali:

“Juara bukan dicipta di dalam gimnasium. Juara dicipta melalui sesuatu yang mereka miliki dalam diri mereka – satu keinginan, satu impian,  satu wawasan. Mereka harus memiliki stamina pada saat getir, mereka harus menjadi lebih pantas, mereka harus memiliki kemahiran dan kemahuan. Tetapi kemahuan itu harus lebih kuat daripada kemahiran.”

Dan kemahuan itulah yang akan mengatasi segala halangan, bukan kemahiran. Tiada yang mustahil bagi mereka yang percaya.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Overcoming Obstacles As Key Part Of The Leadership Journey

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

 Majikan

10 Strategi Perbualan untuk Mempamerkan Kualiti Kepimpinan Anda

Oleh William Arruda. Ingin dilihat sebagai pemimpin dalam temu duga kerja anda? Temui 10 petua perbualan untuk mempamerkan kemahiran kepimpinan anda.

Dec 27, 2023 3 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Menjadi Pendengar Yang Aktif: 10 Cara Terbaik

Kemahiran mendengar perlu dikuasai. Kita mesti pendengar yang aktif, dengan niat untuk memahami. Dengan itu, komunikasi berkesan dapat dijalin.

Oct 20, 2017 7 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest