Pemenang Hadiah Nobel, Mother Teresa, meninggal dunia pada tahun 1997, ketika saya masih bekerja di NBC News. Saya mula membaca cerita dan fakta mengenai beliau ketika menyiapkan sebuah rancangan penghormatan khusus tentang kehidupan beliau.
Nama asal wanita pemalu dan pendiam ini, yang mengenakan impak besar terhadap dunia, ialah Agnes Gonxha Bojaxhiu. Di kemuncak pengepungan Beirut pada tahun 1982, beliau berjaya meyakinkan orang Israel dan Palestin untuk melaksanakan gencatan senjata yang cukup lama bagi menyelamatkan 37 kanak-kanak yang terkandas di dalam sebuah hospital.
Ada sebuah lagi kisah yang menakjubkan mengenai peri laku beliau semasa di sebuah kedai roti untuk mendapatkan roti percuma bagi kanak-kanak di rumah anak yatimnya. Penjual roti itu menampar mukanya dan menyuruhnya keluar walaupun Mother Teresa telah membuat permintaan dengan baik dan sopan.
Walaupun ditampar, beliau tidak mempertahankan diri atau membalas balik penjual roti itu dengan tamparan atau jeritan. Sebaliknya, dengan tenang beliau berkata, “Mungkin saya patut mendapat tamparan kerana meminta roti percuma.” Beliau berhenti seketika sambil mengusap bahagian mukanya yang telah ditampar. Kemudian dengan nada yang agresif, beliau mendesak penjual India itu, “Sekarang saya mohon anda memberikan saya roti itu.”
Penjual roti itu menampar Mother Teresa sekali lagi. Dengan tenang, beliau berkata, “Terima kasih kerana saya berhak mendapat tamparan kerana meminta roti secara percuma.” Dan selepas seketika, beliau mendesak penjual roti itu secara keras untuk memberi roti secara percuma kepada anak-anak yatim di bawah penjagaannya. Beliau mendesak penjual roti itu selama lebih dua jam sehingga penjual roti itu tidak tertahan permintaannya dan akhirnya memberi roti itu lalu menghalaunya dari kedainya.
Apabila saya membaca kisah ini, saya terkagum. Mother Teresa berjaya memaparkan sifat rendah diri yang luar biasa dan tahap ketegasan yang ekstrim pada masa yang sama. Beliau juga tahu bila beliau patut bersabar dan bila beliau perlu mengambil tindakan agresif dan tegas untuk mendapatkan apa yang diingini. Sifat mengambil tindakan yang berpatutan dan membuat keputusan yang wajar inilah yang dimaksudkan sebagai kepimpinan ekstrim.
Maksud kepimpinan
Jadi, apakah itu kepimpinan? Memiliki sifat berterus terang, berkarisma, berpandangan jauh, mempunyai ilham yang banyak dan bersemangat tidak bererti anda adalah seorang pemimpin. Kepimpinan bukan sifat semata-mata. Saya mendapati bahawa semua pemimpin, dari Mother Teresa sampailah Jack Welch, memiliki kebolehan yang sama – mereka adalah pakar dalam menggunakan sifat kepimpinan yang sesuai pada masa yang tepat.
Di sini terdapat satu pertanyaan: Manakah yang lebih penting dimiliki seseorang pemimpin – kemampuan mendengar atau kemampuan berbicara? Kemampuan melihat secara terperinci atau kemampuan melihat gambaran besar dan strategik. Kemampuan belajar atau mengajar? Kemampuan berlembut hati atau bertegas? Memimpin dengan kuasa atau dengan pengaruh? Mampukah anda mengubah diri atau memperkasakan orang lain untuk memimpin perubahan itu?
Sifat-sifat ini, pada umumnya, bertentangan antara satu sama lain. Ironinya, jawapan untuk setiap pertanyaan di atas adalah kedua-duanya. Kepimpinan adalah tentang konteks dan keadaan. Ia bermaksud kemampuan untuk mengamalkan cara yang tepat pada waktu yang tepat. Mother Teresa menjelaskan dalam wawancara bahawa beliau belajar daripada Yesus untuk bertindak dengan bijak di antara dua ekstrim tersebut. Yesus memaparkan perlakuan yang ekstrem ketika beliau mengusir para penjual haram dari rumah ibadat dengan cemeti. Namun setelah itu, beliau merendahkan diri lalu membasuh kaki para pengikutnya.
Kepimpinan mengikut konteks
Daripada penyelidikan dan pemerhatian saya terhadap tindakan pemimpin besar seperti Jack Welch, saya mendapati bahawa para pemimpin yang hebat adalah orang yang pelik. Apabila berbicara mengenai tindakan mereka, mereka hampir serupa dengan Dr Jekyll dan Mr Hyde. Mereka dengan mudah dan mahir beralih dari satu sifat ke sifat yang bertentangan.
Sun Tzu
Sun Tzu menulis dalam bukunya The Art of War (Seni Berperang):
“Kemurahan hati dan menjunjung moral yang tinggi mungkin dapat digunakan untuk memerintah sesebuah negara tetapi tidak dapat digunakan untuk mentadbir angkatan tentera. Kesesuaian dan kelenturan digunakan untuk mentadbir tentera tetapi tidak dapat digunakan untuk memerintah sebuah negara.”
Sun Tzu mengerti bahawa kepimpinan harus mengikut konteks dan keadaan. “Akal-akal” kepimpinan pemerintahan tidak boleh diterapkan dalam pentadbiran tentera atau urusan perniagaan. Ia harus mengikut konteks!
Jack Welch
Welch selalu berkata bahawa kepimpinan adalah mengenai 4E — mempunyai tenaga (energy), memberi tenaga (energize), memiliki kelebihan (edge) dan melaksanakan rancangan (execution). Welch terlupa satu lagi “e” — ekstrem (extreme). Welch adalah contoh klasik di mana seluruh legasi kepimpinan adalah berdasarkan perubahan bergantian antara sifat-sifat kepimpinan yang ekstrem.
Selama bekerja di General Electric (GE) selama 12 tahun, saya melihat sendiri bagaimana Welch sentiasa berpaling dari satu ekstrem ke ekstrem yang lain. Beliau boleh berubah daripada perspektif makro, bervisi dan mengatur strategi kepada bersifat mikro, bertanya-tanya soalan-soalan yang membolehkannya menganalisis butir-butir terperinci berkaitan sesuatu keadaan. Inilah perlakuan pemimpin sebenar – beralih dari satu ekstrem ke ekstrem yang lain, dan dapat mengendalikan kedua-dua ekstrem itu dengan baik.
Saya juga pernah melihat Welch menggunakan kewibawaan dan ketakutan untuk menegaskan sesuatu perkara atau untuk memastikan sesuatu tindakan diambil, tetapi pada waktu yang sama, beliau juga menggalakkan para pekerja untuk mempunyai sifat pemilikan, komitmen, dan memperkasakan mereka untuk mengambil tindakan sendiri. Perkara ini nampak bercanggahan tetapi ia benar-benar bergantung kepada keadaan. Welch tahu bila sikap berwibawa diperlukan untuk menyelesaikan masalah dan bila pengaruh perlu digunakan untuk memberikan kuasa kepada pekerja. Inilah pemimpin yang hebat — mampu menggunakan kedua-dua sifat kepimpinan ekstrem sepenuhnya.
Pemimpin yang hebat tahu bila untuk menghentikan atau meninggalkan idea yang gagal dan bila untuk meneruskannya sehingga berjaya.
Nelson Mandela
Ramai orang berpendapat bahawa legasi terbesar Nelson Mandela sebagai presiden Afrika Selatan adalah cara beliau memilih untuk meninggalkan kedudukannya. Mandela sememangnya boleh memilih untuk menjadi presiden seumur hidupnya (dan beliau mempunyai alasan yang baik untuk berbuat demikian!) tetapi beliau memilih untuk tidak melakukannya. Namun begitu, beliau tidak pernah menyerah selama 27 tahun di penjara. Beliau tetap tabah. Beliau tahu bila untuk menyerah dan bila untuk bertahan.
Mahatma Gandhi
Mahatma Gandhi memimpin satu perlima daripada penduduk dunia kepada kemerdekaan dengan corak kepimpinan yang melanggar semua peraturan politik dalam buku. Beliau dibelasah dan tidak pernah melawan balik, sebaliknya beliau bersedia menerima hukuman penjara, tetapi pada masa yang sama menggerakkan perarakan anti-British dalam Perarakan Salt sepanjang 240 batu. Beliau mencabar pemerintahan penjajah dengan mendesak rakyatnya supaya membakar pakaian buatan orang asing.
Gandhi cukup bijak dalam menggerakkan orang daripada pelbagai lapisan supaya berdiri untuknya. Namun begitu, beliau mengambil corak kepimpinan yang berbeza dengan menyakitkan diri dan berpuasa. Inilah seorang lelaki yang menjadi simbol kepimpinan — menuil kuasa “kepimpinan yang ekstrem”.
David Moyes
Saya bertemu dengan David Moyes semasa dia pengurus skuad bola sepak Liga Premier Inggeris Everton. Dia menjelaskan bagaimana pada peringkat awal hidupnya dia belajar mengenai kepentingan membuat keputusan dan mengurus setiap keadaan dengan cara yang berbeza. Dia berkata dia tidak ada formula untuk kepimpinan. Kepimpinan, baginya, adalah mengenai membaca dan bertindak balas mengikut keadaan dan memahami bahawa setiap keadaan adalah unik.
Jadi, apa makna ini semua untuk saya? Bolehkah kita menjadi seperti Gandhi, Welch, Mandela, atau Moyes? Tentu sahaja kita boleh!
Kepimpinan yang anjal
Markus Buckingham, dalam bukunya First Break All The Rules, melakukan penyelidikan ke atas ribuan pemimpin. Dia mendapati bahawa pemimpin yang hebat memiliki sangat sedikit persamaan. Mereka berbeza dari segi jantina, umur, bangsa dan mempunyai cara yang berlainan. Namun begitu, mereka mempunyai satu sifat yang sama – mereka tidak ragu-ragu untuk melanggar hampir setiap peraturan konvensional yang ada. Mereka berbuat demikian kerana mereka tahu bahawa setiap situasi yang mereka hadapi adalah unik dan memerlukan kepimpinan yang anjal.
Ada masa untuk merendahkan diri, ada juga masa untuk bersikap tegas dan mengambil tindakan. Ada masa untuk memastikan kesempurnaan, ada masa untuk kepantasan dan kesederhanaan. Ada masa untuk tersenyum, ada masa untuk bersikap serius. Ada masa untuk berdisiplin, ada masa untuk bersikap spontan. Pemimpin yang hebat tahu masa yang tepat untuk menggunakan sifat kepimpinan yang bertentangan tersebut. Seseorang pemimpin yang hebat seharusnya mampu membuat keputusan berdasarakan konteks dan keadaan.
Akhir kata
Jadi, jika anda ingin menjadi seorang pemimpin, belajarlah untuk menjadi ekstrem! Kerana kepimpinan itu sesungguhnya adalah sesuatu yang esktrem!
Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/
Oleh Nadav Klein. Konflik yang tidak boleh diselesaikan akhirnya boleh menimbulkan kebencian dan membawa kepada ketidakpercayaan, dan yang lebih buruk lagi, ia boleh menjejaskan prestasi pasukan. Sebagai seorang pemimpin, bagaimana anda menangani perkara ini?
Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.