Pengaruh Suri Teladan: Menilai Personaliti Yang Berbeza

Aug 14, 2019 1 Minit
suri teladan, pembangunan kanak-kanak, pengaruh

Semasa berumur 19 bulan, Helen Keller mengalami ‘kesesakan perut dan otak yang teruk’, yang mengakibatkannya menjadi pekak dan buta. Hidupnya menyeksakan sehingga beliau bertemu dengan Anne Sullivan, yang menjadi suri teladannya.

Anne mencabarnya mencapai keunggulan dan beliau berjaya, menjadi inspirasi kepada jutaan orang, termasuk saya (Roshan) ketika saya seorang budak.

Saya juga mempunyai seorang jurulatih bola sepak, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, yang menjadi model peranan yang sungguh hebat bagi saya – beliau mendesak saya melangkah keluar dari ruang keselesaan.

Suri teladan (atau model peranan) adalah penting bagi pertumbuhan dan pembangunan seseorang kanak-kanak. Di Leaderonomics, Eva dan pasukan penyelidikannya telah mengendalikan sebuah kaji selidik dalam kalangan ibu bapa untuk menentukan siapa suri teladan kepada kanak-kanak di Malaysia, dan memeriksa wawasan mengenai model peranan ini.

Majoriti responden mempunyai lebih daripada seorang anak, dari bayi hingga dewasa muda.

Suri teladan

Soalan dalam kaji selidik mengenai suri teladan berbunyi begini: ‘Adakah anak anda mempunyai suri teladan?’

Sebanyak 49.5% responden menjawab ‘ada’, 6.8% ‘tiada’, dan 43.4% ‘mungkin’. Daripada mereka yang menjawab ‘ada’, 32.7% menyebut ibu bapa (sama ada bapa atau ibu sebagai suri teladan), 9.7% menyebut pakcik, datuk nenek dan anggota keluarga lanjutan, 7% pula menyebut kalangan orang yang anak-anak mereka berinteraksi dengan (iaitu guru, komuniti, rakan kerja), dan 3.7% menyebut personaliti terkenal yang tertentu (Cristiano Ronaldo, Amal Clooney, Jack Ma) atau watak filem seperti Rocky Balboa.

Dua peratus menyebut tokoh agama. Keputusan ini nampaknya selari dengan kajian lain yang dikendalikan di negara-negara lain berhubung pilihan model peranan.

Beberapa orang ibu bapa menjelaskan kenapa dan bagaimana, pada pendapat mereka, anak-anak mereka mempunyai suri teladan tersebut.

Contohnya, seseorang ibu kepada budak yang menyanjungi Ronaldo menjelaskan: “Anak lelaki saya suka bermain bola sepak dan menghabiskan banyak masa menonton permainan bola sepak dalam talian.

“Dia mengidolakan Ronaldo bukan sahaja kerana beliau tangkas bermain bola sepak tetapi kerana beliau juga membantu insan-insan yang memerlukan bantuan, melawat kanak-kanak yang sakit, dan mengilhamkan orang ramai bahawa impian boleh menjadi kenyataan, terutama sekali memandangkan beliau sendiri berasal dari keluarga yang miskin.

“Anak lelaki saya akan mengikuti kisah Ronaldo dan dia sedar bahawa Ronaldo kuat berusaha – dari kemiskinan hingga mencapai kepopularan.” Seorang lagi peserta pula menyebut Rocky Balboa sebagai model peranan kerana “beliau tidak pernah putus asa.”

Ramai ibu bapa berkata bagi anak-anak mereka, seorang suri teladan biasanya adalah seseorang yang luar biasa. Individu ini membangkitkan rasa kagum dalam diri mereka, dan dijadikan pujaan mereka.

Tiada suri teladan

Dalam kaji selidik ini, dalam kalangan ibu bapa kepada kanak-kanak yang tidak ada suri teladan, 3.5% menjelaskan bahawa ini disebabkan oleh usia (terlalu muda) atau kerana keluarga mereka tidak menggalakkan anak-anak mereka supaya mempunyai suri teladan.

Ramai ibu bapa mahu anak-anak mereka mempunyai model peranan tetapi tidak tahu bagaimana hendak berbuat demikian.

Ibu bapa memainkan peranan besar dalam usaha menggalakkan dan sengaja memadankan model peranan bagi anak-anak mereka.

Memilih suri teladan

Suri teladan memberi pembelajaran dan inspirasi, yang membantu individu menyifatkan diri. Individu memilih suri teladan dan kualiti yang ingin diikuti mereka.

Ini membezakan suri teladan daripada mentor (yang mungkin diperuntukkan) dan model tingkah laku yang dimajukan organisasi atau komuniti.

Individu sering menggunakan suri teladan untuk menghakimi diri berbanding standard yang ditetapkan suri teladan, dengan itu menjadikan diri lebih serupa (atau berbeza) daripada suri teladan mereka.

Kanak-kanak dan belia melihat dan meniru orang di sekeliling mereka dan juga individu-individu yang disanjungi mereka. Mereka memerhati dan belajar daripada individu-individu yang dianggap mereka sebagai berjaya, termasuk ibu bapa dan guru-guru mereka.

Adalah kritikal kita tidak sahaja mendampingi anak-anak dan belia dengan suri teladan yang positif, tetapi kita juga mesti mengawasi diri dan memodelkan tingkah laku, kepercayaan dan perwatakan yang kita ingin lihat berkembang dalam anak-anak kita.

Tetapi kita tidak mungkin boleh sentiasa mengawal siapa yang anak-anak kita memilih untuk disanjungi atau diteladani. Mereka mungkin terkagum dengan seseorang selebriti, misalnya atau mereka mungkin mengagumi watak rekaan, atau pelajar popular di sekolah, yang kita mungkin tidak berkenan dengan.

Apa yang ibu bapa boleh buat

Bolehkah ibu bapa menentukan pilihan model peranan anak-anak mereka? Meskipun baik sekali jika kita dapat mengawal pendedahan anak-anak kita terhadap pelbagai orang, personaliti yang ditemui, diperhati dan dibaca oleh mereka, cukup mustahil sekali untuk membuat mereka menerima seseorang sebagai model peranan.  

Apa yang ibu bapa boleh buat ialah dengan sengaja mengelilingi dan memperkenalkan anak-anak mereka kepada orang yang mempunyai nilai hidup dan kualiti yang terbaik. Selalu berbincang tentang orang yang didampingi mereka, tentang nilai dan perwatakan mereka. Ingat, kebanyakan model peranan merangkumi orang yang dikenali anak-anak anda.

Menurut Anderson dan Cavallaro,  “Kanak-kanak selalu akan memilih model peranan yang mereka dapati relevan dan dengan siapa mereka boleh bandingkan diri.

Ibu bapa boleh membincangkan sifat-sifat pada model peranan ini yang begitu memikat hati anak-anak mereka dan menggalakkan mereka untuk membuat refleksi tentang nilai-nilai yang membuat mereka menarik dan sama ada sifat-sifat pada model peranan ini berfaedah untuk diikuti.

Kita juga perlu ingat bahawa dunia ini tidak ada insan yang sempurna — dalam semua pemimpin dunia yang terkenal, anda pasti akan mendapati bahawa ada sekurang-kurangnya satu aspek hidup mereka yang cacat;  barangkali mereka panas baran, tidak setia dengan pasangannya, atau terlalu berfokus pada kerja hinggakan menjejaskan hubungan dengan keluarga.

Apabila kita membincangkan aspek positif dan negatif model peranan mereka, ia akan membantu mereka untuk memahami bahawa aspek-aspek tertentu bagus diteladani manakala yang lain patut dielakkan.

Ini juga akan membantu mereka menyedari bahawa mereka tidak boleh mencapai kesempurnaan dan jangan sesekali merasa tewas dan patut memaafkan diri apabila mereka gagal mencapai standard yang tinggi.

Akhir kata

Secara umumnya, suri teladan yang terbaik dan paling berkekalan adalah mereka yang anda kenali – orang yang ditemui dan didamping secara benar dan telus oleh anak-anak anda, seperti oleh diri anda. 

Inilah sebabnya, sebagai ibu bapa, kita perlu memberi mereka pendedahan dan pilihan suri teladan, serta sudi mengadakan dialog terbuka untuk membincang dan menilai orang yang ditemui mereka. Ini akan memberi impak yang besar dalam memastikan anak-anak kita akan mencapai potensi penuh mereka.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik The Power Of Role Models: Making Sense Of Personalities

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Pejabat

Rahsia Kebahagiaan di Tempat Kerja

Oleh Khor Hui Min. Memandangkan kebanyakan orang dewasa yang bekerja menghabiskan sekurang-kurangnya 8 jam sehari di pejabat, tidak dapat dikatakan bahawa kebahagiaan di tempat kerja adalah yang paling penting. Jadi, apakah yang menentukan kebahagiaan di tempat kerja?

Apr 05, 2023 2 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Manfaatkan Bakat Anda

Setiap orang mempunyai bakat istimewa yang tersendiri. Baik kita pandang ke dalam, cungkilkan dan manfaatkan bakat kita itu.

Aug 16, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest