Reaksi Atau Respons: Yang Mana Pilihan Anda?

Dec 12, 2017 5 Minit
Reaksi Atau Respons

Beberapa tahun lalu, semasa saya sedang makan malam bersama rakan sekerja di sebuah bandar kecil di Amerika Syarikat, seekor lipas menyusup masuk ke bawah meja seorang wanita yang duduk di sebelah kami.

Wanita itu terus menjerit dan menendang-nendang lipas yang mula memanjat kakinya. Dia bingkas bangun dan berlari, menyebabkan pelanggan lain panik. Lipas itu terus menyelinap ke meja sebelah dan menyebabkan wanita lain turut sama menjerit sambil melompat dan berlari.

Dalam kekecohan itu, pelayan restoran itu tersenyum. Dengan tenang, dia menuju ke meja tersebut dan memerhati serangga itu. Sepantas kilat, dia menangkap lipas itu dan membawanya pergi. Tindakannya membuatkan kedua-dua wanita itu termasuk pelanggan lain yang gementar merasa lega. Ada juga yang menepuk tangan tanda terima kasih kepada si pelayan.

Kami pun menyambung makan malam kami sambil berbincang tentang senario yang lucu tadi. Ada beberapa perkara yang kami musykilkan. Antaranya:  

  • Adakah lipas itu yang bertanggungjawab atas kelakuan melodramatik dua wanita tadi?
  • Jika ya, kenapa pelayan itu tidak cemas atau seperti diserang histeria?

Ketika membincangkan perkara ini, kami mendapati bahawa dalam kebanyakan kes, bukan faktor luaran yang mengganggu atau menyebabkan kekalutan dalam dunia kita. Yang berbuat demikian adalah ketidakmampuan kita mengendalikan situasi tersebut.

Dalam kebanyakan senario, kita memberi reaksi, bukan respons, kepada situasi itu. Fikirkan semula ketika bos anda berteriak kepada anda atau ketika anda dimarahi pasangan anda. Adakah anda memberi reaksi seperti diserang histeria atau adakah anda memberi respons yang diperlukan untuk meredakan kemarahan?    

Kadang-kadang kita memberi reaksi kepada isu yang remeh-temeh. Bayangkan anda telah lewat untuk ke mesyuarat dan memandu dalam keadaan terkocoh-kocoh untuk sampai ke destinasi. Tetapi lampu isyarat bertukar merah. Adakah lampu merah itu yang menyebabkan anda marah dan kecewa hingga anda mula berperangai seperti orang gila, sama seperti wanita-wanita dalam kisah lipas tadi?  

Bukan lampu merah itu yang mengganggu anda tetapi ketidakmampuan anda mengendalikan kekacauan di dalam minda anda. Jadi, mengapa kita memberi reaksi kepada lampu itu?

Artikel berkaitan: Diam, Perhati, Tindak!

Ia pilihan anda

Semua yang kita lakukan adalah pilihan kita sendiri. Setiap hari kita membuat beribu-ribu pilihan daripada apa yang hendak dimakan, dicakap atau dipakai. Jadi apa bezanya antara memberi reaksi dan respons? Dua pilihan yang berbeza – satu positif dan satu lagi negatif. Memilih untuk memberi respons dengan positif boleh mengubah hidup anda secara dramatik.

Sebagai contoh, jika anda sedang menikmati makan malam dan anak anda terlanggar dan menjatuhkan pasu berharga dari atas meja, anda ada dua pilihan – memberi reaksi atau respons.

Pilihan 1: Memberi reaksi

Kita membiarkan emosi mengawal pemikiran kita, lantaran  terpancar perasaan marah, sakit dan kehilangan. Kita cepat memberi reaksi seperti menjerit, marah, mengenakan penderaan fizikal dan pelbagai reaksi negatif.

Sudahnya kita yang menyebabkan anak kita merasa tidak selesa, garang dan tegang. Kita mungkin merosakkan perhubungan dalam proses itu. Emosi seperti ini normal. Tetapi jika kita mengambil masa untuk memberi respons dan bukannya reaksi spontan, ia akan dapat mengelakkan perkara seumpama itu daripada berlaku.

Beberapa tahun dahulu, seseorang pernah bercerita kepada saya kisah seorang ayah yang bertindak melulu apabila ternampak anak lelakinya menggores keretanya yang baru digilap. Dalam kemarahan, dia mencapai batang besi dan memukul tangan anaknya dan menyebabkan kelima-lima jari anaknya patah. Alangkah sedihnya dia apabila dia mendapati yang anaknya telah menulis “Ayah, saya sayang kamu” pada kereta. Namun, reaksinya terhadap situasi itu menyebabkan anaknya hilang jari.

Saya sangat sedih mendengar cerita itu. Kalaulah ayah budak itu dapat berfikir sejenak dan memberi respons daripada bertindak secara spontan.  

Pilihan 2: Memberi respons

Ini adalah pendekatan yang lebih positif. Mulakan dengan memberi ruang di antara anda dan situasi itu. Seseorang yang memberi respons kepada situasi tidak akan membiarkan emosi menaklukinya.

Dalam kes anak yang memecahkan pasu tadi, perkara pertama yang harus dilakukan adalah memastikan semua orang di situ tidak tercedera. Kalau ada, bantu orang yang tercedera dengan segera. Bertenang dan pastikan tiada sesiapa berjalan di atas pecahan kaca yang bertebaran. Tentukan siapa yang boleh mengutip sisa kaca dengan cepat. Setelah selesai segalanya, barulah anda boleh mendisiplinkan atau membincangkan isu itu dengan anak anda.

Daripada bersikap reaktif kepada bersikap responsif 

Jadi, bagaimana anda menukar daripada bertindak reaktif kepada responsif? Sama sahaja seperti cara anda mendapat kemahiran lain — berlatih, berlatih, berlatih. Mula-mula, pada setiap hari, ingatkan diri bahawa anda akan bersikap responsif dan bukan reaktif. Lebih elok kalau anda tuliskan niat anda dan buatkan rancangan sendiri. Berikut adalah perkara yang dapat anda lakukan untuk menjadi lebih responsif:

  • Bayangkan keadaan di mana anda mudah memberi reaksi dan buat lakonan semula keadaan itu dengan cara yang lebih responsif. Buku ‘Saya Malala’ menceritakan tentang seorang gadis cilik yang ditembak di muka oleh pihak Taliban kerana memperjuangkan hak mendapatkan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan. Dia dihujani dengan ugutan bunuh yang membuatkannya teringin memberi reaksi. Semasa berumur 14 tahun, Malala mula berlatih bagaimana dia akan memberi respons apabila berdepan dengan pengganas. Katanya, “Saya akan bayangkan apa yang akan saya lakukan jika seorang pengganas melompat keluar dan menembak saya di tangga. Mungkin saya akan memukulnya dengan kasut saya, tetapi apabila difikirkan balik, tindakan saya itu menunjukkan yang saya dan pengganas itu tiada bezanya. Lebih baik merayu, ‘Okey, tembak saya, tetapi dengar apa saya nak katakan dulu. Apa yang awak buat ini salah. Saya bukan membenci awak, saya hanya inginkan semua kanak-kanak perempuan pergi ke sekolah – termasuk anak awak. Sekarang buatlah apa yang awak hendak.” Dengan cara berlatih begitu, Malala berupaya memberi respons dan bukannya memberi reaksi.
  • Belajar bernafas apabila berada dalam situasi yang memerlukan tindakan balas. Dengan memfokuskan kepada pernafasan dan bukannya tindakan spontan, kita dapat mengawal pemikiran kita. Kita boleh menyingkirkan mana-mana fikiran yang menerobos dalam minda, melepaskan kesemuanya dengan setiap nafas yang dihela dan menumpukan perhatian kepada situasi itu semula.
  • Tulis perkataan ‘Respons lawan Reaksi’ di atas kertas nota dan lekatkan pada tempat-tempat yang anda akan selalu dapat lihatnya. Peringatan seperti ini penting supaya kita terus ingat komitmen kita.
  • Renung kembali pencapaian reaktif berbanding responsif anda pada penghujung hari. Ingat semula setiap situasi yang dilalui dan beri markah satu hingga lima. Renungan ini akan membantu anda belajar daripada kesilapan reaktif dan mengajar anda menjadi lebih baik dalam memberi respons.
  • Beri ruang antara anda dan rangsangan itu, sama ada masa atau jarak, dan tanya diri sendiri satu daripada soalan berikut:

a) Apa yang baru berlaku itu (situasi, krisis, isu) besar sangatkah hingga boleh merosakkan hidup anda? Jika anda betul-betul perhatikan situasi itu (misalnya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, anak memecahkan pasu atau bos memarahi anda), ia mungkin tidak menjadi isu besar dalam rancangan kehidupan anda.

b) Adakah situasi itu satu kemalangan atau disengajakan? Secara umumnya, tiada siapa yang akan menyakitkan anda secara sengaja. Jika ia satu kemalangan, anda tidak akan dapat kembali pasu itu jika anda menjadi marah. Memang, anak anda tidak harus melakukannya tetapi kemarahan tidak akan menyelesaikan masalah.

c) Berbaloikah menghancurkan perhubungan atau persahabatan? Kebanyakan kita terlampau sayang kepada harta benda tetapi perhubungan sesama manusia adalah lebih penting untuk dipelihara. Memberi reaksi yang keterlaluan dan bukannya respons, boleh menyebabkan persahabatan yang utuh menjadi rapuh.

Dalam masa yang sama anda bertanya soalan-soalan ini, letakkan diri anda di dalam situasi orang lain. Tanya diri anda bagaimana anda mahu dilayan jika anda yang menyebabkan ‘kemalangan’ dan bukannya pihak lain?

Akhir kata

Jadilah orang yang penuh belas kasihan dan dengar dahulu sebelum bertindak. Ramai daripada kita tahu yang kita tidak sepatutnya memberi reaksi tetapi tidak boleh menahan diri sendiri. Itu memang hukum alam. Dan kita juga bukan manusia yang serba sempurna!

Jadi kita kenalah berlatih memberi respons. Ingat, reaksi didorong oleh gerak hati, respons adalah intelektual. Dan jika kesudahannya anda memberi reaksi (kita semua sering membuatnya), teruslah meminta maaf – ia penawar terbaik!

 

Roshan Thiran boleh dihubungi melalui  roshan.thiran@leaderonomics.comFacebook  dan Twitter untuk mendapat pandangan beliau mengenai urusan perniagaan, pemantapan kepimpinan peribadi dan profesional. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Do You React Or Respond?

 

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Anda Seorang Pemimpin

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Alt

Cadangan Buat Kamu

Ketenangan

Tips Produktiviti: Petua Mencari Ketenangan Saat Kesukaran

Oleh Hazeem Mahayadin. Hidup di dunia ini tak selalunya indah. Kita tentunya menjalani pelbagai kesukaran dalam hari-hari yang kita tempuhi.

Aug 27, 2024 1 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Memberi Reaksi atau Respons

Dalam menjalani kehidupan seharian, kita mempunyai pilihan sama ada ingin memberikan reaksi atau memberikan respons melalui perbuatan kita. Jadi, utamakan memberi respons supaya hidup lebih positif dalam apa jua keadaan.

Jul 30, 2024 8 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest