Berasal dari sebuah desa kecil di daerah Kudat di negeri Sabah, Syaiful, Syarif dan Atu (nama sebenar ialah Mohammad Syaiful, Sharif Kadil and Sharif Kunal) merupakan anak kepada nelayan kampung bernama Sharif Doli.
Mereka ada tujuh adik-beradik dan terpaksa hidup dengan pendapatan bulanan hanya sebanyak RM350. Jumlah ini digunakan untuk menyara hidup seramai sembilan orang (termasuklah ibu mereka)!
Berapa banyak yang anda, seorang individu, belanjakan dalam sebulan? Saya percaya jumlahnya melebihi pendapatan keluarga ini.
Anda boleh bayangkan betapa susahnya hidup mereka. Namun tuah memihak pada mereka apabila mereka terlihat iklan pencarian bakat untuk rancangan komedi realiti,Maharaja Lawak Mega (MLM) oleh Astro di kaca televisyen pada tahun 2013.
Mereka tidak berjaya menempah tiket ke peringkat akhir namun mereka mencuba nasib sekali lagi pada tahun seterusnya. Akhirnya, mereka dinobatkan sebagai juara MLM pada tahun 2014 dan pulang dengan hadiah setengah juta ringgit!
Hidup mereka berubah selepas menjuarai pertandingan ini.
1. Perlu buat pengorbanan
Sebagai anak sulung, Syaiful mengambil keputusan untuk berhenti sekolah semasa berumur 13 tahun bagi membantu bapanya mencari sesuap nasi.
Semasa ditemu ramahInTrend, dia berkata, “Saya kasihan lihat bapak menyara keluarga seorang diri, sedangkan saya ada empat lagi adik yang masih bersekolah. Ya, saya keciciran dalam pelajaran tetapi pengorbanan itu amat berbaloi.”
Pada mulanya, Syaiful bekerja di kantin sekolah dengan pendapatan sebanyak RM82 sebulan. Dari situ, dia beralih arah menjadi nelayan buat sementara waktu sebelum bekerja di KFC Kudat.
Di sinilah pendapatannya meningkat sehingga RM400. Selain memperoleh pendapatan yang lebih tinggi, di Sabah, bekerja di KFC dianggap glamor. Syaiful kemudiannya berhijrah ke pusat bandar untuk bekerja di KFC Kota Kinabalu.
Sharif pula merupakan anak kedua. Dia pernah menolong bapanya di pasar dengan membersihkan dan menimbang ikan sebelum dijual kepada pemborong.
Atu pula adalah yang termuda antara mereka bertiga. Katanya, dia sudah ke laut sejak berumur enam tahun. Apabila usianya mencecah 13 tahun, Atu mula bekerja sebagai buruh untuk bapa saudaranya iaitu Faisal dan memperoleh sebanyak RM5-10 sejam.
Pengajaran
Ketiga-tiga adik-beradik ini melihat ayah mereka memerah keringat sejak dari kecil dan mereka sedar mereka perlu melakukan sesuatu untuk meringankan beban.
Meskipun sesetengah daripada kita (sekurang-kurangnya orang bandar) melakukan kerja rumah atau membantu ahli keluarga berniaga di kedai semasa membesar, ketiga-tiga beradik ini sudah mengharung badai di lautan (dan tempat lain) ketika masih mentah, lebih-lebih lagi mereka perlu mencari wang sehabis banyak, walaupun terpaksa mengorbankan persekolahan mahupun masa bermain.
Bukan senang nak senang.
Pokok pangkalnya, kita perlu melihat pada keutamaan-keutamaan dalam hidup. Untuk siapakah pengorbanan ini dan adakah ia berbaloi? Dalam kes Zero (nama kumpulan komedi mereka), jawapannya, ya.
2. Terus cuba sehingga berjaya ‘menemuinya’
Dalam wawancara dengan Leaderonomics, tiga beradik ini mengakui mereka dianggap sebagai geng budak nakal sejak dari kecil.
Ini perkongsian mereka:
Atu: Setiap Isnin pada masa perhimpunan, saya ditugaskan untuk membaca ikrar di sekolah.
Sharif: Biasanya mood akan jadi serious apabila ikrar dilafazkan. Tapi sebab dia yang baca, orang akan gelak.
Selain daripada bergurau-senda dengan rakan-rakan, mereka menyertai serba macam pertandingan anjuran sekolah seperti nasyid dan kompang sehingga kini mereka masih berlatih kompang (Anda boleh tonton di sini!) dalam persembahan mereka.
Sharif, yang juga dikenali sebagai Abang Botak, berkata dia pernah melepak selepas tamat pengajian.
“Biasanya, saya kerja kontrak (buruh binaan) untuk sehari sahaja. Kalau saya tengok kerja itu macam tidak best, saya akan terus berhenti. Saya try tapi tidak akan tahan lama,” katanya.
Pengalaman kerjanya termasuklah menjadi kedi di kelab golf dan mencuci pinggan-mangkuk di restoran. Daripada pengalamannya membuat persembahan kesenian di sekolah, dia sedar ada sesuatu yang istimewa apabila berdiri di pentas dan menghiburkan orang ramai.
“Sebelum saya join Zero pun, saya dapat vibe yang lain setiap kali saya naik pentas. Saya rasa seperti orang suka persembahan saya.”
Sharif sedar dia mempunyai bakat untuk menjadi seorang penghibur.
Mengenang kembali sikapnya yang cerewet sebelum berkecimpung dalam bidang komedi sepenuh masa, Sharif menasihati para graduan supaya tidak terlalu memilih kerja.
Dia pernah berjumpa dengan pelajar berkelulusan Masters yang menyara hidup dengan berniaga sayur-sayuran di Kundasang, Sabah. Pelajar ini sukar mencari kerja kerana “kelulusannya terlampau tinggi” jadi majikan perlu membayar gajinya lebih tinggi. Sharif menasihatinya supaya tidak cerewet dalam memilih perkerjaan dan bermula dari bawah.
Ujarnya, “Apa pun bidang yang kita ceburi, kita kena buat bersungguh-sungguh.”
Dalam dunia hari ini, apabila kita terdedah dengan serba macam pilihan dan terpengaruh dengan desakan masyarakat untuk mencari kerja yang bagus, ada sesetengah yang berpendapat tidak salah untuk memilih kerja. Lagipun, apa salahnya sekiranya kita menginginkan pekerjaan yang memberi kita peluang untuk berkembang, gajinya elok dan disertakan dengan manfaat yang bagus?
Secara peribadi, tanpa mengira status sosio ekonomi, saya rasa semua orang berhak untuk memilih. Namun, anda hanya boleh memilih sekiranya anda memiliki kelebihan suasana hidup tertentu. Anda faham, bukan?
Jika tidak, perkara terbaik yang boleh anda lakukan adalah merebut peluang yang ada di depan mata dan buat yang terbaik. Siapa tahu, anda mungkin menemui tujuan sebenar dalam hidup dan lambat laun, anda bakal dipertemukan dengan bakal majikan kerana dia sudah melihat sendiri nilai yang ada pada diri anda.
3. Hidup ini tiada batasannya
Saya tidak pernah memahami ungkapan ini sehinggalah saya mendengar kisah tiga beradik ini.
Sharif memberitahu, ayahnya menjadi pekak dan bisu disebabkan terkena jangkitan cacar air.
“Apa yang menakjubkan ialah dia pandai menghiburkan orang – dia boleh buat orang gelak. Dia juga boleh buat magic show. Kami pun hairan, dari mana dia belajar.”
Ujar Sharif, walaupun keadaan bapanya sebegitu dan pendapatannya kecil, dia mampu menyara keluarga.
“Bapak saya potong gajinya dan bagi saya duit harian supaya saya boleh pergi jual ikan di tempat lain.
“Kenapa orang yang begitu boleh menyara keluarga, tapi kita ini yang ada degree, yang ada semua keupayaan, masih lagi complain?” tanyanya.
Pada 21 Oktober 2012, ayah mereka meninggal dunia dalam tidurnya. Semasa mendengar berita ini, Atu sedang bersiap-siap untuk menaiki penerbangan ke Afrika bagi mengambil bahagian dalam program Fear Factor.
Saat dalam perjalanan menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Kudat, jasad ayahnya sudah disemadikan. Atu tidak berpeluang untuk mengucapkan kata perpisahan sebelum ayahnya pergi.
Pengajaran
Satu perkara yang saya pelajari daripada ini adalah andalah yang meletakkan batasan pada diri sendiri, bukannya orang di sekeliling, bukannya keadaan, serta bukannya ibu bapa, mahupun bos. (Peringatan ini tersemat pada minda saya).
Ada ramai di luar sana yang kebolehannya berlainan yang memberanikan diri menghadapi pelbagai rintangan dan akhirnya menjadi orang yang berjaya.
Dalam hidup, sangat mudah untuk letakkan kesalahan pada benda di sekeliling walhal diri sendiri yang tidak cukup berusaha atau gagal. Ayah Zero membuktikan hidup ini bukannya untuk mencari alasan.
Dia menjadi bukti bahawa setiap insan mampu melakukan apa-apa sahaja.
4. Ketahui apa yang peminat suka
Sharif berkata, “Sebelum ini, sebelum masuk mana-mana pertandingan, kami memang rasa yang kumpulan kami ni tidak cukup bagus. Sebab satu, kami punya dialek lain sikit. Kedua, kadang-kadang orang tidak faham idea kami.”
Tiga beradik ini gagal melayakkan diri setelah lima minggu berada dalam pertandingan MLM yang disertai mereka buat kali pertama pada tahun 2013. Namun, ini tidak melenyapkan semangat mereka.
Sebaliknya, tiga beradik ini menerima apa-apa jua komen yang diberikan, menilai kekuatan dan kelemahan diri, dan seterusnya menukar strategi.
Mereka cuba menyelitkan pelbagai unsur dalam sketsa komedi untuk menjadikan persembahan mereka lebih berwarna-warni, seperti tarian singa (Klik sini untuk menonton), pergerakan akrobatik dan nyanyian (Klik sini untuk menonton).
Apabila mereka mencuba nasib sekali lagi pada tahun 2014, mereka akhirnya berjaya merangkul tempat pertama.
Melalui pendedahan dan pengalaman, mereka dapat mengenal pasti selera penonton.
Pada tahun 2017, mereka muncul sebagai pemenang tempat keempat dalam pertandingan MLM.
Apabila diajukan soalan siapakah yang paling lawak antara mereka bertiga, Sharif mengakui bahawa Syaiful merupakan bintang dalam persembahan mereka.
Malah, Syaiful diberi gelaran sebagai Mawar kerana memegang beberapa watak sebagai wanita (yang saya rasa memang lawak sampai pecah perut! Anda boleh tonton salah satu video mereka di sini).
Apabila ditanya tentang jadual kerja bagi tahun ini, kata Sharif, “Kami punya weekend dari bulan tiga sampai bulan lapan dah penuh.”
Bukan itu sahaja, Syaiful akan membintangi filem tempatan yang bakal diterbitkan nanti, bertajukTangisan Akinabalu, sebuah filem yang digarap berdasarkan kisah sebenar gempa bumi di Sabah pada tahun 2015.
Pengajaran
Seperti tiga beradik ini, kita semua mempunyai idea yang bagus. Namun, idea yang kita anggap bagus ini, tidak semestinya disukai semua orang.
Mengujilah idea anda pada rakan-rakan, ahli keluarga dan orang ramai. Ini merupakan cara terbaik untuk mengenal pasti sama ada terdapat permintaan dalam pasaran ataupun tidak.
Dari sini, anda akan mengetahui kebaikan dan keburukan idea tersebut, lalu berusaha untuk membuat penambahbaikan.
Konsep in boleh diguna pakai bagi melariskan produk perniagaan.
5. Tetap merendah diri dalam apa jua keadaan
Dan tibalah petua yang ditunggu-ditunggu. Saya sedar akan hal ini semasa duduk berbicara dengan tiga beradik Zero ini – saya dapati mereka memang senang diajak berbual dan rendah diri. Malah mereka cuba bercakap bahasa Inggeris untuk menghilangkan rasa janggal dan ini membuatkan saya rasa selesa dengan mereka.
Saya agak tersentuh apabila salah seorang daripada mereka, seingat saya Atu, menghulurkan sebotol air kepada saya sebelum wawacara ini dimulakan.
Apabila saya mengajukan soalan berkenaan perubahan hidup mereka setelah memenangi MLM dan berjaya menempa nama dalam bidang komedi tempatan, ini komen mereka:
Atu: Kami punya kehidupan dari dulu sampai sekarang tidak jauh berbeza. Kami masih maintain cara yang lama.
Sharif: Yang berbeza, Alhamdullilah, cuma pendapatan kita.
Atu: Dengan pendapatan itu, kami ada membantu keluarga kami dan orang kampung. Sebab orang kampung pun ada juga yang susah. Ini bukan sebab kita cari populariti. Ini semua sebenarnya hasil daripada sokongan mereka.
Syaiful: Dulu memang susah. Nak kerja sini, kerja sana. Gaji sikit. Sekarang ni, okay lah.
Apabila ketua sekretariat Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) iaitu Norashikin Ismail mencelah dan menyatakan Syaiful baru sahaja membeli kereta (secara tunai), Syaiful menafikan hal ini dengan malu.
Pengajaran
Penulis dan penceramah terkemuka iaitu John Maxwell ada menulis, pemimpin yang rendah hati merupakan orang “yang rasa mereka tidak perlu menarik perhatian masyarakat terhadap diri dan status mereka”.
Kita dapat lihat, sudah ramai selebriti dan tokoh terkemuka yang meningkat masyhur akhirnya lupa diri dan nilai kerana mereka hanyut dibuai aliran kuasa, wang dan pengaruh secara mendadak.
Jadi, saya rasa penting untuk kita sentiasa mengingatkan diri bahawa semua nikmat yang kita kecapi dalam dunia ini bersifat sementara. Pokok pangkalnya, kita seharusnya bersyukur dengan apa-apa yang kita miliki, sentiasa berfikiran terbuka untuk memperbaiki diri, menerima hakikat bahawa kita tidak tahu segala-galanya, dan manusia sentiasa melakukan kesilapan. Dan saya percaya tiga beradik Zero amat bagus dalam hal ini.
Akhir kata
Setiap insan ada kisah untuk diabadikan. Namun, ada cerita yang benar-benar menyentak benak fikiran kerana kisah sebegini tidak pernah kita alami dan kisah yang dikongsikan ini mengajar kita sesuatu yang amat berharga.
Cerita sebeginilah yang dicari-cari oleh pencerita seperti saya, tidak kira siang atau malam, kerana kami mahu berkongsi kegembiraan dan kesedihan insan terpilih ini buat tatapan para pembaca.
Zero merupakan salah satu insan terpilih ini. Mereka memperoleh peluang untuk mengubah hidup melalui iklan dan mereka merebut peluang ini. Mereka bekerja keras dan akhirnya berjaya.
Kini, tiga beradik ini diulit kebahagiaan rumah tangga, berada di puncak karier dan mampu menyara hidup ahli keluarga dan membantu meringankan beban kewangan rakan-rakan.
Saya berharap kisah mereka ini meninggalkan impak kepada anda, sama seperti yang saya rasakan sekarang.
Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) merupakan program latihan yang matlamatnya adalah untuk membantu siswazah muda yang menganggur atau tidak dibayar gaji yang setimpal. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta dalam membantu memantapkan kebolehpasaran seseorang melalui kemahiran insani dan latihan semasa kerja selama 12 bulan.
Jika prestasi peserta memberangsangkan dan terdapat kekosongan, kemungkinan besar dia akan diserap masuk menjadi pekerja sepenuh masa di syarikat tersebut.
Jadi, apa yang hendak ditunggu lagi? Klik sini untuk memohon!
Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai SL1M, layari Facebook mereka melalui Skim Latihan 1Malaysia.
Oleh Arun Nagarajah. Baca di sini bagaimana pasaran digital menyediakan bukti sosial untuk membantu profesional kepimpinan dan pembangunan memilih penyedia latihan berkualiti tinggi.
Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.
Dalam episod ini, Roshan Thiran, Ketua Pegawa Eksekutif Leaderonomics cuba memberi tipnya mengenai kuasa seseorang untuk mengendalikan benda-benda yang kecil. Jika kami dapat menjayakan benda-benda yang kecil, lama-lama ia akan membawa kejayaan yang besar