Hari Pekerja, yang juga dikenali sebagai Hari Buruh Antarabangsa, berasal usul dari masa aktivis buruh membuat tuntutan lapan jam kerja, lapan jam riadah, lapan jam rehat sehari untuk para pekerja.
Di Malaysia, Hari Pekerja disambut pada 1 Mei. Ia diumumkan sebagai cuti am untuk menghargai para pekerja dan meraikan pencapaian mereka.
Tema Hari Pekerja tahun ini ialah Pekerja Kreatif Pencetus Inovasi. Dengan membawa tema ini, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia berharap agar golongan pekerja akan terus berusaha untuk menjadi lebih kreatif dan berinovasi serta kekal produktif dan berdaya saing dalam bidang pekerjaan masing-masing.
Berikut adalah empat tip untuk membantu golongan pekerja kekal sihat dan produktif:
Bersemangat semula
Sudah sebulan kita melangkah masuk ke suku kedua tahun ini. Masanya tepat untuk kita meninjau kembali semua matlamat yang kita tetapkan pada permulaan tahun dan menilai prestasi kita.
Adakah kita masih bergerak mengikut pelan? Atau sudah ketinggalan dari yang hendak kita lakukan? Adakah semangat kita masih berkobar-kobar atau sudah kurang membara? Apakah yang kita boleh buat untuk menghidupkan semula semangat kita?
Luangkan hari ini untuk memikir semula hala tujuan, menghidupkan semula semangat, dan mula menyukai semula kerja kita. Berhenti membuat kerja-kerja yang tidak produktif yang mungkin menghalang kita daripada membuat dan mencapai yang terbaik.
Bersenam
Kita sememangnya tahu bersenam menambah baik kesihatan dan kualiti hidup kita. Menurut kajian Universiti Stanford, senaman semudah berjalan boleh menambah baik daya kreativiti kita.
Seorang rakan sekerja kadang kala ke jim sebelum dia ke pejabat. Saya boleh mengesahkan bahawa dia sentiasa nampak begitu ceria dan bertenaga untuk menjalankan tugasan hariannya.
Dalam perbualan dengan seorang rakan sekerja yang lain, dia berkata senaman membantunya untuk tidur lena pada waktu malam (ini membawa saya ke poin seterusnya).
Tidur
Kita sering mengambil mudah aktiviti tidur walaupun kita tahu ia adalah masa badan kita mengalami pembaikan dan detoksifikasi.
Dalam rencana Dr Travis Bradberry, dia menekankan bahawa kekurangan tidur akan memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal dan juga emosi kita.
Apabila kita gagal tidur secukup-cukupnya, kita sebenarnya melonjakkan tahap tekanan kita dan menjejaskan fungsi otak — pasti bukan langkah yang bijak jika kita mahu meningkatkan produktiviti di tempat kerja.
Bersyukur
Kita patut menganggap ia satu rahmat kerana ada peluang untuk bekerja dan melakukan sesuatu dengan keistimewaan, bakat dan kemahiran kita.
Sama ada kita melakukannya untuk wang Ringgit, nyala rasa atau sesuatu tujuan yang mulia, belajarlah untuk bersyukur kerana diberi peluang untuk menggunakan keistimewaan, bakat dan kemahiran kita.
Dengan adanya sikap berterima kasih ini, hidup kita akan diperkayakan lagi.
Akhir kata
Seorang raja purba yang bijak pernah menulis:
“Saya tahu tiada yang lebih baik bagi manusia selain merasa gembira dan berbuat baik dalam kehidupan mereka. Bahawa setiap mereka mungkin makan dan minum, dan beroleh kepuasan dalam segala usaha mereka — ini adalah pemberian Tuhan.”
Untuk dapat menikmati hasil kerja kita memang adalah suatu kurniaan. Terimalah kurniaan ini dengan anggun.
Selamat Berehat pada Hari Pekerja ini!
Lim Lay Hsuan ialah bekas editor digital dan kurator kandungan untuk Leaderonomics.com (Bahasa Inggeris). Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Labour Of Love