Membaca Membuka Minda Kepada Khazanah Tidak Ternilai

Apr 28, 2017 1 Minit
buku, membaca

‘Bukan semua pembaca adalah pemimpin, tetapi semua pemimpin adalah pembaca.’ – Harry Truman

Kata-kata Truman (Presiden Amerika Syarikat ke-33) ini bergema dalam kalangan pemimpin yang efektif. Mereka tahu bahawa asas kepimpinan hebat adalah komitmen kepada pembelajaran berterusan; ia adalah titik permulaan dalam pembentukan semua kejayaan. Dan ia berakar umbi daripada tabiat membaca.

Saya sering ditanya oleh ramai pelajar, golongan profesional muda dan juga ahli perniagaan yang berpengalaman tentang rahsia untuk mencapai matlamat kehidupan yang memberi kepuasan. Jawapan saya: “Membaca sebanyak mungkin, dan selalu bersikap ingin tahu.”

Mereka yang berjaya membaca… dengan banyak

Orang yang paling berjaya, pemimpin yang paling berkesan, tidak pernah berhenti belajar. Mereka tidak pernah menganggap diri sebagai pakar, tetapi sebagai pelajar tentang kehidupan. Mereka membaca… dengan banyak.

Bill Gates adalah seorang pembaca yang rakus, dan setiap tahun meluangkan masa membaca sekurang-kurangnya 50 buah buku. Apabila ditanya bagaimana beliau mencapai kejayaan yang luar biasa, Elon Musk berkata: “Saya membaca buku”. Mark Zuckerberg pula membuat komitmen kepada diri yang beliau akan membaca sebuah buku setiap dua minggu pada tahun 2015, dan hingga kini masih meneruskan tabiat tersebut tetapi bukan lagi sekerap dahulu.

Saya percaya jika pemimpin sebegini masih dapat mencari masa untuk menyemai tabiat ini walaupun menjalani kehidupan yang sangat sibuk, kita seharusnya tiada alasan untuk tidak membuat perkara sama.

Artikel berkaitan: Kenapa Membaca Kritikal Untuk Kejayaan Anda?

Alasan-alasan biasa 

Dalam perbualan saya tentang tabiat membaca, sesetengah orang memberikan pelbagai alasan mengapa mereka tidak berbuat demikian, atau tidak membaca sebanyak mana yang diingini.

Kebanyakan alasan yang diberikan disertakan hujah yang baik. Di sini saya ingin berkongsi tiga alasan yang sering diberi dan saya selitkan pendapat saya khusus kepada mereka yang mempunyai alasan yang sama.

“Saya rasa tidak produktif, semacam saya malas…”

Ini antara alasan yang paling biasa kita dengar. Ia berpunca daripada kepercayaan lapuk bahawa jika anda tidak bergerak dengan wajah yang tertekan, anda tidak membuat apa-apa yang produktif.

Jika anda membaca Meditations oleh Marcus Aurelius; jika anda menghadam helaian biografi Thomas Jefferson; jika anda memulakan hari dengan menatapi kitab atau bahan yang meningkatkan kehidupan, atau membaca tentang kepentingan menolong orang lain, anda sememangnya produktif.

Apa yang anda lakukan adalah mengisi minda dengan pemikiran, idea dan pandangan orang lain yang akan memberi kebaikan dalam pelbagai cara. Ia termasuk peningkatan pemikiran kritis; rasa belas kasihan terhadap orang lain melalui refleksi kendiri; idea kreatif yang timbul setelah membaca ayat-ayat memilukan; dan kekuatan baharu untuk menghadapi cabaran setelah membaca mengenai kepayahan orang lain dalam mengatasi halangan terhebat mereka.

“Saya ingin… cuma saya tak ada masa…”

Apabila kita berkata kita tiada masa untuk membuat sesuatu, sebenarnya yang kita maksudkan adalah sesuatu itu bukanlah keutamaan kita. Kita memang tidak akan pernah ada masa untuk perkara yang kita boleh tangguhkan tetapi kita boleh pula mencuri masa jika sesuatu yang kita suka muncul secara tidak disangka-sangka.

Jika anda betul-betul kesuntukan masa, luangkanlah 20 minit pada waktu pagi dan sebelum tidur setiap hari untuk memastikan anda membaca beberapa muka surat dalam seminggu. Anda akan mempunyai lebih banyak masa jika anda meninggalkan tabiat sia-sia seperti menyemak e-mel atau melayari media sosial. Kita mungkin tidak sedar yang banyak masa kita terbuang membuat perkara yang hampir sama sekali tidak produktif.

“Saya bukannya suka sangat…” / “Saya tak tahu nak mula dari mana…”

Bagi golongan ini, mereka menganggap membaca sebagai kerja yang membosankan, sebagai tugasan yang mesti kita lakukan sewaktu di bangku sekolah dahulu.

Kita hendaklah mengubah minda dan menganggap kegiatan ini sebagai hobi yang memberi kepuasan. Ia memberi kita idea, merangsang imaginasi yang membawa kita ke dunia penuh khayalan, atau memberi bayangan sekilas tentang sejarah seperti yang dilihat oleh mereka yang mengubah dan membentuk dunia kita.

Kita semua mempunyai sesuatu yang diminati. Jika anda tidak berminat biografi tokoh sejarah, anda mungkin menggemari industri muzik. Anda juga boleh memuat turun e-buku tentang cara membina keyakinan jika anda menggemari subjek itu.

Apabila kita membaca sesuatu yang diminati, kita akan ditemukan dengan bahan yang berkaitan mahupun yang baharu. Penemuan ini akan sekaligus memperkenalkan kita kepada idea baharu dan dunia yang belum pernah kita jumpa.

Jika anda tidak begitu minat membaca (tetapi ingin menjadikannya tabiat baharu), mulakan dengan membaca sesuatu yang anda minati… anda mungkin beroleh kejutan manis dalam pengembaraan ini.

Membaca adalah cara paling baik untuk kita memperkayakan diri, membuka minda kita kepada gedung ilmu yang mengandungi khazanah yang tidak ternilai.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik The Greatest Treasures Are Under Our Noses.

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

tokoh besar, Ratan Tata, empati, kerendahan hati

Pertemuan Saya dengan Ratan Tata: Tokoh Besar yang Mengubah India Melalui Empati dan Kerendahan Hati

Oleh Roshan Thiran. Legasi Ratan Tata melangkaui bilik mesyuarat. Ketahui bagaimana kepemimpinannya, yang didorong oleh empati dan pembuatan keputusan beretika, telah mengubah Kumpulan Tata menjadi sebuah syarikat global yang hebat sambil memperjuangkan isu-isu sosial dan memberi inspirasi kepada generasi. Pelajari daripada perjalanan luar biasanya dan pengajaran berharga yang ditinggalkannya dalam artikel menarik ini.

Oct 29, 2024 10 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Kepimpinan Itu Ekstrem

Kepimpinan ekstrem adalah gelagat pemimpin yang hebat. Mereka bijak memilih tindakan yang bersesuaian dengan keadaan dan masa. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Kepimpinan Itu Sesuatu Yang Ekstrem!

Jul 16, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest