Keusahawanan: Impian Yang Terdaya Dicapai

Apr 25, 2017 4 Minit
dunia, impian, masa hadapan
Impian Menjadi Seorang Usahawan

“Adalah jauh lebih baik untuk berani melakukan perkara yang perkasa, untuk memenangi kejayaan gemilang, walaupun kadang-kadang tergendala, daripada disekelompokkan dengan mereka yang bersemangat lemah, yang tidak menikmati mahupun menderita seberapa banyak, kerana asyik hidup dalam kekelaman yang tidak mengenali kemenangan atau kekalahan.”- Theodore Roosevelt


Kebanyakan orang memang pernah mempunyai impian untuk menjadi bos atau usahawan. Bagaimanapun, impian itu cepat lesap apabila berhadapan dengan realiti kehidupan. Ada yang menceburi sesuatu usaha tetapi gagal, lantaran menyimpulkan bahawa mereka tiada keupayaan menjadi usahawan.

Saya masih ingat usaha bisnis ‘rasmi’ saya yang pertama semasa di universiti. Didorong inspirasi daripada Michael Dell, saya dan beberapa orang rakan memulakan sebuah syarikat yang memasang siap komputer untuk dijualkan semula kepada pelajar lain.

Apabila syarikat kami mula berkembang, kami memutuskan untuk menjalankan usaha itu secara profesional dan membeli inventori untuk mengurangkan masa menunggu bagi pelanggan. Tambahan pula, ia lebih menjimatkan jika dibeli dalam bentuk borong. Tetapi Hukum Murphy menggenakan kami – teknologi baharu muncul dan kami terperangkap dengan sejumlah besar barangan teknologi lama yang tidak laku lagi.

Kami kecewa dan putus asa. Kumpulan usahawan kecil kami dibubarkan dan kami mula mengambil pekerjaan ‘sebenar’. Tetapi keinginan untuk membuat sesuatu yang lain daripada yang lain dan mengubah dunia tetap membara dalam hati saya. Jadi saya terus mencuba dengan pelbagai usaha kecil, mengalami kegagalan tetapi terus belajar daripada kegagalan sehinggalah berjaya.

Ada mitos yang mengatakan bahawa usahawan mempunyai ciri-ciri istimewa yang membezakan mereka daripada orang lain, atau mempunyai kaedah rahsia untuk kejayaan. Tiada seorang usahawan pun, termasuk Richard Branson, yang mempunyai formula rahsia. Keusahawanan bukan mudah. Tetapi ia boleh dipelajari dan harus diajarkan kepada semua. 
 

Empat bidang penguasaan

Berdasarkan penyelidikan kami ke atas 500 orang usahawan, kami mendapati ada empat bidang persamaan dalam kalangan mereka yang berjaya: penguasaan peribadi, penguasaan bisnis, penguasaan keusahawanan dan penguasaan kepimpinan.

Penguasaan peribadi

Kunci kepada penguasaan peribadi ialah kesedaran diri. Usahawan-usahawan terbaik sedar akan kekuatan diri dan berusaha memanfaatkannya. Walt Disney begitu ghairah dengan melukis kartun sehingga beliau mencipta usaha niaga yang mengoptimumkan kekuatannya. Di samping mengenali diri, usahawan terbaik juga belajar sejak awal lagi tentang cara mereka boleh mencipta, berkomunikasi, mempengaruhi dan membangunkan keberkesanan peribadi.

Penguasaan bisnis

Penguasaan bisnis ialah kebolehan untuk berfikir secara strategik, memahami industri, pola-pola baharu dan perubahan, serta inovasi dalam bidang-bidang baharu. 

Akio Morita, pengasas bersama Sony, berkata: ‘Perhatikan dengan teliti cara hidup orang, dapatkan secara intuitif kehendak mereka, kemudian ciptakannya. Usah jalankan penyelidikan pemasaran.’ Morita berjaya merombak sebuah pasar raya kecil menjadi sebuah organisasi menjual barangan elektronik pengguna yang paling berjaya di dunia.

AirAsia, dengan slogan ‘Kini Semua Orang Boleh Terbang’, telah mengenal pasti satu jurang (iaitu golongan kurang mampu yang tidak berpeluang menaiki pesawat terbang) dan membina bisnis dengan mengoptimumkan teknologi baharu (internet), serta membangunkan proses-proses yang cekap untuk membolehkan mereka melaksanakan model bisnis mereka (kos rendah). 

Penguasaan bisnis juga adalah usaha membangunkan ‘visi dengan kebarangkalian yang luar biasa’. Steve Jobs, yang mempunyai visi untuk ‘meletakkan komputer di tangan setiap orang’, telah mencetuskan revolusi komputer peribadi.

Penguasaan keusahawanan

Penguasaan keusahawanan ialah kemahiran-kemahiran teknikal yang diperlukan. Ini termasuk mekanisme menjalankan bisnis dari sehari ke sehari, mengeluarkan produk, memberi perkhidmatan, meraih keuntungan dan mengurus tenaga kerja. Page dan Brin, pengasas-pengasas Google, bukanlah ketua pegawai eksekutifnya. Eric Schmidt, seorang pemimpin yang cerdas, dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif. Ini adalah kerana pengasas Google tidak mempunyai pengetahuan keusahawanan yang cukup dan teknik pengurusan untuk menjalankan bisnis tersebut.

Penguasaan kepimpinan

Kunci terakhir ialah penguasaan kepimpinan. Nadi kepimpinan adalah membuat keputusan. Para usahawan harus belajar membuat keputusan yang baik dengan cepat. Para usahawan cepat belajar dan mengambil iktibar daripada keputusan-keputusan salah yang dibuat. Sebab utama kebanyakan bisnes kecil gagal adalah kerana kegagalan kepimpinan. Steve Jobs dipecat dari syarikat yang ditubuhkannya kerana keangkuhannya. Begitu juga ramai pemimpin baharu gagal kerana kepimpinan mereka yang kurang melibatkan diri, menggalakkan dan membangunkan tenaga kerja. 


Pembelajaran dan latihan

Untuk menguasai keempat-empat bidang ini, pembelajaran dan latihan diperlukan. Malangnya, usahawan baharu jarang menitikberatkan soal ini. Hampir 95% daripada usaha keusahawanan gagal. Jika kita mengkaji kegagalan ini secara terperinci, ia biasanya disebabkan oleh kurangnya penguasaan dalam satu atau kesemua empat bidang tersebut.

Sangat memilukan melihat usahawan mencuba sedaya-upaya namun akhirnya gagal untuk memenuhi hasrat mereka. Li Ka Shing tidak pernah berhenti belajar. ‘Oleh kerana saya tidak mempunyai modal yang banyak, saya melakukan kesemuanya sendiri,’ imbas Li. Beliau berkata beliau sentiasa belajar, baik membuat perakaunan mahupun memperbaiki gear peralatan.


Akhir kata

Seseorang usahawan tidak terkongkong dalam bisnes sendiri. Semangat keusahawanan amat dikehendaki oleh banyak syarikat. Mereka yang mempunyai semangat keusahawanan adalah mereka yang proaktif, gemar untuk mencipta, mengambil risiko terkira, dan pada akhirnya berjaya dalam apa yang dikerjakan mereka.

Setiap usahawan yang berjaya pada suatu masa dahulu adalah seorang amatur. Seperti bak pepatah lama, ‘Ada tiga jenis orang di dunia ini: mereka yang membuat sesuatu perkara berlaku; mereka yang melihat perkara berlaku; dan mereka yang langsung tidak tahu apa yang berlaku.’ Tidak terlambat sekali untuk belajar dan menjadi orang yang membuat sesuatu perkara berlaku di dunia ini. Ya, anda boleh bermimpi!
 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Now Everyone Can Dream.

Sila Kongsi

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Cadangan Buat Kamu

Pekerja gembira

Life@Leaderonomics: Selamat Hari Pekerja daripada Kami Semua!

Pejabat Leaderonomics pernah dipaparkan sebagai salah satu daripada 10 pejabat paling berinspirasi di Malaysia. Pengasas membina pejabat yang terasa seperti di rumah selepas menyedari bahawa perubahan persekitaran boleh mengubah tingkah laku orang ramai.

Apr 30, 2023 1 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Berani Gagal

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran berkata setiap orang mesti berani gagal dan belajar daripada kegagalan untuk terus maju dalam kembara kehidupan. Kejayaan pasti dalam tangan kelak.

Jul 28, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest