Organisasi Yang Dipacu Tujuan Akan Mencapai Kehebatan

Jun 07, 2017 1 Minit
peta, tujuan, visi, misi

“Visi organisasi yang hebat membina komitmen jangka panjang dalam tenaga kerja.”

Baru-baru ini saya telah menjalankan sesi kajian Perancangan Penggantian di pelbagai syarikat dan tema lazim yang dihadapi adalah mengenai kehilangan bakat-bakat yang lebih muda.

Malah, mengisi kekosongan peranan ini lebih mencabar lagi kerana ia menimbulkan isu-isu operasi dan pertumbuhan. Dalam usaha saya mencari jawapan, isu-isu kewangan, budaya dan kepimpinanlah yang banyak diperkatakan.

Jika dikaji dengan lebih mendalam lagi, ia membawa kepada isu penglibatan dan komitmen pekerja.

Di Leaderonomics, kami pula menghadapi masalah yang sebaliknya. Kami sentiasa menarik bakat-bakat dari seluruh dunia. Malah, banyak yang menawarkan untuk bekerja secara percuma.  Jadi timbul pertanyaan – bagaimana sebuah organisasi sosial yang muda dapat mengalahkan syarikat multi nasional dalam perlumbaan untuk mencari bakat?

“Saya rasa jawapannya terletak di dalam tujuan sesebuah organisasi.”

Kuadran pekerjaan

Ketika persidangan Pengurusan Bakat Leaderonomics diadakan pada tahun 2008, Vishen Lakhiani dari Mindvalley mempamerkan kuadran pekerjaan yang menekankan empat aspek seorang pekerja yang komited – wang, pembelajaran, keriangan dan tujuan.

Dia berhujah bahawa setiap elemen adalah kritikal bagi penglibatan dan pengekalan. Kebanyakan kita dapat melihat dengan jelas mengapa pembayaran wang yang banyak, peluang latihan untuk membina pekerja dan adanya  tempat kerja yang menyenangkan mendorong penglibatan dan pengekalan. Namun, apakah tujuannya yang sebenar?

Jika doktor ditanya tentang apakah tujuan utama kerjaya mereka, mereka akan menjawab, “Untuk menyelamatkan nyawa.” Jika saintis ditanya soalan yang sama, mereka akan menjawab, “Untuk membuat penemuan baru” atau “untuk menambahbaikkan dunia”. Tanyalah kepada guru-guru dan mereka akan menjawab, “Untuk mendidik generasi akan datang”. Tetapi apa yang berlaku apabila soalan yang sama ditanya kepada orang bisnis? Peter Drucker berkata, “Tujuan bisnis adalah untuk melahirkan seorang pelanggan.”

Tujuan bisnes

Seorang ketua pegawai eksekutif yang terkemuka memberitahu saya bahawa bisnis adalah untuk mengejar keuntungan. Manakala yang lain pula mengatakan bahawa ia adalah mengenai memaksimumkan nilai pemegang saham.

Tidak seperti pekerjaan yang lain, para pemimpin bisnis sebenarnya tidak mempunyai tujuan sosial yang merangkumi mengapa mereka melakukan apa yang mereka lakukan.

Pada pendapat anda, mengapakah ramai pekerja yang tidak lagi berpuas hati dengan bisnis seperti ini?

Jawapan yang jelas ialah mengejar keuntungan yang tunggal. Ada kata-kata bijak yang mengatakan “anda memerlukan kesihatan untuk hidup, tetapi anda tidak hidup untuk menjadi sihat.”

Sama seperti kesihatan, keuntungan diperlukan untuk memastikan bisnis anda dapat dikekalkan tetapi ia mesti mempunyai satu tujuan sosial yang menyeluruh.

Bisnis pada hari ini terlalu asyik untuk mengejar wang, kuasa, keuntungan, hasil dan harta benda yang tidak berkesudahan.

Ini telah menyebabkan tekanan dan kecelaruan fikiran kerana kebanyakan orang ingin mencapai sesuatu yang sejajar dengan hati, kesungguhan dan tujuan mereka. Ramai yang membuat keputusan untuk meninggalkan pekerjaan.  Mereka yang tidak berganjak akan mengusahakan pekerjaan mereka dengan rasa sakit hati tetapi tidak pernah dengan komitmen sepenuh.

Sama ada syarikat anda mempunyai 25 orang ataupun 100,000 orang pekerja, komitmen amat penting.

Pekerja-pekerja yang komited mempunyai prestasi yang lebih baik dan akan memberi jiwa dan raga mereka untuk memastikan kejayaan syarikat anda. Jadi, bagaimana anda boleh membina komitmen sedemikian?

Jawapannya mudah sahaja: miliki tujuan yang lebih mulia yang lebih besar daripada kehidupan dan penyempurnaan.

Jadi, bagaimana membina komitmen sebegini? 

Saya kagum dengan pekerja-pekerja yang sangat komited di Johnson & Johnson (J&J) di seluruh dunia. Sebagai Syarikat yang Paling Dihormati dan Disegani di Dunia, J&J mempunyai penyata tujuan yang mengutamakan tanggungjawab pekerja.

Kredonya mencabar para pekerja untuk mengutamakan keperluan dan kesejahteraan rakyat yang menerima perkhidmatan mereka. Keutamaan yang terendah dalam kredo tersebut adalah nilai pemegang saham. Kaum bapa, ibu, doktor dan pesakit lebih utama daripada pemegang saham dan keuntungan walaupun keuntungan adalah penting.

Kredo atau visi korporat tidak bermakna kecuali jika kata-kata itu diambil dari hiasan dinding dan dijelmakan menjadi satu pelaksanaan.

Pada tahun 1982, McNeil Consumer, sebuah anak syarikat J&J, berhadapan dengan krisis apabila tujuh orang di West Side Chicago mati secara misterius disebabkan oleh kapsul Tylenol Kekuatan Tambahan yang dicampur dengan sianida.

J&J membuat kesimpulan bahawa kematian itu adalah disebabkan oleh gangguan luaran Tylenol dan bukannya kecacatan dalam pembuatan. Mereka tidak cuba untuk melindungi keuntungan mereka, sebaliknya mereka memutuskan untuk menarik balik kesemua 31 juta botol Tylenol dengan biaya sendiri yang menunjukkan bahawa keselamatan masyarakat lebih diutamakan. Keputusan yang mahal itu dibuat berdasarkan kredo mereka, yang mengarahkan mereka untuk meletakkan kepentingan masyarakat di atas para pemegang sahamnya. Tylenol kemudiannya berjaya menduduki semula tempatnya di tangga nombor satu.

Dari masa ke semasa, para pekerja J&J melalui masa yang sukar.  Tetapi mereka sentiasa mencari pembaharuan tenaga yang mendorong mereka untuk terus bersemangat. Ini kerana mereka tahu bahawa kerja mereka mempunyai tujuan dan membantu menjadikan dunia ini sebagai suatu tempat yang lebih baik.

Visi yang hebat membina komitmen pekerja

Visi organisasi yang hebat membolehkan anda membina komitmen pekerja untuk jangka masa panjang.

Syarikat anda hendaklah berhenti menjadi satu-satunya cara untuk mendapatkan gaji, dan mula berubah menjadi satu cara untuk memenuhi legasinya.

Tidak berapa lama yang lalu, Leaderonomics telah dicalonkan untuk Anugerah Belia AYA dan ketika saya mengucapkan tahniah kepada pemimpin belia kami, saya bertanya apa yang membuatkan beliau begitu ghairah tentang kerja yang kami lakukan. Ada banyak kerja yang sukar dan menyeksakan kepada syarikat yang masih muda ini. Namun, responsnya mengagumkan saya:

“kita akan mengubah negara melalui Leaderonomics. Saya mahu menjadi sebahagian daripada ini dan saya akan bekerja keras sehingga wawasan kita tercapai.”

Ancaman, hukuman atau insentif kewangan mungkin sudah tidak perlu lagi bagi menyelesaikan sesuatu kerja  jika seseorang pekerja menjadi komited terhadap sesuatu perjuangan (walaupun itu sangat membantu!)

Pekerja yang mengambil bahagian bertahan berdasarkan apa yang mereka berikan manakala pekerja yang tidak mengambil bahagian bertahan berdasarkan apa yang mereka peroleh daripada anda.

Kesedaran tujuan organisasi

Bertahun-tahun yang lalu, Unilever telah memulakan program “Perjalanan Menuju Kehebatan” yang membawa para pemimpinnya ke pelbagai rumah kebajikan termasuklah ashram Missionary of Charity Mother Theresa di India.

Para pemimpin Unilever harus menjadi sukarelawan/wati di pusat-pusat kebajikan sambil membuat pemerhatian ke atas pusat-pusat tersebut. Kemudian mereka akan diterbangkan ke suatu kawasan yang terpencil untuk membentangkan penemuan-penemuan mereka.

Ajaibnya, mereka mendapati pusat-pusat ini disokong oleh ramai individu, termasuk golongan profesional, yang meninggalkan kerjaya mereka untuk mengabdikan diri di pusat-pusat ini. Mereka telah membongkar satu rahsia – tujuan dan visi organisasi-organisasi ini telah mengilhamkan komitmen.

Unilever kemudiannya mencabar pemimpin-pemimpin ini untuk membina tujuan dan misi yang serupa di dalam jenama-jenama dan produk-produk mereka.

Knorr, jenama bantuan memasak, telah diberikan tujuan dan misi untuk memperkasakan suri rumah dengan meningkatkan kualiti makanan mereka. Setiap jenama lain telah diberikan tujuan yang mengujakan masing-masing

Tujuan keseluruhan Unilever adalah untuk memenuhi keperluan setiap hari dalam pemakanan, kebersihan dan penjagaan diri dengan jenama yang membantu masyarakat merasa baik, kelihatan baik dan menambah daya hidup dalam kehidupan.

Setiap pekerja Unilever tidak bekerja setakat untuk mendapatkan keuntungan sahaja, tetapi untuk membawa perubahan dari segi pemakanan, kebersihan dan penjagaan.

Kehidupan kita menjadi sangat bertenaga jika kita beroperasi dari satu kesedaran tujuan.

Akhir kata

Apakah struktur yang anda perlu wujudkan di tempat kerja anda supaya pekerjaan itu memiliki satu makna dan perhubungan yang istimewa? Menawarkan tempat kerja yang digerakkan oleh tujuan tidak bermakna anda berkompromi dengan keuntungan dan hasil keputusan.

Syarikat-syarikat masa hadapan yang berjaya akan memastikan misi dan tujuannya berhubung kait dengan keprihatinan dan pertimbangan kita sebagai manusia. Ia akan sentiasa menawan komitmen bakat-bakat yang terbaik di planet ini yang seterusnya akan memastikan kejayaannya. Dan ia bukanlah satu pilihan di antara keuntungan atau tujuan, tetapi kedua-duanya. Ia akan menjadi satu dunia bisnis baru “yang digerakkan oleh tujuan”.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik The Purpose Driven Business

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Perniagaan

Memastikan Ia Benar untuk Perniagaan

Oleh Michelle Gibbings. Jika anda mahukan sebab lanjut mengapa anda perlu bekerjasama, penyelidikan telah menunjukkan bahawa bekerjasama dengan orang lain mengaktifkan litar ganjaran yang sama dalam otak anda seperti apabila anda makan coklat. Menjadi pemimpin dengan hati adalah mudah. Dan pemimpin yang berpengaruh tahu bahawa perkara mudah yang penting: Bersikap mesra.

Nov 21, 2023 4 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Manfaatkan Bakat Anda

Setiap orang mempunyai bakat istimewa yang tersendiri. Baik kita pandang ke dalam, cungkilkan dan manfaatkan bakat kita itu.

Aug 16, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest