Apakah yang membolehkan para pemimpin ini terus berusaha sehingga matlamat mereka tercapai?
Ketabahan adalah pembeza
Saya rasa yang membezakan adalah sifat ketabahan. Ketabahan memisahkan antara yang menang dan yang kalah dalam sukan dan perniagaan. Namun, ketabahan bukanlah mudah.
Angela Ducksworth, seorang pakar dalam kecekalan, mendakwa bahawa ketabahan “memerlukan bukan hanya motivasi tetapi juga kerelaan hati; bukan hanya berazam untuk mencapai sesuatu yang penting tetapi juga berusaha menepis godaan yang bertujuan meruntuhkan keazaman itu; bukan hanya komited kepada matlamat tetapi menukarkan niat menjadi tindakan; bukan hanya memulakan sesuatu tetapi menyelesaikan apa yang dimulakan; bukan hanya membara dengan semangat berkobar-kobar, tetapi kemampuan untuk bekerja keras; bukan hanya kehendak tetapi keupayaan.”
Membentuk semula ketabahan
Isu terbesar berkaitan dengan ketabahan adalah kebanyakan daripada kita mengaitkannya dengan keseksaan dan kesakitan. Dan ia sukar bagi kita ‘menikmati’ ketabahan apabila kita mendambakan keseronokan. Jadi, bagaimana kita membentuk semula ketabahan ini daripada penderitaan yang menyakitkan menjadi pengalaman yang menggembirakan?
Apabila saya bertanya kepada pemimpin perniagaan yang hebat mengapa mereka bermotivasi untuk tetap meneruskan matlamat dan terus bertahan walaupun dihambat dengan pelbagai masalah, ini jawapan yang diberi – “Saya suka bekerja!”
Henry Ford pernah berkata,
“Ada kegembiraan dalam pekerjaan. Tiada kebahagiaan kecuali apabila kita sedar yang kita telah menyempurnakan sesuatu.”
Jelas sekali, bagi ramai pemimpin yang berjaya, mereka telah berjaya membentuk semula ketabahan daripada pengalaman yang meletihkan dan buruk menjadi kebahagiaan yang menggembirakan.
Begitu juga dengan atlet. Amat senang untuk berputus asa terutamanya apabila latihan yang dilalui amat payah dan tidak tertanggung rasanya. Walaupun begitu, setiap atlet berprestasi tinggi membentuk semula pengalaman latihan mereka menjadi sesuatu yang menggembirakan yang membawa kepada kenikmatan yang berlipat ganda apabila kejayaan dicapai.
Beberapa tahun lepas, saya mendengar Usain Bolt dan jurulatihnya menerangkan perihal latihannya yang dilihat sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Cristiano Ronaldo pernah dipetik sebagai berkata yang dia sangat suka berlatih.
Jadi, bagaimana kita dapat membentuk semula ketabahan yang menyakitkan menjadi sesuatu yang menyenangkan?
Menetapkan matlamat
Satu pengajaran yang saya pelajari secara peribadi adalah kita tidak dapat membina ketabahan yang bersifat ‘seakan-akan kebahagiaan’ secara tiba-tiba. Seperti juga otot-otot dalam badan kita, ia memerlukan perkembangan secara beransur-ansur. Apakah maksudnya ini?
Kita perlu bermula dengan perlahan. Cara terbaik mempelajari ketabahan adalah dengan bermula dengan matlamat yang pendek dan mudah dicapai. Bekerjalah untuk mencapai matlamat itu dan apabila telah berjaya, anda akan mendapat kesan derauan ‘dopamin’.
Dopamin adalah ‘ganjaran’ kimia yang dirembeskan oleh tubuh kita apabila kita berjaya. Corak kejayaan ini akan menjadi sebahagian daripada pengalaman yang disimpan di dalam kranium kita dan akan membuatkan kita menginginkan lebih banyak kejayaan.
Sebagai contoh, minta anak kecil anda untuk melakukan kerja rumah dan pujinya apabila dia selesai melakukan kerja itu dengan baik. Lama-kelamaan dia akan terus membuat kerja yang sama untuk mendapat lebih banyak kata pujian daripada anda.
Apabila anda telah mencapai beberapa matlamat jangka pendek, barulah meletakkan matlamat jangka panjang seperti ‘turunkan berat badan’ atau ‘belajar kemahiran baharu’. Percubaan pertama anda untuk mencapai matlamat jangka panjang mungkin menyakitkan tetapi ingatan anda akan mengingatkan anda bahawa di penghujung kejayaan itu akan ada derauan ‘dopamin’ yang akan mendorong anda ke garisan penamat.
Penting untuk anda membahagikan matlamat jangka panjang kepada matlamat jangka pendek yang lebih kecil. Ini membolehkan anda mendapat kepuasan berterusan dalam perjalanan menuju matlamat jangka panjang anda.
Secara peribadi, saya suka memulakan pagi saya dengan senarai perkara yang perlu dibuat. Setiap kali saya selesai melakukan satu tugasan, saya akan meraitnya daripada senarai saya. Selepas itu, saya akan merasa lebih bersemangat untuk terus melakukan dan menyelesaikan tugasan yang lain.
Mengenakan disiplin dan kawalan kendiri
Ketabahan memerlukan disiplin dan kawalan kendiri yang tinggi. Kedua-dua sifat ini diselaraskan oleh emosi kita. Mempunyai emosi yang negatif boleh membantutkan usaha untuk menjadi tabah dan mencapai matlamat jangka panjang dengan membuatkan kita mudah putus asa.
Jadi, apabila berhadapan dengan halangan, ia akan menjadi lebih sukar untuk menukar sesuatu cabaran kepada peluang. Cakap memang senang, tetapi membuatnya belum tentu. Mulakan dengan mengenyahkan sifat negatif daripada hidup anda.
Baca: Disiplin Dan Fokus
Menurut satu kajian ke atas pelajar ijazah kedoktoran (Ph.D), sebab utama mereka menyiapkan program untuk mendapatkan ijazah kedoktoran mereka bukanlah kerana kebijaksanaan mereka, tetapi ketabahan dan kecekalan mereka.
Jika anda perhatikan halangan yang dilalui pelajar-pelajar ini, kebanyakan masalah besar dialami selepas tahun kedua. Mereka yang berjaya menyempurnakan program dapat memfokuskan kepada matlamat akhir (iaitu ijazah kedoktoran mereka) tetapi mereka juga berjaya memecahkan halangan kepada beberapa bahagian kecil dan melepasi setiap satu daripadanya.
Akhir kata
Akhir sekali, jadilah tukang sorak diri sendiri. Jangan tunggu pujian daripada orang lain kerana mereka mungkin tidak peduli yang anda telah menyempurnakan matlamat anda.
Kadangkala, apabila matlamat jangka panjang membuatkan anda berasa gagal dan kecewa, belajar untuk membahagikannya kepada matlamat yang lebih kecil. Sambutlah kejayaan peribadi anda dengan mengucapkan tahniah serta memuji diri sendiri.
Setiap kejayaan adalah hasil daripada ketabahan yang ketara. Ungkapan ”Rom tidak dibina dalam sehari” adalah untuk mengingatkan kita bahawa kita memerlukan masa dan usaha untuk mencapai hasil yang diingini. Kita kerap kali lupa bahawa kejayaan memerlukan masa, oleh itu kita memerlukan ketabahan.
Ketabahan adalah sifat utama yang membezakan antara pemenang dan mereka yang kalah. Namun, ia adalah sifat yang boleh dipelajari dan dapat dibina dalam diri dan anak-anak anda. Mulakannya hari ini.
Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Are You A Winner?