Oleh CHRISTIE CHUA

Gerakan ‘inisiatif hijau’ sudah lama wujud, namun trend di seluruh dunia untuk melestarikan alam sekitar ini semakin meluas cuma dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Banyak syarikat mahupun negara mula mengambil langkah yang dianggap drastik dalam usaha membendung pencemaran alam sekitar, seperti menghapuskan plastik pakai buang.

Malaysia juga turut serta mempromosikan kelestarian alam sekitar, bermula dengan pembasmian penggunaan beg dan straw plastik mengikut Pelan Hala Tuju Ke Arah Malaysia Bebas Plastik anjuran Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Dasar ‘denda pencemaran’ dan ‘tiada plastik’ juga bakal dikenakan oleh majlis-majlis tempatan melalui pelan ini.

Inisiatif lain yang dianjurkan kerajaan Malaysia termasuklah dasar penggunaan tenaga seperti pemeteran tenaga bersih (NEM) dan dasar penggunaan sendiri, serta insentif cukai seperti Elaun Cukai Pelaburan Hijau (ECPH).

Bagi perniagaan yang sudah lama beroperasi secara konvensional, inisiatif hijau bererti membaik pulih sistem dan proses sedia ada, dan tatkala mana-mana perniagaan berusaha mengurangkan kos operasi dan memaksimumkan keuntungan, pemilik perniagaan akan mudah terkesan dengan kos yang terlibat untuk menjayakan amalan lestari yang mesra alam sekitar.

Walaupun sebilangan daripada mereka memilih untuk tidak melaksanakan inisiatif hijau disebabkan kesulitan dan kos yang tinggi, sebenarnya inisiatif ini terbukti lebih efektif kos dalam jangka masa yang panjang, sama ada untuk individu mahupun perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Plus Solar Systems, Ko Chuan Zhen, berkongsi bahawa bagi kebanyakan pelanggannya, kos bahan mentah, tenaga kerja dan tenaga menelan sebahagian besar daripada perbelanjaan kos operasi.

Salah satu cara untuk mengurangkan kos adalah dengan menjimatkan bil elektrik, lebih-lebih lagi apabila tarif elektrik semakin meningkat tahun demi tahun.

Di sinilah dasar tenaga solar dan NEM memainkan peranan — NEM membolehkan tenaga elektrik penggunaan sendiri dijana melalui pengguna sistem solar fotovoltan (PV) dan sebarang tenaga berlebihan akan dieksport ke grid.

Sekiranya sesebuah perniagaan perlu mengimport tenaga dari grid, kos tenaga terimport boleh diimbangi mengikut kadar satu-lawan-satu. Oleh itu, semakin banyak tenaga yang dijana melalui sistem solar PV, semakin banyak tenaga dan wang yang dapat dijimatkan bagi sesuatu perniagaan.

Industri tenaga solar masih baharu di Malaysia, namun kita memiliki potensi yang besar untuk berkembang maju kerana kerajaan telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh pulih  di Malaysia daripada 2% hingga 20% menjelang 2025.

Leaderonomics baru-baru ini menghubungi beberapa syarikat yang beralih arah ke penggunaan tenaga solar beberapa tahun lepas bagi mendapatkan perspektif mereka berkenaan sumber tenaga boleh diperbaharui. Berikut adalah perkongsian mereka:

1. IKEA

Menurut Pengurus Teknikal IKEA Kawasan Asia Tenggara, Kevin Malone:

“Dalam usaha meninggalkan impak yang positif kepada manusia dan planet, kami melaksanakan beberapa strategi untuk memaksimumkan kecekapan tenaga dalam sesebuah gedung, seperti menambah baik penebat dan kepadatan udara.

Tenaga bersih penting dalam membangunkan gedung IKEA dan melalui kecekapan tenaga yang dimaksimumkan, kami menambah baik prestasi sistem tenaga bersih yang dijana oleh setiap gedung melalui solar PV.

“Tenaga solar sesuai digunakan di Malaysia kerana penerimaan pancaran solar (tenaga dari matahari) yang berterusan sepanjang tahun. Manfaat sebegini dapat diperluas ke serata dunia melalui pengurangan pelepasan secara keseluruhan.”

Gedung kami dilengkapi dengan bumbung besar yang membolehkan penjanaan tenaga solar PV dimaksimumkan. Hal ini membuahkan kesan dengan segera, apabila tenaga penggunaan sendiri dijana tanpa pembaziran. Dengan serta-merta, kami dapat menjimatkan kos tenaga dan operasi. Ini bermakna pelanggan dapat menikmati pengurangan harga daripada produk yang kami hasilkan secara berterusan.

Terdapat banyak manfaat bagi syarikat yang memasang sistem solar PV — ia membantu mengurangkan kos operasi korporat, selain dapat menikmati insentif yang ditawarkan oleh kerajaan.

Sebagai gedung runcit perabot yang terkemuka di Malaysia, kami prihatin akan pelaksanaan aktiviti hijau demi membantu mengurangkan kesan negatif terhadap planet. Kami bangga apabila berjaya meninggalkan kesan yang positif untuk dijadikan teladan.

(ATAS) IKEA Cheras di Kuala Lumpur (siap dibina pada 2015) mempunyai 3,852 keping panel solar yang siap terpasang di bumbungnya, dengan jumlah kapasiti sistem sebanyak 1,001.52 kilowatt-peak (kWp). (BAWAH) kawasan letak kenderaan Kumpulan PKT Logistics yang bersolar di Pulau Pinang (siap dibina pada 2016) memounyai saiz sistem berjumlah 425 kWp, yang terhasil daripada 1,307 keping panel solar.

2. Kumpulan PKT Logistics Sdn Bhd

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PKT Logistics, Dato’ Michael Tio:

Falsafah utama kami ialah “Mimpikannya, bicara tentangnya, buat perancangan, usahakan dan capainya’. Namun dari segi tanggungjawab sosial korporat (CSR), kami memiliki falsafah tersendiri:

“CSR bukanlah berfokus pada cara membelanjakan keuntungan yang diraih tetapi pada cara menjana keuntungan dengan bertanggungjawab.”

Oleh sebab tenaga adalah salah satu daripada kegunaan utama di gudang, apabila kami perlu membina sebuah gudang, kami sedar kami mahukan gudang yang mesra hijau. Itulah sebabnya gudang kami dibina sedemikian rupa, sehinggakan kami tidak perlu membuka suis lampu pada siang hari kerana gudang kami sudah begitu cerah.

Kami juga memasang sistem solar supaya kami mampu menjana tenaga sendiri tanpa menggunakan tenaga dari grid kebangsaan apabila kami memerlukan sejumlah tenaga. Sebab itulah kami memasang sistem tenaga solar bagi setiap gudang.

Tanggungjawab sosial amat penting, walaupun anda merupakan pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Anda patut memulakan langkah dalam CSR. Kami memilih untuk melabur dalam sistem solar. Kerajaan kini mula memudahkan urusan pemilik perniagaan untuk melabur dalam teknologi hijau.

Sekiranya anda memiliki kilang sendiri atau ingin membina kilang baharu, anda boleh pertimbangkan penggunaan sistem solar sebagai salah satu daripada spesifikasi supaya kilang yang terbina mesra alam.

3. Proguard Technologies (M) Sdn Bhd

Menurut Pengasas Proguard Technologies, Dato’ Lee Ngai Mun:

“Kami merupakan sebuah syarikat pembuatan yang mengendalikan banyak jentera, maka kilang ini menggunakan sejumlah besar tenaga. Bagi meminimumkan kos elektrik, kami beralih kepada tenaga solar demi menjana tenaga yang lebih bersih dan cekap.

Hal ini juga selaras dengan langkah CSR yang merupakan sebahagian daripada nilai teras syarikat. Pembinaan kilang hijau adalah salah satu daripada projek CSR syarikat. Kami merupakan kilang pertama di Hulu Langat yang melabur dalam sistem solar. Kini kami membantu menjaga alam sekitar dengan mengurangkan pelepasan karbon melalui penggunaan tenaga bersih dan cekap.

Pengasas dan Ketua Pegawai Operasi Proguard, Dato’ Lee Ngai Mun (kiri) dengan KPE Plus Solar, Ko Chuan Zhen (kanan) di pejabat Proguard di Hulu Langat, Selangor. Proguard adalah antara syarikat awal yang menyertai Program Transformasi Tenaga Bersih Plus Solar. Dalam program, pengamal awal teknologi solar berkongsi pengalaman mereka menggunakan tenaga solar dengan pemilik bisnes yang lain. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai faedah menggunakan tenaga solar, dan mempengaruhi lebih banyak bisnes untuk mengguna pakai sumber tenaga bersih ini di bangunan mereka.
“Apabila kami mula beralih kepada tenaga solar, kami sedar penggunaan tenaga dan elektrik semakin berkurangan, maka banyak wang yang dapat dijimatkan. Pemasangan sistem solar membantu kami meminimumkan kos operasi dan memaksimumkan keuntungan.”

Kami mengambil masa selama 40 bulan untuk menikmati pulangan pelaburan. Bagi kami, setiap sen yang dilaburkan sememangnya berbaloi.

Kini setelah 40 bulan, kami sudah memperoleh untung bersih. Maka pada hemat saya,  pelaburan dalam tenaga solar merupakan langkah yang sangat bijak. Pulangan pelaburan diperoleh daripada penjimatan kos. Dalam jangka panjang, hal ini akan memberi manfaat kepada perniagaan. Jadi, saya sangat menggalakkan sesiapa yang berminat untuk terus melabur dalam tenaga solar.

Jika syarikat anda sebuah PKS, anda bakal menerima bantuan daripada kerajaan dalam bentuk insentif cukai melalui pelaburan dalam tenaga solar, tetapi anda perlu mengeluarkan modal terlebih dahulu.

Terdapat banyak pilihan tenaga boleh diperbaharui, misalnya kincir angin, tetapi tenaga solar lebih mudah dimanfaatkan kerana panel solar dibina di atas bumbung dan tenaga diperoleh melalui pancaran cahaya matahari yang konsisten. Hal ini lebih mudah berbanding dengan kincir angin.”

Akhir kata

Pokok pangkalnya, semakin ramai yang mula sedar akan kepentingan amalan lestari mesra alam sekitar, terutamanya dalam dunia perniagaan. Pemilik perniagaan perlu mengambil kira aspek lain selain daripada keuntungan sekiranya ingin berjaya. Ini kerana pengguna kini lebih sedar akan impak terhadap alam sekitar melalui pilihan tertentu, jadi mereka cenderung meletakkan standard tanggungjawab sosial yang tinggi terhadap syarikat.

Ya, kos awal untuk melabur dalam amalan lestari mesra alam sekitar sememangnya menelan belanja yang besar, namun anggaplah langkah yang diambil ini sebagai pelaburan jangka panjang dengan pulangan pelaburan yang ketara bagi diri sendiri, anak-anak dan planet ini.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik The ROI of Going Green: 3 Companies Share Their Reasons for Choosing Solar Energy.

TINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Please enter your name here