Kita semua inginkan anak-anak kita menjadi pemimpin. Kita mahu mereka menjadi berani, bersemangat dan tulen. Kita ingin setiap tindakan mereka memberi inspirasi kepada orang lain untuk menjadi yang terbaik. Dr Travis Bradberry menunjukkan caranya dalam artikel ini, yang diterbitkan pada mulanya di LinkedIn Pulse.
Sebagai ibu bapa dan penjaga, laluan bagi anak-anak menjadi pemimpin bergantung kepada kita. Kita boleh menjadi model dan mengajar kemahiran-kemahiran bagi melengkapkan diri mereka dalam usaha memimpin diri sendiri serta membimbing orang lain dalam dunia yang begitu kompetitif ini, atau kita boleh membiarkan mereka menjadi mangsa kepada pemikiran yang membuatkan mereka menjadi hamba kepada status quo.
Ia adalah tanggungjawab yang besar – tetapi begitulah adatnya apabila menjadi orang tua.
Membentuk anak-anak menjadi pemimpin adalah indah kerana perkara-perkara kecil yang kita amalkan setiap hari itulah yang akan membentuk peribadi mereka. Sila beri fokus kepada lapan tindakan di bawah, dan anda akan membentuk ciri kepimpinan dalam diri anak-anak serta diri anda sendiri.
1. Model kecerdasan emosi (EQ)
Kecerdasan emosi adalah sesuatu yang hadir dalam diri kita dan tidak dapat diterangkan; ia mempengaruhi cara kita menguruskan tingkah laku, mengemudikan kekompleksan sosial dan membuat keputusan peribadi bagi mencapai hasil yang positif.
Anak-anak belajar mengenai kecerdasan emosi daripada ibu bapa mereka. Mereka memerhati tingkah laku anda setiap hari, dan mereka akan menyerap segala-galanya bak span. Kanak-kanak menyesuaikan diri dengan kesedaran emosi anda, tingkah laku yang anda tonjolkan sebagai respons kepada emosi yang ketara, dan cara anda memberi reaksi dan respons kepada emosi mereka.
EQ ialah salah satu pemacu terbesar kepada kejayaan mereka yang berada dalam kedudukan kepimpinan. TalentSmart telah menguji lebih daripada 1 juta manusia dan mendapati bahawa EQ bertanggungjawab untuk 58 peratus prestasi kerja seorang pemimpin. Begitu juga 90 peratus pemimpin yang berprestasi tinggi mempunyai EQ yang tinggi.
Kebanyakan orang hanya memberi sekelumit perhatian kepada perkembangan EQ mereka ketika membesar. Hanya 36 peratus mereka yang diuji berupaya untuk mengenal pasti emosi mereka dengan tepat pada waktu kejadian. Kanak-kanak yang membina tahap EQ yang tinggi membawa kemahiran ini ke peringkat dewasa, dan ini memberi kelebihan kepada mereka dalam kepimpinan serta kehidupan mereka.
2. Jangan terlalu dihantui pencapaian
Ibu bapa menjadi obses dengan pencapaian kerana mereka percaya bahawa ini akan membuatkan anak mereka menjadi yang terbaik dan cemerlang. Obsesi tentang pencapaian menimbulkan pelbagai masalah bagi kanak-kanak. Ini benar terutamanya dalam kepimpinan, di mana penekanan kepada pencapaian individu hanya akan memberikan kanak-kanak tanggapan yang salah tentang cara tugasan dilakukan.
Secara ringkasnya, pemimpin yang hebat berkawan dengan orang yang hebat juga kerana mereka sedar yang mereka tidak boleh bergerak secara solo. Namun, kanak-kanak yang memfokuskan kepada pencapaian cemerlang dan hanya memikirkan tentang anugerah tidak akan memahami perkara ini. Apa yang mereka nampak adalah seorang pemain yang diberi trofi MVP (Pemain Paling Berharga) dan Ketua Pegawai Eksekutif selebriti yang masuk berita — mereka menyangka yang semuanya hanya berkenaan individu itu. Nah, alangkah terkejutnya mereka apabila mereka sedar yang kehidupan sebenar sama sekali tidak seperti yang dijangka.
3. Jangan terlalu memuji
Kanak-kanak memerlukan pujian bagi membina harga diri yang sihat. Malangnya, memuji berlebihan tidak memberikan mereka harga diri yang lebih tinggi. Kanak-kanak perlu mempercayai diri sendiri dan membina keyakinan yang diperlukan untuk menjadi pemimpin berjaya. Tetapi jika anda beria-ia memuji setiap kali mereka menulis atau menendang bola (mentaliti semua orang boleh menang), ini mewujudkan kekeliruan dan keyakinan palsu. Sentiasa tunjukkan kepada anak anda bagaimana anda bangga dengan semangat dan usaha mereka, tetapi janganlah melebih-lebih seolah-olah mereka superstar sedangkan anda tahu itu tidak benar.
4. Biarkan mereka rasai risiko dan kegagalan
Kejayaan dalam perniagaan dan kehidupan dipacu oleh risiko. Apabila ibu bapa melebih-lebih dalam melindungi anak-anak mereka, mereka tidak membenarkan anak-anak mereka mengambil risiko dan menerima akibat daripada tindakan mereka. Apabila anda tidak dibenarkan untuk gagal, anda tidak akan mengerti tentang risiko. Seorang pemimpin tidak dapat mengambil risiko yang sewajarnya sehingga dia tahu betapa pahitnya kegagalan yang datang apabila merisikokan segala-galanya.
Laluan menuju kejayaan sarat dengan kegagalan. Apabila anda cuba melindungi anak-anak anda daripada kegagalan dengan harapan mereka dapat meningkatkan harga diri mereka, mereka akan menghadapi kesukaran bertahan dengan kegagalan yang diperlukan untuk berjaya sebagai seorang pemimpin.
Janganlah pula kita mengungkit-ungkit tentang kegagalan mereka. Anak-anak memerlukan sokongan daripada kita apabila mereka gagal. Mereka ingin tahu yang anda prihatin, yang anda tahu betapa sakitnya mereka apabila gagal. Sokongan daripada anda akan membantu mereka merasai pengalaman ini secara mendalam dan supaya mereka tahu yang mereka akan baik-baik saja. Itulah pembentukan peribadi yang padu untuk bakal pemimpin.
5. Katakan ‘tidak’
Terlalu menuruti kehendak anak-anak tentunya cara terbaik mengehadkan perkembangan mereka sebagai pemimpin. Untuk berjaya sebagai pemimpin, seseorang haruslah berupaya untuk melambatkan kepuasan dan bekerja keras untuk perkara yang penting. Anak-anak perlu membina kesabaran ini. Mereka hendaklah menetapkan matlamat dan menikmati pengalaman dan keseronokan bekerja mendapatkannya. Katakan ‘tidak’ kepada anak-anak anda akan menyedihkan mereka sebentar, tetapi mereka akan melupakannya. Mereka tidak akan melupakan saat dimanjakan.
6. Biarkan kanak-kanak selesaikan masalah sendiri
Seorang pemimpin perlu mempunyai sejenis keupayaan mampu diri. Apabila anda membuat keputusan, anda juga haruslah bersedia untuk menggalas segala tanggungjawab dan mengatasi masalah yang timbul. Apabila ibu bapa sering menyelesaikan masalah bagi pihak anak mereka, anak-anak ini tidak akan berupaya untuk berdikari. Mereka akan sentiasa menunggu pertolongan yang bakal tiba apabila mereka dilanda masalah. Pemimpin mengambil tindakan. Mereka menjadi ketua. Mereka memikul tanggungjawab. Pastikan anak-anak juga begitu.
7. Cakap biar serupa bikin
Pemimpin yang tulen telus dan mahu menolong. Mereka tidak sempurna tetapi mereka dihormati kerana mereka melakukan apa yang dikatakan. Anak-anak anda dapat membentuk kualiti ini secara semula jadi, tetapi hanya jika mereka melihat anda juga melakukannya. Untuk menjadi seorang yang tulen, anda haruslah jujur dalam segala hal, bukan hanya dalam percakapan, tetapi juga siapa diri anda. Apabila anda cakap serupa bikin, kata-kata dan tindakan anda selari dengan diri anda. Anak-anak anda akan melihat ini dan mencuba melakukan yang sama.
8. Tunjukkan perikemanusiaan
Tidak kira betapa marah dan ingkar anak-anak anda pada satu-satu masa, anda masih hero mereka dan model mereka untuk masa hadapan. Ini membuatkan anda ingin menyembunyikan kesalahan lampau kerana bimbang akan menarik anak-anak anda untuk menirunya. Sebenarnya, ini silap. Apabila anda tidak menunjukkan yang anda mudah dipengaruhi, anak-anak anda merasa bersalah atas setiap kegagalan kerana mereka percaya bahawa hanya mereka yang membuat kesilapan yang teruk.
Untuk menjadi pemimpin, anak-anak perlu tahu bahawa yang orang mereka kagumi bukannya maksum. Pemimpin harus tahu memproses kesilapan mereka, belajar daripadanya dan maju ke hadapan untuk menjadi manusia yang lebih baik. Anak-anak tidak boleh berbuat demikian apabila mereka merasa bersalah. Mereka perlukan seseorang – yang senang dipengaruhi – untuk mengajar mereka cara memproses kesilapan dan belajar daripadanya. Caranya ialah dengan menunjukkan bagaimana anda melakukannya pada masa dahulu.
Kita boleh membentuk anak-anak kita menjadi pemimpin, hanya jika kita berusaha ke arah itu. Ia adalah antara beberapa perkara dalam kehidupan kita yang amat berbaloi.
Dr Travis Bradberry ialah penulis bersama buku paling laris #1, Emotional Intelligence 2.0, dan juga pengasas bersama TalentSmart, pembekal utama ujian dan latihan kecerdasan emosi di dunia, yang memberi perkhidmatan kepada 75% daripada syarikat-syarikat Fortune 500. Karya-karyanya yang paling laris telah diterjemahkan ke dalam 25 bahasa dan boleh didapati di 150 negara.
Artikel ini diterjemahkan dengan kebenaran penulis.
Artikel ini adalah pendapat penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan pihak Leaderonomics.