Konflik — Perbualan Yang Belum Terselesai

Apr 23, 2018 1 Minit
perbualan, hubungan

Semakin kita menjadi berkuasa, semakin besar tanggungjawabnya – tetapi bahaya bakal timbul apabila pemimpin tersilap langkah dan membiarkan kuasa menguasai diri.

Tidak berapa lama dahulu, sekumpulan pengkaji di Universiti Florida yang diketuai oleh Trevor Foulk, mendapati bahawa pemimpin yang melibatkan diri dalam tingkah laku kasar bergelut untuk bertenang selepas pulang dari kerja dan fikiran mereka dibanjiri dengan perkara negatif. Perlakuan mereka juga dikaitkan dengan perasaan yang mereka tidak cekap, kurang dihormati dan kurang kuasa autonomi di tempat kerja.

Dinamik pemimpin-pekerja

Sepanjang perjalanan kepimpinan saya, termasuk memerhatikan dan melatih para pemimpin lain, saya sering terfikir mengenai dinamik pemimpin-pengikut dan anggapan yang wujud pada kedua-dua pihak.

Secara umumnya, para pemimpin dilihat sebagai mereka yang mempunyai segala jawapan dan selalu mengawal arah dan visi kumpulan atau organisasi. Begitu juga dengan pekerja yang  kadang-kadang dilihat oleh pemimpin sebagai mereka yang menjalankan tugas tanpa sebarang bantahan.

Di sinilah masalah timbul. Semasa pemimpin dan pengikut mempunyai pandangan yang terlalu remeh tentang diri masing-masing, masalah terus menanah dan menyebabkan kesan riak di serata organisasi. Bagi pemimpin, ini boleh mengakibatkan masalah organisasi yang menyakitkan; manakala bagi pekerja, mereka mungkin menjadi tidak terlibat, dan akhirnya semangat mereka akan menjunam.

Tingkatkan komunikasi dan perbualan 

Daripada pemerhatian saya, masalah seperti itu boleh dielakkan jika komunikasi dan perbualan dapat dipertingkatkan. Sebenarnya, saya diingatkan setiap hari oleh kata-kata pujangga yang pernah saya pelajari, “konflik adalah hasil daripada perbualan yang tidak terselesai”.  

Secara khususnya di negara-negara Asia, terdapat hierarki tetap di tempat kerja dan tanggapan ‘jarak kuasa’ secara amnya, di mana orang menjangka dan menerima bahawa kuasa diagih-agihkan secara tidak adil. Pemimpin dijangka mempunyai semua jawapan, sementara pekerja pula dijangka membuat kerja sahaja. Ini menyebabkan kurangnya perbualan bermakna antara pemimpin dan pengikut. 

Tetapi, organisasi tidak dikuasai oleh automaton: ia digerakkan oleh manusia, dan organisasi akan lebih efektif apabila semua bekerjasama.

Berkaitan: Mahu Komunikasi Anda Mendorong Hasil Yang Terbaik?

Tidak kira sama ada anda orang Asia, Eropah atau Amerika, kegagalan mengambil bahagian dalam komunikasi yang bermakna, atau berusaha untuk memahami sesama sendiri dan peranan yang dimainkan masing-masing, akan membawa kepada masalah-masalah yang sama bagi semua yang terlibat.

Kajian Trevor Foulk menunjukkan bahawa pemimpin yang berpegang pada sifat bersetuju jarang menyerah kepada masalah yang dikaitkan dengan isu yang dihadapi pemimpin yang berego. Pemimpin ini menghargai kekariban sosial, hubungan positif dan suasana harmoni di tempat kerja.

Puncak kuasa tempat yang sunyi

Biarpun ini berbunyi agak idealistik, ada banyak bukti menunjukkan bahawa kepimpinan berasaskan khidmat menghasilkan keputusan yang lebih produktif (dan menikmati kadar pusing ganti yang lebih rendah) berbanding gaya kepimpinan ala ‘Insan Hebat’  yang lebih berkemungkinan membuatkan pemimpin untuk melampaui batas.

Akan tetapi, pemimpin yang menyalahgunakan kuasa mereka dalam setiap erti kata, menurut Foulk, harus diberi sekurang-kurangnya sedikit pemahaman tentang situasi mereka. Katanya, “walaupun bos anda lagaknya amat menjengkelkan, mereka memberi reaksi kepada situasi yang kita juga mungkin lakukan jika kita berada dalam kedudukan mereka. Ia tidak semestinya bermakna yang mereka itu raksasa.”

Kebanyakan pemimpin mempunyai niat yang baik tetapi, bak kata pepatah, puncak kuasa adalah tempat yang sunyi. Terlampau banyak yang perlu dibuat sedangkan masa yang ada tidak mencukupi, dan dengan keputusan yang perlu dibuat setiap hari boleh membuat kita tertekan. Ini belum ditambah dengan perkara lain yang perlu diselesaikan. Memanglah, itu bukan alasan bagi tingkah laku kasar di tempat kerja atau di mana jua, tetapi  ia dapat menerangkan serba sedikit mengapa perlakuan sedemikian wujud.

Suka saya nyatakan sekali lagi yang tiada siapa suka berbicara tentang susah payah mereka. Kita lebih cenderung untuk berlakon dan mengharungi segala masalah yang datang. Ini mungkin nampak mengagumkan pada luaran, tetapi ia mengakibatkan kerosakan yang besar secara keseluruhan, daripada  kesejahteraan pemimpin dan pekerja hingga memberi kesan kepada organisasi itu. Ia adalah masalah yang boleh diabaikan buat sementara waktu sebelum ia bertukar menjadi kucar-kacir.

Tepuk dada tanya diri

Selanjutnya, saya tertanya-tanya jika ada ruang untuk perbualan bermakna di tempat kerja. Kita perlu memulakan perbualan bermakna dan berani untuk meluahkan dan berkongsi kisah perjuangan dan cabaran yang dilalui, sebagai pemimpin dan pekerja. Bolehkah kita memanggil diri kita sebagai sebuah pasukan jika tiada perasaan saling memahami antara satu sama lain?

Bolehkah kita betul-betul katakan adanya kesepaduan?

Bagi pemimpin, ia mungkin lebih mudah untuk melihat komunikasi bermakna sebagai kemewahan yang sukar dicapai. Tetapi saya ingin tunjukkan bahawa kekurangan komunikasi bermakna datang dengan kos yang lebih tinggi di tempat kerja. Jika tiada komunikasi, kita tidak berhubung; dan jika kita tidak berhubung, maka terbentuklah unsur terasingan, silo.

Di ruang-ruang terasingan inilah kita mula hilang fokus kepada diri masing-masing sebagai anggota sebuah pasukan dan tumpuan untuk mencapai kejayaan bersama. Alangkah baiknya jika tarik tali ini dihentikan, dan memfokuskan semua tenaga untuk menarik pada arah yang sama.

Berkaitan: Jika Mahu Pergi Jauh, Buatlah Kerja Berpasukan

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Anda Seorang Pemimpin

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Kemahiran

Kemahiran Diperlukan Setiap Calon Kepimpinan

Oleh Jonathan Lienbenberg. Kebanyakan daripada anda bercita-cita untuk menjadi pemimpin dalam industri kita. Ia boleh memberi manfaat untuk mula menilai diri anda selaras dengan kemahiran kepimpinan yang diketengahkan dalam artikel ini. Langkah pertama adalah sentiasa menilai kekuatan dan kelemahan anda.

Jan 15, 2024 4 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Fokus Pada Perubahan Kecil

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita menumpukan usaha untuk membawa perubahan kecil pada diri. Lama-kelamaan perubahan menyeluruh akan tercapai. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

Jul 19, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest