Luangkan Masa Dan Libatkan Tenaga Kerja

Apr 17, 2017 1 Minit
Alt

Suatu hari seorang guru sekolah ternampak sehelai kertas contengan anak lelakinya yang membuatkannya menjadi emosional. Dia menunjukkan kertas itu kepada suaminya dan meminta suaminya membaca esei yang tertulis pada kertas itu. Suaminya membaca sambil berfikir bahawa ia adalah tugasan kerja sekolah salah seorang pelajar isterinya. Esei tersebut berbunyi demikian:

Ya Tuhan,

Kurniakanlah kepadaku satu permintaan. Tukarkan aku menjadi sebuah televisyen. Aku mahu mengambil tempat TV di rumahku; aku inginkan keluargaku berada di sekitarku; diberi perhatian serius apabila aku bercakap.

Aku mahu menjadi pusat perhatian; didengar tanpa diganggu atau disoal. Aku ingin menerima penjagaan istimewa yang sama seperti yang diterima TV walaupun apabila tidak berfungsi. Aku ingin ditemani oleh ayahku apabila dia balik ke rumah dari pejabat, walaupun dia penat. Dan aku mahu ibuku menginginkanku apabila dia berasa sedih dan kesal, bukannya mengabaikanku.

Aku mahu adik-beradikku bergaduh untuk berebut-rebut mahu bersamaku. Aku mahu seluruh keluargaku menghabiskan masa denganku. Dan akhir sekali, aku ingin membuat keluargaku gembira dan menghiburkan mereka, sama seperti sebuah TV.  Tolong kabulkan permintaanku untuk menjadi sebuah TV.

Pada ketika itu suaminya berhenti dan berkata, “Kasihan budak ini! Teruk sungguh ibu bapanya!” Isterinya memandang ke arahnya dan berkata, “Itu adalah esei anak kita!”

Penglibatan majikan dengan tenaga kerja

Banyak bisnis mengalami situasi yang serupa seperti keluarga ini. Pemimpin mereka jarang menghabiskan masa dengan tenaga kerja, dan terkejut serta hairan apabila bakat-bakat terbaik meninggalkan organisasi mereka. Sama seperti kanak-kanak yang kecewa dengan kurang perhatian, penjagaan dan tumpuan, bakat-bakat terbaik juga turut mahukan perhatian, penjagaan dan tumpuan majikan.

Satu tinjauan Conference Board melaporkan bahawa 55 peratus daripada pekerja-pekerja tidak berpuas hati dengan pekerjaan dan bos mereka. Satu lagi kajian mendapati bahawa “dua daripada tiga orang pekerja lebih rela bekerja di tempat lain” kerana mereka kecewa, terutama dengan kekurangan penjagaan daripada bos mereka.

Keadaan ini amat mencemaskan kerana kebanyakan organisasi amat bergantung kepada tenaga kerja berbanding sumber-sumber lain. Pada masa dahulu, tenaga kerja memerlukan syarikat jauh melebihi syarikat memerlukan mereka. Tetapi pada masa sekarang, pekerja mempunyai pengetahuan yang lebih banyak berbanding bos mereka; dengan itu majikan memerlukan tenaga kerja yang terlibat dan komited untuk berjaya.

Jack Welch, yang terpilih sebagai Pengurus Abad Ini, memahami nilai penglibatan dengan tenaga kerjanya. Beliau menghabiskan lebih daripada 40 peratus masanya dengan tenaga kerja — mengajar mereka, membuat penilaian terhadap mereka, berbicara dengan mereka, bahkan belajar daripada mereka. Walaupun beliau sentiasa sibuk dengan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif,  beliau tidak pernah terlepas menghadiri sesi-sesi mengajar atau meja bulat dengan pekerja-pekerjanya.

Empat penglibatan asas

Di Leaderonomics, kami menyedari bahawa hubungan dengan bakat-bakat kami adalah pakatan yang strategik dan pekerja cemerlang kami boleh meninggalkan organisasi pada bila-bila masa. Tetapi kami juga tahu bahawa faedah-faedah bukan dalam bentuk kewanganlah yang membuat mereka terus bersama kami. Inti kepada perkara ini adalah kebanyakan orang tidak akan meninggalkan sesebuah organisasi  jika mereka terlibat.

Berikut adalah empat langkah penglibatan asas yang akan memastikan tenaga kerja anda (dan juga keluarga anda) terlibat untuk mencapai matlamat anda:

  • Kenal saya
  • Fokus pada saya
  • Beri perhatian kepada saya
  • Kembangkan saya

Kenal saya

Dalam buku Authentic Leadership (Kepimpinan Sejati), Bill George mengatakan, “Kapasiti untuk menjalin hubungan rapat dan bertahan lama adalah tanda-tanda seorang pemimpin. Malangnya, ramai pemimpin syarikat yang utama percaya tugas mereka adalah semata-mata mewujudkan strategi, struktur dan proses organisasi. Mereka kemudian akan mengagihkan kerja-kerja yang perlu dilakukan. Selepas itu, mereka akan mengasingkan diri daripada tenaga kerja yang melakukan kerja tersebut.”

Mengenali pekerja amat kritikal untuk mencapai kepimpinan yang hebat.  Ini termasuk mengetahui matlamat mereka, titik tekanan mereka, apa yang menarik hati mereka, dan kekuatan mereka.  Jangan bersikap bongkak atau mengacau, tetapi ambil berat akan kesejarahteraan mereka dan membuat diri mereka berasa dihargai.

Setiap pemimpin yang baik tahu bahawa pekerja-pekerja mahu merasa dihargai. Ketahui apa yang penting bagi pekerja anda dan tunjukkan kepada mereka bahawa anda menghargai mereka. Walmart adalah pasar raya terbesar di dunia tetapi telah mengekalkan suasana “kekeluargaan” melalui saluran-saluran komunikasi yang jelas termasuk lawatan ke kedai-kedai yang kerap dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kanan.

Fokus pada saya

Para pekerja memerlukan anda untuk memberitahu mereka tugas yang patut diberi fokus. Kekecewaan di tempat kerja sering berlaku disebabkan arahan dan harapan yang tidak jelas. Malah, para pekerja sentiasa merasa ditenggelami bebanan kerja apabila pengurusan secara tidak sengaja menganggap setiap inisiatif sebagai mendesak dan penting.

Pemimpin-pemimpin perlu meluangkan masa memberi arahan yang tepat dan jelas. Apabila para pekerja mengetahui apa yang perlu diutamakan, mereka akan memberi fokus kepada tugasan tersebut. Mereka akan mencapai keputusan yang diingini dan terus terlibat dalam kejayaan yang dicapai.

Pada setiap hari Jumaat di Google, pemimpin-pemimpinnya akan menghabiskan masa dengan para pekerja untuk menjawab soalan-soalan mereka dan membantu mereka menumpukan perhatian kepada keutamaan-keutamaan. Ia bukan sukar untuk membantu tenaga kerja memberi fokus dan mengenal pasti tugasan yang perlu diberi keutamaan. Tetapi ini hanya boleh berlaku jika anda meluangkan masa yang berkualiti dengan tenaga kerja anda.

Beri perhatian kepada saya

Ketua Pegawai Eksekutif Pepsi, Indra Nooyi, adalah pemain guitar utama dalam sebuah kumpulan rock, bermain kriket, dan menyanyi karaoke di perhimpunan korporat. Beliau berasal dari Madras dan pernah bekerja sebagai seorang penyambut tetamu. Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Pepsi, Reinemund, mengatakan bahawa rahsia kejayaan Nooyi adalah “beliau seorang yang amat penyayang” yang “boleh berhubung dengan orang-orang dari bilik lembaga pengarah sehingga ke barisan hadapan.”

Beliau memberitahu BBC bahawa beliau menelefon ibunya di India dua kali sehari. “Pendek kata,” kata Nooyi, “jangan lupa bahawa anda adalah seorang manusia; jangan lupa anda seorang ibu; jangan lupa anda seorang isteri; jangan lupa anda seorang anak.” Dan beliau memastikan bahawa semua orang dalam organisasinya saling mengambil berat.

Peter Drucker gemar mengkaji pertubuhan-pertubuhan sukarela di mana kunci untuk menarik sukarelawan/wati adalah dengan menunjukkan perhatian dan rasa terima kasih. Biarpun sukarelawan itu cuma mencapai sesuatu yang remeh, pujian tetap diberikan. Ini adalah cara untuk terus melibatkan sukarelawan tersebut untuk melakukan lebih lagi.  Kita harus melakukan perkara yang sama terhadap para pekerja kita.

Sebaliknya kita sering mendengar komen-komen yang tidak memberangsangkan apabila seseorang melakukan sesuatu dengan baik seperti, “Jadi, bukankah dia telah dibayar untuk melakukan itu?”

Anda juga boleh menunjukkan perhatian dengan bersikap sejujurnya dengan pekerja anda. Pakar penglibatan Jim Haudan mendakwa bahawa pemimpin-pemimpin mesti bercakap benar untuk menyemai amanah dan kepercayaan. Haudan menambah, “Bercakap benar menunjukkan bahawa para pemimpin memahami kesulitan yang dihadapi oleh pekerja-pekerja mereka. Dengan cara berempati, ia akan mewujudkan satu perhubungan bagi mereka untuk bergerak ke hadapan.”

Untuk memberi penjagaan kepada tenaga kerja, anda perlu mewujudkan ikatan dengan mereka. Mereka harus merasakan suatu ikatan emosi dengan anda dan terhadap organisasi. Mencapai keputusan melalui hubungan  membawa pulangan yang lebih tinggi daripada sekadar menguruskan keperluan utama.

Kembangkan saya

Mengembangkan pekerja anda bermakna mengembangkan bisnis anda. Dalam buku First Break all the Rules, Buckingham dan Coffman menyatakan, “Apa yang anda harus lakukan untuk mempercepatkan kemajuan seseorang? Pengurusan yang hebat akan menawarkan kepada anda nasihat ini: Fokus kepada kekuatan setiap orang dan tangani kelemahannya. Lakukan apa yang boleh anda lakukan untuk membantu seseorang memupuk bakatnya. Bantu setiap orang menjadi lebih daripada tahap semasa mereka.”  

Membolehkan para pekerja memperoleh kecekapan baru memerlukan masa dan perhatian anda. Peranan anda adalah untuk terus mendorong mereka keluar dari zon keselesaan mereka, yang mungkin kelihatan bertentangan dengan mitos penglibatan yang menyatakan anda perlu berbuat baik kepada para pekerja sepanjang masa. Penyelidikan membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa syarikat-syarikat yang terbaik mengekalkan para pekerja mereka dengan mendesak mereka untuk berkembang. P&G, HSBC, Shell dan GE semuanya mengamalkan putaran kerja bagi memastikan para pekerja sentiasa tercabar  untuk belajar dan berkembang.

Idea-idea bagi penglibatan

Berikut adalah 10 peluang penglibatan praktikal yang utama daripada saya:

  1. Ketahui sumbangan pekerja anda terhadap organisasi anda dan makumkan kepada mereka bahawa anda mengetahuinya.
  2. Sentiasa memberi ganjaran kepada pekerja anda yang berprestasi tinggi walaupun ia hanya satu tepukan di belakang ataupun satu pengiktirafan. Kita cenderung mengabaikan pekerja-pekerja berprestasi tinggi yang tidak memerlukan banyak pengurusan daripada kita.
  3. Jalin ikatan dengan mereka. Usahakan komunikasi yang terbuka dan jujur.
  4. Wujudkan tempat kerja yang hebat – belajar daripada Google.
  5. Dengar idea-idea mereka.
  6. Perlakukan tenaga kerja yang melapor terus kepada anda sebagaimana anda ingin diri diperlakukan.
  7. Terokai  amalan-amalan kerja yang fleksibel.
  8. Sentiasa mencabar pekerja anda. (Ini juga membantu anda kerana dengan cabaran-cabaran yang mendesak, mereka tidak mempunyai masa untuk mengemaskinikan  resume mereka!)
  9. Giat berbicara denga mereka untuk mendapatkan maklum balas tentang cara terbaik untuk mengekalkan mereka. Mereka akan memberikan anda beberapa idea yang hebat.
  10. Laksanakan program pementoran dan pembelajaran.

Akhir kata

Tahap penglibatan para pekerja berkait secara langsung dengan hubungan antara pekerja dan pengurus langsung mereka. Pekerja tidak meninggalkan syarikat, tetapi mereka meninggalkan pengurus mereka. Ingat, cara anda melayani pekerja  adalah cara mereka melayani pelanggan anda. Seperti yang dikatakan oleh Bill Marriott, “Jaga pekerja anda dengan baik, maka mereka akan menjaga pelanggan anda dengan baik, dan pelanggan anda akan datang lagi dan lagi dan lagi.”

Jadi, mulakan perjalanan anda untuk menjadi seorang pemimpin yang melibatkan diri.  Ia sangat mudah.  Anda hanya perlu menghabiskan masa dengan pekerja-pekerja anda. Jika Jack Welch mempunyai masa untuk mengenal, memberi tumpuan, menjaga dan mengembangkan orang-orangnya, anda juga perlu meluangkan masa untuk pekerja  anda.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Where Do You Spend Your Time?

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Cadangan Buat Kamu

Prestasi

10 Petua untuk Memotivasikan Tenaga Kerja Anda untuk Prestasi Optimum

Oleh Jennifer Turner. Penilaian prestasi menyediakan peluang bagi pekerja untuk mendapatkan maklum balas tentang prestasi mereka, menetapkan matlamat, dan berbincang tentang bagaimana mereka mahu kerjaya mereka berkembang. Apabila dilaksanakan dengan baik, penilaian prestasi boleh memberi inspirasi kepada pekerja, meningkatkan kebolehan mereka, dan membantu mereka berkembang secara profesional. Berikut adalah panduan mengenai cara yang baik untuk menangani penilaian prestasi yang konstruktif dan memotivasi.

Aug 05, 2024 4 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Jangan Takut untuk Gagal

Program Tip Kepimpinan adalah satu rancangan oleh Leaderonomics di mana tip-tip mengenai hal-hal kepimpinan disediakan untuk tontonan ramai.

Jan 01, 2018 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest