Tiada Pengalaman Kerja? Jangan Bimbang!

Jul 26, 2017 1 Minit
bimbang, pengalaman

Anda telah memperoleh segulung ijazah dan sedang memburu kerja. Masalahnya adalah kebanyakan jawatan kosong yang ditawarkan memerlukan pengalaman. Namun, bagaimanakah anda boleh memperoleh pengalaman tanpa mendapat kerja terlebih dahulu? Dilema yang tidak berkesudahan ini menyebabkan graduan baharu, termasuklah sesiapa yang berniat untuk melompat kerja, mudah putus harapan.

Jangan panik, dan jangan putus asa! Ramai yang dalam situasi yang sama. Pelajar yang menjalani latihan amali boleh menggunakan latihan tersebut sebagai pengalaman kerja, sekiranya relevan. Tetapi, jika anda tidak berpeluang menjalani latihan amali, atau jawatan yang anda idamkan nyata berbeza daripada kerja yang pernah anda lakukan, berikut adalah beberapa tip untuk anda mendapatkan kerja yang diingini, walaupun pengalaman kerja anda serba kosong!

Tip 1: Pupuk kualiti peribadi yang bagus 

Kemahiran boleh dipindah milik adalah senjata rahsia anda! Anda pernah mengetuai kelab di sekolah? Ini dipanggil sebagai kepimpinan. Anda pernah menyertai pasukan sukan? Itu kerja berpasukan. Jika anda pernah mengendalikan acara, ini dikira sebagai pengurusan acara. Adakah sekarang anda melihat resume dari kaca mata berbeza?

Semua yang pernah anda lalui ada impaknya dalam hidup. Sebagai graduan baharu, terdapat kemahiran yang mungkin anda miliki seperti pembacaan pruf, semakan fakta, penyelidikan, mahir dalam penggunaan Microsoft Office, pandai mengatur belanjawan, dan pandai menjalin interaksi sosial.

Anda mungkin tidak pernah bekerja dalam persekitaran pejabat, namun anda sebenarnya pernah bekerja, dan jika anda mampu terjemah pengalaman yang anda lalui itu sebagai kemahiran, anda mungkin berjaya meyakinkan bakal majikan bahawa anda sememangnya ada pengalaman bekerja.

Tip 2: Libatkan diri dalam kegiatan sukarela 

Organisasi yang memerlukan sukarelawan tidak begitu cerewet akan pengalaman kerja dan sebagainya. Sambil menanti bakal majikan membalas permohonan kerja anda, jangan berlengah lagi!

Kerja sukarelawan menawarkan peluang yang terbaik untuk anda meneroka dan memantapkan kemahiran, serta minat (dan sebaliknya), yang mungkin tidak pernah anda sedari. Jika anda bercadang untuk memohon kerja yang melibatkan kanak-kanak, menjadi sukarelawan di rumah anak yatim merupakan idea yang bijak.

Anda bukan sahaja memperoleh pengalaman berurusan dengan kanak-kanak, sekali imbas anda juga dapat melihat perjalanan sesebuah organisasi, cara pengurusan dana, dan belajar melakukan pelbagai tugas dalam satu masa.

Tip 3: Terus belajar 

Jika anda kekurangan pengalaman kerja, maka ilmu ialah sahabat anda. Anda tidak memerlukan ijazah kedua, sebaliknya hanyalah sijil kemahiran, sama ada teknikal mahupun sosial, ini cukup untuk menarik hati bakal majikan.

Pensijilan membekalkan anda lebih daripada ilmu; sijil juga menandakan anda seorang yang sanggup belajar dan komited untuk memantapkan diri. Sudah tentu pelajaran sahaja bukanlah ganti kepada pengalaman sebenar, tetapi ia merupakan batu loncatan yang baik.

Artikel berkaitan: Memiliki Ijazah Tetapi Masih Menganggur?

Tip 4: Sertakan sampel kerja

Pujangga berkata, ‘Hanya jauhari mengenal manikam’. Sekiranya anda mempunyai sampel yang memberi gambaran tentang kemahiran anda, yang anda rasa boleh menarik hati bakal majikan, tonjolkannya!

Sertakan dengan sampel reka bentuk jika anda memohon jawatan sebagai pereka grafik, dan sampel penulisan jika anda berhasrat untuk menjadi seorang penulis. Hasilkan video anda sedang memberi penerangan jika anda inginkan kerjaya dalam bidang jualan, dan rangka rancangan pemasaran untuk produk rekaan sekiranya anda mahu memulakan karier dalam bidang pemasaran.

Sampel kerja menunjukkan majikan bukti kukuh akan kemampuan anda dan membantu majikan untuk lebih mempertimbangkan permohonan anda. Ingat, pemohon yang mempunyai pengalaman kerja mempunyai bukti dari segi pencapaian kerja terdahulu, maka anda memerlukan sesuatu yang lebih baik sebagai sokongan supaya tidak tewas dengan pesaing yang ada.

Tip 5: Tonjolkan diri!

Ini bukan masa untuk melangut; inilah masanya untuk anda menyambar peluang, dan lebih penting, PEKERJAAN. Sekiranya ada persaingan, bersedia untuk beradu tenaga! Mantapkan resume anda dengan surat pengiring yang menakjubkan!

Jika perlu, hubungi syarikat tersebut seminggu selepas anda menghantar resume, dan tanya tentang status permohonan anda. Ini merupakan peluang yang baik untuk anda berhubung dengan pekerja di situ. Jika anda mampu membuatkannya kagum dalam masa lima minit, peluang anda untuk ditemu duga adalah lebih cerah.

Tip 6: Jalin rangkaian sosial 

Kadang-kadang, titik tolaknya bukanlah perkara yang anda tahu, tetapi siapa yang anda kenal! Manfaatkan sebahagian besar rakan dan kenalan anda!

Jika rakan ibu anda memerlukan pekerja tambahan, tidak rugi untuk anda mendapatkan maklumat tambahan daripadanya. Siapa tahu, anda mungkin beroleh pengalaman kerja yang anda inginkan.

Pertanyaan secara bersahaja tentang jawatan kosong membolehkan anda meraih peluang yang besar! Ajukan soalan kepada rakan berkenaan kerja mereka, serta kerja kosong di tempat kerja mereka, supaya anda beroleh gambaran jelas tentang tempat kerja tersebut dan melihat sama ada anda merupakan calon yang sesuai untuk pekerjaan tersebut atau tidak.

Kunjungan ke pameran kerjaya turut membantu anda memperoleh rangkaian sosial kerana anda boleh mengenali insan penting dalam pencarian kerjaya anda, iaitu kumpulan Sumber Manusia! Paling utama, banyakkan bersabar. Teruskan dengan menghantar resume dan jangan berputus asa! Salah satu cara untuk gagal 100% adalah dengan tidak mencuba langsung.

Teruskan usaha menambah baik diri. Berusaha untuk meningkatkan diri dan maju ke depan. Selidik syarikat yang anda ingin sertai dan sesuaikan dengan resume dan surat pengiring yang sepadan. Anda mungkin tidak berjaya memperoleh kerja yang anda inginkan, tetapi hal ini biasa  berlaku kepada kebanyakan orang, tidak kira apa-apa pengalaman kerja sekalipun. Bersabarlah. Sambil menunggu panggilan daripada majikan, asah kemahiran anda.

Artikel berkaitan: Menulis CV Yang Hebat

Tip 7: Karyakan resume yang menarik 

Surat pengiring membolehkan orang lain melihat diri anda dan perkara yang anda jangkakan secara sekali imbas. Apabila menulis surat pengiring, kemukakan sebab anda mahu menyertai syarikat tersebut, apa yang anda ada dan mengapa anda rasa anda boleh berjaya.

Pastikan surat itu pendek (antara 200 dan 300 perkataan) kerana pengarah Sumber Manusia  perlu meneliti banyak permohonan dan tiada masa untuk membaca novel pendek!

Sekiranya anda mempunyai personaliti yang menarik, kenapa tidak tonjolkan diri anda yang sebenar kepada bakal majikan? Buat sebuah resume video dan sertakan dengan permohonan kerja. Hal ini sangat berguna jika anda memohon kerja yang menekankan personaliti, seperti dalam bidang penjualan atau perkhidmatan pelanggan.

Apabila menulis resume, selalunya anda perlu juga memasukkan pengalaman kerja. Jika anda tiada pengalaman, tekankan apa yang anda ADA, seperti gred dan kemahiran sosial yang diperoleh semasa di sekolah atau sewaktu menjadi sukarelawan.

Jangan terlalu segan untuk menghubungi jabatan Sumber Manusia dan bertanya tentang status permohonan anda! Satu panggilan sudah memadai, seminggu selepas permohonan kerja dihantar.

 

Untuk membaca artikel in dalam bahasa Inggeris, klik Get A Job With No Work Experience.

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Kebolehan Diri

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Organisasi

Cara Memperkasakan Pengurusan Pertengahan Dapat Meningkatkan Budaya Organisasi

Oleh Rebecca Houghton. Temui kuasa pengurusan pertengahan yang diabaikan—degupan jantung organisasi anda—dan cara pemimpin ini membentuk kepercayaan, penglibatan dan budaya.

Jan 22, 2024 3 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Membina Pembangunan Diri

Membimbing orang lain dalam kehidupan dan kerjaya mereka dapat memberi peluang kepada kita untuk mengembangkan potensi dan meningkatkan pembangunan diri kita. Mari ketahui lebih lanjut tentang membina pembangunan diri bersama Roshan Thiran.

Apr 03, 2024 44 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest