Petua Untuk Graduan Baharu

Jul 31, 2017 1 Minit
graduan

Tahniah para graduan baharu! Bagi kalian, hari graduasi menandakan titik perubahan dalam hidup. Ia adalah permulaan untuk anda membuat pelbagai keputusan dan cuba mengorak langkah yang perlu diambil dalam fasa kehidupan yang seterusnya.

Maka saya ingin berkongsi enam nasihat yang mungkin tidak kalian pelajari di universiti. Sebahagian daripadanya mungkin tidak masuk akal, namun ia memang hakikatnya.

1. Berlatih dan mendesak diri

Pada tahun 1986, semasa saya berusia 12 tahun, saya menyaksikan seorang lelaki gempal, rendah dan agak jelik berjaya menjunjung Piala Dunia FIFA.  Saya begitu terkagum dengan pencapaiannya. 

Maka saya berhenti bermain badminton (satu-satunya sukan yang saya main ketika itu) dan bertukar kepada bola sepak. Saya berlatih setiap hari dan berjaya melayakkan diri menyertai pasukan bola sepak sekolah. Pada tahun 1987, Mokhtar Dahari, pemain legenda bola sepak negara, diumumkan sebagai jurulatih kami.

Saya terkesima dan teruja pada masa yang sama. Dalam tiga bulan, SuperMokh melatih tubi kami supaya layak ke perlawanan. Namun dengan saya, beliau lebih cepat naik marah. Akhirnya pada penghujung musim, saya bersemuka dengan SuperMokh dan bertanya kenapa beliau lebih menekan saya berbanding pemain lain. Beliau tidak menjawab tetapi bertanya kembali, “Apa kau rasa aku berbakat?”. Saya merenungnya seraya membalas, “Err mestilah”.

Beliau menggelengkan kepala dan menjawab, “Aku tidak berbakat. Ada ramai lagi yang lebih baik daripada aku. Namun, aku yang terbaik di Malaysia. Kau tahu kenapa?”, beliau bertanya. Saya menggelengkan kepala.

Katanya, “Aku yang terbaik kerana aku berusaha lebih keras.” Sejak hari itu saya belajar suatu perkara yang paling penting dalam hidup. Bakat sahaja tidak berguna. Kita memaksa diri keluar dari zon selesa dengan berlatih, berlatih dan berlatih. 

Pembelajaran itu menyakitkan. Berlatih itu payah. Tetapi anda perlu terus berlatih, membaiki dan mendesak diri sendiri. Lakukan dengan kerap dan anda mampu menjadi seseorang yang berkelas dunia.

2. Jangan berangan; terus bertindak 

Kisah saya selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh dengan suka-duka, serta liku-liku yang membuatkan saya marah, keliru, bimbang dan kecewa. Saya mendapat keputusan yang baik dalam SPM tetapi keputusan yang baik ini merumitkan keadaan.

Jauh di lubuk hati, saya tidak mahu belajar di universiti tempatan dan mahu mendapatkan biasiswa untuk ke luar negeri. Maka saya dan rakan-rakan mula memohon setiap jenis biasiswa yang ada. Satu persatu rakan saya, kebanyakan daripada mereka dengan keputusan yang kurang baik daripada saya, berjaya memperoleh biasiswa ke pelbagai negara dan universiti. Saya menghadiri satu demi satu sesi temu duga, namun tiada satu pun yang melekat.

Kemudian saya sedar saya tidak ada harapan. Saya cenderung ‘berkata benar’ semasa temu duga dan itu bukanlah yang suka didengar oleh penemu duga, terutamanya cara saya membahagikan masa untuk ‘mengubah dunia’, sukan dan belajar dengan bagus. Minggu demi minggu berlalu, tiada apa-apa yang terjadi. Saya kemudiannya terpaksa menerima takdir, iaitu ke Tingkatan 6!  

Artikel berkaitan: 10 Cara Terbaik Menyerlah Diri Di Tempat Kerja

Saya tidak percaya ini akan terjadi. Semua rakan saya mula berlepas  ke negara-negara eksotik (bagi saya, apa-apa di luar Malaysia nampak eksotik), atau memasuki kolej swasta.

Maka dengan berat hati saya memasuki Tingkatan 6 namun saya kerap terfikirkan rakan-rakan, berasa iri hati, akan betapa ‘bertuahnya’ mereka dan menganggap diri sebagai “mangsa” keadaan.

Namun saya bersyukur keadaan menyedihkan ini tidak berlarutan. Saya tahu perkara buruk (dalam kes saya, ‘tersekat di Tingkatan 6!!) terjadi pada semua orang tetapi reaksi kita apabila menghadapinya menentukan siapakah pemimpin yang hebat.

Mengenang kembali saat Mokhtar Dahari bertarung dengan penyakit membawa maut yang akhirnya meragut nyawa insan ini, saya meyakinkan diri bahawa saya perlu bertanggungjawab dengan kehidupan saya dan tidak menganggap diri sebagai mangsa, dalam apa-apa keadaan yang berlaku di sekeliling.

Maka dengan azam baharu, saya memutuskan untuk mendedikasikan beberapa bulan seterusnya untuk ‘meninggalkan Malaysia’. Maka saya berusaha siang dan malam, tanpa lelah mengisi borang permohonan universiti, melengkapkan ‘resume’ dan menulis surat dengan penuh kesungguhan ke pelbagai universiti, menyatakan sebab saya patut diterima dengan yuran pengajian, makanan dan penginapan ditanggung. Kalau tidak silap, saya menghantar lebih 1000 pucuk surat ke universiti di seluruh dunia.

Anehnya, kebanyakan universiti besar membalas permohonan saya. Saya diterima ke Harvard, Princeton dan Georgetown namun saya hanya ditawarkan biasiswa separa. Maka saya terus berusaha tanpa jemu memohon universiti lain.

Akhirnya, sebuah universiti di Connecticut menghantar surat tawaran dengan tanggungan biasiswa penuh, merangkumi makan, penginapan, yuran pengajian dan sebagainya. Apa yang perlu saya lakukan adalah terbang ke sana. Saya masih ingat tarikh keramat itu, 18 Disember 1992. Pada 3 Januari 1993, saya pun dalam penerbangan (tempat saya bertemu bakal isteri saya) untuk memulakan pengajian ke Connecticut. Ketabahan dan ketekunan saya nampaknya berhasil.

Maka nasihat buat anda, berhenti berkhayal tentang kehidupan bagus yang mungkin anda kecapi, sebaliknya, fokus untuk merealisasikannya. Fikirkan cara yang bakal anda lakukan untuk mencapai impian anda, bukannya berfikir keajaiban hidup jika mimpi bertukar realiti. Kerana ia tidak akan terjadi.

3. Marah tetapi salurkan kemarahan dengan positif

Semasa di universiti, saya pernah berasa marah dengan pentadbir universiti dan badan wakil pelajar. Kemarahan itu memakan diri; saya berasa wujud ketidakadilan, pembaziran dan kekurangan. Saya hanyalah pelajar tahun satu ketika itu. Buah hati saya (gadis yang saya temui dalam penerbangan ke Amerika Syarikat, yang  kemudiannya menjadi isteri saya) menasihati saya supaya jangan terlalu melayan perasaan tetapi mengusahakan sesuatu. Saya setuju dengannya dan mendaftarkan diri sebagai calon presiden badan wakil pelajar dalam pilihan raya seterusnya.

Semua orang ingat saya gila. Pertama, saya pelajar antarabangsa. Lebih teruk saya berasal dari negara Malaysia. “Adakah orang Malaysia tinggal di atas pokok?” merupakan soalan yang sering saya terima. Yang paling teruk saya baru sahaja memasuki tahun kedua di universiti. Komen yang biasa saya dengar ialah “Hanya pelajar senior yang bertanding jawatan presiden”. Tetapi saya menyertai pilihan raya tersebut dan menang. Dan saya memutuskan untuk membuat perubahan dan membetulkan ketidakadilan serta memastikan kecekapan dipulihkan.

Sejak itu, saya sedar bagus untuk berasa marah, tapi lebih baik jika kita salurkan kemarahan menjadi tindakan yang berguna. Orang yang tidak berguna berasa marah, menarik muka, bersungut dan bertindak bodoh. Orang yang hebat berasa marah tetapi bertindak dengan tenang dan teratur serta merungkaikan permasalahan. Ini membawa kepada nasihat yang keempat.

4. Bekerja dengan seseorang yang membuatkan anda maju

Setahun sebelum graduasi, saya beroleh peluang melakukan latihan amali selama tiga bulan dengan General Electric. Saya agak teruja. Tetapi saya diberi tugasan yang tiada sesiapa mahukan, iaitu bekerja untuk bos yang paling tegas. Seorang lelaki yang tidak bertimbang rasa. Semua di situ menepuk bahu dan mengucapkan “selamat berjaya” (dan mereka diam-diam gembira kerana memperoleh peranan yang lebih baik!). Saya memulakan tugasan dan bertemu dengan Mike Petrucelli, bos baharu. Dia sangat tegas seperti yang dikatakan tetapi dia seorang yang sangat efisien. Kerja yang dilakukannya membuahkan hasil. Dan saya dikerah dengan dahsyat.

Apabila semua pekerja latihan amali berpesta pada malam hari, saya berada bersama  dengan Mike membina perniagaan. Mike pernah “memecat” saya sekali kerana tertinggal senarai gaji pekerja di atas mesin fotostat. Namun dia “menggaji semula” saya sebaik sahaja saya belajar daripada kesilapan. Dia menengking apabila saya tidak bersuara dalam mesyuarat dan hanya akan gembira apabila saya membuka mulut dalam perjumpaan rasmi. Dia mencurahkan ilmu kewangan dan perniagaan, walaupun saya bencikan topik kewangan. Pada penghujung latihan amali, dia mengarahkan saya berhenti belajar (saya masih ada setahun lagi) dan bekerja dengannya sepenuh masa. Saya berunding dengan Mike dan akhirnya bekerja “sepenuh masa” dan belajar separuh masa.

Apabila melihat kembali semua pekerja latihan amali yang mendapat bos “baik”, saya bersyukur dengan bos yang menekan saya. Saya belajar lebih banyak dan maju lebih jauh berbanding dengan mereka dalam GE kerana Mike.

Maka nasihatsaya ialah bekerja dengan bos yang tegas tetapi yang mengambil peduli untuk membuatkan kalian maju. Pelatih terbaik di dunia akan mendesak kalian semampu mungkin dan menggesa kalian menjadi yang terbaik. Jangan selesa dengan bos “baik” yang tidak pernah mendesak diri kalian.

Pastikan bos pertama kalian ialah seseorang yang “memukul kalian menjadi bentuk yang berguna”. Dan jika anda belum berjumpa bos sedemikian, sertailah kami di Leadernomics. Kami akan pastikan setiap pekerja didesak ke had yang maksimum, memacu mereka menjadi yang terbaik.

Artikel berkaitan: Nasihat Gates Buat Graduan Kelas 2017

5. Selalu mencabar diri 

Lakukan kerja yang paling susah bagi anda. Kerja yang paling teruk. Kerja yang tidak diingini sesiapa. Saya terkenang saat semua orang menolak tugasan di Dallas, Texas. Semua pekerja melarikan diri daripada mengerjakan tugasan ini. Saya sendiri tidak tahu kenapa saya menawarkan diri untuk tugasan itu. Saya membenci setiap minit dalam tugasan itu. Saya gagal dengan teruk. Malah saya dibuang kerja selepas enam bulan. Saya patut mendengar nasihat orang lain bukan? Kebanyakan daripada mereka tahu sesuatu tidak kena dan semua perlu mengelakkan diri daripada tugasan ini, bukan? Itulah yang saya fikirkan selama beberapa tahun. Cela yang terdapat dalam resume saya adalah disebabkan oleh tragedi di Dallas!

Beberapa tahun kemudian, saya menjadi ketua pemimpin dalam usaha pemulihan berskala besar, sama seperti senario di Dallas. Boleh anda teka apa yang terjadi? Kami berjaya memulihkan organisasi tersebut dalam masa singkat. Kenapa? Kerana saya telah belajar daripada episod di Dallas. Jika saya tidak pernah menghadapi rencana di Dallas, mungkin saya tidak akan berjaya dalam usaha pemulihan yang lebih besar.

Maka, ambil kerja yang paling susah bagi kalian. Jika kalian gagal, apa masalahnya? Kalian masih muda. Pengalaman akan lebih mematangkan anda untuk menghadapi masa hadapan. Jika kalian boleh idamkan sesuatu, kalian boleh melaksanakannya. Jangan mudah selesa dengan kerja mudah. Lakukan kerja yang maha susah dan sangat mustahil. Sebaik sahaja kalian menguasai kerja tersebut, urusan selepas ini akan nampak mudah.

6. Selalu berbuat baik

Bunyinya senang bukan? Namun atas sebab tertentu kebanyakan orang yang menceburi dunia perniagaan atau apa-apa bidang atau domain, berbuat baik dipandang enteng. Sepanjang hidup, urusan saya dipermudah apabila saya memudahkan kerja orang lain. Lebih banyak masa, wang, kemahiran dan hidup saya luangkan, lebih banyak masa, wang, kemahiran dan pengalaman yang saya kecapi. Dan berbuat baik bukanlah bermaksud kalian perlu mengorbankan segenap hidup seperti Mother Teresa.

Ini bermula dengan melayan orang lain dengan baik tidak kira pangkat dan kedudukan. Nampak sentimental, namun apabila kita berbuat baik pada orang, mereka akan berusaha sedaya-upaya untuk membantu kita. Apabila kalian baharu bekerja untuk sesebuah organisasi, kalian tidak dapat menduga jenis bantuan yang diperlukan. Rakan sekerja suka bekerja dengan seseorang yang menyenangkan, tanpa mengira betapa berbakatnya seseorang. Secara jujur, saya bukanlah seseorang yang paling bagus dalam kewangan, tetapi saya semestinya yang paling menyenangkan dan selalu terlepas daripada kritikan atau hukuman apabila tersalah langkah, termasuklah mampu memperoleh bantuan rakan sekerja dan bos dalam melakukan kerja.

Saya teringat saat dilanda zaman kejatuhan. Saya baru sahaja berpindah ke Bandar New York dan bekerja dengan stesen TV besar NBC di Pusat Rockefeller. Semua di situ tidak sukakan saya dan bos saya tidak menyediakan tempat untuk saya bekerja. Maka saya perlu duduk di kafeteria dalam minggu pertama kerja. Apabila seseorang masuk ke kafeteria, saya mengukir senyuman. Seorang hos rancangan TV yang terkenal datang dan berbicara dengan saya. Tidak saya ketahui tujuannya, mungkin dia rasa menjadi tanggungjawabnya untuk melakukan “siasatan”. Dipendekkan cerita, kerja saya di NBC berjalan lancar dan tidak lama kemudian, saya berkesempatan untuk berparti dengan bintang-bintang televisyen. Senyuman manfaatnya berpanjangan.

Tetapi lebih baik sekiranya anda berbuat baik kepada semua orang.

Akhir kata

Maka, inilah dia enam perkara yang mengubah hidup saya. Saya mengucapkan selamat berjaya dalam kerjaya buat kalian dan terapkan dalam diri untuk sentiasa memajukan diri sehingga mencapai potensi yang sepenuhnya, serta jadilah seorang pemimpin seperti yang tertulis buat diri kalian. Semoga mendapat rahmat!

 

Roshan Thiran boleh dihubungi melalui Facebook dan Twitter untuk mendapat pandangan beliau mengenai urusan perniagaan, pemantapan kepimpinan peribadi dan profesional. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Graduation Speech at IACT College

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Anda Seorang Pemimpin

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Cadangan Buat Kamu

Pemimpin

Melepasi daripada Narsisisme: Bagaimana Pemimpin Boleh Mengelak Perangkap Keangkuhan (Hubris)

Oleh Mafred F. R Kets De Vries. Temui perbezaan bernuansa antara narsisisme dan keangkuhan serta kesan berbezanya terhadap kepimpinan. Mulakan perjalanan muhasabah diri dan pelajari cara mengharungi arus kepimpinan yang khianat dengan kebijaksanaan dan kerendahan hati.

Apr 01, 2024 5 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Memberi Reaksi atau Respons

Dalam menjalani kehidupan seharian, kita mempunyai pilihan sama ada ingin memberikan reaksi atau memberikan respons melalui perbuatan kita. Jadi, utamakan memberi respons supaya hidup lebih positif dalam apa jua keadaan.

Jul 30, 2024 8 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest