Keyakinan diri boleh jadi perkara yang kurang senang dibicarakan. Sama ada anda mempunyainya atau tidak. Jika tiada, bak kata orang, ‘best of lucklah’. Itu yang biasa kita dengar.
Sama seperti kearifan biasa yang lain, idea bahawa keyakinan diri adalah kualiti yang ada hanya pada kalangan tertentu yang bernasib baik tidak sekukuh yang difikirkan. Akan tetapi penerimaan apa-apa sahaja idea secara membabi buta (terutamanya apabila melibatkan kepercayaan yang membataskan) berpotensi untuk memajukan atau menghancurkan kita.
Novelis warga Scotland dan pencipta watak Peter Pan, J. M. Barrie, pernah menulis, “Saat anda meragui kebolehan anda untuk terbang, anda tidak akan berjaya melakukannya.”
Apakah sistem kepercayaan anda?
Kebanyakan kejayaan bermula dengan mempercayai kebolehan diri sendiri. Keyakinan terhadap diri sendiri bererti mengetahui yang anda mempunyai potensi yang boleh membawa anda ke mercu kejayaan. Ketahuilah bahawa anda mempunyai segala-galanya untuk membuat perkara hebat dan meninggalkan kenangan dan kesan positif di dunia.
Baru-baru ini, saya berbual dengan seorang usahawan muda yang baru menubuhkan syarikatnya. Dia pernah menyaksikan saya memberi ceramah tentang meningkatkan kemahiran kepimpinan untuk merealisasikan impian perniagaan. Dia bertanya bagaimana saya dapat berdiri di hadapan orang ramai dengan penuh yakin. Saya terus mengingatkannya bahawa saya orang lama dalam bidang ini, sementara dia baru mula menapak.
Peraturan pertama keusahawanan berbunyi seperti ini:
Tiada seorang pun yang bermula dengan kesemua kelengkapan yang diperlukan untuk berjaya.
Tanyalah mana-mana usahawan yang berpengalaman. Mereka pasti akan menasihatkan supaya anda jangan sangka yang anda sudah mencapai tahap di mana semuanya lengkap dan sempurna. Cabaran sentiasa menanti untuk diharungi, begitu juga idea dan konsep baharu untuk dipelajari.
Itulah sebahagian daripada keseronokan. Anda tidak akan pernah selesai belajar; anda akan sentiasa berkembang.
Seni di sebalik keyakinan
Walau bagaimanapun, saya terpanggil untuk memberi beberapa nasihat tentang cara membina keyakinan. Bagi saya, keyakinan diri bukanlah sejenis alat, ia suatu bentuk seni.
Fikirkan tentang seorang yang anda kagumi yang penuh dengan keyakinan. Mereka membuatkannya nampak begitu mudah. Tetapi apabila anda mula mencubanya? Tiba-tiba anda terfikir apa yang nampak begitu mudah sebenarnya agak mustahil. Ini adalah kerana membina keyakinan memang tidak mudah. Ia seperti belajar cara menghayun bola golf. Mula-mula anda akan rasa tak selesa – bagai ada yang tak kena, tetapi jika anda terus berlatih dengan tabah dan penuh tekad, lama-lama menghayun golf akan jadi biasa.
Jadi, bagaimanakah seseorang itu boleh membina keyakinan diri untuk membawa diri seperti ketua pegawai eksekutif veteran yang begitu yakin dengan keupayaannya, dan bukannya seperti usahawan muda yang terkejut dengan perhatian yang diberikan?
Cara membina keyakinan diri… sekarang
Berikut adalah empat amalan yang telah saya bentuk untuk diri. Diharap ia akan memanfaatkan anda.
Amalkan postur yang betul
Ini bermaksud berdiri tegak, angkat kepala, bergerak seolah-olah dengan bersebab, dan buat hubungan mata. Mereka yang berkeyakinan berjalan dengan bertujuan, dengan postur terbuka, seakan-akan memberitahu dunia yang mereka bersedia untuk apa jua kemungkinan.
