Asahkan Kapak Anda Demi Pertumbuhan Peribadi

Mar 20, 2017 6 Minit
Alt

Membaca buku boleh ‘mengasah kapak’ anda dan membantu anda mencapai kejayaan kepimpinan. – Roshan Thiran


Beberapa tahun yang lalu semasa saya berada di Lawas, Sarawak, saya terdengar kisah tentang seorang penebang pokok yang sangat kuat dan mahir dari kaum Kayan yang memohon untuk bekerja dengan seorang pedagang balak. 

Penebang pokok berjaya mendapat kerja itu dan diberi gaji yang lumayan serta suasana kerja yang baik. Dia pun bertekad untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk majikannya. 

Pada hari pertama, dia berjaya menebang 15 batang pokok. Bosnya amat suka hati dan berkata, “Bagus!” Penebang balak itu berasa amat terdorong; dia mencuba dengan lebih kuat lagi pada hari keesokannya tetapi cuma berjaya menebang 13 batang pokok. Pada hari ketiga, dia mencuba dengan lebih kuat lagi, tetapi dia cuma berjaya menebang 11 batang pokok sahaja. 

Hari demi hari, dia berusaha dengan lebih gigih tetapi jumlah pokok yang ditebangnya kian berkurangan. Lelaki itu pun berfikir, “Agaknya saya sudah hilang kekuatan saya”. Dia meminta maaf kepada bosnya, dan menjelaskan dia sendiri tidak tahu apa yang berlaku.

Bosnya bertanya, “Bilakah kali terakhir awak mengasah kapak awak?”

“Asah? Saya tidak ada masa untuk mengasah kapak saya. Saya terlalu sibuk menebang pokok-pokok.”

Dia kemudian sedar dia sememangnya patut mengasah kapaknya. Dia berbuat demikian dan selepas itu, berjaya menebang 15 batang pokok seperti dahulu. Sejak hari itu, dia memulakan harinya dengan mengasah kapaknya.



Kebanyakan pemimpin terlalu sibuk bekerja sehingga jarang mengambil masa untuk belajar dan maju ke hadapan. Kebanyakan kita jarang ada masa dan kesabaran untuk meningkatkan kemahiran atau pengetahuan kita tentang industri yang berkaitan, atau mengambil masa untuk berfikir dan berenung. Kebanyakan orang menganggap pembelajaran berakhir apabila mereka meninggalkan bangku sekolah dan dengan itu, mengasah kapak bukan lagi keutamaan dalam hidup mereka.

Apakah sebenarnya mengasah kapak? Dr Stephen Covey, yang mempopularkan terma ini, percaya ia bermakna “meningkatkan kapasiti produktiviti melalui penjagaan dan penyelenggaraan diri setiap hari”.

Ramai orang gagal memahami maksud sebenarnya dan ingat ia bermakna beristirehat atau bercuti. Jika anda terlalu banyak bekerja dan produktiviti anda menurun, ambil masa untuk beristirehat. Bagaimanapun, itu bukan mengasah kapak; itu cuma meletakkan kapak. Apabila anda cuma meletakkan mata pisau yang tumpul, ia akan tetap tumpul apabila diangkat semula. 

Penebang pokok itu memerlukan masa untuk beristirehat tetapi masa itu bukan ‘mengasah kapak’. Penebang pokok itu akan menjadi lebih produktif apabila dia mengasah kapaknya dengan mengkaji teknik baharu untuk menebang pokok, bersenam untuk menjadi lebih kuat, dan belajar daripada penebang-penebang pokok yang lain.

Mengasah kapak 

Anda boleh mengasah kapak kehidupan anda dengan menjalankan aktiviti-aktiviti berikut:

  • Membaca sebuah buku setiap hari.
  • Keluar dari zon selesa dengan menukar pekerjaan.
  • Berbual secara mendalam dengan seseorang yang kuat daya tarikannya.
  • Berkecimpung dalam hobi baharu yang merenggangkan anda dari segi fizikal, mental dan emosional.
  • Menelaah sesuatu yang baharu.
  • Mengatasi sesuatu ketakutan anda atau menghentikan sesuatu tabiat buruk.
  • Bersenam setiap hari atau menyertai mana-mana pertandingan.
  • Mengenal pasti titik buta anda. Memahami, mengenali dan menangani mereka.
  • Meminta maklum balas daripada orang lain dan mendapatkan seorang mentor.
  • Belajar daripada mereka yang menginspirasikan. 


Anda perlu melakukan aktiviti-aktiviti tersebut sekerap mungkin. Jika anda terlalu memberi tumpuan kepada kerja yang anda buat tanpa meluangkan masa untuk berbincang, merenung ke dalam atau menelaah, anda sebenarnya tidak maju ke hadapan. Seperti mana sebuah kereta perlu diisikan dengan minyak untuk bergerak, kita juga perlu diisi semula melalui pembelajaran.

Menurut pengarang The Management Mythbuster (Penghapus Mitos Pengurusan), David Axson, kebanyakan organisasi masih menggunakan strategi pengurusan yang sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan untuk masa ini. Melainkan kita mengasah kapak setiap hari dengan memerhati dunia yang kian berubah dan turut mengubah diri, kita akan menghadapi risiko menjadi tidak relevan.

Andrew Grove mengubah semula Intel. Hasilnya ialah Intel mencapai kenaikan 4500 kali dalam permodalan pasaran. Ini berlaku kerana organisasi itu mengasah kapaknya setiap hari termasuk memahami perubahan-perubahan global dan mengambil kesempatan daripada perubahan-perubahan itu untuk memastikan Intel tetap relevan. 

Pekerja-pekerja di organisasi-organisasi Jepun seperti Toyota percaya ia adalah suatu krisis jika mereka tidak mencapai penambahbaikan setiap hari. Minda ‘kaizen’ (berubah demi kebaikan) bermakna bahawa pada setiap hari, sama ada anda pekerja biasa atau eksekutif, anda akan mencari jalan untuk mempelajarai sesuatu yang baharu dan menggunakannya. 

Pemimpin-pemimpin unggul seperti Gandhi, Nelson Mandela dan Steve Jobs sentiasa kelaparan untuk pembelajaran dan pertumbuhan. Mereka sentiasa mendengar dan memerhati dengan harapan mendapat idea baharu dan menjumpa kebenaran dan realiti baharu.

Tidak sukakan perubahan 

Yang menarik ialah kebanyakan kita membuat sebaliknya. Kita membuat kerja yang sama untuk bertahun-tahun biarpun kita sudah menjadi pakar dan peranan itu kian senang untuk diperlakukan dan kita tidak lagi mempelajari apa-apa yang baharu. Kita tidak suka bertukar pekerjaan kerana ada kesakitan dan pergelutan dalam mengambil peranan baharu. Tetapi semakin kita bergelut, semakin banyak pelajaran yang akan kita capai.

Tetapi apabila bos baharu dengan jangkaan baharu mengambil alih, kita kadang-kadang bergelut biarpun kita sudah sekian lama dalam peranan yang sama. Kita bekerja dengan lebih kuat tetapi masih gagal mengambil hatinya. Kenapa ini berlaku?

Seperti penebang pokok itu, bekerja lebih kuat tidak mungkin membawa apa-apa hasil. Ini kerana kita tidak meningkatkan diri mahupun berkembang semasa tahun-tahun yang ‘mudah’. Pengalaman kita yang bertahun-tahun itu tidak bermakna dan tidak berhasil kerana kita tidak mengikut perkembangan dunia di sekeliling kita dan tidak mempedulikan peristiwa yang berlaku di sekitar kita pada setiap hari. 

Dalam temuramah saya dengan Profesor Ellen Langer dari Harvard, beliau mengingatkan saya mengenai kecenderungan kita untuk tidak berfikir. Tidak berfikir adalah kecenderungan manusia untuk beroperasi secara auto pandu sama ada membuat sesuatu secara mekanikal atau stereotaip, atau langsung tidak memberi perhatian. Kita semua adalah mangsa ‘tidak berfikir’ pada ketika-ketika tertentu. Apabila kita mengasah kapak, kita tidak lagi membuat sesuatu secara membuta tuli. Kita akan berfikir dan cuba membuat kerja itu melebihi had batasnya.

Tetapi janganlah kita terlebih-lebih mengasah kapak atau mengasah tanpa hala tujuan. Kalau kita berbuat demikian, ia mungkin bertukar menjadi alasan untuk berlengah-lengah. 

Jadi, kenapakan ramai orang gagal mengasah kapak mereka? Ini kerana ia bukan sesuatu yang menyeronokkan tetapi sesuatu yang tidak menyenangkan dan menjemukan.

David McKay menambah:

Pertempuran hidup yang terbesar adalah untuk menentang kehidupan harian di dalam ruang-ruang kesepian jiwa.


Mengasah kapak adalah pergelutan dalaman yang kita hadapi setiap hari. Kajian menunjukkan bahawa presiden-presiden yang berpendidikan kendiri seperti George Washington dan Abraham Lincoln mengasah kapak mereka setiap hari dengan memupuk disiplin membaca.

Dalam kebanyakan organisasi di Asia, apabila berlakunya krisis kewangan, langkah awal yang diambil ialah memotong belanjawan yang ditetapkan untuk program latihan pekerja sedangkan yang sepatutnya dibuat ialah memberi peluang-peluang kepada para pekerja untuk mengasah kapak mereka supaya dapat menangani isu-isu yang timbul.

Krisis sering menyebabkan syarikat-syarikat menjadi hebat kerana mereka akhirnya mengambil masa untuk ‘mengasah kapak’ dengan melihat semula strategi semasa mereka dan mencipta ulang industri mereka biarpun kadang-kadang melalui pembaharuan-pembaharuan yang menyakitkan. 

Contohnya, sebelum krisis kewangan Asia pada tahun 1998, industri automotif Korea Selatan merupakan ‘jaguh-jaguh kampung’ yang terkenal dengan kereta-kereta berkualiti rendah dengan jualan domestik kereta yang kukuh. Tetapi krisis tersebut telah memaksa mereka untuk mengambil selangkah ke belakang, mengasah kapak, menjadi lebih prihatin terhadap permintaan dunia dan bertindak menjual majoriti kereta keluarannya kepada pasaran luar negeri.

Sudah tentu kapak yang terlalu diasah atau diasah tanpa hala tujuan boleh menjadi satu lagi bentuk penangguhan. Ramai yang suka menyertai latihan dan kelas-kelas tetapi jarang menggunakan kapak mereka. Selepas mengasah kapak, gunakannya; kalau tidak semuanya sia-sia sahaja.

Bagaimanakah keadaan mata-mata kapak anda? Kemahiran anda, pengetahuan anda, minda anda, tubuh fizikal anda, hubungan anda, tahap motivasi, komitmen anda untuk berjaya, keupayaan anda untuk bertumbuh, emosi anda — adakah semuanya masih tajam? Jika tidak, mana yang tumpul, dan apa yang anda boleh lakukan untuk mengasah mereka?

Lincoln pernah berkata:

“Berikan saya enam jam untuk menebang pokok dan saya akan menghabiskan empat jam pertama mengasah kapak saya.”


Apakah yang anda ingin lakukan untuk mengasah kapak anda? Berhenti sebentar minggu ini dan mula mengasah kapak anda.
 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Sharpen Your Axe

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Imej

Pasaran Digital dan Kepimpinan dan Pembangunan – Kualiti Pembekal dan Bukti Sosial (Bahagian 2)

Oleh Arun Nagarajah. Baca di sini bagaimana pasaran digital menyediakan bukti sosial untuk membantu profesional kepimpinan dan pembangunan memilih penyedia latihan berkualiti tinggi.

Jun 04, 2023 5 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Membina Pembangunan Diri

Membimbing orang lain dalam kehidupan dan kerjaya mereka dapat memberi peluang kepada kita untuk mengembangkan potensi dan meningkatkan pembangunan diri kita. Mari ketahui lebih lanjut tentang membina pembangunan diri bersama Roshan Thiran.

Apr 03, 2024 44 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest