Keberanian adalah ketahanan terhadap ketakutan, penguasaan ketakutan, bukan tiadanya ketakutan. — Mark Twain
Setiap orang ada ketakutan — dan ini termasuk juga setiap pemimpin. Yang pentingnya, jangan benarkan ketakutan itu menghalang anda daripada menjadi pemimpin yang berjaya.
Berikut adalah beberapa ketakutan dan cara untuk mengatasinya.
Takut dikritik
Setiap pemimpin pasti menjadi sasaran kritikan. Tidak ada cara yang betul atau salah untuk memimpin. Sebagai pemimpin, anda ada gaya kepimpinan tersendiri. Anda akan menghargai sesetengah perkara lebih daripada yang lain. Misalnya, anda mungkin lebih suka mengurus ala kotorkan tangan atau mengikut gaya yang lebih kasual.
Jangan benarkan kritikan mengganggu anda. Biasakan diri. Hakikatnya, anda sepatutnya harus bimbang sekiranya anda langsung tidak menerima kritikan, kerana ini bermakna anda terlalu cermat.
Terimanya dengan tenang. Berusaha untuk menjadi yang terbaik. Capai standard kecemerlangan diri sendiri. Tetapi, janganlah angkuh. Kerendahan hati amat penting.
Takut gagal
Apabila anda gagal sebagai pemimpin, ia akan mendapat perhatian ramai. Kegagalan adalah perkara yang kita semua segani. Tetapi ia tidak perlu bermakna bahawa kepimpinan anda akan hancur berkecai. Anggap kegagalan sebagai sebahagian daripada kembara ke arah kejayaan.
Dalam memimpin sesebuah pasukan, kegagalan boleh terjadi dalam pelbagai bentuk. Membuat keputusan kewangan yang tidak baik. Mengambil kerja staf yang kurang layak. Terlalu menjanjikan sesuatu dan gagal menepati janji yang dibuat. Kurang konsisten. Tidak menyampaikan visi dengan sempurna dan peranan setiap ahli pasukan dalam menjayakannya. Dan seribu satu yang lain.
Apabila anda membuat kesalahan, mengaku dan memberitahu pasukan anda tindakan susulan yang anda akan ambil untuk membetulkan perkara itu. Bersedia sebaik mungkin dan membuat penyesuaian yang perlu dalam proses tersebut.
Jika anda takut untuk gagal ke hadapan, anda akan kehilangan pengalaman pembelajaran yang baharu dan peluang-peluang yang baharu. Akhirnya, anda akan menyesal kerana tidak merangkul peluang yang ada.
Berkaitan: Tip Kepimpinan: Berani Gagal
Takut kurang pandai berkomunikasi
Bukan setiap orang dilahirkan sebagai pakar komunikasi, tetapi kemahiran berkomunikasi dengan baik adalah penting bagi seorang pemimpin. Jika anda berasa anda kurang baik dalam menyampaikan komunkasi anda dalam cara yang menarik — dalam cara yang boleh memberi ilham dan motivasi — berlatih, berlatih, berlatih.
Gunakan setiap peluang untuk bercakap di hadapan audiens, baik semasa mesyuarat dalam pejabat, mesyuarat penyampaian klien atau memberi syarahan sebagai penceramah tetamu. Minta maklum balas selepas sesi ucapan anda mengenai cara anda boleh meningkatkan kemahiran anda.
Berkaitan kemahiran menulis pula, minta seorang rakat sejawat yang lebih mahir untuk mengkaji semula dan memberi maklum balas yang relevan kepada anda.
Dengan lebih banyak sesi berlatih, menyemak semula dan maklum balas, anda akan menjadi lebih yakin dan kurang gentar.
Berkaitan: Mahu Komunikasi Anda Mendorong Hasil Yang Terbaik?
Takut membuat keputusan
Sebagai pemimpin, anda perlu berupaya membuat keputusan tanpa tersekat dalam suasana ‘kelumpuhan analisis’ (keterlaluan membuat kajian huraian) — mengambil terlalu lama untuk membuat pilihan kerana tidak dapat membuat keputusan. Kekurangan daya membuat keputusan boleh melumpuhkan mana-mana perniagaan atau organisasi.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna anda patut tergopoh-gapah membuat keputusan, yang mungkin membawa hasil yang agak parah kemudian.
Pertimbangkan maklumat yang anda ada, fikirkan masak-masak, dapatkan nasihat wajar dalam lingkungan masa yang sepatutnya, kemudian buat keputusan. Jika, bagaimanapun, anda kurang tepat dalam perkiraan anda, buat penyesuaian secepat mungkin.
Kadangkala anda mungkin membuat pilihan yang sukar, tanpa banyak waktu untuk membuat renungan. Buat keputusan yang terbaik mungkin berdasarkan ke mana anda ingin tuju, bukan dari mana anda berada, dan kemudian bergerak dari sana.
Ingat, memang ada pemimpin yang terbaik yang turut membuat keputusan yang salah. Bangun kembali, berfokus kembali, dan bergerak ke hadapan. Mengelak dari membuat keputusan adalah langkah yang terburuk sekali.
Takut menggalas tanggungjawab
Seperti bak kata, dengan kuasa datangnya tanggungjawab yang berat. Untuk menggalas tanggungjawab, anda harus terlebih dahulu menyedari bahawa kepimpinan anda adalah punca dan penyelesaian kepada perkara-perkara yang penting, dan anda tidak dapat melarikan diri secara bertanggungjawab dengan menangguhkan atau mengelakkannya.
Apabila anda membuat keputusan, mengambil tindakan atau memimpin syarikat dalam hala tuju yang diberikan, anda menjadikan diri bertanggungjawab untuk sebarang putusan potensi daripada tindakan-tindakan berkenaan.
Jika kempen pemasaran baharu anda berjaya, anda akan mendapat banyak pujian. Jika ia gagal, anda akan dipersalahkan pula. Semuanya berhenti dengan anda.
Semua pemimpin akan mengalami kejayaan dan kegagalan, jadi cuba berfokus dengan mengukur nilai anda dari segi motivasi di sebalik tindakan anda, dan bukan hasil daripadanya.
Pada saat anda bergerak melepasi ketakutan anda dan memutus untuk menanggung tanggungjawab, itulah saatnya anda boleh mengubah sebarang apa pun.
Takut tidak dapat menyelesaikan kerja
Dalam ekonomi global hari ini, kepimpinan yang berkesan didefinisikan dengan keputusan — tetapi, seperti mana yang kita semua ketahui, terdapat beratus-ratus gangguan dan berjuta-juta pesongan yang mengusik perhatian kita. Jika anda takut tidak dapat menyelesaikan sesuatu kerja, berhenti berfokus pada keputusan yang anda inginkan. Sebaliknya, tumpukan pada tindakan yang boleh anda ambil buat masa ini yang akan membawa kepada keputusan-keputusan itu. Tanya diri, “Jika anda tidak membuatnya sekarang, bila lagi?”
Jika anda mendapati diri tersekat, cuba fikirkan bahawa anda ada pilihan lain untuk membuat tugasan itu. Amalkan pandangan yang lebih fleksibel dalam mempertimbangkan pilihan lain daripada semata-mata pilihan yang telah anda temui buntuan. Terlalu bertumpu pada ketidakfleksibelan akan membuat anda kaku dan tidak berupaya untuk menyempurnakan sesuatu tugasan kecuali anda mengatasi ketakutan mengambil hala tuju lain untuk mencapai matlamat anda.
Akhir kata
Saat anda membenarkan sebarang ketakutan — malah yang rasional — menghantui fikiran anda dan mengganggu diri anda, keberkesanan anda akan menjunam. Mengatasi ketakutan kita bukan mudah, tetapi pasti mungkin, dan amat perlu jika anda ingin atau tetap mahu menjadi pemimpin yang hebat.
Setiap kali kita menghadapi ketakutan kita, kita akan memperoleh kekuatan, keberanian dan keyakinan.