“Orang muda hari ini tak kenal erti sebenar kesakitan. Mereka tak pernah hadapi cabaran seperti kamu. Saya pasti jika anda berkongsi kisah hidup anda, mereka akan sedar bahawa cabaran mereka hanya sekelumit berbanding yang kamu alami,” kata seorang guru kepada saya sebelum saya berucap kepada sekumpulan pelajar sekolah.
Walaupun menghormati pandangannya, saya tidak bersetuju kerana saya percaya kesakitan itu memang kesakitan biarpun dalam apa-apa bentuk.
Siapakah yang berani nyatakan bahawa perasaan dipulaukan rakan sekelas di sekolah tidak meninggalkan apa-apa kesan berbanding tidak boleh berjalan?
Saya percaya kefahaman kita akan erti kesakitan dan cara menanganinya perlu diselami, lebih daripada membandingkannya dengan telahan dan pengalaman orang lain.
Kita perlu tahu bahawa kesakitan bersifat relatif dan tahap kesakitan bergantung pada cara kita melihatnya dan bertindak balas.
Hal ini bermakna kita boleh mendapat inspirasi dengan melihat cara orang lain bertindak balas dengan kesakitan yang dialami dalam hidup dan menerokai cara beberapa individu bertahan dalam menghadapi rintangan sedangkan yang lain tidak mampu menempuhinya.
Kesakitan menuntut tindak balas
Kesakitan merupakan mekanisme pertahanan diri yang direka bentuk untuk memelihara kita daripada kemudaratan. Daripada semua liku-liku yang dialami, wajar untuk kita terus bertindak tanpa betul-betul memikirkan rasa sakit terlebih dahulu.
Apabila tersentuh bahagian tepi cerek yang mendidih tanpa sengaja, isyarat akan dihantar ke bahagian otak, supaya kita terus menarik tangan walaupun otak kita belum betul-betul sedar akan hal ini.
Sakit berdenyut-denyut disebabkan terseliuh pergelangan kaki menandakan kita perlu mengurangkan pergerakan kaki sehingga pulih dan mendapat semula kekuatan.
Kesakitan datang dalam pelbagai bentuk. Kesakitan yang paling lazim kita alami adalah kesakitan fizikal. Namun, kecederaan emosi dan psikologi memainkan peranan yang lebih bermakna, melalui cara kita melihat dunia setiap hari.
Pengalaman memalukan semasa pertama kali berucap di khalayak boleh menjadi mimpi ngeri untuk kita melibatkan diri dalam pengucapan awam pada masa akan datang dan membuatkan kita berfikir dua kali sebelum mencuba kembali.
Apa-apa sahaja jenis kesakitan, yang pasti, kesakitan menuntut tindak balas. Semestinya tiada tindak balas yang sama boleh diguna pakai semua orang.
Namun demikian, cara kita bertindak balas lambat-laun akan menjadikan kita seorang yang kental menghadapi cabaran dan bertahan meskipun dalam kesulitan, berbanding mereka yang mudah menyerah kalah apabila rintangan melanda.
Panggilan “budak cacat”
Sewaktu kecil, saya sering dibuli di sekolah atas sebab kelainan upaya. Saya masih ingat semasa darjah 5, sekumpulan murid duduk bersama dan memperlekehkan saya di hadapan rakan sekelas. Mereka ketawa dan memanggil saya “budak cacat”.
Bagi seorang budak pada umur sebegini, tatkala diketawakan rakan sebaya dan dihina dalam kelas, peritnya tak terucap. Harga diri dan keyakinan hancur berkecai kerana saya tak berdaya untuk melawan balik atau mempertahankan diri.
Kes buli ini berlarutan dari kelas di sekolah dan bersambung di kelas tuisyen. Mereka siap melukis komik untuk memperlekehkan saya! Wow, bukan main bersemangat lagi.
Saya boleh bertindak balas pada perbuatan buli ini melalui banyak cara. Satu pilihan yang ada adalah dengan mempercayai kata-kata mereka dan menyemat sedalam-dalamnya dalam hati, bahawa saya sememangnya cacat dan tak berguna.
Atau saya boleh bertindak dengan berfikir dari sudut yang berbeza. Dengan kasih sayang dan sokongan daripada ayah dan ibu, saya memperoleh keyakinan melalui identiti diri dan memilih untuk tidak mengendahkan kata-kata si pembuli.
Dua tahun kemudian saya berpindah ke sekolah baharu. Saya ingatkan saya tidak akan bertemu dengan mereka namun dalam sebuah kem kepimpinan yang dianjurkan sekolah, saya bertemu kembali dengan pembuli-pembuli ini.
Entah bagaimana, budak itu berbual mesra dengan saya. Walaupun saya masih ingat kata-kata yang pernah diucapnya, saya perlu mengambil keputusan, sama ada meneruskan kehidupan atau mengenang masa silam. Saya biarkan peristiwa yang sudah berlaku berlalu pergi dan rancak berbual dengannya.
Saya sedar bahawa kesakitan menuntut tindak balas. Sama ada saya memilih untuk mengelakkan diri daripada kesakitan atau mengatasinya, ini terpulang pada saya.
Kesakitan tidak kekal selama-lamanya
Perlumbaan pertama yang saya sertai dengan menggunakan kerusi roda ialah larian 10km pada tahun 2012. Sejak itu, saya telah menyertai dan menghabiskan separa maraton 21km, maraton penuh 42 km dan ultramaraton 100km.
Ketegangan fizikal yang dihadapi untuk menghabiskan satu marathon begitu mencabar, salah satu benda yang amat saya takuti dalam maraton ialah bukit-bukau.
Pengalaman meneruskan pendakian merentasi laluan yang curam berkerusi roda sepanjang 35km dan mengalami kekejangan pada waktu yang sama, ini merupakan salah satu cabaran fizikal yang paling getir pernah saya tempuh.
Daripada semua bukit yang saya paksa diri untuk daki, tidak ada satu pun yang saya perlu daki terus-menerus. Saya sedar bahawa tidak kira betapa curamnya sesebuah bukit, akhirnya kita akan beranjak turun bukit itu juga. Ini menyedarkan saya bahawa dalam hidup, tiada cabaran yang kekal selama-lamanya.
Ada masa kita akan rasa cabaran yang dihadapi tiada jalan penyelesaian, dan kita tidak terdaya menanganinya. Saya pasti jika kita bersabar dan berusaha, lambat-laun kita bakal mampu mengatasi apa-apa rintangan dalam hidup.
Selesa dengan ketakselesaan
Baru-baru ini saya mula berlatih di gim, selepas membuat keputusan untuk mengejar matlamat melayakkan diri dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Empat minggu pertama menjalani latihan di gim adalah tempoh yang paling azab. Saya akan berlatih di gim selama sehari namun badan saya kemudiannya sakit-sakit selama lima hari, maka saya terlantar sebelum boleh menyambung kembali latihan.
Saya ambil masa yang amat lama untuk pulih kerana badan saya tidak biasa dengan jenis atau tahap senaman bina badan yang saya lalui ini.
Sebulan berlalu dan latihan yang dihadapi terasa lebih ringan. Saya mampu berlatih selang satu hari dan senang sahaja untuk sambung berlatih.
Dua bulan berlalu dan saya mula menjalani rutin yang lebih rumit dan menambah beban untuk diangkat.
Saya rasa saya semakin kuat dan perasaan ini begitu memuaskan.
Selepas beberapa ketika saya sedar bahawa kemajuan diri tidak seberapa pantas seperti latihan sebelum ini, dan rasanya seperti mengalami kebuntuan mental.
Dengan bimbingan jurulatih, kami menukar rutin latihan dan mempertingkat kesukaran senaman. Kemudian, saya rasa seperti bermula dari kosong! Saya rasa sangat sakit sehingga tidak mampu lakukan apa-apa dalam tiga hari selepas itu!
Di sinilah saya belajar tentang kepentingan memaksa diri ke tahap maksimum dan tidak membiarkan diri berada pada takuk yang sama dalam latihan.
Apabila badan berada pada tahap mendatar, ini selalunya menandakan kemampuan kita untuk menyesuaikan diri dengan lebih lagi tekanan dan perubahan.
Maka rutin kecerdasan yang kelihatan payah beberapa bulan sebelumnya akan terasa lebih ringan kerana badan sudah menyesuaikan diri dengan secukupnya untuk menampung tekanan secara berterusan.
Akhir kata
Maka dalam usaha untuk terus maju, kita perlu membiasakan diri dengan ketakselesaan.
Kita harus mampu memanfaatkan kesakitan, cabaran dan ketakselesaan sebagai alat untuk memaksa diri melangkaui tahap mendatar dalam kehidupan, supaya kita boleh mencapai tahap yang lebih baik, sama ada dalam perniagaan, hubungan mahupun kesihatan.
Adakah anda sedar bahawa dengan menempuh cabaran yang anda rasa payah suatu ketika dahulu, apabila dilanda cabaran yang sama pada masa depan, ini langsung tidak membuatkan anda gentar, entah anda pula akan rasa cabaran sebegini lebih mudah ditangani.
Kesakitan bukannya sesuatu yang boleh kita elak terlalu lama kerana kita terdedah dengan keadaan yang tak terjangka dalam hidup.
Namun, jika kita mampu melihat dan memberi tindak balas yang berpatutan terhadap kesakitan yang dialami, hal ini bukan sahaja menjadikan kita lebih kuat, malah kita dapat menyesuaikan diri dengan sepak terajang dalam hidup dengan lebih mudah. Dengan cara ini kita boleh menjadi yang terbaik sehabis mungkin dan memenuhi potensi yang terpendam dalam diri.
Daniel Lee adalah bekas staf Leaderonomics yang kini mengatur langkah perjalanan untuk melayakkan dirinya dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020, dalam kategori perlumbaan berkerusi roda. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Don’t Avoid Pain, Embrace It And See Where It Takes You
Oleh Paulus S. Firmanto. Selain membina hubungan yang kukuh, kepercayaan juga membantu menginspirasikan kerjasama, inovasi dan prestasi unggul. Berikut adalah petuanya.
Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.
Tahukah anda, bagaimana menjadi pemimpin yang berani? Dalam Tip Kepimpinan kali ini, Roshan Thiran berkongsi tip yang menarik untuk menjadi pemimpin yang efektif dan berani.