Sebaliknya, mereka yang membongkokkan bahu, menundukkan kepala dan berjalan perlahan dianggap tidak pasti dan suka meminta maaf. Tidak kira sesiapa yang berada di dalam bilik itu, anda harus percaya yang anda berhak berada di situ, sama seperti mereka. Bertegurlah dengan mereka dengan perasaan sedemikian dan anda akan secara automatik bercakap secara terbuka dan berdiri dengan bangga dan penuh yakin.
Bercakap dengan jelas dan meyakinkan
Kita semua pernah melalui situasi seperti ini (di sekolah, universiti, acara rangkaian) di mana seorang dua akan mengeluarkan pendapat manakala yang lain hanya diam seribu bahasa. Ini sering berlaku apabila guru bertanya, “Ada soalan?” dan kebanyakan pelajar hanya diam kerana takut akan menanya soalan yang ‘salah’.
Jangan jadi seperti itu. Bukannya anda ingin membayangi sesiapa, tetapi setiap kali terlintas sesuatu perkara yang ingin dikongsi atau mempunyai soalan untuk ditanya, bukalah mulut. Ia bukan sahaja menolong anda memantapkan kemahiran berbicara, anda juga membantu orang lain yang mungkin mempunyai idea atau soalan yang sama tetapi takut untuk bersuara. Jadi, anda akan dilihat sebagai pemimpin semula jadi, seseorang yang tidak takut untuk berada di hadapan.
Pentingkan penampilan diri
Kajian mendapati bahawa seseorang yang menitikberatkan penampilan lebih berkemungkinan untuk berjaya. Namun, ia tidak bermakna anda harus berpakaian mahal, cukup dengan memakai pakaian yang dipadankan dengan baik supaya anda kelihatan dan rasa yakin. Apabila anda menitikberatkan penampilan, begitulah cara penerimaan orang lain terhadap anda.
Sebaliknya, jika anda selalu memakai kemeja T, seluar pendek dan selipar apabila bertemu dengan orang lain, imej yang anda tunjukkan adalah ‘santai’ dan bukannya ‘sedia untuk berbicara bisnes’. Tetapi anda juga mesti lihatlah pada konteks; janganlah pula memakai sut jika anda ingin ke pantai untuk barbeku!
Bersyukur dengan apa yang ada
Fikirkan sejenak tentang apa yang anda inginkan tetapi belum berkemampuan untuk mendapatkannya. Anda mungkin rasa teringin, kesal, putus asa atau hilang harapan. Inilah mengapa rasa bersyukur begitu penting apabila ingin membina keyakinan diri, kerana ia memfokuskan perhatian anda kepada menghargai apa yang anda ada sekarang. Rasa syukur ini memberi inspirasi kepada anda untuk melangkah dengan berani menuju kejayaan yang seterusnya, dengan pengetahuan yang anda telah dirahmati dengan begitu banyak sekali.
Sebaliknya, jika anda berfokus pada benda yang tiada dalam genggaman, ia akan menjadikan anda berfikiran sempit. Anda akan kelihatan betul-betul lebih kecil kerana berjalan dengan bahu yang membongkok yang memberikan imej ‘kesian saya’.
Berdiri tegak dan berjalan dengan yakin serta bersyukurlah, akhirnya anda akan dapat menarik perhatian orang dan peluang yang sewajarnya.
Berasa yakin tidak bermakna yang anda tidak akan sesekali merasa gementar lagi. Jika anda ingin membuat pembentangan besar atau memberi ucapan dan tidak berasa gementar langsung, itu tanda yang merisaukan.
Rasa gelisah dan takut tetap akan anda alami dalam situasi tertentu. Yang perlu anda lakukan ialah menanganinya dengan meyakinkan diri bahawa anda berupaya melakukannya, anda mempunyai kebolehan yang tiada tandingan, anda calon yang terbaik untuk melaksanakan tugasan tersebut.
Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/
Oleh Sonia McDonald. Pemimpin yang dihormati, misi anda adalah untuk menghidupkan nilai untuk kejayaan yang berkekalan. Adakah anda bersedia untuk menghayati dan mengamalkan nilai teras organisasi anda?
Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.
Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran berkata setiap orang mesti berani gagal dan belajar daripada kegagalan untuk terus maju dalam kembara kehidupan. Kejayaan pasti dalam tangan kelak.