Oleh ROSHAN THIRAN

‘Jika takut, jangan lakukannya. Jika lakukannya, jangan takut.’

Tatkala meneliti seorang demi seorang pemimpin, saya tertanya-tanya akan teladan kepimpinan yang bakal diperoleh daripada insan bernama Genghis Khan, bukan calang-calang pemimpin yang dikenali ramai atas dasar ‘kejahatannya’ yang suka menumpahkan darah.

Sebagai seorang penakluk, Genghis Khan tiada belas kasihan, ganas dan tidak goyah dalam impiannya untuk menguasai dunia. Beliau dan anak cucunya menakluki dan memerintah sebahagian besar Eurasia, salah sebuah empayar yang terbesar di dunia (dengan keluasan lebih kurang 12 juta batu persegi).

Kesan peninggalannya kekal dalam lipatan sejarah dunia.

Namun liku hidup berkenaan ketokohan panglima perang Mongol ini bukan berhenti setakat itu sahaja.

Berkaitan: 5 Ketakutan Yang Perlu Diatasi Untuk Menjadi Hebat


Temujin a.k.a. Genghis Khan (1162-1227) dilahirkan di Mongolia Utara. Zaman kanak-kanaknya penuh dengan penderitaan dan serba kekurangan. Bapanya mati keracunan semasa beliau berusia sembilan tahun, keluarganya dipulaukan daripada suku kaum sendiri, sehingga ibunya perlu membesarkannya dan tujuh orang adik-beradiknya dengan tulang empat kerat.

Visi yang kuat

Mencecah usia 20, Temujin diperhambakan berikutan serangan tentera yang pernah bersekutu dengan keluarganya.  Namun beliau berjaya melepaskan diri dan kemudiannya mengepalai segerombolan tentera seramai 20,000 orang. Bagaimanakah seorang hamba mampu mempengaruhi 20,000 umat manusia supaya mengikut telunjuknya?

Genghis memiliki visi yang menakjubkan — beliau sedar bahawa suku kaum Mongol perlu berhenti bertelagah antara satu sama lain dan bersatu di bawah satu tampuk kepimpinan dan pemerintahan. Visi untuk menjadikan Mongol lebih hebat mendorong mereka untuk meninggalkan kehidupan lama dan berjuang bersama-sama Genghis demi merealisasikan impian ini.

Genghis siap melaungkan slogan (cakap pasal penjenamaan abad ke-12!) ‘Satukan dunia di bawah sebuah empayar’. Beliau sememangnya memandang serius akan misi ini. Baginya, “seruan datang bertalu-talu, kewajipan yang tergalas atas bahu saya berat.”

Syukur dengan kebijaksanaannya dalam memahami selok-belok ketenteraan dan musuhnya, misinya untuk menerajui suku kaum Mongol akhirnya menjadi nyata pada tahun 1206, tahun beliau diangkat dengan gelaran Genghis Khan (‘Pemerintah Sejagat’).

Tentera Mongol yang dipimpinannya lengkap bersenjata dan tidak gentar menghadapi musuh. Dalam masa beberapa tahun sahaja, Genghis Khan mula membina empayar yang terbesar dalam lipatan sejarah.

Satu pengajaran utama yang saya peroleh daripada kisah Genghis khan ialah visi sahaja tidak memadai. Anda perlukan visi, beserta dengan kebijaksanaan dan kecekapan praktikal, serta mampu melaksanakan kerja sehingga membuahkan hasil.

Menurut sejarawan, bala tentera Genghis mengorbankan nyawa melebihi 40 juta orang, kira-kira 11 peratus daripada populasi dunia pada waktu itu. Jadi, tidak hairanlah Genghis Khan disebut-sebut sebagai raja pahlawan paling kejam yang pernah memerintah dunia.

Beliau juga sedar untuk mengekalkan kuasa dan membina legasi yang berpanjangan, beliau perlu mentadbir empayar yang luas ini dengan bijak.

Maka, Genghis menyeru pada kebebasan beragama kerana sedar kebebasan ini akan menghasilkan insan yang cintakan keamanan, dan ini akan memudahkannya untuk memerintah mereka. Beliau juga mengamalkan sistem meritokrasi, sehinggakan seorang lelaki yang nyaris membunuh Genghis Khan dengan menembak Genghis sehingga jatuh dari kuda dilantik menjadii jeneral tentera Mongol, lalu diangkat sebagai salah seorang komander yang terulung.

Genghis Khan berjaya menyatukan suku-suku yang bertempur dan melarang penggunaan teknik penyeksaan. Beliau juga tidak suka dengan keistimewaan kelas atasan, beliau menekankan kepentingan pembelajaran seumur hidup, dan memberi hak tertentu kepada wanita Mongol. Hal ini adalah sesuatu yang amat progresif pada masa itu.  

Ada juga ura-ura yang mengatakan beliau ialah manusia pertama yang mencipta sistem pos antarabangsa, syukur dengan rangkaian komunikasinya yang meluas merentasi segenap empayar yang membolehkan aliran maklumat, bekalan, dan barangan berjalan dengan pantas.

Selain dikenang sebagai bijak pandai dalam teknik ketenteraan, Genghis Khan ialah seorang yang berpandangan jauh dalam memastikan kejayaan yang berpanjangan buat keturunannya kerana selepas beliau meninggal, dengan membahagikan empayar pemerintahan dalam kalangan anak-anaknya.

Genghis Khan belajar selok-belok memimpin daripada pengalaman, naluri, dan pemerhatian sendiri. Walaupun beliau berlaku kejam dalam siri peperangan, beliau menyedari faktor yang mendorong manusia dan aspek penting untuk menjadi seorang pemimpin yang terulung.

Tiga teladan kepimpinan utama Genghis Khan

Berikut merupakan tiga teladan kepimpinan utama yang saya peroleh setelah meneliti kehidupan Genghis Khan:

1. Bersederhana dalam setiap aspek

Genghis Khan percaya seseorang dapat menjadi pemimpin yang terbaik sekiranya mereka mengelakkan diri daripada terjerumus dalam perangkap kejayaan.

Beliau pernah memberi amaran, “Saya bencikan kemewahan. Saya amalkan kesederhanaan… Sangat senang untuk hanyut daripada mengejar visi dan tujuan apabila anda telah memiliki pakaian yang cantik, kuda yang bergerak pantas dan ditemani wanita jelita … ini menjadikan anda tiada beza dengan seorang hamba, dan suatu hari anda bakal kehilangan segala-galanya.”

2. Perubahan berlaku langkah demi langkah, bukannya datang bergolek

Dalam biografi bertajuk Genghis Khan and Making of the Modern World, penulisnya Jack Weatherford mengingatkan kita bahawa pemimpin Mongol ini memperoleh ilmu hidup ‘daripada kitaran pembelajaran pragmatik tanpa henti, penyesuaian diri melalui eksperimen, dan refleksi secara berterusan didorong oleh mindanya yang terdisiplin dan keinginan yang terarah’.

Pembelajaran berterusan, apabila kita mempelajari sesuatu sedikit demi sedikit setiap hari, akan perlahan-lahan mengubah kita menjadi insan yang berilmu yang mampu melaksanakan tugasan mengikut keperluan masa yang tertentu. Genghis tak akan mampu membina empayar hanya dengan sebuah visi.

Beliau menggapai visi melalui tabiat harian dengan belajar taktik ketenteraan, mengasah akal di minda dan belajar kemahiran praktikal seperti cara mempengaruhi manusia, menyuntik inspirasi, berdiplomasi, dan rentak berlawan (sudah tentu selepas berjaya menakluki kawasan tertentu!).

Ingat, Genghis tidak lahir dalam keluarga yang mewah dan belajar di sekolah elit demi menuntut ilmu. Beliau mula menabur langkah sebagai seorang kanak-kanak yang miskin dan terpaksa belajar menjadi pemerintah atas daya usaha sendiri, dan memperoleh didikan melalui proses pembelajaran secara berterusan setiap hari.

3. Apabila badai melanda, jangan mudah tuding jari kepada sesiapa (raikan semua pandangan yang ada!)

Pemimpin haruslah cerdik dalam mencari dan mempertimbangkan perspektif dan pandangan yang datang daripada orang lain, tetapi apabila tiba masa membuat keputusan, tanggungjawab tersebut tergalas pada satu bahu sahaja. Genghis ada menasihatkan, “Tiada teman yang lebih baik daripada gerak hati sendiri!”

“Walaupun anda boleh bergantung harap pada serba macam perkara, tiada yang lebih tulus daripada kata hati sendiri. Walaupun ada ramai insan boleh menghulurkan bantuan, tiada yang lebih rapat dengan anda melainkan suara hati sendiri,” tambahnya.

Walaupun Genghis seolah-olah menyarankan kita mengambil keputusan berdasarkan gerak hati sendiri, dalam kebanyakan situasi, beliau seakan-akan cuba mendapatkan maklumat sebanyak mungkin sebelum membuat keputusan. Akhir sekali, apabila keputusan sudah diambil, anda perlu bertanggungjawab dan berpegang padanya.

Beliau menambah, “Insan yang dijajah di tepian tasik yang berbeza harus ditadbir mengikut bahagian tasik masing-masing”. Hal ini menguatkan lagi pendapat bahawa perangai setiap orang berbeza-beza dan setiap keputusan yang diambil mestilah bertepatan dengan tempat dan keadaan tertentu.

Akhir kata

Dalam menelusuri kehidupan Genghis Khan, saya tertanya-tanya sama ada kita tersalah sangka dengan melabelnya sebagai seorang pahlawan yang durjana dalam sejarah.

Kebijaksanaan dan kepimpinannya sangat berguna untuk kita yang hidup dalam abad ke-21 ini, terutamanya yang menyentuh pada visi hidup yang jelas, supaya kita mampu mengendalikan diri dalam situasi yang berbeza, dan kesudahannya proses belajar dan berkembang maju dijadikan sebagai tabiat hari demi hari.

Jelas sekali, ada sisi hidupnya yang saya tidak sarankan untuk kita contohi, terutama sikap tiada hati perut semasa menghapuskan musuh. Namun sekiranya kita dapat berpegang pada prinsip kepimpinannya, suatu hari nanti kita mampu ‘menakluki’ empayar dan wilayah baharu dalam perjalanan hidup ini!

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Leadership Lessons From Genghis Khan.

TINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Please enter your name here