Adakah Anda Didorong Untung Segera Atau Nyala Rasa?

Oct 05, 2018 1 Minit
perjalanan

Orang tidak percaya dengan apa yang anda lakukan; mereka percaya mengapa anda lakukannya. Dan apa yang anda lakukan menunjukkan apa yang anda percaya. — Simon Sinek

Semasa lawatan ke United Kingdom, saya perasan sebuah kereta Ferrari merah berkilat yang dipandu seorang lelaki dalam kesesakan lalu lintas kota London.

Seperti juga nasib kereta-kereta yang lain, Ferrari itu hanya dapat bergerak dalam beberapa kaki sahaja pada satu-satu masa.

Walaupun sedap dipandang, namun Ferrari itu menunjukkan kemajuan yang sama seperti kereta Toyota atau Vauxhall apabila merentasi jalan raya di ibu kota.  

Lebih kurang seminit selepas itu, seorang lelaki lain (kali ini, menaiki basikal lipat) menarik perhatian saya ketika dia berdesup laju meninggalkan kesesakan yang memenatkan, menghala ke destinasi yang dituju tanpa lelah.

Penunggang basikal itu nampak seperti lelaki dalam misi – dia begitu berfokus pada jalan raya di hadapannya.

Detik sepintas lalu itu membuatkan saya terfikir tentang maknanya, dan apa yang diperlukan untuk menjadi seorang usahawan berjaya.

Jangan salah faham: anggaplah lelaki di dalam Ferrari itu memang seorang yang berjaya, yang bekerja kuat untuk mencapai segala-galanya yang dikecapi.

Dan tiada masalah jika kita menggunakan cita-cita peribadi atau kekayaan material sebagai pendorong untuk mencapai matlamat dan bertambah maju dalam apa sahaja yang diceburi. Bukan niat saya untuk membuat pengadilan tentang bagaimana manusia memilih untuk merasa terdorong.

Tetapi saya terfikir tentang beberapa orang usahawan muda yang pernah saya jumpa selama ini, ada yang memberitahu saya – menerusi perbualan – yang mereka ingin menjalankan perniagaan atas sebab ingin dilihat sebagai berjaya apabila mereka mempamerkan status dan kekayaan material yang mungkin mereka capai.

“Bagaimana saya boleh menjadi kaya dengan idea ini …?” mereka bertanya, sebelum bercerita dengan riang tentang rancangan besar yang direka untuk merubah kehidupan mereka.

Wang = kepuasan?

Tanpa pengecualian, saya sentiasa menggalakkan mana-mana usahawan muda yang mungkin asyik dengan mendapat untung supaya menjajarkan semula  motivasi mereka.

Mungkinkah menjadi kaya hanya dengan idea? Mestilah. Jika ia idea hebat yang dirancang dan dilaksanakan dengan baik, tiada alasan mengapa ia tidak boleh menjana wang. Tetapi adakah kita akan mengecapi kejayaan atau kepuasan berpanjangan dengan menjadikan wang sebagai pendorong? Jawapan kepada soalan itu agak kurang jelas.

Melalui pengalaman saya, dan daripada semua usahawan berjaya yang pernah saya jumpa dan kenali, tiada sesiapa yang menjadikan kekayaan dan kemasyhuran sebagai matlamat utama.  

Ini tidak bermakna yang mereka tidak langsung memikirkan untuk meraih keuntungan — itu sudah mesti – tetapi setiap daripada mereka memulakan perniagaan atau empayar berdasarkan  satu atau dua faktor pendorong yang jelas: nyala rasa dan tujuan.

Secara ringkasnya, mereka sangat cinta pada kerja mereka, dan melihat sendiri bagaimana nyala rasa mereka dapat memberi perubahan kepada kehidupan mereka, keluarga, rakan-rakan, dan seterusnya.

Tanyalah mana-mana usahawan berjaya tentang kisah mereka, besar kemungkinan mereka akan bercerita lebih tentang mengapa dan bukan apa yang mereka lakukan.

Mengapa? Kerana itu yang mendorong mereka, dan itulah apa yang kita percaya. Setiap kali.

“Jangan menjadi pak turut apabila kita menetapkan matlamat.” — Jaachynma N.E. Agu

Kadang-kadang usahawan muda yang akan mempelawa saya untuk mengikut mereka di media sosial, dan adakalanya saya akan menjenguk satu atau dua daripadanya hanya untuk melihat keadaan semasa.

Dalam beberapa kes (semestinya bukan semua), saya nampak kisah yang serupa: gambar-gambar jam yang menjolok mata, gambar melakukan urusan perniagaan di komputer riba (logo Apple nampak dengan jelas …), botol champagne di parti, sut kemas, gambar wajib berkumpulan di Starbucks, kunci kereta, telefon, buku nota dan pen (#mesyuaratbisnes) … semuanya nampak mengagumkan.

Di media sosial, semuanya begitu.

Ia bermula dengan kerja keras

Saya tidak bermaksud untuk mengkritik orang yang menunjuk-nunjuk kejayaan mereka, apa yang saya lakukan adalah; mencuba untuk menyedarkan orang muda terutamanya, bahawa gambaran perjalanan menjadi seorang usahawan yang lancar dan dipenuhi dengan keselesaan Moet dan Gucci itu semua hanyalah khayalan semata-mata.

Hendak menjadi seorang usahawan berjaya bukannya senang. Anda kena kerja kuat dan tekun. Kadang-kadang ia amat menyakitkan, rasanya seolah-olah masa berputar tiga kali lebih laju daripada sepatutnya – masa tidak pernah mencukupi, walaupun anda bekerja 14 hingga 18 jam setiap hari.

Beberapa tahun lalu, saya bertemu seorang usahawan yang menabur bakti dalam melatih syarikat permulaan sebagai membayar balik segala sokongan dan bantuan yang diperolehinya ketika dia memulakan bisnesnya dahulu.

Katanya, “Pada tujuh tahun pertama, saya tidak pernah ambil cuti walaupun sehari.” Saya bertanya apakah yang memberi inspirasi kepadanya untuk mempunyai dedikasi sebegitu – apa yang mendorongnya untuk bekerja kuat? Jawapannya:

“Saya mempunyai kawan-kawan yang bekerja dari Isnin hingga Jumaat, kemudian berlibur pada hujung minggu. Mereka rasa hebat dan jika ia membuat mereka rasa gembira, baguslah.

Kiranya, saya juga dianggap akan berbuat sedemikian, keluar, berseronok, dan melakukan apa sahaja yang dilakukan mereka yang seusia saya. Tetapi saya tahu jika saya ingin mengecapi kejayaan yang saya inginkan, saya tidak harus mengikut apa yang orang lain buat.

Saya tahu saya perlu memerah segala tenaga yang ada untuk merealisasikan impian saya. Itulah yang saya lakukan, dan saya amat mencintai setiap minit daripadanya.”

Hidup dan berbelanja berpada-pada

Salah satu perangkap terbesar bagi mana-mana usahawan adalah, apabila mereka merasai sedikit kejayaan, kehidupan mereka terus berubah, seolah-olah mereka telah betul-betul berada di puncak kejayaan.

Mungkin mereka telah berjaya mendapatkan kontrak bernilai AS$60,000, lantas mengikut nafsu untuk menikmati gaya hidup yang menyaksikan mereka membelanjakan AS$40,000.

Lagak mereka berubah seolah-olah minda mereka memberitahu bahawa mereka sebenarnya telah memperoleh 10 kali ganda lebih dan mereka layak untuk berbelanja serta menunjukkan kepada semua orang yang mereka telah berjaya.

Berkaitan: 10 Rukun Menguruskan Wang Dengan Bijak

Ini adalah rahsia yang ramai usahawan berjaya gunakan: tatkala ramai orang memperoleh AS$10 dan membelanjakan AS$9, usahawan berjaya akan memperoleh AS$10 dan hidup seolah-olah mereka memperoleh AS$3.

Ke mana perginya wang lebihan itu? Mereka melaburkannya semula: di dalam diri sendiri, atau di dalam perniagaan mereka. Mereka tidak fikirkan apa yang mereka ada – mereka berfokus pada hala tuju mereka.

Tiada sesiapa yang meletakkan standard ke atas diri mereka, mereka sendiri yang melakukannya.

Didorong oleh nyala rasa

“Peluang akan datang dan pergi, tetapi jika awak tidak berbuat apa-apa, habislah awak.” — Richie Norton

Lelaki dalam Ferrari itu akhirnya sampai juga ke rumahnya di pinggir kota, di mana dia menikmati makan malam yang enak bersama keluarga tercinta dan meraikan kejayaannya dengan segelas wain.

Seperti juga si penunggang basikal lipat. Yalah, begitulah yang saya bayangkan tentang bagaimana hari mereka berakhir.

Keusahawanan bukanlah tentang apa yang anda punyai – ia tentang apa yang anda lakukan dan mengapa. ‘Mengapa’ itu haruslah sesuatu yang datang dari dalam, jika tidak kejayaan anda hanya akan bertahan selama mana motivasi luaran anda.

Apabila seseorang itu mencapai kejayaan, tidak kira bagaimana ia ditakrifkan, saya berasa cukup gembira untuknya.

Tidak kira sama ada kejayaan itu didorong oleh tujuan, wang, status, makna atau cita-cita peribadi, jika ia dicapai menerusi kerja keras dan ketabahan, maka ia wajar diraikan.

Tetapi, selalunya, jika bakal usahawan mengejar impian atau idea mereka berdasarkan alasan yang atau idea yang cetek (iaitu ‘mengapa’ mereka tidak datang dari dalaman), mereka tidak mempunyai stamina atau komitmen untuk merealisasikan idea itu.

Mereka menolak idea bekerja 14 hingga 18 jam sehari sekeras-kerasnya, dan mereka tidak mahu berfikir tentang rintangan yang berpotensi menghalang rancangan hebat mereka.

Berkaitan: Ketahui Nyala Rasa Sejati Diri

Idea untuk melabur semula wang yang diraih dengan susah-payah tidak kedengaran bagus, dan mereka juga tidak bersemangat apabila menyedari yang mereka harus sentiasa bangun kembali apabila ditolak atau dipulaukan, terutamanya pada peringkat awal.

Jika realiti sebenar keusahawanan sukar untuk ditelan, hendak mengejarnya mungkin menjadi mimpi ngeri.

Tetapi, jika anda didorong oleh nyala rasa yang ada makna dan dapat membantu anda membina legasi yang utuh, maka realiti sebenar keusahawanan itu akan terhenti.

Sebaliknya, ia akan diganti oleh cabaran yang berterusan, rintangan yang meningkatkan azam anda, dan  halangan yang mengajar anda setiap kali anda ingin maju ke hadapan.

Ia memberi anda sebab untuk bangun pagi, dan menanam visi di minda yang memaksa anda untuk menjadi lebih baik, hari demi hari.

Dan tiada apa di dunia yang lebih baik daripada itu.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Are You Driven By Quick Gains Or Passion?

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Inspirasi

Kisah Inspirasi daripada Pesakit Penyakit Jarang Jumpa

Oleh Amirah Nadiah. Menyingkap kisah inspirasi daripada pesakit penyakit jarang jumpa di Malaysia, Pycnodysostosis.

Nov 09, 2023 6 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Barang yang Lepas Jangan Dikenang

Tip Kepimpinan adalah satu rancangan hebat yang mendorong anda untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa. Tontonilah sekarang dan jadilah seorang pemimpin yang hikmat.

Mar 02, 2018 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest