Cekal Hati Capai Kejayaan

Aug 11, 2017 1 Minit
atlit Jeremy Lin
Gigih Sampai Berjaya

Kegi-Lin-aan (Linsanity) melanda New York tidak berapa lama dahulu.

Jeremy Lin, graduan Harvard yang kemudiannya dijulang sebagai wira bola keranjang Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA) bagi pasukan New York Knicks, telah menjadi kegilaan rakyat Amerika.

Beberapa minggu sebelum itu, Lin tidak diingini oleh sesiapa, dilempar dari pasukan ke pasukan dan terabai. Dia berpindah ke New York. Dengan Lin-cah, dia menenangkan diri dan mengumpul tenaga, mengambil kesempatan yang ada. Ajaib sekali, Lin berjaya mengubah sebuah pasukan yang selalu tewas menjadi pasukan yang mencapai kemenangan demi kemenangan.

Daripada selalu tersisih, Lin memimpin pasukannya memenangi 9 daripada 12 perlawanan, mengatasi bintang terulung seperti Kobe Bryant dan menjaringkan lebih banyak mata dalam enam percubaan pertamanya berbanding pemain-pemain dalam sejarah NBA.

Maka, apa kaitannya antara kegi-Lin-aan dengan kepimpinan? Boleh jadi segala-galanya.

Jeremy Lin merupakan pemimpin hebat biasa yang percaya pada diri, tanpa mengendahkan apa-apa yang dikatakan orang lain. Menurut Jeremy:

“Bagi saya, apabila saya jatuh tersungkur, saya benar-benar cuba untuk bangun dan kembali meneruskan usaha. Berputus asa tiada dalam kamus hidup saya.”

Lin dipandang rendah dan kebolehannya bermain bola keranjang diragui. Lahir sebagai orang Asia, berperawakan rendah dan lemah semasa muda mengusutkan keadaan. Dan keadaan tidak pernah berpihak padanya. Walaupun dia memimpin pasukan sekolah menengah dalam kejohanan peringkat negeri dan mencapai rekod kemenangan 32 daripada 33 perlawanan, dengan GPA 4.2 serta berperanan sebagai editor akhbar sekolah, dia gagal meraih biasiswa sukan untuk ke universiti.

“Hidup sangat sukar semasa saya menginjak usia remaja,” kata Lin. “Terlalu ramai orang yang memperlekehkan saya. Ramai yang menganggap saya tidak mampu bermain dengan baik.”

Dalam enam bulan Lin berdoa, dia akhirnya mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran ke Harvard (tanpa biasiswa). Lin membantu pasukan universitinya dalam beberapa kejuaraan yang besar namun dia tidak menerima ganjaran. Lin tetap tidak terpilih untuk ke peringkat NBA.

Tetapi Lin tidak berputus harap. Dia tidak berpaling daripada matlamatnya untuk menyertai NBA. Dia terus berlatih, berlatih, berlatih. Dia gigih dengan usahanya. Peluang terbentang luas mendatanginya apabila rakan sepasukannya cedera. Pada saat itu, Lin sudah bersedia dan bangkit menunjukkan taringnya. Lin sentiasa percaya pada dirinya. Dia terus berusaha dengan gigih dan mendesak diri walaupun harapannya nampak kelam.

Kita semua seperti Jeremy Lin

Anda tidak perlu menjadi jaguh sukan untuk menyelami hatinya. Seperti Lin, kita pernah disisihkan seketika, berhadapan dengan prejudis, kepayahan dan keperitan tersendiri. Jika anda pernah bekerja dengan bos yang tidak bertimbang rasa, dipersendakan oleh rakan sekerja, impian anda diperkotak-katik, andalah Jeremy Lin.

Namun, bagi kebanyakan daripada kita, persamaan kita dengan Lin berakhir di situ. Lin tidak membiarkan rintangan yang melanda menghentikan usahanya. Bakat yang tidak dihargai ini terus diasah sehingga dia mampu mengharung badai yang datang bertimpa-timpa. Beberapa bulan sebelum itu, Lin perlu menumpang tidur di atas kusyen rumah abangnya disebabkan kesempitan wang. Kita mungkin pernah senasib seperti Lin dan kita mungkin berpatah hati. Tetapi tidak Lin; dia bangkit melawan takdir.  

Banyak pemimpin yang hebat dahulunya dipersenda, dicemuh dan dilabel sebagai gila. Tetapi mereka tidak pernah membiarkan kata-kata nista sebegitu membantutkan impian dan matlamat mereka.

Milton Hershey, pengasas coklat Hershey berhenti sekolah dan mengikuti program perantis, hanya untuk dipecat. Beliau kemudiannya menubuhkan tiga perusahaan yang menghasilkan gula-gula tetapi tidak berjaya. Namun demikian, beliau tega untuk terus mengejar impian. Hershey kemudian memulakan perusahaan karamel, menjual perusahaan itu, dan menggunakan dana tersebut untuk menubuhkan Syarikat Hershey yang mengeluarkan produk coklat tenusu, yang sebelumnya adalah manisan Switzerland, untuk dinikmati orang ramai.

Kecekalan adalah kunci utama

Terlalu banyak ombak dan badai yang perlu diharungi dalam merealisasikan impian kita namun tanpa kecekalan, kita pasti akan jatuh tersungkur. Kecekalan perlu untuk kita menebus kegagalan dan bangkit semula untuk menempuh hari-hari mendatang.

Douglas MacMillan berkata, “… untuk terus cekal adalah sesuatu yang mengagumkan, yang seringkali membezakan orang yang berjaya daripada manusia biasa.”

Profesor psikologi Albert Bandura, yang merupakan perintis teori keberkesanan diri, percaya bahawa pemimpin berjaya bukan terhasil daripada mereka yang ‘belajar daripada kesilapan’, sebaliknya mereka terbentuk daripada daya tahan dalam menangani kegagalan lepas.

Seperti Lin, usahawan seperti Henry Ford dan Richard Branson, pelakon seperti Dustin Hoffman dan Harrison Ford, pemimpin seperti Jack Welch dan Steve Jobs, mereka sering dimomokkan dengan kegagalan. Mereka mengetepikan kata-kata negatif, terus berjuang dan percaya pada diri.

Henry Ford dan Richard Branson gagal dengan teruk semasa mula-mula menceburi bidang perniagaan manakala Jack Welch menyebabkan berlakunya letupan dalam bangunan GE semasa beliau mula-mula bekerja. Steve Jobs cekal untuk bangkit semula setelah digulingkan dari syarikat yang ditubuhkannya, dilakukan oleh orang yang dilantiknya sendiri. Rintangan tidak pernah membantutkan pemimpin. Malah, ia memberi mereka tenaga.

Ibu bapa Thomas Edison mengeluarkannya dari sekolah apabila guru sekolah menggelarnya sebagai murid yang “tidak layak diajar” dan “bodoh”. Edison mempunyai masalah pembelajaran. Pengalaman kerjanya semasa dewasa dipenuhi dengan rekod dibuang kerja.

Walaupun terdapat ‘masalah’ sebegini, lelaki ini memperoleh 1,093 paten. Beliau sering dipersenda kerana kegagalan hasil ciptaannya dan menerima kritikan bertali arus. Tetapi beliau tidak pernah menyerah kalah kepada pencemuhnya. Edison merumuskan bahawa orang pintar terhasil daripada “1% inspirasi dan 99% ketekunan”, menguatkan pendapat bahawa kecekalan dan usaha gigih penting untuk menggapai kejayaan.

Anda tidak dikira sebagai gagal apabila menemui jalan buntu. Sebaliknya anda dikira gagal jika membiarkan diri rebah, tidak bangkit untuk mencuba semula!

Walt Disney dipecat semasa kali pertama bekerja di Kansas City Star Newspaper disebabkan ketandusan kreativiti. Beliau meneruskan hidup dengan menubuhkan syarikat animasi tetapi terpaksa menutup syarikat tersebut. Disney hampir tidak mampu membayar sewa tempat tinggal dan terpaksa bertahan hidup dengan makanan anjing. Dalam kesempitan, Disney membelanjakan baki wangnya untuk membeli tiket kereta api ke Hollywood.

Beliau bertatih sedikit demi sedikit, lalu menghasilkan karakter kartun Oswald si Arnab. Tetapi Universal diam-diam mempatenkan karakter Oswald, dan melantik artis selainnya, pada dasarnya mencuri hasil kerja Disney.

Kemudian, beliau diarahkan untuk membuang watak Mickey Mouse kerana Mickey boleh “membuatkan wanita berasa gerun.” Pengedar menolak idea ‘Tiga Ekor Babi’, cerita Pinocchio dihentikan semasa produksi dan banyak filemnya seperti Bambi dan Fantasia disalah faham. Beliau mengambil masa selama 16 tahun untuk meyakinkan Pamela Travers, penulis ‘Mary Poppins’, untuk memberi hak cipta buku tersebut untuk diadaptasi sebagai filem. Disney tidak pernah menyerah kalah.

Tontoni video Tip Kepimpinan: Berani Gagal

Para pemimpin perlu belajar daripada setem pos. Kebergunaan setem terletak pada kapasitinya untuk bertahan pada sesuatu permukaan, sehingga sampai ke destinasinya. Kita perlu mencontohi setem. Nelson Mandela cekal dipenjarakan selama 27 tahun sehingga beliau berjaya menjadikan Afrika Selatan sebagai sebuah negara yang bebas aparteid.

Usaha gigih

Lin tidak mungkin berupaya merebut peluang jika dia tidak berusaha gigih selama bertahun-tahun untuk menyempurnakan bakatnya. Tiada jalan pintas.

Ada sebuah kisah untuk menggambarkan situasi ini. Jubin marmar atas lantai sebuah muzium berbicara dengan sebuah patung yang tersergam indah yang juga diperbuat daripada marmar.

Jubin berkata kepada patung itu. “Ini tidak adil! Kenapa semua penduduk dari serata dunia datang ke sini, memijakku, hanya untuk melahirkan kekaguman padamu, sedangkan kita datang daripada gua yang sama, tetapi mengapa kita beroleh layanan yang berbeza?”

Patung itu membalas, “Masih kau ingat ada suatu hari apabila seorang pereka cuba untuk mengukirmu, tapi kau tentang alatan pengukirnya. Kau benci lelaki itu, kerana begitu sakit dengan tindakannya. Dia tidak dapat mengukirmu kerana kau bantah usahanya. Kemudian dia berputus asa denganmu dan mula mengukirku pula. Aku membiarkan pengukir itu melakukan kerjanya, dan menanggung segala kesakitan.”

Patung marmar itu dengan penuh hasad menggeleng-gelengkan kepalanya seraya berkata, “Kawanku, semua benda ada harganya. Kau yang memilih untuk berputus asa sekerat jalan, maka kau tak boleh menyalahkan orang ramai yang memijakmu sekarang.”

Usaha gigih dan kecekalan amat perlu untuk mendapatkan hasil terbaik. Pemimpin yang hebat bangun awal, bersengkang mata, dan gigih bekerja. Kata-kata kegemaran Lin ialah 

“penderitaan membentuk karakter; karakter memberi kita harapan; dan harapan tidak  pernah mengecewakan.”

Tiada sesiapapun yang menyediakannya dengan laluan mudah ke NBA. Maka adakah kita berhak beroleh laluan yang mudah?

Beethoven, seorang komposer, dilahirkan pekak. Ray Charles, seorang pemuzik, buta matanya. Albert Einstein, seorang saintis, menghadapi masalah pembelajaran. Helen Keller mencetuskan inspirasi buat berjuta umat walaupun pekak dan buta. Stephen Hawking, ahli fizik terkemuka, menghidapi penyakit Lou Gehrig. Senarai ini tidak terhenti begitu sahaja; pemimpin-pemimpin hebat ini cekal menangani rintangan yang ada.

Fikirkan tentang cabaran yang begitu berat untuk anda pikul dalam hidup ini. Bandingkan dengan ujian yang ditempuhi orang lain; adakah rintangan yang anda alami sangat dahsyat? Bolehkah kecekalan, ketabahan dan fokus pada matlamat semasa memimpin membantu anda menempuhi halangan yang melanda?

Menghayati erti kecekalan

Berikut merupakan beberapa langkah kecekalan yang boleh anda asah untuk menjadi “Lin-tastik’ :

  • Belajar untuk tidak mengabaikan tugasan apabila berhadapan dengan ujian.
  • Tangani semua tugasan dan projek dengan penuh minat dan bersungguh-sungguh. Kesungguhan akan memberi anda tenaga. Ini mengelakkan anda daripada melompat dari satu kerja ke kerja lain kerana minat berkurangan.
  • Elakkan gangguan daripada idea dan projek baharu yang tidak bertepatan dengan tugasan semasa.
  • Gambarkan apabila tugasan anda berjaya disiapkan. Ini menghindarkan anda daripada memandang liku-liku kecil sebagai malapetaka besar.
  • Ajak orang lain untuk membantu. Hal ini membantu anda untuk menunaikan tanggungjawab tetapi membolehkan anda belajar helah dan teknik baharu.
  • Tumpukan perhatian pada manfaat yang diperoleh apabila kerja anda siap. Hal ini membuahkan minat, semangat dan tenaga untuk menjayakan tugasan.
  • Percaya pada diri. Percaya bahawa anda boleh melakukannya.

Akhir kata

Bekas Presiden Amerika Syarikat Coolidge pernah berkata,

“Tiada sesuatu pun di dunia yang boleh mengganti tempat kecekalan. Bukannya bakat.  Tiada yang lebih lazim daripada manusia yang berbakat tetapi gagal. Bukannya kepintaran. Si pintar yang tidak berhasil bagaikan pujangga. Bukannya pendidikan. Dunia ini penuh dengan orang terpelajar yang mengecewakan. Kegigihan dan keazaman sahaja maha dasyat kesannya. Slogan ‘terus berjuang’ telah dan bakal menyelesaikan pelbagai kemelut yang dihadapi umat manusia.”

Semasa zaman kegemilangan emas California, dua beradik lelaki menjual segala-galanya dan menyambung usaha penggalian emas. Mereka menemui telerang bijih yang bersinar, mengisytiharkan pemilikan, dan terus menggali sehingga berjaya memperoleh bijih emas. Segalanya berjalan lancar, namun tidak lama kemudian telerang bijih emas itu menghilang. Dua beradik itu meneruskan penggalian, namun tidak berhasil. Akhirnya, mereka menyerah kalah dan pulang. Beberapa minggu kemudian , seorang lelaki membeli hak milik kawasan itu dan menggali tiga kaki lebih dalam dari tempat yang ditinggalkan dua beradik itu dan berjaya menjumpai emas

Dengan sedikit lagi kegigihan, dua beradik itu bakal bergelar sebagai jutawan. Seperti dua beradik tersebut, setiap daripada kita mempunyai nilai tersendiri. Namun kita boleh memilih untuk menjadi cekal seperti Jeremy Lin, yang terus menggali tanpa henti sehingga menemui emas dalam dirinya, atau menyerah kalah daripada menghadapi keperitan dan pahit getir tiga kaki lebih awal.

Lin terus memantapkan dirinya supaya apabila peluang terbentang di depan mata, dia mampu merebut peluang tersebut. Anda tidak akan pernah dapat mengagak saat keemasaan anda dalam hidup. Selalunya, peluang sebegini muncul pada saat yang tidak pernah kita jangkakan. Teruslah cekal dan suatu hari nanti detik Kegi-Lin-aan anda akan tiba.

 

Roshan Thiran ghairah hendak melahirkan transformasi bangsa melalui pemantapan kepimpinan. Beliau percaya dalam setiap orang terkandung kecekalan yang perlu dibangkitkan. Beliau boleh dihubungi melalui roshan.thiran@leaderonomics.comFacebook  dan Twitter untuk mendapat pandangan beliau mengenai urusan perniagaan, pemantapan kepimpinan peribadi dan profesional. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Some Crazy Lessons From Lin-sanity

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Cadangan Buat Kamu

Pekerja

Adakah Anda Tahu Apakah Perasaan Pekerja Anda yang Sebenarnya? Kos Jurang Empati

Oleh Juliet Funt. Temui cara pemahaman dan sambungan boleh mengubah tempat kerja anda dengan merapatkan jurang empati.

Dec 10, 2023 5 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Biar Mereka Gagal

Setiap pemimpin yang hebat pasti pernah gagal berulang kali dalam kembara kehidupannya. Belajar daripada setiap kegagalan. Jangan ulanginya. Jadikan kegagalan-kegagalan itu sebagai batu asas kejayaan masa hadapan. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Tidak Mengapa, Biar Mereka Gagal.

Jul 06, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest