Oleh NIK FAIZ

Indikasi peratusan yang agak besar yang menunjukkan bahawa ramai pekerja menghadapi masalah kesihatan mental adalah sangat membimbangkan. Ianya bukan sahaja boleh menganggu prestasi kerja, malah ianya juga boleh menganggu hubungan sesama pekerja serta majikan, yang akhirnya boleh menggugat prestasi syarikat secara keseluruhan.

Ramai orang telah membuat persediaan teknikal dan fizikal untuk memasuki alam pekerjaan, namun lupa akan sesuatu hal yang jauh lebih penting iaitu persediaan mental. Persediaan mental adalah asas kepada persediaan ke alam pekerjaan. Malah pada pandangan saya ianya sudah menjadi perkara wajib kepada setiap pekerja dan majikan.

Saya melihat kepada perbezaan suasana kerja pada 20 tahun dahulu berbanding sekarang, dan saya sempat meluangkan masa dengan beberapa pekerja yang senior yang mengatakan bahawa generasi sekarang tidak sama dengan generasi yang terdahulu.

“Saya dulu masa kerja, selalu jugak kena marah selalu jugak kena maki namun setelah 30 tahun, saya masih disini…”

“Orang-orang muda zaman sekarang ni manja, kena marah sikit pun dah nak hantar surat berhenti, kena tegur sikit dah melenting, hasil kerja kena reject sebab tidak menepati kehendak pun dah tarik muka, dah keluar statement sound majikan dalam media sosial…macam mana nak kerja…?”

Baca: Emosi: Kekuatan Anda

Situasi kerja zaman sekarang ni sudah makin mencabar, jika adanya pekerja yang berhenti pada hari ini, tidak susah untuk majikan terus cari pengganti pada keesokan harinya. Sekarang sudah tidak sama macam dulu, seorang sahaja berhenti, ada lagi 10 orang yang lebih hebat dari kita sedang menanti.

Nak berhenti sebab kena marah dengan majikan? Tenang dulu ye, kena marah itu adalah normal dan semua orang dan tidak terkecuali majikan pun perlu belajar cara untuk mengawal emosi dengan baik agar suasana kerja menjadi lebih baik dan segar.

Jadi bagaimana untuk siapkan mental agar lebih kuat untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran emosi agar kita tampil lebih professional semasa bekerja? Saya kongsikan apa yang saya praktikkan semasa saya berkerja dahulu.

  1. Fahami hakikat bahawa, jika kita melakukan perkara yang tepat dan betul, tidak mungkin majikan akan marahkan kita. Mereka akan marah dengan bersebab, jika tiada sebab yang munasabah maka mereka tidak akan marah. Dan jika mereka marah tanpa sebab, kita masih ada ruang untuk jernihkan suasana dengan cara berbincang dengan cara yang harmoni.
  2. Dimaki dan dikutuk? Saya sendiri pernah dicampak semula proposal yang dibuat ke muka saya dan pada saat itu memang rasa sangat marah, namun jika saya letakkan mode ‘fight’ dalam situasi itu ianya hanya menjadikan keadaan itu lebih buruk. Jadi bersiap sedia dan letakkan kemungkinan bahawa anda mungkin akan dimaki dan rancangkan apakah ‘personal drill’ anda jika perkara itu berlaku.
  3. Talam dua muka, semua orang akan bersikap talam dua muka selagi mana anda belum betul-betul rapat lagi dengan individu tersebut. Apabila anda sudah rapat, barulah anda akan nampak ‘the true color’ sehingga itu, jangan berikan kepercayaan seratus peratus.
  4. Dalam pejabat, tidak semua akan sukakan kita, dan akan ada kemungkinan orang yang akan dengki pada kita atas sebab sesuatu yang mungkin tidak masuk akal. Kekalkan keharmonian dan elakkan dari membuat orang sakit hati terhadap kita, baik dari segi cara kerja mahupun tingkah laku kita.
  5. Jaga hasil kerja kita, ‘ownership’ terhadap tugasan dan hasil kerja kita. Kerana jika kita tidak jaga kemungkinan akan ada ‘pembuli’ dipejabat yang sentiasa mencari ‘credit’ atas hasil usaha orang lain.

Apa yang telah saya kongsikan ini adalah berdasarkan pengalaman peribadi saya sendiri yang diperolehi semasa bekerja dengan beberapa syarikat sebelum saya menubuhkan syarikat sendiri. Mudah-mundahan ianya akan menjadi panduan kepada anda dan menjadikan anda lebih bersedia dengan emosi yang kental dalam berhadapan dengan pelbagai situasi kerja yang semakin mencabar diabad ini.

 

 

 

Diterbitkan dengan kebenaran. Untuk berhubung dengan lebih lanjut, email editor@leaderonomics.com 

TINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.