Berterima Kasih

Aug 04, 2017 1 Minit
embun diatas buah

“Kebanyakan manusia membalas kebaikan kecil, menghargai kebaikan sederhana dan membalas kebaikan besar dengan ketidaksyukuran.”
— Benjamin Franklin

Pada tahun 1986, sebuah kajian dijalankan terhadap sekumpulan biarawati di bandar Mankato di Amerika Syarikat untuk mengetahui rahsia di sebalik umur panjang mereka, yang telah menimbulkan keghairahan penduduk dunia.

‘Kajian Biarawati di Mankato’ oleh David Snowdon mendedahkan hasil yang mengejutkan. Cara kita bercakap, semenjak dari kecil, dapat menentukan tempoh kehidupan kita dan risiko pendedahan kita terdedah kepada penyakit Alzheimer beberapa dekad kemudian.

Snowdon mendapati bahawa biarawati yang bercakap positif dan banyak melahirkan rasa terima kasih hidup paling lama. Yang paling kurang berterima kasih dan kurang emosi positif pula lebih mudah terdedah kepada penyakit Alzheimer.

Snowdon merumuskan: 

“Jika kita ingin hidup lebih lama, jadilah positif dan berterima kasihlah.”

Kajian yang dijalankan Jeffrey Froh mendapati manusia yang sering berterima kasih lebih bertenaga, optimis, lebih luas rangkaian sosial dan lebih bahagia. Mereka jarang berasa tertekan, iri hati atau menjadi kaki botol. Malah mereka mendapat gaji yang lebih tinggi, tidur lebih lena, bersenam lebih kerap dan mempunyai sistem imun yang lebih kukuh.

Kini, sains boleh membuktikan bahawa berterima kasih meningkatkan kesejahteraan psikologi, emosi dan fizikal. Kebanyakan penemuan ini telah kita pelajari sejak dari tadika atau dikongsi oleh nenek moyang kita, namun kini ia telah disahkan melalui bukti saintifik,” tambah Froh.

Jika berterima kasih boleh membuahkan hasil seumpama ini, kenapa kita tidak memberi fokus kepada sikap berterima kasih dalam perniagaan dan kehidupan seharian?  

Apa itu berterima kasih?

Berterima kasih bermaksud mengenang rahmat yang kita nikmati, bersyukur, dan menghargai segala yang kita terima. Ini dilakukan dengan menganggap bahawa segala yang kita hadapi sepanjang kehidupan adalah suatu anugerah, sentiasa mengambil peduli akan betapa bertuahnya kita disebabkan semua yang ada di sekeliling. Berterima kasih mengubah fokus kita daripada bertumpu pada kekurangan kepada kelebihan yang ada di depan mata.

Secara mudah, berterima kasih sebenarnya emosi yang mencakupi ‘refleksi kendiri, iaitu kemampuan untuk menerima hakikat bahawa setiap orang bergantung pada bantuan orang lain, dan rasa rendah hati untuk menyedari kekangan diri,’ seperti yang dinyatakan Emmons, seorang lagi pengkaji sikap berterima kasih.

Bersyukur bukan sikap seseorang yang ‘lesu intelek’. Emmons menganjurkan bahawa berterima kasih bercanggah dengan perasaan bahawa kita adalah mangsa keadaan atau kita berhak untuk sesuatu.

“Berterima kasih bukan sentimen yang hangat dan kabur, tetapi sikap yang dilengkapi dengan aspek moral dan intelek, yang menuntut tafakur, renungan dan disiplin. Ini boleh jadi payah dan memeritkan.” — Emmons.

Ujian yang dijalankan Emmons, berserta ahli psikologi McCollough mengesahkan bahawa rasa bersyukur membuahkan tahap kecerdasan, semangat, keazaman, keyakinan, kreativiti dan tenaga yang lebih tinggi. Selain itu, orang yang berterima kasih lebih sudi membantu orang lain dan maju lebih cepat untuk mencapai matlamat peribadi.

Kajian menunjukkan bahawa amalan bersyukur boleh meningkatkan tahap kegembiraan sebanyak 25%. Sekiranya kita mampu meningkatkan tahap kegembiraan di tempat kerja sebanyak 25%, kita mungkin boleh membangunkan sebuah pasukan berprestasi tinggi yang mampu memperoleh hasil yang memberangsangkan. Bukan inikah individu yang kita mahukan dalam perniagaan?

Berterima kasih penawar untuk sikap materialistik

Pasukan kajian Froh mendapati pelajar yang suka berterima kasih memperoleh lebih ramai kawan dan mendapat GPA yang lebih tinggi. Pelajar yang lebih materialistik pula mendapat gred yang lebih rendah, mudah iri hati dan kurang berpuas hati dengan kehidupan. Salah satu penawar untuk sikap materialistik ialah dengan menimbulkan rasa berterima kasih dalam diri seseorang atas nikmat yang dikecapi,” tambah Froh.

Pengasas Berkshire Hathaway, Warren Buffett, lelaki terkaya di muka bumi, menyatakan bahawa sebahagian kejayaanya berpunca daripada sikapnya yang suka berterima kasih. Beliau sentiasa memanjatkan rasa terima kasih kerana dilahirkan pada masa dan tempat yang tepat serta atas kekayaan yang diperoleh hasil titik peluhnya. Walaupun Buffet kaya tetapi tidak terdapat  sekelumit sikap materialistik dalam dirinya. Beliau melahirkan rasa terima kasihnya dengan menyumbang kekayaan yang terkumpul kepada masyarakat.

Berterima kasih mendatangkan kebahagiaan

Tidak berapa lama dahulu, sebagai sebahagian daripada program Pemecutan Bakat (Talent Acceleration), kami membawa sekumpulan tenaga kerja berpotensi tinggi dari Malakoff untuk membuat lawatan ke kilang Lafarge. Di sana, mereka bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Lafarge, Bi Yong Chungunco.

Bi Yong merupakan seorang pemimpin yang menakjubkan, yang sangat disayangi pekerjanya. Apabila dia berbicara dengan kami, dia menunjukkan rasa rendah hati yang ketara dan berterima kasih atas segala aspek dalam hidupnya, walaupun terdapat pelbagai rintangan yang perlu ditempuhi. Dia kehilangan suami dan perlu menghadapi jerih-perih dunia kerjaya berikutan statusnya sebagai seorang wanita dalam industri yang didominasi lelaki. Namun sikap positif dalam dirinya membantu Bi Yong untuk berjaya melalui segala kemungkinan.

Kata-katanya menguatkan lagi kepercayaan saya bahawa jika kita ingin mencapai kebahagiaan (yang menjadi matlamat semua orang), berterima kasih perlu dijadikan sebagai nilai utama untuk kita amalkan. Kita mudah lupa bahawa kebahagiaan bukanlah bermaksud kita memperoleh sesuatu yang tidak kita miliki, sebaliknya kebahagiaan adalah menyedari dan menghargai apa yang kita ada.

Berterima kasih mengatasi ‘kecondongan negatif’

Berterima kasih juga memaksa manusia untuk mengatasi ‘kecondongan negatif’, yang disebut ahli psikologi sebagai kecenderungan bersusah hati memikirkan kepayahan, kekecewaan, dan ketidakadilan berbanding rahmat terselindung yang positif.

Beberapa minggu lepas, saya menemu ramah Marshall Goldsmith,  pelatih perniagaan terkemuka dalam slot The Leaderonomics Show. Sepanjang sesi itu, Marshall kerap mengulangi rasa terima kasihnya atas segala nikmat yang diperolehnya ‘secara tidak sengaja’.

Berterima kasih menjadikan kita positif dan apabila minda kita diisi dengan hal yang positif, maka perkara positif yang akan berlaku. Hukum Tarikan menerangkan bahawa jika minda kita diisi dengan hal yang negatif, kita cenderung menarik perkara negatif kepada diri. Oleh itu, jika anda terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan berfikir negatif, kesesakan itu berubah menjadi lebih teruk. Namun jika anda menghadapi situasi yang buruk dan kekal positif, secara umum perkara yang lebih optimistik akan berlaku tanpa kita sedari, jelas Marshall.

Artikel berkaitan: Siapa Lipat Payung Terjun Anda?

Berterima kasih sebagai strategi perniagaan

Ketua perniagaan mungkin memahami akan kepentingan berterima kasih tetapi bagaimana sikap ini boleh membantu meningkatkan pencapaian perniagaan? Kita telah melihat bagaimana berterima kasih menaikkan tahap produktiviti pekerja, menambah kegembiraan di tempat kerja dan mempertingkat tenaga. Dan sekarang kita mendapati berterima kasih juga membantu mengembangkan bahagian dompet.

Buatlah dengan niat ikhlas

Banyak perniagaan yang sebenarnya berkembang kerana ucapan terima kasih yang diberikan kepada pelanggan. Daripada mengejar pelanggan baharu dan melebarkan bahagian pasaran, perniagaan yang menghubungi semula pelanggan lama dengan mengucapkan terima kasih dan menambah erat hubungan, mendapati keuntungan yang diperoleh meningkat lebih ketara, dengan memperluas bahagian dompetdaripada pelanggan sedia ada. Memperluas bahagian dompetadalah dengan membuatkan pelanggan membeli lebih banyak produk dan produk lain yang anda tawarkan, yang tidak dibeli oleh mereka pada suatu ketika.

Berterima kasih bukanlah bermaksud menghantar sepucuk surat dengan pancing pengiklanan seperti, ‘Bagi menghargai anda sebagai pelanggan istimewa kami, bermula dari sekarang kami akan memberi 20% potongan bagi semua kemeja jingga bersaiz XXXL, sehingga menepati kuota jualan.’ Orang dapat menilai niat sebenar surat berkenaan. 

Sesebuah perniagaan boleh menunjukkan penghargaan dengan menawarkan coklat berserta bil pembelian atau tanda terima kasih yang lain. Namun ini perlu dilakukan dengan tulus ikhlas, jika tidak, lebih baik anda pendamkan rasa terima kasih itu. Manusia dapat menilai niat palsu. Berterima kasih merupakan pendahulu kepada kepercayaan dan kepercayaan ialah pendorong yang berkuasa bagi meraih kesetiaan.

Mantapkan dalam pelan

Berterima kasih mendorong tingkah laku positif yang timbal balik,kata Profesor Raggio. Jika pelanggan percaya bahawa sesuatu perniagaan berniat untuk melakukan yang terbaik, lebih mudah untuk perniagaan membangunkan hubungan jangka panjang dengan pelanggan.

Dan jangan pula hanya menunjukkan rasa berterima kasih sekali setahun, semasa perayaan atau makan malam tahunan penghargaan pelanggan. Sebaliknya, mantapkan tanda terima kasih melalui rancangan dan dasar perniagaan harian dan mingguan. Pelanggan akan senang untuk kembali, menjadikan anda rujukan, memberi ulasan positif dalam talian, atau mungkin sanggup membayar lebih suatu masa nanti.

Masa berasa teruk, masa terbaik meluahkan rasa terima kasih

Penulis John Kralik mula menulis nota penghargaan kepada pekerja dan pelanggannya dan menyedari nota terima kasih itu membuahkan hasil dengan cepat, lalu perniagaannya kembali berkembang maju. Saya secara peribadi menulis nota terima kasih dengan cepat dengan tangan, malah ramai yang masih menyimpan nota tersebut bertahun-tahun, dan menggunakannya untuk mendapatkan inspirasi. Apabila anda berasa teruk, inilah masa terbaik untuk anda menulis 10 nota terima kasih.

Apabila pekerja menyedari anda menghargai usaha mereka, mereka secara semula jadi bekerja lebih keras untuk menggembirakan anda pada masa depan. Menghargai hasil pekerjaan anak buah meningkatkan prestasi mereka. Dan pujian yang ikhlas akan sentiasa mengeratkan hubungan dan menambah kepuasan di tempat kerja.

Dale Carnegie percaya bahawa keinginan untuk dihargai bagaikan rasa lapar yang menggigit-gigit dan tidak goyah.’ Fikirkan sumbangan yang dilakukan orang di sekeliling anda. Adakah anda benar-benar dihargai? Adakah nisbah terima kasih dan kritikan yang anda terima setimpal? Anda boleh mengubah nisbah tersebut dengan menghargai insan yang membantu anda setiap hari, misalnya barista yang membancuh kopi untuk anda atau pekerja yang menghantar laporan tepat pada masa.

Mari berterima kasih

Berterima kasih boleh mengubah hidup seseorang tetapi ini memerlukan disiplin dan kekuatan mental. Berikut merupakan 10 senarai semak daripada saya untuk anda membentuk diri menjadi seorang yang suka berterima kasih:

  1. Dirikan papan terima kasih di pejabat dan rumah, dan saksikan aura berterima kasih mengalir di pejabat dan rumah.
  2. Simpan diari terima kasih. Kenang rahmat yang anda nikmati dan coretkan sekurang-kurangnya tiga kebaikan yang berlaku dalam hidup anda setiap hari. Anda akan terperanjat akan betapa beruntungnya diri anda hanya dalam masa seminggu.
  3. Perhatikan percakapan anda. Jangan guna perkataan negatif, walaupun semasa berbisik pada diri sendiri.
  4. Berhenti sejenak sepanjang hari. Berhenti daripada melakukan sesuatu kerja dan renung perkara yang perlu anda syukuri. Anda akan nampak hikmah di mana-mana.
  5. Tulis surat terima kasih kepada sesiapa yang memberi pengaruh positif dalam hidup anda .
  6. Adakan lawatan penghargaan kepada seseorang yang pernah berbudi pada anda dan ucapkan terima kasih kepada mereka secara peribadi
  7. Berjanji pada diri untuk mengamalkan sikap bersyukur. Ahli psikologi percaya bahawa ‘berjanji pada diri sendiri untuk melakukan sesuatu akan meningkatkan kebarangkalian untuk kita bertindak’.
  8. Jangan dihitung emas permata; sebaliknya kenanglah rahmat yang dinikmati apabila anda ingin melelapkan mata. Ingat kembali kejadian dan insan yang anda hargai sepanjang hari sebelum anda lena dibuai mimpi.
  9. Tulis nota terima kasih kepada pelanggan anda. Jangan sertakan agenda lain selain ucapan penghargaan.
  10. Sematkan masa terima kasih dalam kalendar. Jadualkan masa untuk anda menghantar nota penghargaan kepada pelanggan, pekerja, dan ucapkan terima kasih kepada ahli keluarga dan sahabat handai.

Akhir kata

Walaupun menyedari sikap berterima kasih itu bagus tetapi semua orang, sama ada ketua perniagaan ataupun pelajar, mengalami Penyakit Kurang Berterima Kasih. Kita semua menerima lebih banyak kutukan daripada ucapan terima kasih. Kita lapar akan penghargaan yang tulus ikhlas. Kita mahu tahu hakikat pentingnya kita, dan usaha yang kita curahkan telah mengubah dunia menjadi lebih baik. Mother Teresa pernah berkata kita di dunia lebih dahagakan kasih sayang dan penghargaan lebih daripada sebuku roti.Betul katanya.

Pelanggan, pembekal, pekerja, rakan sekerja, sahabat handai serta keluarga, semuanya memerlukan ucapan terima kasih. Dunia ini kekontangan terima kasih. Menyimpan rasa berterima kasih tanpa mengucapkannya samalah seperti membalut hadiah namun tidak memberikannya kepada si penerima. Maka, daripada menjadi perungut berkelas dunia, apa kata anda mencabar diri untuk memulakan hari ini dengan mengucapkan terima kasih kepada pekerja, pelanggan, rakan dan keluarga. Anda mungkin bisa hidup lama seperti biarawati di Mankato.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Gratefulness Can Be A Winning Business Strategy

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Alt

Cadangan Buat Kamu

Pemimpin

Memimpin dalam Dunia yang Mengganggu: Pengajaran Utama daripada Sidang Kemuncak Kepimpinan Global 2023 (Bahagian 1)

Oleh Kiran Tuljaram. Daripada memupuk perhubungan yang berkembang maju kepada memanfaatkan kuasa penambahbaikan tambahan, dapatkan wawasan yang tidak ternilai yang boleh digunakan dalam konteks peribadi, profesional dan masyarakat.

Dec 05, 2023 10 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Kepimpinan Itu Ekstrem

Kepimpinan ekstrem adalah gelagat pemimpin yang hebat. Mereka bijak memilih tindakan yang bersesuaian dengan keadaan dan masa. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Kepimpinan Itu Sesuatu Yang Ekstrem!

Jul 16, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest