Setiap kali ibu saya hendak membeli sesuatu produk baharu, dia akan bertanya soalan yang sama kepada jurujual: “Di manakah produk ini dibuat?”
Kualiti produk dan nilai untuk wang adalah penting, tetapi adakah tempat di mana produk itu dibuat juga penting?
Kadang-kadang kita gagal mengiktiraf nilai yang ada pada jenama atau produk yang kurang dikenali. Yang lebih menyedihkan lagi ialah apabila orang ramai sering lupa bahawa kejayaan jenama yang kononnya lebih popular ini tidak akan tercapai tanpa mereka yang berada di belakang tabir.
Baru-baru ini saya berpeluang mengenali mekanisme dan operasi dalaman dua syarikat tempatan.
IX Telecom
Apakah yang anda lakukan jika Internet tidak berfungsi? Anda akan menghubungi pakar-pakar di jabatan IT, bukan? Mereka pula akan membuat aduan dengan pembekal telekomunikasi. Masalah selesai.
Mundar laju beberapa bulan, dan perkara yang sama berulang.
Bagaimana kalau saya beritahu bahawa ada cara bagaimana pembekal telekomunikasi tempatan dapat mengakses Internet dengan lebih pantas, andal dan selamat?
Diperkenalkan di sini syarikat permulaan tempatan, IX Telecom (IX). Syarikat ini, yang sudah beroperasi selama sembilan tahun, mengintegrasikan rangkaian Klien X dengan rangkaian syarikat lain di serata dunia.
Bagaimana? Dengan membeli “transit IP” atau lebar jalur, aspek kritis yang mempengaruhi kelajuan Internet, daripada pembekal telekomunikasi sedunia.
IX menggalas tanggungjawab yang besar dengan menguruskan get laluan antarabangsa untuk pembekal perkhidmatan tempatan.
Keunikan IX
Apa yang unik tentang IX ialah cara ia beroperasi sebagai platform rangkaian maya. Ini bererti ia tidak memerlukan infrastruktur fizikal yang besar seperti pembekal telekomunikasi lain yang mempunyai optik fiber, hab satelit dan menara telekomunikasi.
Dengan cara ini, syarikat ini dapat menawarkan 10,000 jenis perkhidmatan dengan hanya 30 pekerja, dan telah berkembang dengan sangat pesat sejak ditubuhkan dalam masa kurang dari 10 tahun!
Sehingga kini, IX Telecom mempunyai 1,000 rakan kongsi di serata dunia, dan mempunyai liputan di lebih 200 negara. Ini membolehkan pelanggannya bersaing di peringkat global.
Helmi: “Kami ingin menjadi pembekal perkhidmatan global tanpa infrastruktur fizikal yang terkenal di dunia.”
Perkhidmatan yang ditawarkan
Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif IX, Noor Mohd Helmi Nong Hadzmi, klien mereka termasuk syarikat telekomunikasi besar dan syarikat penerbangan terbesar dunia. Syarikat ini juga membekalkan perkhidmatan rangkaian persendirian maya (VPN) untuk membolehkan komunikasi antara lokasi berbilang di serata dunia.
Satu contoh yang Helmi berikan memfokus kepada mewujudkan rangkaian untuk mengintegrasikan sistem, data dan saluran komunikasi, misalnya Penerbangan A dengan lapangan terbang di serata dunia. Dengan itu, IX membolehkan pekerja syarikat penerbangan mendapat akses kepada sistem – dan data – penerbangan dari mana-mana tempat di dunia, dan ia dapat menyalurkan maklumat kepada pelanggan berkenaan data penerbangan terkini serta penempahan.
Selain itu, IX juga menawarkan perkhidmatan perkongsian dan fungsi khidmat luaran, termasuk menguruskan penghala dan tembok api Klien X dari pusat operasi rangkaian tanpa hentinya di Cyberjaya.
“Kami boleh mengawasi masa mula dan masa henti rangkaian di seluruh dunia. Jika ada sebarang masalah dengan rangkaian, kami boleh mengatasinya serta-merta,” katanya.
Ini amat baik untuk pengguna yang mengharapkan sambungan Internet yang mantap untuk menyiapkan kerja.
Pertumbuhan operasi
Dalam masa tiga tahun kebelakangan ini, IX menikmati pertumbuhan dua digit dalam hasil dan untung, sekali gus memberi pandangan luaran yang positif. Tetapi Helmi dan kumpulannya belum berpuas hati atas kejayaan mereka. “Kami ingin menjadi pembekal perkhidmatan global tanpa infrastruktur fizikal yang terkenal di dunia.”
Salah satu cara bagaimana Helmi boleh mencapai ini ialah dengan meningkatkan kemahiran para pekerjanya. Sebagai contoh, kumpulan pengurusannya terdiri daripada para jurutera yang tiada asas dalam perniagaan.
“Kami bersyukur Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) membantu bakat-bakat kami dengan memberi pendedahan tentang pengurusan pelabur dan pelanggan menerusi program GAIN mereka,” kata Helmi.
“Ini membantu menambah pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan dan kepimpinan kami,” katanya.
Apa yang menarik tentang syarikat ini adalah mereka bukan hanya membantu pembekal telekomunikasi dan pengguna dengan menyediakan perhubungan yang cepat dan mudah, tetapi membuka jalan kepada mereka untuk menyediakan perkhidmatan yang pelbagai kepada pelanggan.
Radica Software
Telefon pintar yang anda baru pegang, komputer yang anda sedang gunakan, alat ujian tekanan darah yang doktor anda gunakan minggu lepas… ini semua tidak akan tercipta tanpa sumbangan jurutera elektrik.
Jurutera elektrik memainkan peranan penting dan amat besar dalam masyarakat serta dalam memastikan kemajuan teknologi. Alangkah bagus jika ada alat yang boleh memudahkan kerja dan mengurangkan tekanan mereka.
Syarikat tempatan ini diketuai oleh Thomas Yip dan berpangkalan di Ipoh. Ia menyediakan perisian reka bentuk berbantu komputer (CAD) yang membolehkan jurutera elektrik mereka litar elektrik dengan mudah, dan seterusnya mempertingkatkan produktiviti mereka.
Semasa ditemu ramah mengenai perisian pertama Radica sebelum ini, Yip berkata para jurutera memperoleh peningkatan produktiviti sebanyak 300% hingga 500%. Memandangkan penyelesaian perisian maju yang baharu dapat mengautomasikan kerja-kerja konvensional yang terlampau rumit untuk dibuat secara manual, jurutera kini dapat memfokus kepada penciptaan reka bentuk yang lebih baik dan yang meningkatkan keselamatan. Litar elektrik yang dahulunya memerlukan tujuh hari untuk disiapkan, kini boleh dibuat dalam masa dua hari sahaja.
Semasa berbual menerusi aplikasi Skype dengan Yip baru-baru ini, dia berkata: “Terdapat banyak perisian percuma di pasaran. Untuk mendapatkan pengguna yang sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli perisian adalah sangat susah. Pengguna tidak akan membeli sesuatu perisian melainkan ia dapat menyumbang kepada kesejahteraan hidup mereka.”
Yip berkata perisian yang dibina oleh syarikatnya sangat mudah dan tidak memerlukan latihan untuk menggunakannya, tidak seperti sistem kejuruteraan yang lain.
Buat masa ini, Radica mengedarkan lebih 2,000 lesen ke seluruh dunia, terutamanya kepada pelanggan di Amerika Syarikat dan Kanada. Antara klien mereka yang terkenal adalah NASA dan Apple.
Keunikan Radica
Salah satu sebab mengapa syarikat ini dapat berkembang dan mempunyai senarai pelanggan yang dihormati adalah kepantasan dan keberkesanannya dalam menangani isu-isu berbangkit daripada para klien.
Ini adalah bahagian yang paling pelik: Radica hanya mempunyai 10 orang pekerja. Saya bertanya Yip bagaimana ini dapat dilakukan dan dia menjawab: “Kami tidak ada pekerja akaun. Kami membuat skrip dan sistem jejak dalaman yang mengautomasikan kesemua proses perakaunan!”
Walaupun dengan adanya sistem automasi, bekerja dalam kumpulan kecil untuk projek yang besar kadang-kadang memberi tekanan. Yip memberi motivasi kepada pekerjanya menerusi sesi perkongsian pada setiap Sabtu berselang, di mana seorang jurulatih luar membantu mengembangkan kemahiran pekerja.
Potensi masa hadapan
Pada masa hadapan, syarikat ini berhasrat untuk tidak hanya mensasarkan jurutera elektrik.
Perisian terkini Radica adalah buktinya. Ia membolehkan kumpulan-kumpulan di serata dunia berkomunikasi secara berkesan dengan menggunakan gambar rajah kolaboratif masa nyata. Ini membantu memaksimumkan tahap produktiviti apabila menghasilkan produk atau penyelesaian.
“Kami ingin muncul sebagai satu-satunya platform yang menggunakan gambar rajah yang akan digunakan di serata dunia,” kata Yip.
Peranan MDEC
Untuk membantu Radica mencapai matlamatnya ialah MDEC.
Melalui program GAIN kelolaan MDEC, “Radica telah mendapat pendedahan yang lebih meluas kerana program ini telah menghubungkan kami dengan pihak yang sewajarnya dan menawarkan kami kursus pendidikan seperti yang dibangunkan Universiti Harvard. Kami juga berpeluang ke Lembah Silikon untuk mengembangkan jenama Radica. Semua usaha ini sangat bermakna dan berguna bagi kami,” kata Yip.
“Tanpa bantuan MDEC, kami tidak akan berupaya melangkah sejauh ini.”
Pertumbuhan operasi
Kata Yip lagi, Radica telah membuat pelaburan besar kepada pembangunan produk dan pengembangan kumpulan, kedua-duanya penting untuk pertumbuhan syarikat. Kesannya dapat dilihat melalui pertumbuhan hasil sebanyak 30% tahun ini.
Radica telah mengenal pasti masalah-masalah yang jurutera elektrik hadapi dan membina satu produk yang hebat untuk mengatasinya. Kini ia berusaha untuk membuat kerja berkolaborasi menjadi lebih mudah untuk orang ramai, seperti anda dan saya, demi meningkatkan produktiviti di mana mana jua. Bayangkan keberhasilan perniagaan nanti!
Selaras dengan visi meningkatkan ekonomi digital Malaysia, program Pecutan Rangkaian Inovasi Global (GAIN) dilancarkan oleh MDEC untuk memangkinkan perkembangan teknologi Perusahaan Kecil dan Sederhana tempatan yang berpotensi untuk menjadi pemimpin global menerusi kemasukan pasaran, kepimpinan dan perkembangan kebolehan, gangguan teknologi dan modal skala naik.
Akhir kata
IX dan Radica adalah dua syarikat yang memainkan peranan penting dalam fungsi kebanyakan perniagaan dan jenama yang biasa kita gunakan. Bagaimanapun, kita tidak begitu kenali IX dan Radica kerana sifat operasi mereka.
Saya bersyukur kerana berpeluang menulis mengenai syarikat-syarikat tempatan seperti IX dan Radica yang banyak berjasa di sebalik tabir. Saya berharap moga-moga cerita mereka akan menjadi inspirasi buat syarikat-syarikat tempatan lain, termasuk kita semua.
Oleh Graham Ward. Patutkah pemimpin mengamalkan "penetapan minda" atau "penetapan dwi minda" dalam era digital yang semakin berkembang ini? Ketahui lebih lanjut mengenai "penetapan minda teknikal" dan "penetapan minda adaptif" yang diperlukan untuk mengemudi landskap kecerdasan buatan dengan berkesan.
Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.
Kepimpinan hanya boleh dipelajari dan dibentuk dalam proses mengotori tangan melalui pengalaman hidup. Konteks membentuk kebolehan kepimpinan. Tontonilah video ini. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Mengotori Tangan Anda.