10 Pengajaran Kepimpinan Untuk Kita Hayati

Jul 09, 2018 1 Minit
kepimpinan
Apakah Pengajaran-pengajaran Kepimpinan Yang Penting?

Sekiranya anda seorang pemimpin, baik untuk tiga mahupun 3,000 orang, menjadi tanggungjawab anda untuk mengusahakan pelan tindakan yang tuntas dalam mengendalikan kepimpinan hari demi hari. Jika tidak, mengapa mereka perlu mengikut kepimpinan anda, melainkan ikut secara membabi-buta?

Jadi, di sini ingin kami kongsikan 10 pengajaran kepimpinan buat anda, dan pasukan yang anda ketuai dalam mendepani hidup.

1. Menyentuh isi hati mereka

Sejak dari hari pertama anda menjadi pemimpin, paling penting, anda memainkan peranan untuk membina kepercayaan, meraih penghormatan dan sokongan daripada ahli pasukan. Pupuklah sikap saling menghormati. Selagi mereka membuat kerja, berilah sokongan dan pertahankan mereka dalam apa jua cara sekalipun. Mereka pasti akan sedar akan hal ini. Usaha ini tiada penghujung dan anda tidak boleh tersalah langkah.

Berkaitan: Strategi Kasih Dalam Kepimpinan Yang Unggul

2. Sentiasa sampaikan mesej

Tugas anda adalah untuk menyampaikan mesej, nilai serta tunjukkan perkara yang betul atau salah secara berulang kali. Janganlah berlaku tidak telus. Pemikiran setiap orang haruslah sama. Walaupun anda sudah hadam mesej tersebut, anda perlu sentiasa menyampaikannya kepada ahli pasukan.

3. Buat tindakan susulan secara berterusan

Hanya kerana anda pernah nyatakan sesuatu, ini tidak bermakna hal tersebut akan terlaksana. Golongan pengurus selalu ingat, “Hei, saya sudah maklumkan ahli pasukan benda yang perlu dibuat mereka.” Namun, seminggu kemudian tiada apa yang terhasil. Ya, kerja anda adalah menetapkan hala tuju. Namun, anda juga perlu pastikan anda mengambil tindakan susulan secara berterusan supaya kerja yang diusahakan bergerak mengikut landasan yang betul.

4. Laungkan sorakan semangat

Saya selalu perasan, dengan mengenal pasti musuh, hal ini sangat membantu. Tentukan pesaing yang sedang cuba menandingi anda. Bersoraklah atas kemenangan setiap kali anda berjaya menewaskan mereka, ataupun setiap kali produk baharu yang anda keluarkan lebih baik daripada mereka. Jadikan pesaing anda seakan-akan musuh ketat dan anda bakal lihat semangat ahli pasukan berkobar-kobar dalam menewaskan musuh dan menjuarai persaingan dalam pasaran.

5. Sedar tindakan lebih besar impaknya daripada kata-kata

Apabila anda memilih seseorang untuk menggalas tanggungjawab baharu, anda dapat kenal pasti bahawa hal ini sangat penting. Ramai pengurus suka berkongsi akan kepentingan inisiatif baharu kepada dunia. Namun mereka kemudiannya main letak si polan yang ada untuk memikul tanggungjawab tersebut. Tiada yang lebih teruk daripada hal ini.

Apabila anda melantik anak buah, tindakan anda lebih besar impaknya daripada mana-mana ayat yang anda ucapkan. Pekerja dalam organisasi itu sendiri kenal bintang sebenar yang mampu buat kerja sehingga berhasil. Dan usaha menempatkan pekerja yang berkaliber dalam melaksanakan projek besar sangat penting bagi memelihara kredibiliti dan membina kepercayaan terhadap anda.

6. Meraikan sikap murah hati

Saya percaya bahawa setiap pemimpin yang bagus gemar memberi pujian kepada pekerja. Mereka amat ghairah apabila pekerja semakin maju dan dinaikkan pangkat. Mereka begitu seronok dengan kejayaan yang dikecapi anak buah. Pemimpin yang baik sedar kebaikan yang dimiliki mereka merupakan cerminan anak buah, maka mereka sedia memberi sekalipun diri sendiri terkorban.

7. Melawan karenah birokrasi

Masihkah anda ingat betapa anda menyampah akan karenah birokrasi yang ditetapkan oleh bos apabila mereka mahu setiap sesuatu itu ditulis dan disemak dengan begitu rapi sekali? Tahukah tidak? Kini tiba masa anda menjadi pemimpin. Jangan biarkan karenah birokrasi mendarah daging di tempat anda.

Hanya kerana anda kini menjawat peranan pemimpin, ini tidak menjadikan birokrasi nampak elok sahaja berbanding zaman orang lain menjadi pemimpin. Hapuskan kekusutan ini. Birokrasi melembabkan kerja dan kepantasan dalam melaksanakan kerja ialah salah satu kelebihan untuk anda miliki dalam berdaya saing.

Berkaitan: Adakah Anda Seorang Pemimpin Yang Berani?

8. Dapatkan cara yang lebih bagus

Anda harus terima hakikat bahawa dalam perniagaan, sentiasa ada seseorang di luar sana yang lebih baik daripada anda. Ahli pasukan mungkin masih berada di bawah kepompong dan percaya mereka sudah melakukan semua tugasan dengan betul.

Kerja anda adalah untuk mengajukan persoalan seperti:

“Macam mana nak buat kerja ni dengan lebih baik? Di mana boleh kita cari seseorang yang lebih mahir dalam mengerjakan urusan ini?”

Usaha mendapatkan cara yang lebih baik dalam melakukan sesuatu setiap hari bukannya sekadar di bibir. Hal ini boleh dihayati dalam kehidupan dan ini akan menjadikan pasukan anda lebih menonjol berbanding yang lain.

9. Mengakui kesilapan dalam mengambil pekerja

Hei, bukan anda seorang dalam alam semesta ini yang pernah membuat kesilapan dalam mengambil pekerja. Sebaik sahaja anda sedar bahawa urusan mengambil pekerja bukannya mudah, dan sudah tentu anda ada tersilap langkah dalam proses ini, anda harus sedar bahawa anda perlu menangani kesilapan ini dengan pantas dan belas ihsan.

Akui kesilapan anda apabila pekerja yang diambil tidak membuahkan hasil dan tidak dapat menyiapkan kerja. Ahli pasukan akan lebih menghormati anda. Pekerja yang anda berikannya kerja akan lebih hormat pada anda apabila anda menanganinya dengan saksama. Malah orang atasan akan memberikan anda ganjaran kerana anda berterus-terang dan sedia mengakui kesilapan.

10. Menyelongkar krisis

Tidak dinafikan, krisis akan tercetus sepanjang perjalanan kerjaya. Akan tiba masa seseorang tersalah langkah atau anda perlu berhadapan dengan situasi yang tidak ikut tertib di dalam organisasi. Lagi teruk, apabila anda dimaklumkan akan hal ini, anda masih belum tahu keseluruhan cerita, lagipun, anda bos syarikat.

Anda hanya dapat tahu secebis sahaja. Padahal malapetaka itu sangat dahsyat. Ahli pasukan akan menemui anda dan memberitahu kisah sebenar, sedikit demi sedikit, babak demi babak yang menghala kepada krisis.

Tugas anda adalah untuk menggali sedalam-dalamnya, sejak awal lagi dengan pantas, bagi mengetahui pokok pangkal akan hal yang berlaku. Berterusterang sahaja. Pastikan tiada yang dirahsiakan. Libatkan mereka yang sepatutnya dengan segera. Justeru, anda akan melihat betapa segeranya masalah yang kerap diselindungi akan diselesaikan dengan begitu cepat sekali.

 

Jack Welch ialah pengasas dan profesor kehormat di Jack Welch Management Institute at Strayer University. Suzy Welch ialah pengarang yang terlaris jualan buku, komentator television yang popular, dan wartawan bisnes yang terkemuka. Sejak tahun 2005, mereka telah menulis kolum bisnes untuk beberapa penerbitan ternama termasuk Business Week, Fortune, dan the New York Times.
Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik 10 Leadership Lessons To Live By.

Sila Kongsi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan

11 Kemahiran Kepimpinan untuk Dibina Pada 2024 untuk Eksekutif dan Pemimpin Baru Muncul

Oleh William Arruda. Dedahkan kemahiran penting untuk kepimpinan moden pada tahun 2024. Daripada kecerdasan emosi kepada celik digital, temui kecekapan yang mentakrifkan pemimpin yang berjaya dalam landskap kerja yang berubah. Kemahiran ini, menggabungkan kemahiran tradisional dan insaniah, membentuk asas untuk pemimpin mengharungi kerumitan, memupuk keterangkuman dan memacu inovasi dalam persekitaran dinamik hari ini.

Jan 07, 2024 3 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Menjadi Pendengar Yang Aktif: 10 Cara Terbaik

Kemahiran mendengar perlu dikuasai. Kita mesti pendengar yang aktif, dengan niat untuk memahami. Dengan itu, komunikasi berkesan dapat dijalin.

Oct 20, 2017 7 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest