Oleh ROSHAN THIRAN

Pada sesi kepimpinan baru-baru ini, seorang klien mengajukan soalan yang menarik kepada saya:

“Bagaimanakah kita sebagai pemimpin boleh menetapkan teladan yang baik buat anak-anak sekiranya kita kurang meluangkan masa dengan mereka?” 

Saya betul-betul tidak bersedia untuk menjawab soalan sebegini. Selalunya, soalan tentang kepimpinan menyentuh keterlibatan pekerja, budaya syarikat, kecerdasan emosi dan sebagainya. Sekali-sekala, kejutan sebegini amat mengujakan saya. 

Tatkala merenung akan soalan tersebut, saya berfikir tentang sejauh mana cita-cita mengasaskan Leaderonomics membawa kepada tertubuhnya organisasi ini. Pokok pangkalnya, kami ingin mewujudkan sebuah dunia yang lebih baik buat anak-anak bangsa.

Lagipun, merekalah yang bakal mencorakkan masa depan kita semua, maka biarlah kita melabur sebanyak yang kita mampu untuk membangunkan generasi muda ini. Bagi saya, mereka merupakan legasi terhebat yang bakal kita bentuk. Sekiranya bernasib baik, pelaburan ini akan terbayar pada masa depan dengan kemunculan generasi berketrampilan baharu.

Selama bertahun-tahun ini, saya berbual dengan ibu bapa yang menyandang peranan sebagai pemimpin yang menuntut segenap masa dan tenaga. Lain orang, lain jalan juang dalam meneruskan kelangsungan hidup. Secara peribadi, saya mengelak daripada ‘menasihati’ orang lain akan cara mengemudi kehidupan, lagipun, sesuatu yang berkesan untuk seseorang tidak semestinya berkesan untuk orang lain. Siapa saya untuk menghakimi hidup orang lain?

Tunjuk, tak perlu buka mulut

Bagi saya sendiri, peranan sebagai ibu bapa sememangnya melibatkan pelbagai aspek. Secara ringkasnya, kita menunjukkan contoh yang baik dalam cara kita menguruskan hidup kita. Ramai ibu bapa sedar, kita banyak bercakap tentang peraturan dengan anak-anak, “Kenapa perlu buat ni?”, “Kenapa kita tak boleh buat ni?”, namun kita semua alpa bahawa bercakap tentang perbuatan yang baik bukannya berkesan sangat.

Sesuatu yang lebih bermakna adalah apabila kita menonjolkan peri laku sebagai ibu bapa melalui apa-apa yang kita lakukan dalam hidup sehinggakan anak-anak boleh menjadikan kita sebagai contoh dan mengambil manfaat daripada kemajuan yang dicapai oleh mereka.

Ramai daripada kita dibelenggu perasaan bersalah apabila kita rasa kita perlu meluangkan lebih banyak masa dengan orang yang tersayang. Apabila saya diajukan soalan tentang kepimpinan dan keibubapaan, saya diselubungi dengan bisikan, “Aku cuba jadi yang terbaik, tapi aku masih tak cukup bagus.”

Berkaitan: Jadilah Pemimpin Yang Hebat Buat Anak-Anak Kita

Pada pandangan saya, dan ini hanyalah pendapat peribadi, penting untuk kita meluangkan masa yang berkualiti dengan keluarga, dengan anak-anak yang semakin meningkat umurnya. Maka saya rasa, hakikatnya, kita tidak perlu terlalu memikirkan jumlah masa yang diluangkan dengan anak-anak, sebaliknya kita memberi tumpuan pada kualiti masa melalui contoh yang ditonjolkan.

Anak-anak kita akan membesar dengan kesedaran bahawa apa-apa yang dilakukan  mereka di dunia meninggalkan kesan. Oleh itu, adalah penting untuk kita memiliki rasa tanggungjawab dan tujuan hidup. Apabila kita meluangkan masa dengan anak-anak, kita menunjukkan kepada mereka bahawa keluarga itu penting, tetapi melalui kerja yang kita lakukan, kita menunjukkan kepada mereka akan perubahan yang kita tinggalkan melalui komitmen untuk membantu insan lain.

Saya teringat akan perbualan dengan seorang rakan beberapa tahun lalu, yang baru-baru ini saya berjumpa kembali di Kemboja. Dia memilih untuk bersara awal dari kerjaya bergaji lumayan dan memutuskan untuk melibatkan diri dalam kerja sosial yang berpangkalan di Kemboja. Usaha ini betul-betul menuntut segenap masanya, dan pendapatan yang diperoleh jauh lebih kecil daripada kerjanya sebelum ini.

Pada mulanya, saya ingat dia meninggalkan kerjaya yang gah itu untuk meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga. Ketika saya mengajukannya soalan tentang sebab dia memilih kerja baharu yang gajinya jauh lebih kecil, lebih banyak menuntut masanya, dan yang memerlukan keluarganya berpindah ke negara yang kurang maju, inilah kata-katanya:

Anak-anak saya sekarang mula memahami kerja yang saya lakukan, dan mereka bangga dengannya. Saya pergi kerja, dapat duit, dan menyara keluarga. Namun jauh di sudut hati saya teringin untuk melakukan perubahan di dunia melangkaui ruang saya sendiri supaya saya dapat meninggalkan kesan yang nyata berbeza dalam kehidupan insan lain. Saya sering bercakap akan hal ini bertahun-tahun lamanya, namun saya tidak mahu anak-anak membesar dengan sekadar omong-omong kosong tentang cara menjadikan dunia lebih baik. Saya mahu mereka keluar daripada kepompong dan menjayakannya.”

Apakah mesej yang anda sampaikan kepada anak-anak?

Apabila saya memulakan bicara tentang masa yang diluangkan dengan anak-anak, dia menjawab,

“Ini merupakan sesuatu yang dibimbangkan oleh semua ibu bapa. Adakah saya meluangkan masa yang secukupnya dengan mereka? Saya cuba untuk meluangkan masa dengan keluarga seterdaya yang mungkin. Saya mahu mereka sedar bahawa mereka adalah insan yang paling penting di dunia pada mata saya.
“Melalui tingkah laku saya, saya berharap mereka sedar suatu hari nanti, ada masa yang kita luangkan dengan keluarga, dan ada masa kita manfaatkan untuk menimba ilmu pengetahuan, kemahiran dan bakat yang dikurniakan sebagai cara untuk kembali menyumbang kepada masyarakat.”

Ini betul-betul membuatkan saya tersedar kerana ramai insan yang saya jumpa sejak bertahun-tahun ini menganggap pekerjaan mereka sebagai penghalang bagi benda-benda ‘yang lebih penting’ dalam hidup, terutamanya masa yang diluangkan bersama keluarga. Tetapi saya sedar bahawa apa-apa yang kita lakukan sebenarnya menjadi teladan yang terbaik buat anak-anak.

Hal ini menyedarkan mereka akan cara kita memilih untuk meluangkan masa lapang, nilai yang kita pegang, dan cara kita menyesuaikannya dengan kemahiran dan pengetahuan diri untuk menyumbang kepada masyarakat di sekeliling dengan lebih meluas.

Warga Leaderonomics membawakan anda penghayatan kisah Raja Arthur dan Merlin di Kem Kepimpinan Anak-anak Leadernomics pada bulan Mei 2019.
Warga Leaderonomics membawakan penghayatan kisah Raja Arthur dan Merlin di Kem Kepimpinan Anak-anak Leadernomics pada bulan Mei 2019.

Di Leaderonomics, kami berbicara tentang nilai pembangunan masyarakat berlandaskan kasih sayang, namun nilai-nilai yang kita bicarakan tidak diwariskan kepada insan lain untuk diteruskan. Kami ingin menunjukkan kekuatan nilai-nilai tertentu dengan menghayatkan dalam hidup diri sendiri. 

Saya yakin bahawa komitmen, keprihatinan, kasih sayang dan sokongan yang kita tonjolkan kepada anak-anak muda yang datang ke kem kepimpinan anjuran Leadernomics dan melalui tugasan yang dilaksanakan setiap minggu di lebih 100 sekolah di seluruh Malaysia bakal meninggalkan impak pada mereka. Saya percaya hal ini mampu memberi inspirasi kepada mereka, sepertimana keseronokan yang dilalui, persahabatan yang terbina, dan ilmu yang dipelajari untuk pedoman hidup.

Penulis novel dari Amerika, James Baldwin pernah berkata, “Kanak-kanak tak berapa bagus dalam mendengar nasihat, namun mereka tak pernah gagal meniru perbuatan insan yang lebih tua.”

Bagi menonjolkan teladan yang baik buat anak-anak, seelok-eloknya kita sendiri menjadi contoh yang terbaik. Cara kita bertindak, melayan orang lain, bertindak bawah tekanan, mengendalikan kritikan, serta cara menonjolkan keprihatinan, kasih sayang dan kebaikan… semua ini diperhatikan oleh anak-anak, mereka bukannya sekadar tunggul.

Sebagai pemimpin, soalan yang kita perlu tanya pada diri sendiri bukanlah “Adakah saya meluangkan masa yang secukupnya dengan anak-anak?” Sebaliknya kita perlu bertanya, “Adakah saya menunjukkan teladan yang baik buat anak-anak supaya mereka dapat menetapkan matlamat kehidupan yang diimpikan pada hari tua?”

Saya tak kata yang kita tidak perlu meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga. Kita memerlukan masa untuk membentuk ikatan kekeluargaan yang utuh dan mewujudkan unit keluarga yang mantap, tetapi pokok pangkalnya ialah cara kita menerajui kehidupan.

Adakah kita sendiri memberi, berkongsi, prihatin dan menonjolkan teladan dalam kehidupan untuk dijadikan panduan oleh anak-anak?

Sebelum meninggalkan noktah buat tatapan ibu bapa yang sedang membaca rencana ini, saya mahu menyatakan bahawa teladan terbaik yang boleh kita tonjolkan kepada anak-anak ialah sikap belas kasihan, menerima kekurangan diri, dan menunjukkan bahawa setiap manusia melakukan kesilapan. Akhirnya, yang benar-benar penting ialah kita mencuba sesuatu sebaik mungkin dengan hati yang tulus ikhlas.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik How Leaders Can Set the Greatest Example of All.

TINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Please enter your name here