Kita sedia maklum tekanan berlaku disebabkan oleh kesukaran melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Tekanan ini menimbulkan kesusahan, konflik serta kekeliruan dalam menjalankan tugas. Kesusahan, konflik serta kekeliruan yang berterusan ini, seandainya tidak diuruskan dengan baik, akan mengakibatkan berlakunya apa yang diistilahkan sebagai burnout.

Burnout mengakibatkan ke­tandusan daya emosi, ketandusan daya fizikal dan seterusnya sikap dan perasaan kurang pencapaian dalam kerjaya individu. Ini sete­rusnya akan menyebabkan individu rasa lebih tertekan, lantas menjadi penyumbang kepada penurunan prestasi kerja individu serta organi­sasi. Oleh yang demikian, pengurusan organisasi perlu mengenali punca-punca burnout dan berusaha mengenal pasti cara-cara mengatasinya segera.

Ketika mengalami burnout, seseorang pekerja akan merasa bosan dan tidak mampu memberi perhatian sepenuhnya terhadap kerja yang dilakukan. Kajian oleh sarjana-sarjana dalam bidang psikologi dan sosiologi jelas me­nunjukkan semakin tinggi kadar burnout, semakin rendah prestasi kerja seseorang. Kualiti dan kuantiti kerja turut berkurangan. Justeru, apakah sebenarnya faktor-faktor yang mempengaruhi burnout?

Kelesuan kerja dan personaliti 

Dua faktor utama, yang saling berkait-rapat, dalam memperkatakan tentang burnout adalah persona­liti dan organisasi. Aspek personaliti dan hubung kaitnya dengan komunikasi ditumpu jurus dalam penulisan ringkas ini.